Thursday 4 February 2010

Mamanda, tulislah kisah kita...






Al-Fatehah!
Makam Almarhum Sultan Mahmud 1 Melaka. Mangkat di Kampar. Makam tunggal di pinggir Sungai Kampar, Riau @SZI,2002
* * * * * *
1.
Cukuplah kita
melakukan dosa
alah oleh nafsu muda
sejak mengalahkan Kelantan
kita diserah puteri muda
menjadi permaisuri pertama
segak lelaki yang berjulung keris hikmat
Melaka dan jajahan takluknya
adalah milikku
kerabat raja dan rakyat
kitalah yang berjalan dulu
di bawah payung putih
keturunan segala titih!
*
2.
Alah oleh bijak puaka
pendatang menyatu zuriat
sejak bendahara
laksamana bertukar destar
titis darah oleh angkara
tipu muslihat pedagang
Cina, Keling. Madura - Jawa
Aceh dan Langakapuri
Melayu itu di Jiwa
tapi muslihat bermaharaja lela
kita alah, mamanda!
*
3.
Selamat tinggal Melaka
tinggallah darah rakyatku
membeku di tebing
rumput kering terbakar
kakiku dicacak bertam
mamanda, kita lelah
sejak darah tercicir di istana
petaka musnah keluarga
rajuk Tun Fatimah
siapakah meniup nafiri akhir
nobat putus tali
gendang pecah
tinggallah semua harta dunia
mana lembah akhir pusaka ayahanda !
*
4.
Amanat zikir dan doa
siapakah meratap semalam
di pusara
mana zuriatku
di Perak di Pahang Trengganu
duh....dosa besar ini
jangan berulang ke rumah rakyatku
oleh lupa pemimpin bergelora harta!
*
5.
Kudenar sorak sorai di pantai Melaka
apakah masih mabuk oleh janji pura
dari keluarga mamanda?
Lelah sungguh aku di sini
sendiri tidak disinggahi
payang dan bahtera warisku
yang kini mewah nama
harta dan singgahsana
*
6.
Kita sendiri di sini
ditabir awan tanpa kaligrafi
sayup genderang perang
tatkala destarku jatuh di laut
hanya seludang
dan nisan yang baru
di cacak kembali
benarkah ini makamku?
*******
(Digubah semula daripakad lakar asal
dari nota 2002)
05022010

3 comments:

C L J said...

teman
maafkan aku
aku tidak lagi
pandai menulis
mentera Melayu
seperti
harapan mu
kerana aku sendiri
sudah hulang Melayu ku
semenjak tikar hamparan
diruang tamu rumah ku
berganti permaidani
air sarbat minuman ku
berganti root beer berais
semenjak capal alas kaki ku
berganti kasut berjenama bailly
maka dimanalah akar umbi sendiri
tiang seri tempat akan kembali
maka apa lagi pilihan yang ada
selain buta meredah belantara
sedang runtuh kota di Melaka
cuba digantikan Petera Jaya
ikut menjadi momok senda
oleh rakusnya kita
berebut kuasa
kemanalah tuju
anak anak selepas ku
sedang guru pun ikut keliru
angkara rencana sudah jelas nyata
didalam Al Quraan yang cuma dibaca
sedang makna tersirat lumat didebat
tampa ikhlas mencari makna bersama
sesungguhnya perpecahan sudah dipuncak
menunggu ketika untuk kita merasa betapa.

bahazain said...

Salam Dr Siti,
Tidak hairan kalau sdr kecewa , malahan marah. Kita telah berusaha lama menegakkan bahasa, seni dan kebudayaan setempat untuk menjadi asas pertumbuhan kesatuan masa depan. Bagaimana pun jangan mengalah, niat kita tidak menindas adat resam orang. Mari kita duduk berfikir bersamna bagaimana menghadapi masalah sosial-budaya sekarang. Keadaan semakin kacau, tetapi kita misti terus gigih.

Ampuan Awang said...

Bonda,
Anakanda terdiam
Tanpa mampu meluah kata.
Kaku, bungkam!

Bonda,
Sabarlah
Mungkin masanya
belum tiba...