Sunday 30 November 2008

PROJEK KASIH BONDA











Senarai gambar 1) Puisi dan sketsa " Ramadhan Menjelang Syawal "
2-3) Baju T Kasih Bonda @ RM 25.00
4) Buku terbitan DBP, 2008 @ RM 30.00
USAHA menerbitkan buku ini memang Perih sekali. Idea kerja dilakukan sepanjang ibu berada dalam suasana kesakitan yang berpanjangan. Sebentar kami bergilir menunggu ibu di HUKM, sebentar sudah tergeletak di bilik sepi kadang terkejut harus menghantar ke klinik . Inilah kerja yang cuba menenangkan keadaan gawat merawat ibu. Hasilnya aku kembali mengheret memori beliau agar kembali putih ingatannya. Inilah ceritu Siti dengan ibunda dan ninda, terhasil sepanjang tahun 2000. Berjalanlah manuskrip ini untuk mencari penerbitnya hingga dengan berani sampailah ke meja editor Azzah untuk skrip bacaan kanak-kanak . Tapi akhirnya berpindah ke editor remaja - baru siap setelah 6 tahun. Tidak mengapa...jalan seperti siput b iasanya, kerana kancil atau pelandok memang susah mengejarnya. Kami cuba mengembang minat selain membaca buku, Galeri Melora cuba mencetaknya untuk di pakai - baju t , dengan dua warna putih dan hitam. Untuk dapatkan buku ini boleh emel ke > galerimelora@yahoo.com. Atau kalau ada adik-adik dan kawan sudi mengedarnya (dengan komisyen lhe) boleh juga dibincangkan. Salam Kasih Bonda

AIR TANGAN MELOR




1
1) Lokan, masak rebus manis
2)Hidangan salad nanas
3) sambal cicah resepi nenek
ALHAMDULILLAH tengahari ini santap rezeki Allah, hasil air tangan Cik Melor. Lokan kami perolehi dari Kampung Bagan Lalang seminggu yang lalu. Melor hanya rebus air dengan bumbu hirisan bawang merah, bawang putih, halia, cili merah dan daun kunyit. Bibir lokan kembang dengan daging putih kuning kembang lembut (hei mana mutiaranya). Melor seterusnya menyediakan cicahan kicap resepi neneknya + tumbuk cili merah,lada api, bawang putih dan perah asam limau. Si ibu hanya menambah salad nanas yang kudapatkan dari kebun buahan Lembah Selangor, bercampur sayuran timun, terung rebus, tomato dengan hirisan cili merah dan potongan dadu cila Bomby+ sesudu mayonis sayur dan perahan asam limau. Cukuplah makanan siang kami. Wira belum pulang, sepiring kepah disimpan di bawah tudung saji.
Terimakasih Melor, kerana ada waktu masak di hari Minggu ini. Hari lain, mana ada waktu masak, pulang setiap hari selalu lepas maghrib. Amin. Tanpa di duga sebelah petangnya seseorang yang hilang sejak hari raya setahun dulu tiba-tiba muncul. Inikah makna si kecilku yang sudi memasak hingga diberi ganda gembira hati dengan munculnya si dia yang hilang itu? Ya hidup kita semoga beroleh berkah dengan KehendakNya jua.

SEMERBAK JERMIN


SELAIN helaian pandan, kunyit, serai, daun limau kasturi yang kerap semerbak wangi terutama selepas hujan, semalam ku dapatkan sepasu kecil tumbuhan lama yang pernah mengharum halaman rumah nenek. Daun jermin setapak tangan ini lembut dan berbulu halus. Tapi Cik Melor pula menyamakan bentuk daun ini saperti pucuk ulam Pucuk Raja. Alahai, dia tidak pernah terfikirkan atau terpandang gadis-gadis Melayu hingga tahun 1960an masih berhias sanggul di kepala dengan hiasan sepucuk daunan jermin. Ha....eh sungguh wanginya menyengat! Melor terpana tak tahu apakah dia akan menghiasi helaian jermin ini di kepalanya.
Helai jermin harum mewangi
Menghias cantik di rambut dara
Lalai diri kerana iri hati
Menyimpan dendam alangkah hina*
*Siri pantun kasih sayang

SELERA MAKAN DAN KESIHATAN




Di halaman rumah Mak masih subur pohon-pohon ulaman dan pohon buahan. Daun keladi yang kubawa benihnya dari Tanjung Karang sudah membiak dengan pelepah daunnya yang gemuk dan daunnya bagai payung berkembang cantik. Seorang pelukis cat air " Asam Gelugur" telah membuktikan janjinya hingga membawa benih pokok asam gelugur khas di bawa dari Kedah. Mustahillah menunggu pohon ini berbuah. Kutanam di celah pohon renik dan tumbuhan lain, betik dan pisang hutan. Tanah Secengkal, masih nak tanam pokok-pokok jenis purba ini. Komentar jiran sebelah yang tahu pokok asam jawa , asam gelugur, buah jambu jambak akan meninggi dan tumbang ke arah rumah sebelah. Tapi dasar otak orang kampung daku tidak peduli. Pokok tersebut makin subur menumbuhkan helaian daun muda walau berkali-kali pucuk mudanya dimamah ulat. Ya maknanya mereka disenangi para unggas dan serangga. Pucuk-pucuk muda daun betik, pucuk jambu jambak dan daun asam gelugur kupetik dijadikan bahan ulaman dan kerabu ditambah dnegan hirisan cili, bawan besar, bawang puti, halia dan perahan limau kasturi. ...nah tidak payahnlah mengambil berbagai-bagai vitamin ...tumbuhan hadiah dari Dia Maha Pencipta kerap saja menumbuh selera dan kesegaran. Alhamdulillah semoga berkah dan kesihatan pemberian Allah. Insya Allah!
Daun keladi subur meninggi
Lebar kelopak sayap merak
Budi tuan kubawa mati
Biar hilang hidup berjarak
Pohon gelugur baru disemai
Daun muda di makan ulat
Mohon kasih jangan bercerai
Gagal cinta jangan diumpat

Pucuk betik segar muda
Di mamah berulam sambal
Pujuk Cik Adik yang manja
Walau sehari baru dikenal *

*Siri pantun kasih sayang

RUMAH BUKU


RUMAH buku, di sini kerap dijadikan ruang membaca, menyimpan, membongkar ilmu khazanah lama, catatan terbaru. Kitapun melangkah ke rumah buku. Mungkin kedai mewah di pusat beli belah, ke kedai sederhanana tapi kaya dengan himpunan khazanah lama.
Yang rajin dan pintar menggoda pelanggan akan menyusun buku seperti teknik perpustakaan. Kita tidak tercari-cari kerana sudah diberitahu melalui abjad, poster atau dengan sesawang di komputer. Namun sakit hati pilu pula bila di kedai-kedai ibu kota, rak buku Melayu seperti tidak wujud. Apalagi tentang buku-buku seni lukis.
Di kedai buku mewah di KLCC hanya terpapar 5 judul buku-katelog seni terbitan BSLN (1 judul), Utusan Melayu (1 judul) dan RA Fine Art (3 judul). Apakah orang Melayu tidak baca buku sehingga judul ilmu hanya dengan judul itu saja. Rupanya masih ada ruang buku Melayu tapi umumnya karya novel pop yang kerap dibelek-belek oleh pembaca remaja. Di celah novel pop itu terdapatlah satu rak himpunan judul A.Samad Said terbtian Wira Bukit. Tanhniah Hilmy Samad? Lina Usman pula telah menarik jualan buku di sebuah kedai buku mewah lantaran komesyen yang diambil menjamah 60 %.
Bagaimana dengan rumah buku anda? Nampaknya Nisah sudah menyiapkan pustaka buku di rumah - sebagai pejabat juga. Rumah buku Mawar sudah sarat di kampus Bangi bukan?

Saturday 29 November 2008

BUNGA LOCENG - SAYAP BIDADARI

Green House Fairy Park, Victoria 2007
BUNGA ini batangnya memanjat batang-batang pohon lain atau besi dan kayu yang dijadikan para-para atau lengkun berkubah. Bunganya berkembang, berkelopak dengan menjulur ke arah bumi sehingga kalau belum kembang kelopaknya ia seakan loceng. Warnanya merah jambu tua hingga kami gelar ia bunga lipstik. Tapi bila empat kelopak berkembang kami pun memberi nama baru bunga - sayap bidadari. Inilah kekayaan imaginasi kanak-kanak yang kerap kuheret ke mana-mana. Rimbun pohon sudah lama menjalar ke atas pagola kayu di depan rumah kami di Bangi. Bunga yang sama juga menjuntai sarat di depan galeri Kartika di Jalan Kaliurang Merapi, Jogja. Hobi mengintai bunga, kebun bunga atau ladang bunga juga diwarisi Cik Melor. Kadang-kadang si ibu ini terperanjat kaget, kerana tempat tinjauan dan laluannya bagai mengikuti jejak kembara silamku. Bunga si sayap bidadari ini dibidiknya tidak jauh dari bekas rumah sahabat kami, Raja Azhar di Victoria. Rupanya instink manusia kerap menapak jejak sejarah.
Bunga loceng juntai berjuntai
Merah kesumba kelopak empat
Sukma dan hati dicarik lerai
Marah jangan bawa merempat*
*Siri pantun kasih sayang

KATAK LOMPAT SI KATAK LOMPAT

Putera katak marmar 2.5 x2.5 meter
(lensa Melor, Sydney International Airport 28 Dis 2007)
BIDALAN MELAYU lama seperti katak di bawah tempurung sudah lama kusingkirkan dalam mindaku. Terlalulah kalau katakku asyik cari tempurung. Dalam dunia secanggih kini katak juga makin rajin melompat dan sudah bosan duduk di bawah tempurung. Lebih manis kupesan kepada anak-anak dan cucu-cucuku, ' Rumah katak tu ialah tempurung dunia yang sudah terbuka. Kalau dia keluar dari rumahnya ba urusan yang dilakukan. Si katakpun sudah bosan memanggil hujan di kota raya ini. Tanpa suaranya hujan dengan baik hati mengguyur ke bumi....banjirpun melanda dan orangg kotapun menjadi mabuk gila memandu kereta nak cepat sampai ke rumah nya yang hanyut ke Sungai Gombak ke Sungai Kelang dan Dataran Merdekapun banjir. Riuh rendahlah muzik katak hahaheehhuhu....

Katak si katak lompat
lompat tinggi gapai awan
Budak baik harus ingat
erat budi sopan menawan *
Rumah Katak
30 November 2008
nyak14:10
* Siri pantun kasih sayang

BAIT SENANDUNG MALAM


BAIT Senandung Malam, manuskrip himpunan puisi perjalanan dengan keretapi. Mengandung dua bab utama: Bab 1- Bait Senandung Malam - Bait Wu Ekspress (1-55 bait) , Bab 2 - Puisi Stesen Keretapi. Manuskrip ini telah diserahkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada bulan Julai 2008. Alhamdulliah sudah diterima dan sekarang dalam proses terjemahan oleh Prof.Dr Zakaia Ali (Oktober 2008). Sebenarnya sebelum ini hendak diserahkan ke KTM atau DBP. Tetapi ragu pasti jalan dan proses penerbitannya mengikut jalan dan liku yang berbelit. Di DBP masih ada 4 manuskrip yang belum bergerak, 1 novel juga sudah 4 tahun TIDUR di Utusan Melayu, 1 manuskrip Biografi Khatijah Awang 2 tahun tidur dalam selimut rumah ASWARA. Wahai SAHABATku para editor kemana anda gerangan hilang tidak ada berita?

Bait 2
...
Ibu
jejakmu ku jelang lagi
malam berkabut
awan sutera meruap pagi

Desah keretapi semakin suyup
lambaian akhir di matamu
ibu,
aku pergi dulu.

Friday 28 November 2008

SI BUNGA LALANG

Taman Botanical Victoria ( Melor, Dis 2007)
Tinggi lalang daun melambai
Bunga terkembang di siram embun
Hati walang semakin sangsai
Cinta sayang makin meruntun
*Siri pantun kasih sayang

MENJULANG KE AWAN

SALAM Awal ZULHIJJAH
menjelang musim panas di pulau selatan
kukirim pantun rindu buatmu
Bunga si jenjang mencapai awan
Langit bersih biru lazuardi
Tinggal sayang tinggal intan
Rindu kasih ku simpan di hati
*siri pantun kasih sayang
29 Nov 2009

PILIHAN: MENJADI SENIMAN ATAU AHLI KRAF?

Peter Lagan mula bebas meninggalkan citra kraf dengan
mengembang daya kreativi- kini menjadi seniman seramik bebas membina
kelompok seniman tanah liat di Rawang
Arca bebas hasil kutipan kayu sungai

INSTITUT KRAF NEGARA telah meraikan konvokesyen yang ke 7 pada 21-23 November lalu. Konsep asal IKN ialah untuk melahirkan ahli kraf yang mendapat pendidikan formal dalam bidang kraftangan (seni tekstil-tenunan, seni ukir, seni seramik, seni logam, seni anyaman). Untuk mengikuti program ini pelajar harus lulus SPM (sebelum ini SRP juga boleh asal sudah terlibat dengan kegiatan kraftangan di tempat asal mereka). Kampus IKN terletak cantik di Batu 10 Jalan Rawang. IKN adalah pusat latihan di bawah Pusat Kraftangan -Kementerian PerpaduanKebudayaan Kesenian dan Warisan. Kerana ini status untuk dikembangkan menjadi pusat pendidikan seni masih melalui jalan berliku. Walaupun para pengajar jemputannya sudah setaraf dengan pusat pendidikan seni lainnya. Antara pensyarah undangan IKN ialah Prof Othman Yatim (UM), Prof Dr Zakaria Ali (UPSI) , Dr Mohd Dewa (USM-sekarang pengarah BSLN), Prof Zulhilmi (UiTM) dll. Tetapi jalan untuk menaik taraf pendidikan seni terus diusahakan oleh para pentadbirnya. Mereka sudah mengadakan bengkel untuk penulisan buku (bahan rujukan pelajar) dan yang terdekat sedang menyusun glosari dan kamus Seni Kraf dengan menghimpun para sarjana seni pada pertengahan bulan Disember ini.

Begitu juga tenaga pengajarnya telah mula 'keluar' dari kampus, meninjau galeri, melihat pameran malah ada yang berani turut mengambil bahagian di galeri swasta ibu kota. Kerana rumahku tidak jauh dari kampus cantik ini, maka kerap;ah berulang alik untuk meninjau kelas studio seni ukis dan seni seramik. Saudara Yusuf dan Zaukifli dengan baik hati melayan kebisingan saya memberi idea seenaknya " ayuh harus berani keluar dari jadual mengajar, bawa pelajar keluar, cari bahan baru, kembangkan ide untuk pelajar lebih kreatif - tidak mengulang apa saja wajah kraf warisan tu..." Nampaknya pengajar Zaukifli dengan gembira membawa pelajarnya meredah sungai dan belukar, mengutip kayu-kayu hanyut dan membawanya ke studio. Wah mula berkaryalah para pelajar dengan gembira, bebas dan di sana sini tegaklah aneka seni arca kayu dan batu di halaman kampus.

Seramik dengan bentuk buyung, sudah menjadi seakan tempayan, dinaikkan ke taman, di hiasi tumbuhan sehingga seni kraf bukan saja berfungsi sebagai bahan gunaan saja tapi juga sudah menjadi wadah seni yang kreatif sesuai dengan bakat dan oleh kreativiti muda pelajar. Sekarang usaha terus digarap agar lulusan diploma boleh meneruskan pengajian ijazah. Insya Allah dan tahniah IKN. Tapi di sana sini muncul juga kelompok untuk menjadi seniman bebas, sehingga pengajar Peter Lagan keluar dari IKN dan membina kelompok seniman muda tanah liat ! Syabas!

OH MEREKA TERUS SAJA MAKAN

Daging panggang,kentang goreng,salad kentang - lupakan nasi dulu?
Segelas vanilla goyang, kentang dan sos cili - hanya makanan rengan beb...


KUKIRA memang merasa aneh, ketika dia mengaku hobinnya " suka makan" . Dia begitu hafal aneka masakan yang dijual di kedai makan. Sebut saja kedai makan baru dibuka, mungkin di Bangsar, di Ampang, di Kampong Baru, di Puchong , Damansara, malah restoran dalam rimbun belukar di celah jalan ke Putrajaya pun dia tahu, dengan menu nasi bariani gum berjamu dengan aneka daging unta, kuda, kerbau (merepek saja kata otakku)... teringat juga pesan Tan Sri Jins Shamsudin, " makan kerana nak hidup". Tapi kawanku yang ini, " makan , saja nak rasa macam-macam, nak penuh selera"


Ya mungkin kawan mudaku ini, hidup dalam zaman serba ada. Tekan suis, nasipun menggelak dalam periuk letrik atau airpun dibancuh dengan cara mudah semua 3 + 1 . Tapi sayang dapur pula sudah jarang berasap. Mereka lebih senang memilih makan di kedai. Pesan dan pilih , maka semuapun terhidang. Sejak pagi, restoran, kantin terus penuh, pukul 8 sarap, pukul 10 , pukul 12.30 makan, pukul 5 minum - malam, makan lagi. Kalau tidak makan di kedai, beli bungkus bawa pulang.

Kalau boleh diputar balik jam ku, yang doeloe-doeloe, makan berlauk tahu tempe, akan ketawalah dia mendenganr 'dongeng' silamku. " Boleh hidup ke makan itu saja..."

Lalu ku tunjukan sebait puisi ini, ' secawan kopi sepotong roti untuk kami berkongsi "

Ha " secawan kopi saja "

Tanyalah Tapa, Usup, Jo dan Oom....yang sekarang tentu tidak, lukisanpun dah laku hahaha...Jadi tidak hairan canda Datuk A Samad Said kepada Tapa, " Sekarang boleh minum coffeelatte lhe..."

Dan kawan saya yang satu ini, nah lihat senarai selera makannya: makanan import lagi yang berselerak di bumi indah ini -dengan tomyam Siam, dengan tempura Jepun, dengan tomato kebab, udang tandoori, dengan Italian cheese pizza, dengan Turkey ham....dll. tapi bila balik kampung, seleranya juga bercambah, mencari budu cencaluk, ulam petai jering hahah selera Melayu masih abadi juga di lidah kawan saya ini.Huuuuhuuu. Jadi walhasil restoran masakan kampung masih laku di kotaraya ini. Datanglah waktu makan tengahari di Bangi atau di Bangsar, Ampang....Di situ juga kawan saya ini dengan teman-teman sepejabatnya menjamu selera setiap hari Jumaat, berpeluh-peluh makan nasi lauk kampung.


* Menu saya seminggu sekali sambal goreng cili padi + petai + peria katak+ tempe+tahu+ikan bilis + perah asal limau + nasi kukus saja + bawang putih bakar. Alhamdulillah .

Dan dua hari ini orang-orang kaya yang menginap di Taj Mahal dan Obroi Hotel di Mbumbai, mula terkesan susahnya untuk menjamah makanan mewah yang selama ini dihidang dengan kebanggaaan tanpa memikirkan para marhaen yang dilarang mendekati hotel 7 bintang itu.





Tuesday 25 November 2008

PAMERAN ANAK ALAM

SZI,Penari, cat minyak 1975
SZI, Menora, cat minyak, 1972

NAMPAKNYA RA Fine Art juga yang masih sudi mengundang kumpulan Anak Alam generasi pertama untuk buat pameran hujung bulan Disember ini. Mengikut Raja Ahmad seperti yang pernah diluahkannya " Kita terharu dengan kerja serius Mustafa Ibrahim, yang terus melukis tanpa memperdulikan nilai keuntungan kerja " . Kiranya itulah yang telah dilakukan bila Mustafa telahpun diraikan dengan pameran solonya beberapa bulan lalu. Lanjutan kepedulian galeri ini dibuktikan lagi dengan menyusun pameran pelukis awal Anak Alam - transisi dari Angkatan Pelukis Semananjun (APS) ke Anak Alam (AA). Ini bererti hanya beberapa orang saja yang dapat disenaraikan dalam period transisi kegiataan kami dari APS ke AA iaitu kami yang pernah bergabung dengan persatuan itu , 1960an-1970an. Anak Alam baru diberi nama pada tahun 1975, tapi kami sudah terlibat lebih awal sebagai pelukis muda APS. Apakah rasional pemilihan karya awal ini? Kita tunggu komentar kurator atau kritik dari pengkaji atau pandangan pelukis baru tahun 2000 ini.

(masih terngiang komen seorang pengkaji seni lukis, " nampaknya angkatan pelukis generasi kedua - angkatan 1970an memang sengaja dipinggirkan, betul ke?)

TAM-TAM SEDIH IBU MUDA

Janen sudah hampir menjadi, kepala, badan dan sepotong kaki dengn uri yang pecah
Tam-tam masih muda, belum genap setahun, lemah setelah keguguran
KAMI benar-benar tidak tahu si Tam-tam mengandung. Beberapa minggu dia begitu cerewet. Cepat marah dan mengiau nyaring. Beberapa kali dia berehat sendirian di bilik sunyi, selalu lapar dan menunggu kepulangan Melor dengan marah-marah. Hinggalah satu petang, Melor menemui ia menunggu sesuatu, menghidu benda tergeletak, tumpukan darah kering dan sudah dikerumui semut. Melor tersentak dan menyedari Tam-tam sedang menangisi anaknya yang tidak menjadi - janen dan uri selebar tapak tangan terdampar di lantai.
MasyaAllah binatang lagi menyayangi anak bagaimana manusia tega membuang bayi? Melor pun menangisi pemergian anak Tam-tam yang gugur! Ya minggu ini kami berkabung dengan janen Tam-tam yang tidak menghidu bau bumi.


Monday 24 November 2008

PUSTAKA SINGGAH

Tetamu lelaki silakan naik di anjung tangga depan. Kisi-kisi juga sudah berusia hampir 50 tahun, dekorasi pun hanya darimayang kelapa (Malay folk art le)
Atap perabung sengaja tidak di pasang siling, senang lihat kasau jantan bersilang dengan kasau betina.Rumah nenek dulupun hanya pasang lelangit
Kerusi lama ini kudapat dari rumah Raja Ahmad. Teringat kerusi rumah nenek yang sudah di jual ke cina kelontong
RUMAH di Laman Nyang Galuh, hanya tempat singgahan. Pulang kalau rindu pada bau hujau daun dan bumi asal nenekku Almarhumah Galuh Sindani dan datuk Taib Batu Bara. Berzaman ku bawa rindu pesan nenek Galuh - " Pulanglahlah , jaga kebun kita". Itulah pesan tahun 1960an ketika usiaku 8 tahun. Itu juga tahun akhir perpisahan kami. Selepas itu senyap sunyi. Semua cucu waris seperti melupakan kebun kelapa tidak diolah. Di pajak Tuan Apek berzaman entah siapa mengutip hasil. Sehingga aku diberi tahu , kebun sudah lebih 15 tahun tidak berbayar cukai kebun. Inilah titik mula sehingga kami kembali berjumpa berbincang, siapa yang wajar atau sudi berkongsi membayar cukai sudah menanjak berbelas ribu....tralalalala semua mula berkira dan diam membisu.
Tapi mujur Cik Abangku berbaik hati sanggup memugar tapak sisa rumah, memotong beberapa batang kelapa sawit, tanah di tambak cacak tiang, cari tukang kayu dan kami berkeliling kampung mencari sisa dinding , tiang, tangga...setahun rumah Melayu beridir dengan tiang tinggi, bumbung perabung - untuk pustaka kampungku - pustaka singgah, kerana bahan bacaan di sini harus selalu di bawa baru dan lama, untuk kerja seharian.

Rumah ini tidak perlu sofa atau kerusi kusyen tebal. Kalau tamu datang cukup dengan tikar anyaman. Dapur lengkap moden juga tidak perlu, kerana kami hanya memanggang ikan segar atau kerang - bakar di halaman dan pasang unggun api. Apa kata jiran sebelah:
" Aneh orang bandar nak jadi orang kampung....orang kampung dah pakai periuk eletrik, dia pula masak nasi kukus....goreng ikan masih perah asam limau aje..."
Haha.....jangan lupa kalau nak rasa ikan panggang, boleh singgah di Permatang, beli di sana dan boleh panggang di rumah kampung kami.

ANTARA BUNGA RIMBA DAN RENEK SETAMAN

Kemboja Siam
Bunga bakung cempaka (Scilla tubergeniana)
Bunga Lili Pandan
Senduduk
SAMBIL hilir mudik antara Bangi-Gombak-Tanjung Karang, bunga-bunga belukar yang kubiar tumbuh di halaman, dan beberapa benih bunga dari halaman Bangi ku pindahkan selalu walau di mana ku singgah sudah segar. Benih mereka sering ditebar ke mana ku pergi. Kalau mereka sempat berkata dan boleh bersuara tentu kerap memprotes kerana terlalu kerap aku mencantas, mengerat atau memetik buah bunga ranum untuk kukering dan kutabur di halaman yang sudi menyambut ketibaanku. Sekarang sejak dua bulan hujan kerap menyimbah. Benih yang kutabur, kucucuk di pasu atau di tanah dengan ramah manja mengeluarkan putik dan mengembang. Bunga lili cempaka (istilah nenek) kudapatkan di rumah Yamin sahabat sepersekolahan di tahun 1970an di Semenyeh. Rumahnya memang sudah menjadi tapak semaian tumbuhan dan aku berhasil memindahkan bunga lili ini di Tanjung Karang. Dan minggu lalu ketika pulang ke rumah di Laman Nyang Galuh beberapa pasu bunga sudah mengembangkan aneka warna. Begitu juga pokok cempaka siam memang kerap berbunga silih berganti berbunga tanpa musim. Benih asal ini kucantas dari rumah Bangi setahun lalu adalah sumber asal hadiah dari Ismail Saidin UKM 1983.

Tentu saja bunga rimba senduduk selalu saja beputik dengan warna ungu yang menarik (sudahpun menjadi lukisan" Senduduk Berbunga Lagi"). Pokon bunga lili pandan (daunnya bertindih seakan helaian pandan tapi kelopak daunnya lebih tebal dan lebar. Beberapa ekor rerama dan kumbang sudah berlegar, mendesing dan bersiul menghidu kelopak bunga dan pasti mereka akan menebar debunga ke mana-mana. Terima kasih kepada Yang Terkasih yang Mencipta AlamNya. Amin.

Rawang-Gombak
26 November 2008

ANTARA BERUANG DAN MAWAR

WIRA senyum terkulum mengepit patung Pak Beruang
dan sekuntum mawar putih
Yang perempuan banggalah dapat jambangan bunga.
Nur dapat bunga dari siapa ye?
BAGAI dah menjadi tradisi para pedagang bunga meraih rezeki berlipat ganda seminggu sepanjang hari majlis graduan. Tidak ada cenderamata lain yang dijual, kecuali bunga-bunga dan patung Pak Beruang lengkap dengan topi sarjana dan skrol di tangan. Harga mawar sekuntum juga berlipat ganda. Biasanya sekuntum mawar dari Tanah Rata dan Cameron hanya seringgit (jualan di kedai biasa - bukan di lobi hotel le). Jadi tidak hairan kalau kuntuman disusun berjambangan diikat pita sutera dan lapis kertas kilat bunga sudah diletak harga RM 40 - RM90 . Ini peluang sekali setahun dan ibu bapa keluarga dan kekasih dengan senyum mengirit (mengira juga harga petrol, tol, makan sepanjang acara atau bermalam di hotel atau menumpang di rumah keluarga) harus pikirkan juga harga hadiah jambangan bunga - lambang kasih sayang dan penghargaan.
Bagi si bungsuku - bonda tahu, Wira kerap malu kalau dapat jambangan bungan - " macam orang perempuan aje lah" . Jadi ku beli patung beruang (kalau di luar biasanya tak sampai RM 10, tapi di kampus harganya harus naik le), dan sekuntum mawar putih (ya dia masil solo ). Wirapun sengeh mengepit patung anak beruang, mawar putih belum berkembang dengan lilitan pita putih dan coklat muda. TAHNIAH ANAKDA!
25 November 2008

HADIAH BELAJAR

Bakal graduan sebentar lagi - sudah adakah kerja menunggu atau
mereka berani menyusun strategi membuat kerja sendiri?

Si Bungsu sudah bertugas di Genting tapi tidak gembira lihat
orang asyik datang bercuti saja ke sana

AKHIRNYA Si bungsuku berjubah dan berselayah merah. Setelah dua kali naik pentas yang sama (Sijil dan Diploma Kulinari) kali ketiga ini dia gembira dengan lulus SM bidang pengurusan makanan. Mungkin dulu sejak kecil suka makan kot...Sebenanya si ibu ini udah letih ikuti acara konvokesyen - sejak 30 tahu lalu harus berarak masuk dewan untuk upacara meraikan mahasiswa. Lalu kali ini demi Wira, Melor berhasil mengheretku beratur untuk masuk ke dewan mulia UiTM untuk sesi sidang ketujuh.

Sebagai adat anugerah tradisi perarakan mohorpun bermula. Tradisi di UiTM ialah membawa keris panjang. Gendangpun ditabuh hingga tiba perarakan besar mengiringi Pro Canselor Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abd Rahman Arshad, ditiuplah nafiri, nobat dipalu. Inilah puncak kegemilangan rasa para bakal graduan. Dewan sunyi senyap bila lagu Negaraku bergema. Satu persatu nama mereka dipanggil dan melangkah ke pentas penuh tertib, tiba di depan Pro Canselor, kepala dan badan sedikit menunduk sambil berjabat tangan dan kitab ijazahpun di kepit, melenggang segak turun ke bawah. Tepukan gemuruh berderai setiap nama pemenang anugerah digapai antaranya anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor' anugerah emas Naib Canselor dan lain-lain. Mereka yang mendapat anerah bergaya dengan selempang dan nama dipapar di kayar bertanda tiga bintang.

Barangkali si ibu ini agak terkejut juga, kerana sesi sidang ke tujuh ini turut diikuti anugerah bidang seni muzik. Kalau selama ini muzik hanya sebagai pengiring, mengiringi langkah penerima ijazah, tapi di UiTM , ada hiburan selingan setiap Pro Canselor kembali duduk istirah sementara menunggu ke acara selanjutnya. Wah bernyanyilah mereka dengan lagu Haryati kemudian terdengar suara seakan Ning Baizura, semua hasil persembahan pelajar Seni Muzik. Kerana lagu pilihan masih lembut dan tenang, jadi agak terhiburlah. Tapi puncak akhir lebih mengejutkan - irama lagu seakan kita berada di persembahan Jom Hebuh - wah ruang dewan mulia seakan menjadi persembahan di tv3 - inilah yang turut ditegur oleh Pro Canselor dalam pidato penutup..." Saya amat terkejut, dengan lagu berentak kuat itu - mungkin kerana mengiringi pelajar seni muzik ...tapi fikirkan acara ini apakah wajar lagu rentak gemuruh mengiringi acara gemilang ilmu nii ". Diam-diam dalam benakku, sebaiknya graduan Seni Muzik harus diadakan di ruang sendiri agar mereka dapat praktikkan semua lagu aliran muzik yang mereka pelajari. Mungkin gurunya JBaha sudi memikirkan acara di bawah pohon rendang di luar dewan seperti kerap juga dilakukan oleh universiti Kent...

Malamnya Melor menyampaikan suara komentar di belakang kami, " sungguh kurang asamlah lelaki di belakang kita tu komen - muzik nobat tu, katanya macam muzik cina mati".

Masya Allah inilah songsang budaya yang tidak tahu mengharga warisan budaya. Selintas kuteringat wajah yang bersuara kerana sempat menoleh kebelakang, ketika dia turut mengetuk kerusi sambil menikmati muzik rancak - dan wajahnya memang bukan wajah Melayu, tapi kelihatan kacukan macam keluarga si Nana....

MATA SAGA SI BUCUK belang kelabu

Si Bucuk malam bermata saga


Dalam gelap malam
kau tiba-tiba menjadi perkasa
mengintai mengendap mangsa
kadang mengintip
dengan gera lonceng
kau melompat mencakar
sehingga si kecil menjadi mangsa.
Matamu semakin nyala
kilauan saga.
Setelah malam dini
kau kembali diam
datang melenggang
mengaduh panjang
menggapai dan membelai
menyempurnakan kehidupan

Gombak
26 November 2008
02:47

SI KELIP-KELIP

Si Kelip-kelip, Oktober 2008
Ah penghuni baru tiba lagi. Setelah Tam-tam keguguran (ala baru berusia 7 bulan sudah hamil) dan dia mengiung kesedihan, muncullah putera baru 4 beradik bayi-bayi entah ke berapa anak mak Tam (makcik si Bucuk). Dari 4 ekor hanya Si Kelip-kelip (kata Melor, matanya kerap berkelip-kelip) yang berani mendekati kami. Yang lain bersembunyi di celah tangga. Nah genap 30 hari bulan Disember ini kami akan ke klinik haiwan dengan 4 ekor penghuni comel-comel ini untuk pemeriksaan doktor.
Ah inilah Si Kelip-kelip dengan bulunya berbelang-belang. Tepatlah seperti citra pantun klasik Melayu yang terkenal,
dua tiga kucing berlari
manakan sama si kucing belang...
Kalau memang anda putera-puteri Melayu, jangan ditanya bait dua baris sebagai makna pantun klasik ini... semua sudah maklum puistisnya bukan?

Sunday 23 November 2008

KOLAM


Antara air hujan
terpendam khazanah alam
lumut akar reribu
kelopak kiambang
dan kilat ikan
bermain hujan
diam-diam
dikau menjadi sahabat
merengan persoalan
yang bercambah
kembali lentur di urat daun
reput bersama lumut menjaring tekateki
mengalir ke lubang
tumpah ke pinggir
meyimbah ke taman
hijau ranum kembali
setelah hujan
menjirus takdir

LAUT DAN PANTAI

Citra desa dengan bumbung illalang di bawa dari Bali

Pantaipun diberi nama Goldcoast - di mana pasti emas itu?

SEORANG teman memberi khabar, " aku sudah di goldcoast - kirim salam di angin lalu" . Kukira pasti dia sudah bersantai di pantai berpasir berkilauan emas di Pulau Selantan (aku hanya membayangkan pekan Pasir Mas di Kelantan). Tapi tanpa kusedari setelah terpengap di hutan dan gua Niah, bersambung istirah di kebun kelapa sawit di Tanjung Karang, entah kenapa pagi Minggu aku ingin mendengar desah ombak dan tiupan angin di pantai...Namun subuh ini juga masuk pesan hb mencatat....Al Fatehah, sahabat kita Dr Pousi sudah menyambut seruan Ilahi....Innalillahi...kubatalkan perjalanan ke PD atas undangan DBP untuk bengkel penulisan kanak-kanak. Kusimpan buku Kasih Bonda, menolak ketepi buku lakaran dan contoh buku Hikayat Hang Tuah, edisi tulisan Jawi (bacaan darjah 5-6 di Sekolah Rendah tahun 1960). Kami harus segera ke Jenderam Hilir.
MasyaAllah, masa begitu cepat berlalu. Satu-satu sabahat kita di jemput Kekasih Tercinta. Asmah, ibu rumah masih tersenyum ramah, menyambut kedatangan kami. Memang di hari-hari akhir inilah kita saling bertemu dengan senyap membuka halaman Yassin, suara saling bertindih berselang seli dengan sedu kesedihan mengalir perlahan beriring dengan doa dan keinsafan demi fana segala yang fana ini.

Sayup, bayang kenderaan jenazah berangkat menuju ke Puterajaya. Di situ sahabat kami disemadikan. Hilang lagi sebutir mutiara pendidik sastera rakyat.Kemana pula langkahku ketika mata mengiringi bayang yang hilang? Melor mengajakku ke Bagan Lalang. Kami redah pemandangan bukit baris kelapa sawit, sayup mata memandang. Jarak hanya 25 km dari Jenderam memilih jalur ke Salak Tinggi, melepasi simpang ke KLIA ke kanan, atau ke kiri ke pekan Nilai. Apakah yang dicari oleh dua orang Siti.
- Kita ingin jejak pasir, hirup angin -ayuh ke pantai.
Angin pun meniup menjelmakan zikirnya yang sopan. Tetapi kenapa goldcoast? Mana pasir emas di situ. ....wah-wah mereka memang bijak memimjam kata. Bahasa harus melambangkan citra global - maka terbentanglah pemandangan laut yang sudah dibendung berjejerlah chalet dan apartment yang akan dijual kepada siapa saja yang mampu membelinya. Benderapun terkibar dengan jalinan ungkapan ' Sepang goldcoast' - dinding zink berlukis dengan jejeran pohonan pinggiran laut pun dicatat sebagai Mangrove River - hilanglah dua perkataan Melayu. Chalet spa berhias gaya Bali juga dengan cantik dan mewah muncul menghadap laut.

- Kau tahu, laut apakah itu?
- Selat Melaka sayang,
- Ha...siapa di seberang sana?
- Kau lihat kapal dagang?
- Ha kapal perang ? kapal ilmu Do Karim mungkin!
- Kalau stunami, gimana?
- Syeet, jangan sebut,
nanti pelabur tak jadi datang
memborong kekayaan goldcoast !

Bagan Lalang - Gombak
24 Nov 08, 02.30

Dari Kayu Sisa Stesen Keretapi dan Jendela Lama

Setahun kami munda mandir di bengkel lama
memilih kayu sisa stesen keretapi Sentul
mengutip tangga dan jendela zaman di Sungai Sirih
membiarkan senduduk berputik berbunga
pakis dan kiambang bersayap di kolam
jejuang tumbuh melata
mengkudu meranting sendiri
tumbuhlah pucuk kaktus
teduh hijau
jemputlah ke rumah
waris moyang
di pekan Tanjung
70 km dari Rawang
menjulur ke lembah
Batang Berjuntai
masuk ke kebun kunang-kunang
hingga dapat lansung
ke Sungai Bernam!

Ke Rumah Kita Juga

Rumah Nyang Galuh
Kampung Melaka , Batu 10 Tanjung Karang
Kuala Selangor (SZI 21 Nov 2008)
LELAH juga di rantau
kau pulang
kita berkumpul di rumah
Naiki tangga, buka pintu
buka jendela
Anginpun menerpa
- dan gemapun bersuara
Siapa menyapa

Wednesday 12 November 2008

BISIKAN PADA HUTAN

Hutan hujan Rimba Niah

Mempelas kering dan senduduk bulu
BERZAMAN
kau saksikan kehidupan
bumi merah, berakar ke tunjang akal
si renikpun tumbuh, segar menjulang
kebanggaaan kadang melupakan
asal Ciptaan Kejadian.
Dari sulur muda
berbulu debunga
diangkat angin jauh berterbangan
hijau menjadi kuning dan gugur bertaburan
seperti manusia
yang tahu asal keturunan
abjad zaman kukuh
mengikat dunnan hutan
ke tangkai kesedaran
setelah kesakitan di himpit
pancaroba
bumi seakan berputar
awang memintal rawan
sungai dibendung menjadi
aliran berkumpul
mencipta kemeriahan.
Siapakah penakluk kemewahan
ketika di rumah petani
gelap gelita di malam panjang
dan sungai menjadi merah
hingga kami kehausan
darah terpecik
menyimbah bulu
ayam sembahan.
(bisik hutan di hujung rumah panjang Chang)
13 November 2008, 02:52