Selasa, 08.07.2008
Dentingan hujan di atas bumbung seakan menyatu dengan titisannya yang meluruh ke atas daun keladi, rimbun pandan serta kelopak kemboja. Terpaparlah lukisan alam semula jadi yang tidak mungkin dapat ditiru searif manapun oleh pelukis realis atau naturalis. Si 'Bucuk' pula dengan bulunya abu-abunya semakin 'gembur'menatap dengan mata jelinya setiap butiran hujan mencecah daun dan daun keladi pun bergoyang-goyang. Bucuk seperti ingin menangkap butiran hujan yang gugur tetapi beberapa kali gagal kerana dia sendiri amat menyayangi bulu-bulu cantiknya, kelabu daripada percikan hujan. Kutatap pandangan pagi ini amat jeli sekali. Kini aku benar-benar menikmati hari-hari ketenangan itu dengan santai tanpa sebarang kacau bilau alam tanah air yang sedang bercerancang, hingar bingar politik di luar sana. Beberapa acara rasmi sastera dan diskusi ku tolak dengan manis. Malah pertemuan dengan pelajar kampus yang sedang sibuk menyiap tesis seni juga ku hindari - ingin menikmati kebebasan hidup yang selama ini menyentap kebebasanku. Hujan gugur lagi, bagaimana kocak air di taman tasik sana ? Berloncatankah segala anak keli, sepat, puyu yang semakin hilang - hanyut di parit sawah keluarga kami di Sungai Sirih sana?
Dan pagi ini kebebasan menikmati tumbuhan kuraih sepenuhnya. Halaman rumah ibu yang semakin sempit akan ditelan gergasi pembangunan kota raya pada tahun 2020. Sementara itu aku masih dapat mengepung bau hujan yang luruh ke atas daunan halus asam jawa, setangkai daunan segar pohon jambu jambak semakin subur, sepohon batang asam gelugur terus menjulur helaian pucuk baru, sebatang pohon arpokat, juga dapat menjulai di celah dinding, serimbun buah mangga sedang enak ranum di hujung julainya. Rumah aneh, seperti bisik orang kampung, 'dia membiarkan julaian batang buluhnya...'Inilah rumah hutan yang masih ku simpan sebelum musnah menjelang 12 tahun mendatang.
No comments:
Post a Comment