Monday, 25 February 2008

CAHAYA DARI JEJENANG




SELASA 26 fEBRUARI

KOTA kita terasa sekali garingnya minggu ini. Setelah berbulan-bulan bumi dilanda hujan, basah dan banjir, kini sepanjang awal Februari, angin bertiup malas, langit kadang-kadang masih kelabu walau kekeringan semakin cepat menyengat tubuh. Embun pagi pula tidak semeriah bulan Desimber memercik airmatanya. Kelopak keladi di halaman pinggiran rumah kelihatan kaku, jejuang meninggi walaupun embun seperti mahu melupakan mereka. Beberapa lubang yang kugali menyimpan butiran benih kacang sepat lebih tiga minggu masih mendiam kaku di tanah - tidak muncul juga kelopak daunnya. Aku mengintai dari jejenang tingkap, julai daunan buluh berdesir - terperanjat mungkin kerana aku menguaknya di pagi hari. Jejenang pun mula diselusuri cahaya matahari. Angin tiba-tiba mendesah. Masihkah jejenang di atas tingkap rumahmu membawa cahaya indah anugerah-Nya?



Dulu sejak kecil di ruang inilah aku kerap duduk menanti. Bilakah Mak pulang dari Kota Bharu.Musim sedih, tertanya terlalu memuncak kalau tiba bulan puasa, menjelang hari raya. Bertahun-tahun aku menunggu Mak, menunggu adik Wati, tapi anehnya, ketika Mak sampai aku lari bersembunyi di balik pintu. Aku malu melihat Mak pulang, kenapa? Bertahun-tahun aku memendam kenangan perasaaan itu, gembira Mak pulang tapi kenapa tidak berani mengejar dan mendakapnya?



Setelah rumah agam nenek diruntuhkan (1971), diganti dengan rumah rendah tanpa tiang untuk diduduki keluarga Mamak Deris, benar aku kehilangan jejenang jendela. Rumah kayu nenek dengan jendela tinggi, daun berkelopak dua kerap kubuka setiap pagi. Menjelang senja jendela kurapatkan semula. Bertahun-tahun aku kehilangan daunan jendela yang kerap ditembusi cahaya, ditiup angin bebas masuk ke ruang anjung. Kehilangan rumah asal nenek sungguh menyakit rasa dan ini harus kuubati. Maka kucari tukang, Win yang begitu baik hati, sabar, malah pengalamannya membina rumah di kampung asalnya di Ranah Minang, memang mengkagumkan. Kami dirikan anjung meninggi di bahagian depan rumah Mak. Meniru kembali jendela rumah nenek lama yang sudah hilang. Kukumpulan ukiran yang digugurkan oleh Pak Usu di rumah lamanya di Sungai Besar. Peluang itu datang tanpa sengaja, kerana aku menemukan ukiran untuk hiasan jejenang yang telah berusia lebih 50 tahun. Dari Kota Bharu kudapat ukiran yang dihasilkan oleh Latif Long, ku hiasi di atas pintu menunju tangga. Paling sedikit hatiku terubat, kerana jejenang pintu tiba-tiba tumbuh di rumah hutan kami di Kampung Bandar Dalam (2003). Sebutan rumah hutan ini berkali-kali diulangi oleh pelukis Asam Gelugur yang tiba-tiba mengetuk pintu dan menghulur benih pohon asam gelugur khusus dibawa dari Kedah. Benih pohon asam gelugur ini kelak akan menambah rimbun kebun warisan datukku Husin Maharajolelo berasal dari Turawan Tigokota Batusangkar yang tiba meredah bumi Tanah Melayu sejak tahun 1896 dulu !

YANG BERTAHAN - LOW YAT





ISNIN 25 FEBRUARI

HANYA tinggallah sekeping papan tanda nama jalan, yang masih terpacak di simpang ke Jalan Sentul-Karak-Gombak. Di sebelah kanan dan kiri telah berdiri tembok tinggi, tiang besi bercerancang. Di kanan ialah bekas pinggir Kampung Chubadak yang sudah 'dihilangkan'- kecuali di bahagian menghala ke sungai Gombak. Kenapa aku masih saja mencari jejak yang MEMANG SENGAJA AKAN DIHILANGKAN. Jawaban mudah yang kerap dipropagandakan : demi pembangunan!

Di Sungai hanya tinggal batu hampar yang tidak dapat dihancurkan, sehingga kontraktor Korea angkat tangan, mengaku kalah - batu itu sudah menunjang jauh ke dasar bumi. Kini tinggallah hamparan batu di sebelah utara dan selatan jembatan yang menuju ke Karak Highway. Di sungai inilah dulu kami bersama cucu-cucu apek Low Yat mandi manda , membasuh pakaian dan berarak mengutip buah letub-letup di celah semak lalang di sisi surau tinggi kami. Melor terkejut dan bertanya,

- " Siapa cucu-cucu Low Yat - itu nama cukup terkenal, bangunan mewah di Bukit Bintang? "

- " Ialah dulu Low Yat tu berdagang kicap di Batu 4 3/4 depan Pasar Besar "

- "Jadi masih ada cucu Low Yat tu"

- " Juga cicit-cicit yang mengalirkan wang moyang mereka dengan IT bisnes tu
lah"

Low Yat hampir sama terkenal dengan Mat JP (Junus Putih) datuk penggawa kaki tangan kerajaan yang mampu mendirikan rumah limas, besar di Batu 5. Rumah itu masih berdiri agam sampai sekarang, walaupun Jalan Gombak sudah melandai di depan tangga hanya berjarak tiga langkah. Gudang kicap Low Yat masih ada disitu, dikawal dengan palang besi, walaupun mereka sudah mendiri industri mewah di Bukit Bintang dan mengeluarkan biasiswa untuk pelajar sekolah Chong Hwa Gombak - Setapak hingga pelajar univerisiti. Kemana pula harus kita usung rumah lama Abdullah Haji Hukum, Rumah tempat tidur pejuang Kesatuan Melayu Kebangsaan di Kampung Bharu?











si

SEJARAH HIMPUNAN 1946



ISNIN 25 FEBRUARI



KAU ingat tarikh keramat - himpunan Orang Melayu di Kampung Bharu pada 1-3 Mac tahun 1946 ? Itulah tarikh keramat hingga tertubuhnya Persatuan Melayu Kebangsaan tatkala masyarakat Melayu dengan berani menolak cadangan penjajah dengan penubuhan Malayan Union. Himpunan diberi nama Kongres Melayu 1 kerana menyedari betapa Raja-raja Melayu telah diperdaya oleh Harold Mac Michael yang diutus oleh Kerajaan Bristih untuk menghapus kuasa Raja-raja Melayu serta menyamaratakan taraf asal Orang Melayu dengan masyarakat lain (China dan India) atas alasan mereka - bersama membangun Tanah Melayu serta menghapuskan dasar peruntukan tanah simpanan Melayu ( Malay Reserved Land).Dengan tipu helah, ugutan (akan melucutkan raja yang tidak menyokong) , dan janji kepada Raja-raja Melayu (memberi pampasan kewangan dan harta kepada generasi istana) , maka yang pertama kali sanggup menanda tangani perjanjian ialah Sultan Ibrahim Johor diikuti oleh Yang DiPertuan Negeri Sembilan sehingga berlakulah kuasa Malayan Union dengan laporan Kertas Putih dan akan disahkan terbentuk pada 1 April 1946. Protes sikap British untuk membentuk Malayan Onion telah menyebabkan pejuang Melayu bangun. Raja-raja Melayu juga sudah membuat pengakuan mereka tidak diberi kesempatan menyemak perjanjian, tidak diberi peluang untuk berbincang dengan pemimpin pembesar dan rakyat atas nama Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO) yang diwakili Persatuan Melayu Negeri. Maka dengan sokongan dan bantuan DYMM Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah dan merasmikan himpunan keramat ini. Himpunan ini telah didatangi oleh semua kerabat Persatuan Melayu Bersatu dari seluruh negeri (nama cadangan Datok Onn Jaafar) kemudian ditambah cadang oleh Zaaba memasukkan perkataan Kebangsaan (PEKEMBAR = UMNO). Berapa keratlah yang mampu tidur di hotel, bermalam-malam hanya untuk melakukan kegiataan persatuan. Berapa pula jumlah hotel di sekitar Kuala Lumpur ketika itu. Maka melaunglah mereka berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman di padang tidak jauh dari sekolah kebangsaan Kampung Bharu, di sekitar Princes Road (sekarang Jalan Raja Muda). Maka penuhlah rumah-rumah Melayu, beratap limas, bertangga dan tiang batu yang sudah dibena sejak awal tahun 1920an.

Sisa-sisa kenangan itulah yang kususuri setelah selesai pertemuan PAPTI (Persatuan Alumni Pendidikan Indonesia-Malaysia, Nov 2007). Hanya tinggal beberapa buah rumah saja yang masih bertahan, bersebelahan Sekolah Kampung Bharu, menghala ke Kampung Limau yang tembus ke rumah UMNO asal.Tidak jauh dari Pasar Minggu dengan ikon sejarah jembatan sempit (dah hilang le) lama dapat pula untuk tembus ke Chawkit Road. Di belakang rumah ini juga tempat aku lalu lalang di tahun 1960ahan kalau bermalam di rumah Yasmin adik Datok Firdaus Abdullah di Kampung Limau untuk kegiatan GPMS (Gabongan Pelajar Melayu Semenanjung) dan KPMS (Kesatuan Pelajar Melayu Selangor). Kampung Bharu, Kampung Limau, siapakah yang peduli dengan sisa-sisa rumah lama yang konon menjadi panau menjijikkan pemandangan ibu kota. Rumah semakin goyang, papan dinding patah, kini ditempati pendatang sementara yang berjaja di sekitar Chawkit. Di manakah waris keluarga pemilik rumah-rumah yang dulu menjadi RUMAH SEJARAH yang pernah disinggahi Datok Onn Jaafar, Tunku, Shamsiah Fakih, Boestamam , malah Sultan Selangor juga melambaikan tangan kerana gembira terharu rakyat Melayu menolak Malayan Union yang akan meranap institusi diraja.

DI BAWAH RIMBUN BULUH

ISNIN - 25 FEBRUARI 2008




RUMAH di bawah rimbun buluh - disebut oleh tamu yang datang bermalam baru pulang dari Amsteram katanya - " Wah aku bermalam di bawah rumpun bambu". Di lorong sempit kereta masih saja lalu lalang. Dengan gaya masing-masing, memandu dengan santai, berhati-hati kerana dia tahu, lorong di Kampung Bonda Dalam, menuju ke Kampung Padang Balang terus ke Taman Melewar atau ke Kampung Changkat - memang sempit. Tapi ada juga pemandu kereta yang pongah sombong, kerana dia bukan orang kampung asal, bergaya dan merungut-rungut kenapa daunan pokok berjuntaian, mengganggu lalu lalang. Aku kerap mendengar rungutan itu ketika mencantas dahan pohon mambu yang meneduhkan halaman dan bumbung rumah, atau ketika menyembur air menyiram pohon kemboja, rumpun pandan wangi - rungutan itu menambah aku taksub, membiarkan julai dahan semahu mana pokok itu subur berkembang.

Alkisah dapatlah kudengar juga ketika kuhubungi tukang bengkel kereta untuk membawa bateri baru mengganti bateri keretaku mogok . Tanyanya -
- " Di Rumah mana? "
- " Rumah setelah 'bumper' ketiga di bawah rimbun buluh "
- " Oh rimba ledang - rumah hutan itu ke "

Kerana rimbun buluh melandai keluar di celah pagar, menjulang pucuknya menyentuh rentangan letrik dan tiang telepon, maka disebut mereka rumah kami itu sudah memasuki realisme hutan!

Sunday, 24 February 2008

PUTERI ROKAN


ISNIN

25 FEBRUARI 2008


PUTERI ROKAN nama yang cukup dikenali dalam Sejarah Melayu disebut Puteri Rekan.Hubungan Kerajaan Melayu-Melaka dengan Rokan di Sumatera itu ibarat perjanjian persahabatan yang harus 'dipatahui' oleh Sultan Muhammad Syah (1424-1444). Apabila datang mengadap ke Melaka, maka ditabuhlah gendang raya lalu dipantunkan orang Melaka seperti ini,

Gendang raya dapat dibunyi

Raja Rekan masuk mengadap

Orang kaya apa dibunyi

Dendam saya berdapat-dapat

Bagai cincin kena permata (lih. Shellabear, 63).


Berkahwinlah Sultan Muhammad dengan Puteri Rekan hingga beputerakan Raja Ibrahim. Dengan isteri pertama baginda Tun Wati ( bondanya Rana Sandari berayahkan Mani Purindam), berputerakan Raja Kassim. Inilah yang dijadikan helah dan alasan maka Puteri Rekan menyuguhkan puteranya mengambil kuasa setelah mangkatnya Sultan Muhammad. Raja Kasim yang baik budi di sayangi rakyat Melaka tersingkir dengan alasan anak kacukan. Yang Melayu tulin ialah Raja Ibrahim diberi gelar Sultan Abu Syaid. Setelah Sultan Melaka mangkat berkuasalah Raja dan Puteri Rekan. Raja Rekanlah memangku cucunda saudara yang masih kecil, juga nakal. Maka meratap tiada guna lalu berkeluhlah pembesar dan rakyat Melaka, Seri Nara Dijara dan Bendarapun tiada kuasa. Raja Kassimpun tersingkir menyamar diri menjadi nelayan dan berniaga ikan di pantai Melaka.


Takdir juga menyebelahi nasib Raja Kassim kerana dialah putera sulung yang disayangi marhum ayahanda, apabila bertemu dengan Maulana Jalaludin yang berlabuh di kuala. Kabut mendung yang menyelubungi langit Melaka mula tersebak, kerana Maulana dapat merasakan, pemuda penjual ikan ini adalah titih dan bakal berkuasa di Melaka.

Perang saudara terjadilah di Melaka . Setelah berjanji dengan Maulana yang mahukan Puteri Rekan, maka bersemangatlah putera raja, bertemu di malam gelap gelita dengan Seri Nara Diraja, menemui Bendahara maka menderamlah gajah bernama Juara Demang.Ributlah kota Melaka , Raja Kassim menuntut tahtah diraja.


Raja Rekan tidak ada pilihan Sultan Syahid ditikam sebelum dirinya sendiri ditikam orang. Tamatlah riwayat pemerintah Sultan Syahid yang hanya berusia lima bulan. Maka ditaballah Raja Kasim bergelar Sultan Muzaffir Syah (1445-1459). Seperti yang dijanjikan, ' maka disuruh baginda hiasi orang dayang-dayang yang baik rupanya dengan selengkap pakaian, diberi kepada Maulana, dikatakan Puteri Rekan'(ibid,65). Maka Puteri Rekan menjadi isteri Maulana lalu di bawa pulang ke atas angin.


Inilah takdir wanita dimana yang menentukan adalah keris dan kuasa. Puteri Rekan meninggalkan tanah air dan istana, dari Rokan ke Melaka lalu dibawa semakin jauh ke Tanah Arab sana. Berzuriatkah mereka. Masih adakah zuriat mantan permasirui Melaka di benua jauh sana?

Friday, 22 February 2008

SECANGKIR MINUMAN




SABTU

23 FEBRUARI


MINGGU ini terasa pula diri dimanjai oleh para sahabat. Ketika datang mengurus kesihatan di klinik harian HUKM tingkat 2, bertemu dengan DR Nazri diajak bicara ramah - keluar saja di ruang tuggu di meja panjang sudah disediakan secangkir coklat panas. Aku ragu-ragu menerima pelawaan perawat yang bertugas sehingga dia mengulang lagi bicaranya, - " Prof minuman di meja sana"



Aku menoleh ke kiri ke kanan ke depan ke belakang. Ada yang menjeling aneh dan tertanya, kenapa pesakit tu dihidang minuman. Tetapi kerana belum sarapan sejak pukul 8 pagi, ketika itu sudah pukul 10.30, hidangan itu tidak dapat ku tolak. Minuman coklat panas dengan empat keping biskut kering. Sambil mengangguk ke arah pesakit lain, aku memberi tanda ajakan untuk minum bersama, maka seorang wanita Cina berusia lebih 60 tahun pun mengangguk kepala berkaca mata hitam yang jatuh di tengah hidungnya -tersenyum ramah. Pandangan itu berlaku di hari isnin 18 Februari.

Semalam, Jumaat ketika menghantar tulisan tentang Latiff Mohidin, Ina editor DS tiba-tiba membancuh nescafe dengan hidangan biskut kering masih berbalut. Wah, datang pula ketua editornya Ilah, juga diajak minum oleh Ina. Aku mengusik Ina,

- " Wah pertama kali sejak bangunan baru DBP di tingkat 20 ini aku disuguhkan minuman. Sungguh malaikat berbaik hati dengan memberi minuman ini ya"

Mestinya ruang majalah DS/DB wajar menyediakan ruang kopi untuk para penulis yang datang berkunjung. Sediakan saja teko letrik, kami boleh letak duit di kotak yang disediakan . Kopi atau teh boleh bancuh sendiri. Tidaklah kami tercari-cari meja dan kerusi kosong untuk duduk menanti editor atau pembantunya belum tiba. Sudah berkali-kali aku keluar begitu saja setelah mencari editor tiba-tiba harus keluar, sedang pembantunya yang muda-muda ragu pula menegur kami. Tepat kiraanku bila Ina menunjuk ke arah pembantunya, masih baru di situ, mengatakan dia mahasiswaku lulusan 2002. Tetapi kenapa dia tidak mengenalkan dirinya.

" Malu untuk tegur Prof? "

" Malu? dapat markah berapa dalam kelas saya dulu, anda buat esei tentang...? "

" Saya dapat A, kita buat kajian di Tengkera, kaji masjid - seronok ikut kelas Prof ? "

Tetapi otakku masih tertanya, kenapa banyak mantan mahasiswa ku masih berat mulut untuk bertegur sapa? Mujur juga beberapa sudah menjadi sahabatku , rajin menghantar suara - atau kerana mereka lebih percaya diri kerana berpeluang ke peringkat lebih maju buat MA atau Ph.D? Aku terlayang wajah mantan mahasiswa yang telah berjaya - terhimbau keluh Awang di UMS, Mahzan di UUM. Masih ada keluh, kecewa. Kata mereka, " Ada iri dan cemburu di dunia akademik kampus ya Prof?


GEMPA LAGI

Sabtu
23 Februari 2008


"YA GEMPA kemaren di Seumeulu terdapat kandungan minyak dan natural gas melebihi
Emirate Arab, masa eksplorasi 300 tahun lebih pemakaiannya" . Ini SMS kedua masuk dari Banda Aceh ( 21-02-2008: 10:15:46 am, AT). Si pengirim lebih awal beritahu,

"Aku trauma lagi, gempa kuat di Banda Aceh"(20-02-2008:03:22:27pm)
Berita pukul 1 tenghari memberi khabar gempa di Seumeulu. Turut mengoncang Lembah Kelang dan Pulau Pinang. Berita jam 8 malam mengkhabar lagi, 'gempa 7.2 ritche' 40 orang meninggal ! Tiga tahun lalu gempa mencapai 8.3 ritche. Rumahnya diamuk badai walau masih utuh tetapi keluarganya musnah sehingga ia trauma tidak mampu lagi bertapak di sana.

Apakah dunia semakin parah. Hingga dasar laut membuak panas meledak, dan seperti pesan dari SMS minyak dan gas juga melambung mencuat. Siapakah yang kaya selepas ini. Apakah tanda-tanda itu semua surat tersurat sejak lama. Sejak dulu kita telah dikhabarkan - mengutip dari Al Quran, bumi dihancur banjir, laut bergelora, terbelah dua bumi ditelan sejak berzaman. Tapi manusia adalah subjek putaran alam dan kehidupan. Menangis ketawa, menerima seadanya dan juga cepat melupakan. Sungguhkan?
-"Bila mahu pulang ke Aceh kak" - SMS Dheknong masuk lagi.
-"Yok kita atur acara melukis lagi, boleh dapat sponsor Balai Seni Lukis KL, kak? "- ulang Mahadi lagi.
Tapi aku cukup lelah juga. Setelah tsunami dua kali pulang ke sana. Duniaku pun oleng juga. Pondokku lebur, hilang tidak berjejak di Gampong Baro, Hujung Batee. Si kecil Mardhiahku hilang di telan laut. Tinggal jejeran pohon kelapa masih melambai. Laut Hindi terbuka luas sekali. Akupun mengutip sisa-sisa buku di sekitar perumahan di IAIN pula. Mereka sudah capek, buku bertaburan. Dengan drawing block dari Mansur Chowkit kami melukis dengan kanak-kanak di penampungan. Selepas itu dalam sendu aku pulang dengan kesan Nol, anak angkatku lebur, beberapa sahabat seniman dan sarjanaku juga ditelan ombak besar . Datang lagi setahun lepas itu, aku tersentak, tergamam, Acehku berubah wajah. Kelompok NGO hilir mudik - rumah-rumah sisa tsunami dibangun - di mana-mana aneka bendera tercacak dengan megah - negara itulah yang membina bangunan. Kafe tumbuh di mana-mana. Azan pun berbaur dengan muzik di Kafe Ketapang. Perempuan juga di mana-mana walaupun sudah remang senja. Wanita Aceh? Atau pendatang- para pembantu NGO.
Di meja kafe, hp bergetar, hp 1, dua 2, hp 3 - milik orang yang sama. Aku sendiri yang tergelepar. Dengan riuh rendah kereta lalu lalang - aku kehilangan ketenangan Banda Aceh sebelum tsunami , atau gelap murung zaman DOM. Sebuah kereta jeep berkilat berhenti di depan kafe Ketapang. Wanita genit, dengan ujung jari menyepit rokok, baju ketat dan skirt pendek, wah dari mana? (esoknya kembali ke Medan dalam penerbangan wanita itulah menyuguh gula-gula - pramugari dia). Datang kali kedua setahun kemudian itu rasaku semakin gencar. Bahagia tentunya melihat Fozan sudah mempunyai sekolah sastera, kedai buku dan pustaka ilmu. Dheknong sudah menerbitkan buku-buku puisi. Dan anak angkatku yang masih bersisa ? Ketika mencarinya hingga ke Saree - Si Rahmah sudah bersalut rantai dan gelang besi, bersuara dengan canda mesra dan menantang dengan pintaannya, "beli in aku hp cantik ya?"