Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Saturday, 17 November 2012

I La Galigo 2012

1.

CERITRA itu belum selesai. Sejak menemuinya dalam usaha mencari tapak tenunan Bugis di Mandar dan Singkang, saya harus menyelak I La Galigo kembali. Sejak masuk ke Ujung Pandang 1986, 1994 dan terbaru , tahun ini saya harus bersayap lagi ke tanah tenunan purba di kota lama. I La Galigo tidak pernah selesai dibaca. Mencatat nama Batara Guru putera Datu Patotoe penguasai istana agung  kahyangan - Bottollangi. Putera   harus dilempar ke luar dari  kahyayang ke bumi manusia meninggalkan   Bottilangi dan dia akan didampingi perempuan utama bila berjodoh dengan saudara sepupu, puteri sulung Raja Air Sinaung Toja. Itulah puteri  We Nyiliktimo. 

Sungguh perit untuk  mengingati nama dengan lidah bahasa Bugis Makassar. Tetapi itulah tugas mengumpul data tenunan Mandar dan Singkang. Sarung atau kain Bugis Lamo tenunan bercorak petak kecil memang dari Manda. Sarung bercorak berhias benang emas dan berbunga sendayong, pula asal Singkang. Dan saya harus menerobos dunia kayangan Bottilagi, batas kahyangan di tingkat ke tujuh, hanya untuk mendapatkan cerita kebesaran para ratu dengan busana agung Sinaung Toja ayahanda puteri, sarung bungawaru corak naga, berbaju sutera bersulam emas Toddatojja, berhias bunga matahari dari Lettenwiru. Semua nama motif dan ragamhias disebut bersasar nama sipemakai dan pemilik khas turun temurun. Tidak dapat diperikan jenis bunga dan jumlah kelopak untuk mudah dibandingkan dengan flora alam semula jadi. Semua sudah diolah dan menjadi milik setia istana di kahyangan di bumi dan di lautan.  Akhirnya si pengkaji atau si pemakai di luar milik daerah asalnya hanya menyebut sebagai kain Bugis walau sipemakainya orang Makassar. 

Ini bukan hanya cerita dengan kebesaran bayangan. Carilah itu! Bukankah itu pesan Pak Tua Haji Biang kemudian berganti nama Arenawati. 

2.

Batara Guru sudah terlempar ke bumi, di bawah lapisan langit paling akhir. Berduka kerana harus meninggalkan kasih sayang , ayahahanda Datu Patotoe dan ibunda tercinta. Dia sudah melepas, lapisan awan bergelombang, putih kapas, kelabu dan ungu biru dipanah mentari berkilauan sepanjang menjelang senja jatuh ke bumi jagat raya. Bersendirian dapatkah anda bayangkan putera raja dilempar ke bumintara yang sunyi entah di mana di bawah kolong langit pancaroba?  Masih terasa wangi tubuh disirami perasan limau, langir berbusa bagi menghilang bau orang Senrijawa

 Gumam Betara Guru, 
' Tetapi aku sendirian di sini. Untuk apa menangisi takdir kalau Sang Maha Kuasa telah menempatkannya di ruang batas alam bagi  menjadikan bumi lebih berluasa dengan flora dan faun dan dia putera tanpa jasad di kayangan kini menjelma seutuh haiwan berjiwa bermata fikir dan cinta, memandang langit bermentari siang dan malam berbulan. '

Saujana! 
Dan saya sendiri bukan We Nyiliktimo untuk membujuk  Betara Guru walau saya sendiri setengah mati ingin bertemu putera Datu Patoto! 


3.


Pantai  Losari ketika itu bersih lapang dan pasirnya bersinar kala mentari terik dan berkilau emas kala teja senja makin merunduk di horizon laut dan langit.  Bukankah di situ munculnya jemari We  Nyiliktimo , menjurai rambutnya  menggelinting sinar mutiara dalam hujan bergemuruh kerana telah dijanjikan..kau menjadi pendamping Betara Guru. Tingallah istana laut, tinggallah taman tumbu karang teruma ada dunia di sana, dunia bumi dan Betara Guru tidak lagi bergundah kelana sejak We Nyilikktimo bersanding bersama di petakrana. Itulah silasilah I La Galigo. Kenapa kau tersentak? Itulah kau, Itulah Saya tersedak menatap sehelai kain sarung tenunan di kota lama milik waris Betara Guru ! 

Tenunan itulah saya lihat berkibar bagai kain layar terbentang dengan gahnya di tiang gantungan kapal pinisi, melambai gagah di puncak batu karang, terapung dalam deru angin penanda bermulanya gelora laut Selat Makassar.  Deru angin itu juga bagai gema gelombang awan, mengaum masuk ke cuping, berlegar ke tengokorok , berdegup di jantung dan darah menderas teralir ke wajah. Wajahnya merah berbinar...ada yang bersuara. Dengar dengan telita..Sang Aku, saya bersuara di batin. Memang ada layar pinisi berkilauan dalam gelora angin dan panah mentari menjelang senja menuju detik Magrib. Azan bergema lantang sayup beralun...Saya masih di Losari.


4.

" Bukalah kitab I La Galigo !".

 Itulah pesan Pak Tua Haji Biang ketika kami berdebat karya beliau, Sudara. 

"Kita bersaudara walapun di mana saja ". Sampuk Daeng Asari, jejaka Ana' Arung dari waris kerajaan Gowa titih dan kerabat Sultan Hasanuddin yang mangkat setelah kecewa dengan Perjanjian Bungagaya 18 November 1667. Panjangnya jarak waktu dan kami bertemu setelah lebih 300 tahun lalu.    Tetapi kami bukan berdebat di Benteng Somba Opu yang sudah dirampas Belanda, sebaliknya kami sudah bertenggek di laman  Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Daeng Asari sedang menyelesai tesisnya Ph.d di kampus UKM. Matanya berbinar menatap bendera jalur gemilang di puncak tiang menjulang ke udara.  Kami sengaja memilih laman terbuka sambil meratah kacang goreng dan menghirup teh tarikh yang kami bekal dari Pasar Seni di seberang Sungai Gombak. Pak Tua Haji Biang sudah lama meninggalkan kami. Tetapi rohnya tetap menyelinap di jiwa kami yang mengutip cerita Arung Pallaka.



 (...bersambung)

Sunday, 17 July 2011

Pamalayu II

BEBERAPA kali perkataan Melayu kerap mengusik minda saya. Rinikesumoyati kerap juga mengusik, “melayu, hei melayu, ayo, mbok melayu dengan cepet.”

“Hei Rini, memang aku Melayu, kenapa? Mahu kau Jawakan aku?”

“Ha?, memangnya kau Jawa, cepet melayu, ayo lari, lari kita harus cepat sampai ke puncak sana!”

Saya hairan dan baru maklum, perkataan melayu dalam bahasa Jawa, bererti lari. Kenangan peristiwa itu sungguh meruntun perasaan saya hampir lebih tiga minggu selama minggu suai kenal belajar di tanah Jawa. Tapi sekarang saya benar-benar berada di pinggir Sungai Melayu ... di sebatang anak sungai yang muaranya di Batanghari, oleh penduduk setempat di sebut Sungai Melayu; sungai inilah yang mengalir ke desa di Muara Jambi.

Kami sedang menatap peta yang besarnya sehalaman meja. Drs. Afzal masih ingin menjelaskan dengan baik tentang letak Sungai Melayu. Di sebelah kanan Drs. Afzal ialah Dr. Julie Alman, ahli arkeologi dari Cambridge, yang memberi kuliah di Bulaksumur, Yogya, akan memastikan letak Sungai Melayu yang kononnya adalah sebuah kerajaan yang telah dicatat dalam manuskrip kerajaan Singasari dalam pemerintahan Kertanegara. Kerajaan Melayu sudah terkenal sejak tahun 1268. Saya cepat mencelah, “Boleh kita pastikan sungai ini memang terletak di Jambi, bukan Palembang?”

“Ya, kalau menurut Ekspedisi Pamalayu, angkatan perang Singasari memang telah dihantar ke sini. Lihat arca `Amogapasya’ ini; inilah cenderamata daripada kerajaan Singasari kepada raja Melayu di Jambi, mungkin kerajaan ini telah dirintis sejak zaman Darmawangsa abad ke-10, anda setuju?”

“Ya, pastikan mereka datang bukan untuk menakluk Melayu.”

“Ah, anda sensitif sekali dengan perang .... kajian kita hanya untuk memastikan di mana Sungai Melayu, mana tahu, ia terletak di Bentan atau mungkin di Melaka?"

Memang saya cepat menyedari sifat nostalgia hati ini. Katalah memang benar Hang Tuah kecil bermain lading dari hulu Bentan menuju Temasik sebelum bertapak di Melaka, bukan sebaliknya, tapi Tuah juga merujuk dirinya sebagai Melayu, kami Melayu dari hulu Bentan! Dalam episod bermain di Taman Sari diungkapnya pula, “Inilah anak Melayu, berdarah Jawa juga!” Adakah ini gurindam seloka anak jantan Melayu Bentan? Bertingkah oleh sikap ilmu keguruannya yang pelbagai. Tapi apabila Drs. Afzal menyatakan, Hang Tuah juga bermukim di Sungai Melayu, di Jambi, saya hampir tersedak ketika mengunyah tempe masak lode di kantin kampus Universitas Jambi. Saya tahu mereka mengusik saya yang agak egois dengan asal usul Melayu. Tambah Drs. Afzal, “Tidak ada orang Melayu asli, kecuali Orang Asli. Kalau betul Hang Tuah Melayu Asli pastilah keturunan Jakun atau Semai atau Orang Ulu.”

Mungkin kata akhir itu boleh saya setujui, bukankah mereka berlima dari Hulu Bentan?

Tapi Dr. Julie cepat mengalih keterharuan saya dengan menukar tajuk perbincangan. Tambahnya lagi,

“Sebagai bandar niaga, Sungai Melayu adalah pelabuhan eksport tempat memunggah hasil rempah, segala buah pala, cengkih, kulit kayu manis, kunyit, dan halia kering bahan eksport ke kapal Turki, Gujerat, dan Madras, dan kapal-kapal sejak Dinasti Sung tiba dengan muatan sutera dan tembikar berisi telur asin dan taucu ...”

Saya kutip penerangan lanjut daripada ahli sejarah Universitas Jambi, Drs. Afzal pula. Tapi saya masih menatap gambar arca “Amogapasya”, arca disaluti emas, menyilau dalam buku Indonesian Arts. Tidak mungkinkah arca itu memang dihasilkan di Sungai Melayu, dan di sinilah bertompok segala emas yang didulang oleh nenek moyang orang Melayu?

“Emas?”

“Ya, emas datang dari sungai di sepanjang Bukit Barisan terutama di Minangkabau dan Kerinci!”

Akhirnya kami ke Batanghari juga. Fakhrul Rodzi, calon siswazah arkeologi dari universiti yang sama dengan gurunya, Drs. Afzal, menjadi pemandu kami dengan perahu enam kaki menyusur ke arah hulu. Air sungai tengah pasang dan kami dapat berkayuh dengan senang. Dalam tempoh 10 minit kami sudah melalui kampung Ulu Gedung, seberang Batanghari. Menurut Fakhrul Rodzi kami akan melalui beberapa buah kampung seperti Mudunglau, Jelmo, Olak Kemang sebelum Tanjung Pasir untuk mengunjungi informan kami, Pak Jamil.

* * *

Pulau Pandan jauh ke tengah
Di balik Pulau Angsa dua ...

Pantun di atas memang sengaja tidak kami selesaikan dengan maknanya. Umum sudah mengetahui dua baris di bawah itu. Tapi sekarang kami sedang mengkaji citra dan wilayah budaya yang dipinjam untuk menghasilkan pantun tersebut. Dari manakah asalnya, siapakah dan bilakah ia mula dicipta. Akhirnya dalam kelompok tutorial kelas sastera rakyat di bawah bimbingan Prof. Dr. Virousky itu kami harus akur dengan disiplin antropologi budaya bergabung dengan semiotik, dan perlambangan khususnya teori Geertz bagi mencari fakta di sebalik sumber etnografi juga. Teori Chomsky juga dijadikan rujukan. Tapi sahabat saya Dayangku Iriah, sering merungut, “ ... Kenapa untuk mengkaji pantun milik bangsa sendiri pun harus merujuk kepada segala titik bengik bangsa dan budaya asing? Ayuh, siapa mahu ikut saya, kita gunakan teori bangsa Suluk, Bajau, dan Irranun ...! Kita ada pengalay, kalang sama, ison-ison, ayuh, mari mulakan dengan batitik, pukul kulintang, pukul babandil ... nah, itulah lirik pantun kita, ayuh, nyanyi dan mena ril

ah ...”

Rupanya, Dayangku Iriah tidak main-main. Dari pejabat kedutaan Filipina dia mendapatkan sepasang busana pengalay, daripada koleksi Rumah Brunei dia mendapatkan seperangkat gelang aluk tujuh lapis, dari Yayasan Sabah dipinjamnya busana Bajau lengkap dengan sarimpak dan gerinsing emas. Entah dari mana idea ini, jadi sewaktu membentang kertas kerja tentang pantun Melayu, dia sudah sedia dengan keanehan yang mungkin muncul dan tanda tanya daripada profesor pembimbing atau mahasiswa sendiri. Sebelum acara perbincangan pantun, dia memutarkan muzik daling-daling, dengan sigap dia bergerak lincah gemalai, busananya lengkap salawar, berumbai-berumbai ketika dia menghayun langkah. Jemari kukunya berhias, tusuk rusa, baju berbutang betawi ... muzik kulintang lincah, rancak ... kelas tutorial menjadi hidup tidak lagi tersengguk-sengguk oleh kebosanan mengulangi rutin yang konvensional; pembentangan kertas kerja kerap membosankan malah si pembimbing juga kerap menguap dan mengantuk.

“Pantun Melayu ialah irama angin, air, api, dan bumi. Anda dengarlah tiupan bayu, jamahlah kehangatan api, kedinginan air hujan dan kelembutan bumi, citra ibu yang amat mengasihi ...” Itulah ungkapan pertama sahabat saya, Dayangku Iriah. Tambahnya lagi, “Sampiran pantun adalah kosmos dan batin Melayu itu sendiri. Di sana dia melihat sinar bintang, kedamaian dan kerinduan sinar bulan penuh, kilat ikan di air gelora asin laut. Keluk liuk jemari pakis di paya, dan bau asap sekam padi pada musim selepas menuai ...”

“Teruskan, teruskan ...” itu pasti suara Prof. Dr. Virousky.

Tapi pada pendengaran saya ketuk kulintang, paluan babandil ... dan kami bukan lagi di bilik tutorial. Dayangku Iriah sedang menjelaskan keindahan muzik dan busana masyarakat Bajau-Irranun, di Bostan Art Gallery. Begitu tangkas dia menyusun dan mempamerkan aneka jenis koleksi bahan budaya benda keagungan pemerintahan tradisi Melayu Brunei dan Melayu Suluk ... yang mewariskan kekayaan Bajau Irranun. Keterharuan saya amat ketara dengan kesetiaannya terhadap akar sejarah. Dalam kesibukannya sebagai atase pendidikan di Malaysian Hall, London, masih sempat menerima undangan sebagai kurator di galeri yang amat terkenal itu. Dan saya sendiri, yang bercita-cita untuk menjadi guru bahasa dan adat Melayu tapi tersisih dengan dunia ilmu hanya kerana bangga menjadi seorang datin, isteri salah seorang pegawai diplomat, yang kerap memperagakan aneka busana sutera Itali, Perancis, atau Korea. Saya sendiri tersentak apabila Dayangku Iriah menegur pakaian kebaya bersulam kerawang fabriknya yang dibeli di Korea, bermotif p ucu k rebung, yang jelas diciplak daripada kain sarung Kelantan, tapi diubah reka dengan corak dan warna ditambah pada fabrik sutera yang harganya, 10 kali ganda daripada sehelai sarung tenun Terengganu. Di mana Melayumu, wahai Datin!

Kali ini saya benar-benar berperang. Impian seorang sarjana yang meninggalkan tugas kesarjanaannya hanya kerana mengikut suami bertugas di luar negara.

Sungai Melayu di Muara Jambi, masih di situ.

Sungai Duyung ada di Hulu Bentan.

Atau Sungai Duyung juga ada di Melaka

masjid bersulur bayung dan perabung bertingkat tiga di Hulu Melaka, di Demak dan di Kampung Laut, siapakah pereka bentuk aslinya? Di manakah sungai Melayuku?

Atau memang benarkah apabila sarung pelikat dibawa dari Pulikat, apabila seluar dipinjam dari syalawar Gujerat, atau sutera dari China, Melayu juga telah kehilangan bentuk, mata coklat pekat atau hitam bersinar berganti biru, rambut menjadi blonde dan hidung, suara, dan gaya segalanya berpencar beraneka warna antarabangsa. Dan kini anak-anakku yang bebas keluar masuk Mall, aneka kafe moden di Menara KL Suria, mana, mamak cendol dan rojak di kaki pohon meranti di Jalan Ampang, atau di Hulu Kelang ...

“Nuwun sewo, bu,

sarapannya sudah sedia,

monggo bu ...”

“Ayo, ojo melayu, jeng ...”

Itulah suara di rumah kami. Inem dari Magelang, sudah tiga tahun merapi meja makan dan dapur kami. Puteri sulung saya berumur 15 tahun lebih arif, memasak pecel dan gudek, gulai nangka, bergaul opor ayam, keropok kulit perut dengan santan lemak, manis bergula daripada masak ikan cili padi berencah putik bacang. Kini dia belajar pula memakai kain wiron, meminjam batik Inem berhias, bunga sayap geroda, sesekali berdandan dengan siput gaya wanita keraton. Benar siapakah yang Melayu atau bermulakah Pamalayu?

Dayangku Iriah, benarkah sudah terpeta dunia Melayu baru itu?


*Cerpen 1990.