BALAI MELAYU
(buat Datuk Cendekia Hikmatullah Mahyudin Al Mudra)
Inilah halaman jiwa
ruang padat ilmu di dada
jendelapun bersuara
angin dari empat penjuru alam
membawa khazanah berzaman
mencelah ke kisi-kisi hati
bertiang seri iman
bertunjang akar jauh di inti bumi
amanat ini dari janji raja dan rakyat
Sungai Melayu bermuara jauh
di bumi emas
tegak berdiri Balai Melayu
di hatimu
dengan jazad dan qalbu Nur Ilahi
di mana saja
kerana ahli fikir saujana
maklum peta sejarah
janji tidak dipungkiri.
Memang ramai si bijaksana
bangga mengakui keturunan bangsa
bertahta berkuasa
tapi pengukir mutia
hanya cintakan setitis cahaya
memilih mencanai dan menguli
tidak memikir memiliki
apalagi menikmati
hanya hati dan budi
menggelung khazanah
memetakan yang hilang
menyeru ke jalan pulang.
Kami tahu
Balai Melayu
tetap berkilau di hatimu
Ya adinda kaulah lebah madu
dikerumi kasih sayang saudara
Sang Pencipta tahu Rahsia
Cinta AgungNya.
Allahuakbar!
Siti Zainon Ismail
Bandar Baru Bangi
Selangor Malaysia
26-27 Jun 2012
No comments:
Post a Comment