Saturday 25 April 2009

KEMBALIKAN NAMA BUKIT KANCHING

Arca neolitik 2, sumber dari anak Sungai Kancing
sebelah rumah kami kenangan buat almarhum datuk Pendekar Bertuah
Bukit Takun di kaki Bukit Kanching depan IKN

Anak Sungai Kancing, menyusun batu-batu
untuk menjadi jeram

Daun jejuang di celah batang angsana di Kanching


PAPAN tanda Templer Hill tiba-tiba saja terpacak di bukit Taman Rimba Templer. Sebatang anak sungai di sisi jalur ke arah Taman Rimba itu sudah keruh kerana kesan pembangunan kononya itulah Bukit Templer. Nama Templer memang sengaja mengingatkan kepada penjajah itu. ...sehingga kitapun lupa dengan nama asal. Apakah Majlis Bandaran Selayang tidak perasaan dengan nama baru di puncak bukit yang sedang diganyang untuk membina banglo mewah di situ. Seorang sahabatku Si Yuo (70 th) yang selalu menjemputku dengan kereta teksi sapunya, dari Rawang untuk membawaku pulang dari stesen Rawang ke rumah di kaki Bukit Takun , pun mengomel...." mana ada Templer Hill,....ini Bukit Kanching la, dulu gua punya bapak , amak datuk ditembak komunis, gua dijaga itu Benggali lembu, dikasi minum susu....amoi di mana itu tahun 1948?"

Memang tersedak dengan soalan mendadak. Suara Yuo mengingatkanku dengan cerita sepupuku Kak Nurma yang dipelihara Nenek Angah, Siti Mukmin Husin Majolelo, pernah tinggal di Kampung Sungai Kancing, bersebelah anak sungai yang mengalir dari bukit. Cerita kak Nurma, " Datuk dengan kereta kuda selalu berulang alik ke Pasar Besar KL, untuk jual getah sekerap. Baliknya penuh barang belanja untuk sebulan...tiba-tiba di simpang untuk masuk ke kampung (sekarang Pusat Pengakap dan padang Golf Templer) diserang kumpulan 40 penyamun China (komunis le), dan datukpun siap berpencak...sekali libas dengan parang panjangnya, bergulung 4 tubuh...si penyamun bertempiaran lari.. lepas itu berita pun sampai ke Sultan di Jugra....datuk didatangi wakil Residen dan Datuk Penggawa Gombak dengan anugerah sebatang tombak dan sehelai kain telepuk, datukpun diberi anugerah gelar Pendekar Bertuah "

Wah ini dongeng yang ke berapa? Kakak sepupuku menjeling menganggap aku tidak percaya ceritanya. Kini kak Nurma berusia 75 tahun hampir seusia dengan Yuo.. Itulah peristiwa di kampung Bukit Kancing (sekarang Taman Rimba Komenwel) . Bagaimana pula papan yang sudah terpacak dengan tulisan yang besar itu....Templer Hill? Wahai MB Selayang turunkan segera papan tanda itu.....


PUNCAK KONGRES MEMPERKASA KAMPUNG WARISAN

Antara rumah warisan yang masih utuh di Kampung Padang Balang (1940an)
Cogan bendera kampung kami

Tan Sri Abdul Aziz berbicara dengan latar perundangan

PUNCAK KONGRES KAMPUNG KASIH BONDA

PETA KUALA LUMPUR 2020, masih mengocak perasaan penduduk enam kampung asal di WP (Kg Bandar Dalam, Padang Balang, Chubadak, Sungai Merali, Sungai Mulia dan Kampung Puah) . Anda kerap hilir mudik di kampung ini, tapi tetap saja bertanya , " hei di mana ya kampung itu? " Nah, bahagian Kampung Bandar Dalam, di simpang masuk sudah dibedah oleh Lebuh Raya DUKE - hanya untuk kemudahan laluan dari Hulu Kelang ke Damanasara. Apa anda peduli, kalau anda nak balik ke Kota Bharu, atau ke Pantai Timur, memang menderulah kereta kalian. Sambil santai lena - dalam bas dua tingkat, boleh saja berbisik-bisik, wah cantiknya wajah ibu kota kita..Itulah tujuan asal DBKL tahun 2020, semua wajah kota harus dicolek cantik molek, maka laluan di 6 buah kampung ini akan dimusnahkan hahahah. Mereka lupa, ini tanah Rizab Melayu. Tanah ini diteroka oleh para ulamak, pedagang (bukan pelarian atau pendatang haram) datang dari Payakombuh, Batusangkar, dari suku Batangkapeh, suku Tanjung , dari Bukit Gombak, daru Chubadak di kaki Merapi Ranah Minang, dari Siak, dari Jambi, Madailing, Rawo kerana memprotes Belanda yang mengutip cukai kepala. Ini cerita Tuk Janggut seorang Buano - juru tulis Belanda yang datang setelah Perang Padri 1830an. Sutan Puasa dari kumpulan ketua Rawa datang membuka lombong bijih, pengikut Raja Abdullah putera Raja Jaafar, keluarga Bugis Melayu yang pertama kali membuka lombong di Lukut. Dengan sokongan Sultan Muhamad Sultan Selangor (1830-) tiba di Pelabuhan Batu (simpang sungai Kelang-Sungai Gomabk = masjid Jamek Sekarang), membuka kedai, di Ampang (Ampang Point sekarang). Di Pelabuhan Batu (sekitar masjid jamek dan Pasar Budaya sekarang, berkumpyula mereka di kampung Rawa, (tidak jauh dari Bank Negara sekarang), jadilah Jalan Melayu. Ini terjadi sebelum kedatangan ketua geng Yap Ah Loy. Tidak heran, telah beberapa kali Buyong Adil menegur agar fakta ini di perbaiki, yang membuka Kuala Lumpur ialah Raja Abdullah. itu terjadi 150 tahun lalu. Tahun yang sama juga sudah berkumpul pengikut Abdullah Haji Hukum, Datol Dagang dan Pak Daman (penghulu di sungai Kelang= berkahwin dengan Sara, jadilah Damansara sekarang)

Tahun 2003, DBKL mengganggu dengan perancangan mencanggihkan kota raya. Tapi tahun itu kami datang membela dan proposal pembangunan dan sejarah kampung, rungutan kami diterima, tak jadilah kampung kami di bedah. walaupun Chubadak sudah dirompak sebelah. Tahun 2008, mereka mengganggu lagi, kami diminta datang untuk berbincang. Buat proposal lagi. Kami di minta untuk berbincang ...kenapa sebelum peta perancangan dibuat, mereka tidak menghirau pandangan masyarakat kampung sebaliknya dengan bangga mengatakan kampung kami adalah kampuh SETINGGAN YANG KUMUH? Kami tidak sanggup menutup sebelah mata, atau lena dengan tawaran projek membina kondo 20 tingkat, menjadikan kampung kami sebagai pusat perniagaan , membina tiang LRT di depan rumah ....kami bising, hanya Harakah dan Sinar saja yang sanggup mengwar-war protes kami. Bendera hitam bergantungan di jalan - pertahakan TANAH MELAYU. Kami pun buat acara protes dengan pameran budaya , baca puisi dan lancar buku Kasih Bonda di surau Tarbiah (9 ogos 2008). Seniman Negara Dato Syed Ahmad Jamal dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said datang, Tan Seri Datuk Seri Sanusi Joned turunt datang menyokong. Ketua Pengarah DBKL juga datang, beri seekor lembu. Lembu kami sembelih, makan dan baca doa tapi proters tetap protes.
Dan tarikh 9 April lalu, buat pertama kali Pertubuhan MUAFAKAT mengadakan Kongres MEMPERKASA PERKAMPUNGAN TRADISI MELAYU WILAYAH PERSEKUTUAN (Kampung Bharu yang hampir ditelan itupun tak berani buat Kongres hahaha)....Tan Sri Aziz. Prof Bahari (UIA), Chekgu Zainal Abidin, saya dan Haji Jajuli (mantan pegawai DBP) pun duduk bersuara . Tan Sri Abdul Aziz bersuara dari sudut perundangan, membincangkan, ' pengambilan tanah di semua kampung yang berstaus tanah pertanian kekal itu adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan berhubung tanah rizab Melayu - Malah DBKl juga gagal mematuhi Seksyen 12 A, Akta 201 yang memerlukan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapatkan pandangan drpd penduduk setempat mengenai rancangan pembangunan yang ingin dilakukan di suatu kawasan".
Keputusan dan resolusi telah dapat dirumuskan antaranya:
1) Memutuskan supaya pihak berkuasa tempatan mengistiharkan kampung-kampung tradisi sebagai kampung warisan
2) Bersetuju membentuk AJK penduduk yang akan dipertanggung jawabkan memelihara nilai tradisi Melayu selaras dengan pembangunan sejagat yang bersesuai dengan budaya Melayu yang berteraskan Islam (Semangat Kongres Kebudayaan Melayu, Disember 1957-januari 1958 di Melaka dan Kebudayaan Kebangsaan, 1972)
3) Bersetuju membentuk JK pembinaan modal Islam yang bertanggung jawab membina serta melahirkan individu yang mempunyai keyakinan diri , tidak mudah kecewa atau berputus asa
4) Menuntut supaya diadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dimansuhakan pada tahun 1965.

Resolusi ini telah dihantar ke DBKL. Kami menunggu juga tindakan Dato' Bandar - atau apakah kami perlu mengadap YM Raja Nong Chik (Menteri WP) selepas ini. Kerja kami belum selesai . Akan mengadap mengadap DYM Sultan Selangor pada 21 Mei , semoga mendapat sambutan positif daripada baginda. Bukankah kampung kami nini dulu adalah di bawah kuasa Sultan?

Friday 17 April 2009

WAJAH RUMAH PUSAKA

SETELAH Almarhumah Ibunda dibawa kereta kencana, laju-laju, ketika aku masih di Kota Raja, alangkah sayunya kehidupan. Nota SMS baru masuk 2 jam setelah perpisahan besar itu terjadi.Ya demikianlah kehidupan harus dilalui. Selepas itu, kubangunkan ibu rumah ini, menjulur di ruang anjung. Dengan reka bentuk potong perabung panjang, dua tingkap panjang, berdiri dengan tingkap selalu terbuka, tidak pernah ditutup. Jejenang atas, ku pasang ukiran lama yang kukutip di rumah Pak Usu di Sungai Besar. Ini hanya rumah buku, setelah berdiri (2003), ruang ini hanya seminggu sekali ku jengahi, untuk mencari buku-buku lama. Dan sekarang hampir setahun kami tidak menaiki rumah ini, masih menunggu Cik Melor untuk merapi dan menyusun buku bersama adik- adik suka buku datang menyusun dan membaca , membaca....sesekali terdengar angin memukul kaca jendela, terdengar tikus berlari, anak-anak kucing cuba mencakar tangga - sedang pintu masuk sudah terkunci berkarat, aduh nasib rumah buku lamaku....Rumah ini benar-benar di depan jalan Kampung Bandar Dalam @Padang Balang yang sudah ditanda oleh DBKL, projek 2020, tiang LRT sudah dilakar di situ. Akan bertahankah rumah warisan ini?

Thursday 16 April 2009

PELANCARAN BUKU BARU

MENGALUKAN
kedatangan para rakan ke Pesta Buku di PWTC,
di gerai Institut Terjemahan Negara pada 26 April 2009. Pukul 2 petang
Judul buku : Bait Senandung Malam , dari stesen ke stesen -
Night Song, from station to station
terbitan Institut Terjemahan Negara, 2009
puisi khusus kembara keretapi dalam dan luar negara.
Buku-buku Siti yang lain juga boleh
diperoleh di gerai ITNM saja.

InsyaAllah kita jumpa di sana

Sunday 5 April 2009

PINTU RUMAH PELURU?




Oleh banyaknya cerita yang dikutip, didengar dari Ninda Siti Indah, imaginasi Siti Kecil kerap mengawang. Oleh kejahatan ahli sihir Puteri Bungsu selalu dibawa lari di sembunyi dalam rumah - mahligai. Pintu dikunci pasak dari dalam dan luar. Imaginasi itu bertindak lapis dengan kenyataan. Istana lama banyak lenyap dari muka bumi, atau terbiar setelah sesuatu dinasti jatuh, maharaja dibunuh, segala cucu cicit membawa diri, bersembunyi sebelum bangun untuk berkuasa lagi. Ingat Istana Kuning Sultan Husin? Istana Maimun waris kerajaan Deli. Malah istana Bukit Jugra juga sudah sepi dan sunyi. Tapi saya tidak mencari anak raja yang hilang itu. Sebaliknya terjingkit-jingkit mencari sesuatu, mungkin ada barang sakti tercicir, tertinggal di tapak istana lama? Entah mimpi, atau angan-angan, kerap juga melihat sesuatu melintas, terbayang di balik jendela kelam, malah bagai terdengar pintu berderak seperti ada yang cuba membuka untuk keluar....di Rumah Peluru Pulau Penyengat....itulah yang terjadi. Di tahun 1986, saya bagai tersepit antara akar pohon ara yang saling berlingkar, kukuh dan angker, menutup sebahagian pintu gerbang, di celah lilitan akar seakan rambut panjang melingkar dan melambai-lambai di tiup angin...pintu berderak lagi. Mana pula ada pintu kayu yang berderak itu?.....Itulah pintu yang masih belum dapat dibuka, tapi kenapa yang dilihat kepingan kayu tebal, coklat tua...berbentuk lengkung berkubah....tambah Ninda Siti Indah. " Itu pintu rumah gergasi, rumah perompak..." ha? Tapi dalam zaman kuasa Kerajan Johor Riau, begitulah juga pintu Rumah Peluru. Rumah batu bumbung lengkung berkubah berpintu kayu tebal.....sekarang, pintu itu sudah kembali berdiri di Laman Nyang Galuh kami di Tanjung Karang. Dari dalam memang di palang dengan kayu tebal tak siapa dapat menggoyangnya dari luar, atawa ditendang juga tidak akan terbuka....itulah pintu raksaksa betina hahahah

PERKAKAS AYAN

Piring ayan kudapatkan dari kedai lambak Sg Nibung
Mangkok tingkat ini kudapatkan di kedai antik Taman Melawati.
Setelah bertelagah soal harga
akhirnya si toke mahu menurunkan harga ratusan tu

Perkakas ayan (dari iron kut? ) seperti loyang sudah lama dipakai untuk perkakas rumah tangga Melayu. Bahan ini memang dibawa lewat jalur dagang lautan China-Hindi. Sejak kecil kami cucu-cucu nenek, memang jarang dihidang dengan pinggan mangkuk kaca atau seramik. Takut jatuh dan pecah berderai. Tapi setelah menjelang tahun 60an barang-barang ayan makin hilang di rumah kami. Sisa paling akhir pinggan ayan telah dijadikan piring makanan kuncing. Tapi rupanya kenangan makan dengan pinggan ayan dan minum dengan cawan ayan makin mengusik hati kecilku. Barang-barang ini makin langka terutama piring dengan hiasan yang berwarna merah bunga poni atau teratai. Tapi siapa menduga sejak berulang alik ke Tanjung Karang, alangkah terkejut kerana di pekan Tanjung kerap di adakan jualan lambak barang lama, seakan flea market di Shaffield sana! Setengah gila sakanlah aku mengutip barang-barang sisa (tentunya milik asal orang China kena samaklah leee) dengan harga sukar dipercayai - harga lambak selonggok hanya rm 5-10 atau piring kecil 50 sen, yang besar hanya seinggit. Dan diri yang dah masuk usia emas pun terkinja macam remaja cilik mengutip piring dan mangkok ayan sambil berlenggang pulang sedang mak datin yang kerap datang ke pasar terkejut sakan juga, kerana masih ada orang sanggup membeli perkakas ayan.....hahahah aku teringat Fatul nak hidangkan dia dengan kangkung kolam masak tumis dengan ikan asin asli Bagan Tengkorak dan hidang pakai piring ayan. Untuk kawan-kawan yang suka barang lama, masih ada satu lagi tempat di Sungai Nibung, yang penuh dengan segala perkakas dapur, kerusi meja, dan jangan terkejut, kadang muncul juga kerusi meja almari dari kampus kita di juga lambak juga.