Saturday 25 October 2008

HARI JUGA MILIK-MU


HARI juga milik-Mu
tidak dapat disembunyikan
menetap di rumah detik
untuk tidak berganjak
mustahil. Kitapun diganggu
olah angin
semakin jendela dibuka
semakin petaka bermaharaja lela
ikatlah keinginan
mengecil impian
biarkan harapan
terapaung
jangan kau simpan dendam
silang kata adalah tuturan
pendurja yang kerap lupa
apa yang ditutunya.

Hari pun berangkat
meninggalkan jejak semakin pekat
nikmatilah seadanya

Demikian harimu
janji Milik-Nya
tak perlu kau kutik lagi.



26 Oktober 2008



Thursday 23 October 2008

Wajah Malam Kota


* MEREKA berduyun ke kota
di malam merdeka pesta cahaya
tapi nun jauh di desa
di celah gunung ganang purba
lebur berkecai
sungai ditangguk airnya
deruan air terjun mengaum
pecah di bendungan
hanya untuk aliran
cahaya dari
dusun luka
ke kota
yang melahap
meratah
mencipta
pesta menggila!
SZI - Gombak
2007-2008
* belum disunting

JEMARI

Abjadpun tumbuh di ranting jari
dahanpun menari-nari
debunga bercambah mekar di hati
telunjuk menujah ke awan
telunjuk lurus ke depan
di mentari jatuh
Kiblat-Mu menyuluh
jauh ke lubuk Cinta
Rumah dan Pintu
kulukis lagi
di jari
sebelum kuncup
kecapipun sepi
Gombak
24 Oktober 2008

Wednesday 22 October 2008

KERJASAMA DENGAN SOKA GAKKAI MALAYSIA
















HAMPIR dua tahun kerja persiapan pameran dengan SOKA GAKKAI MALAYSIA (SGM) baru dapat direalisasikan minggu ini. Beberapa hal tajaan tambahan begitu memerlukan kepedulian yang jitu. Usaha menyiap dan menyediakan bahan pameran memang kerja utama pelukis. Tapi persiapan katelog, pemasaran, pr , penaja dan penaung dll melibatkan kepakaran teman-teman lain. Pelukis juga merangkap kurator sendiri mengadap KeKwa (setahun lalu), memohon dana mengisi borang berlapis-lapis, mengantar proposal, anggaran perbelajaan, menawar potong harga frem dan kanvas. Antara kerja remeh bagi orang luar. Demikian Pameran solo urusan sendiri (Galeri Melora) tentu saja berbeda dengan pameran undangan dari galeri luar. Pelukis lepas tangan tapi tentu saja kita harus patuh dengan syarat komisyen yang harus dipotong dari harga lukisan.
Dengan SGM kerja agak mendamaikan hati. Mereka bergerak pantas tapi bekerja dengan lembut, tenang dengan suara yang begitu perlahan. Tidak ada derai ketawa kuat dalam mesyuarat atau berbincang sama ada di bilik mesyuarat mereka atau ketika mereka berkunjung ke studio kita. Malah dalam mengatur, menggantung lukisan di dewan pameran, kerja dalam ke'diam'an itu begitu terasa. Sambil menggantung lukisan memanjat tangga ketika saya membetulkan kain limar di atas frem lukisan, mereka tidak juga bersuara. Bercakap seakan berbisik dan saling mengangguk.

Mungkin kumpulan kawan-kawan lain seperti Fatimah Chik, Ismail Latif atau Bayu Utomo dan rakan-rakan pelukis muda juga mempunyai pengalaman yang sama. SGM badan NgO Budha adalah cawangan antara bangsa yang dikendalikan melalui pusat utama mereka di Jepun. Ada yang bertanya kenapa bekerja sama dengan NgO Budha? Ya mereka telah menghubung jalin kedamaian melalui aktivit seni. Menerbitkan majalah budaya dan kegiataan seni budaya bertaraf antarabangsa. Ku kenali Joanne Fo pegawai perhubungannya (mantan siswi UKM) justeru ketika GAPENA mengadakan seminar di Lhoksemawe, Aceh juga setelah SG Tokyo menganugerah jasa kepada Prof. Ismail Hussin (Ketua 1 GAPENA). Dengan Joanne dan Kathrine, hubungan ini berlanjutan hingga terjadilah kerja pameran Angin Si Sepauh Janggi. Untuk teman-teman pelukis, pemuzik dll , boleh langsung berhubung dengan Joanne untuk projek pameran masing-masing > sgmpro@sgm.org.my .

Dan hari Ahad, lusa, pukul 2.30 selain lukisan kita akan nikmati suara manusia Dewangga Sakti dan Fathul Luqman dan gesek rebab Pak Mat dengan gerak tari mengadap rebab oleh penari kumpulan Makyong Warisan Seri Temenggong di bawah pimpinan Engku Noormala , cucunda Allahyarhamah Seniman Negara Khatijah Awang. Al Fatiha juga untuk Allahyarhamah! Amin



DUA SAHABAT LAMA

RUMAH TERBUKA Balai Seni Lukis Negara 9 Oktober 2008 menemukam kami dengan kawan-kawan seniman lama angkatan 1970an. Tapi seperti biasa wajah itu juga yang ketara gembira saliing bertukar cerita. Untuk kami pelukis wanita nampak Norma Nodin yang selalu kecuh, dengan ketawanya yang berderai, bercerita kerja sehariannya bercampur aduk antara seni rupa dan teater. Paling baru ceritanya kini beliau mula mendampingi kelompak remaja - baru selesai mengadakan bengkel teater kanak-kanak nun jauh di utara , katanya " kau tahu aku bermain lumpur di sawah padi ha tertanyalah mereka, kenapa ada seniman gila dari kota sanggup meredah desa....bermain dalam cahaya matahari baru muncul, santak ke senja....heheh jangan lupa kami lakukan cara kampung....makan minum cara kampunglah.."

Di kalangan lulusan UiTM tahun 1970an hanya Norma terlibat dengan teater. Syarifah Fatimah meneruskan kerjaya pelukis sepenuh masa, WAirah Marzuki menjadi birokrasi seni (mantan pemangku pengarah BSLN). Dr Ruzaika Basree menyelesaikan Ph D di Universiti Malaya lalu meninggalkan arena arca jendelanya dan mula dengan kajian falsafah dan keindahan Islam. Ainon Tamyes, pernah di KKBS, kini hilang tidak tahu kemana, Fatimah Chik beruntung juga kerana kaya batiknya mendapat sorotan daripada Piyadasa dan sekarang amat memberi ilmu di MIA.....Di hari terbuka di BSLN muncul juga sahabat pelukis wanita lainnya Silvia, si nyonya kebaya tapi di hari itu dia berbaju dengan skirt hitam Mexico lengkap dengan boot paras lutut.
Dalam riuh rendah ketawa berderai tiba-tiba muncul pelukis lebih senior Hamidah Suhaimi pelukis potret angkatan 1960an, anak didik Hussain Enaz dan Mazli Som (suaminya) - dari Angkatan Pelukis Melayu. Namun banyak yang tidak tahu atau mengenali beliau. Barangkali data sejarah seni lukis kita kerap tercicir, apalagi dalam keghairaihan pelukis muda sezaman yang mendapat bermacam-macam kemudiahan, samada pameran anugerah perjalanan. Sesekali kita perlu menoleh ke belakang, mengenang saja seniman yang telah membenih lebih awal, berkembang tapi kini seakan dilupakan. Dengan spontan fikiranku mengawang, mungkin boleh di atur program pameran Pelukis dan Model. Ayuh Neem, model yang dilukis oleh Kak Midah Suhaimi ni dah dewasalah sudah mebiak generasi pelukis juga.....hehe tahukan puan milik Nona Roguy juga seangkatan kak Midah kan?

Sunday 19 October 2008

MAJLIS PERTUNANGAN

MENJELANG malam , seorang sahabat lama menghantar pesan (SMS),
- " untuk majlis pertunangan, pihak wanita perlu buat sirih junjung ke- " Soalan polos dan jujur, datang daripada seorang ibu. Pihak anak yang akan bertunang terlintas tidak tentang persiapan majlis adat itu. Soalan itu membuatkan ku tertanya juga, adakah sirih dan pohon pinang ditanam depan dan perkarangan taman rumah . Nak cari sirih di pasar tani atau pasar mewah - atau kalau tidak bersedia tidak mungkinkah terbeli daun sirih plastik di kedai barang-barang alat pengantin, buatan Hongkong! Mujur juga adalah usaha masyarakat India, berkebun sirih dan dapat di beli di pinggir jalan selaluhnya tidak jauh dari kuil Hindu. Rupanya daun sirih ini seakan menjadi pengikat persahabatan masyarakat Malaysia sehinga ada sirih Melayu, Siri China dan sirih Keling (ooop maaflah Pak Vellu), ini nama yang diakui dalam dunia sirih. Daunan sirih inilah yang dijadikan lambang lengkap dengan pinang, kapur, gambir, bunga cengkeh dan tembakau.
Sirihpun disusun di dalam puan = tepak sirih yang akan disuguh hidang sebagai kepala ruang menyambut tamu. Atau sirih puan juga dibawa oleh pihak lelaki sebagai kepala adab dan sirih junjung diarak waktu datang ke rumah pengantin perempuan. Siri junjung juga menyambut dan disusun mengapit kepala dulang hantaran. Inilah perlambangan adab dan budi yang sudah menjadi adat tradisi. Tanpa sirih bagai tidak lengkap sebuah adat untuk dikenang anak cucu masa depan. Salahkah tanpa daunan sirih. Tentu saja tidak (kalau menikah di Arab Saudi harus import sirih dari Seri Langka le). Tapi kalau masih berada di dunia Melayu, sirih menjadi pemanis wajah, sirih lat-lat menjadi lambang menyambut pengantin lelaki. Siri dalam puan juga dibawa ke pintu bilik peraduan. Mak andam akan menunggu hingga subuh, untuk memastikan apakah puan ditelangkup atau dibiar cantik sebagai lambang kesucian gadis di malam pertama. Ha, terkejut? Inilah warisan yang mengajak kita untuk berfikir sejauhkah adat, adab dan keindahan - kesucian mengukuhkan makna sebuah perkahwinan.
Selamat bertunang Cik Munirah Misran, puteri Dr Rosnah Baharudin di Bangi pada 1 November 2008. Sayang sekali saya masih di ruang pameran untuk acara Sidang Seni Angin si Pauh Janggi

PERSIAPAN PAMERAN

LETIH amat terasa. Kadang memang malas nak buat pameran solo. Kalau diserahkan kepada galeri lain, tentu ada masalah juga. Kita pula sudah biasa kerja sendiri. Tapi kali ini terima kasih kepada Melor dan Ida yang sanggup bertungkus lumus berperang perasaan menghadapi beberapa pasangan lain yang terlibat. Soka Gakkai juga terutama Joene juga amat membantu.Kini menunggu rombongan pemuzik dari Kota Bharu....sayang pendana yang berjanji belum beri putus, kos persembahan mereka. Adik-adik lain Fathul Luqman sudah bersedia untuk persembahan lagu-lagu puisi. Begitu juga Zul dengan Dewangga Sakti begitu berbaik hati untuk mencipta lagu puisi sempena pameran Angin Si Pauh Janggi. Terima kasih Tuhan membawa sinar sejuk pagi ini. Titis hujan berdenting di atap zink. Tupaipun menari-nari.

Saturday 18 October 2008

MEMCARI OOM LATIF DI PETRONAS



A.LATIF MOHIDIN muncul lagi dengan siri gelombang. Entah gelombang kehidupan gelombang takdir tentu juga gelombang tsunami yang dapat ditontoninya dari perbukitan rumahnya yang menghadap laut di Pulau Pinang. Tapi nota ini tidak menyentuh lukisan dan pameran beliau. Sebaliknya dengan ghairah kami berkumpul di situ setelah kami dari Sahabat Anak Alam membawa haluan masing-masing. Ungkapan dan saling bertanya, " oui, oi, apa kabar, eh mana Oom"
Oom nama panggilan kami buat Latif Mohidin. Latif belum muncul, dan kalau munculpun pasti dikerumi oleh para kolektor korporat yang saling bersaing untuk mendapat - memborong lukisannya. Jadi di sana sini sambil menunggu acara perasmian, satu-satu sahabat lama muncul. Nah ini dia Pak Haji Botak - Hanafiah Samad terkekeh bila Ibarhim Ghafar menyeru dan bersalaman. Ghaffar Abdullah editor Dewan Budaya tersengeh. Kumpulan tua Anak Alam seperti kembali di zaman belia, tidak peduli jelingan tajam dan aneh para korporat muda kaki tangan Galeri PETRNOS yang memang tidak mengenali kami..." Apa peduli GALERI INI MILIK PELUKIS LAH " .
Entah siapa pula yang bersuara. Tambah seseorang lagi " Kalau tak de pelukis tak hiduplah galeri ini, hahahahah...., macam Dewan Budaya juga, eeh siapa yang masih menulis ulasan seni lukis?" Ghafar juga sengeh dan susah juga nak jawab bila ada suara mencelah lagi, " siapa yang pilih lukisan untuk hiasan Dewan Sastera? ayuh berselang selilah dengan karya pelukis mapan, kalau tidak generasi muda hanya dengar nama pago-pago saja tapi di mana lukisan siri 'Fikiran Minda' , siri ' Lengkawi' atau ....gimana dengan citra keris tercacak yang makin ditakuti suatu bangsa tu, yang tajam, bergerigis di tangan arca logam seniman Perak tu.....Sehingga selesai perasmian dan pelancaran buku A.Latif, senyum simpul, tangan bergetaran mencoret tanda tangan dibuku para pembeli di hari mewah seorang pelukis anak Negeri Sembilan berdarah keturunan Minang.Apo kobar udo di sano?
(Teringat seorang lagi seniman berdarah Minang, Firdaus Abdullah, kemana menyepi dalam arena sastera setelah 'harus' ditamatkan tempoh tugasnya di DBP?)

DATUK BAHA ZAIN DAN KECINTAAN BAHASA



BAHASA MELAYU makin terpinggir? Semua tahu, semua ORANG MELAYU tahu. Tapi siapa yang peduli. Semalam Datin Ros isteri Datuk BAHA dengan asyik bercerita tentang cucunya berbahasa Melayu baku....antaranya beliau mengutip ayat daripada cucunya, " Tok Wan apa kabar. Sehat bukan, hari ini tanggal berapa ya?" Cucunya berusia 8 tahun. Wah ini pasti gara-gara pembantu Indonesia hingga cucunya pun menggunakan perkataan tanggal bukan tarikh. Beliau yang memang pernah menetap di Jakarta pada tahun 1970an tidaklah setelor kami yang kerap bergaya dengan bahasa Indonesia-Jawa (kalau tinggal di Jogja-Solo) atau Indonesia-Sunda (kalau tinggal di Bandung-Bogor) atau dialek Jakrta-Betawi. Tapi pembantunya orang berpendidikan lulusan SMA hingga bahasa cucunya lebih baik daripada teman-teman sekolahnya yang sudah campur aduk dengan dialek Melayu Kedah Kelantan berbauh dengan pelat Inggeris sesat. Ini sudah menjadi gaya tunggang langgang bahasa Melayu Malaysia. Kalau kita berbicara dengan baik nanti akan terdengarlah ucapan " alah syok gaya Indonesialah..."
Alkisah saya teringat lagi acara dialog seni yang dianjur oleh PETRONAS sempena pameran A LATIFF MOHIDIN (2007). Pelukis tidak muncul. Datuk BAHA ZAIN dijemput sebagai pembicara tentang pengalaman beliau mengkaji, menulis dan memang berbaik dengan pelukis itu. DENGAN PENUH PERCAYA DIRI, TIDAK PEDULI protokol yang lazimnya ucapan rasmi dengan bahasa saki bagi penjajah, DATUK BAHA MULA BERBICARA DENGAN CANTIKNYA BERBAHASA IBUNDA = BAHASA MELAYU ANAK BANGSA TANAH MELAYU. Satu persatu yang bukan Melayu, bangun dan meninggalkan ruang , tapi Datuk Baha meneruskan acara dialog seni dengan bahasa ibunda kami.
Pengalaman pedih ini kulalui ketika menyampaikan proposal TAMAN MELAYU untuk ruang seni taman Putrajaya (2006). Para direktor korporat pembangunan, kontraktor, vendor umumnya RAKYAT MALAYSIA : Melayu, India , China dan hanya seorang ORANG PUTIH. (Belanda). Satu persatu wakil ketua projek bangun menyampaikan proposal cadangan taman dengan bahasa penjajah itulah walaupun terdengar sengau Hokkian, pelat Pelagu....hinggalah tiba giliranku (mewakili Group Bahari, milik YM Dato' Raja Bahrin) untuk nenjelaskan nama dan latar bangun seni taman Melayu. Mereka terkejut sakan mendengar bahasa Melayu aneh, bahasa Budaya yang jarang mereka gunakan. Kerana selama ini mereka gunakan ruang verandah, balcony bukan ANJUNG, mereka tidak menyebut TIANG SERI tapi lebih megah menyebutnya pillar, mereka bertanya PERABUNG itu apa. Malah perkaan HILIR dan HULU
tali air (yang akan dibina dalam taman) juga dikatakan sebagai kesan kekampungan. . Untuk hiasan dalaman ku bawa contoh LEMUDI tekat sulaman benang emas Perak, bantal dan kusyen kain baldu dan songket untu hiasan bilik diraja (Istana Singgah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong). Kecoh juga jadinya, kerana vendor telah membeli tekstil Itali....weh. Mujur Dato' Raja Bahrian angguk-angguk kepala gembira. Selesai persembahan kertas lunjuran....hanya seorang bertepuk tangan.ANDA TAHU SIAPA? Ya si Orang Putih itulah .
Apa Katanya, " Terima Kasih Puan Siti, selama 3 tahun saya berkerja di sini hanya anda yang boleh bersuara Melayu" .
Ya Dia kudengar mengenalkan dirinya " Saya Wille dari Belanda, lama tinggal di Makassar dan sedang menyiapkan projek kapal pinisi Bugis untuk tasik Puterajaya...." Kami beriring ke ke meja minuman menikmati kueh koci dan karipap (currypuff) MELAYU, HAHAHAH. SAMPAI SEKARANG nama-nama jalan , halaman masih saja dengan nama aneh itu. Tapi ku dengar selepas itu kudengar bisikan,
" Aneh ya bahasa Melayu dia, bahasa Melayu lama ya...."
Tapi di hujung lidah mereka yang dapat kutanggapi ialah ungkapan Melayu asal kampung mereka dalam dialek Kedah, Kelantan dan Trengganyu . Jadi bahasa mereka yang kekal dengan kedaerahan masing-masing hingga tidak sanggup berbahasa BAKU (maaf bukan bahasa Indonesia ye). ITULAH BAHASA DI HUJUNG LIDAH DUNIA KORPORAT, DUNIA
ORANG POLITIK yang semakin bebas menolak bahasa Ibunda dalam pembicaraan dan acara rasmi...tidak sah tanpa menyelitkan ayat songsang itu.
Pagi ini saya tersesat di simpang SENTUL EAST, SENTUL BOULIVARD ,CHOWKIT RING, lalu singgah di de' buraqe = borak ((bukan zaman barouque) memesan kopi (mereka menyebutnya kopi cina = cappuccino) padahal campuran kopi kisar halus dari kedai Apek di Tanjung Malim. Saya tambah pesanan lempeng, mereka ketawa dan mengatakan penkek (pan cake). Bila pasanganku memesan kopi pekat pelanyanya tersingeh tak faham (dia pelayan Mynmar yang baru seminggu bekerja di situ) baru gembira bila disebut Short full black. Aduhai-aduhai hatiku baru dapat di bujuk bila anak saudara mengirim SMS dengan ceritanya yang gembira sangat memesan makanan kuih cukgodok dan lempeng di restoran Melayu London. . Kenapa di luar negara baru mereka tidak MALU menggunakan nama kuih dan makanan nenek moyang?
Maka terlantun-lantunlah bayangan ingatan ketika semeja dengan konsulat Indonesia melayan tamu Menteri HAM memesan mee laksa dan sambal belacan Pulau Pinang jauh di musim dingin Hamburg. Dan pemilik kedai (China Malaysia) tersengeh bila ku kata sambal belacan tak terasa belacan! Apa jawabnya,
- "Belacan Penang dah habis saya buat belacan sendiri dengan udang besar Jerman, hussss jangan beri tahu kepada yang beratur di luar sana tu ya!"
Ya di luar berderet peminat laksa dan belacan Pulau Pinang - orang putih le menunggu giliran! pesanan!

SI KEMBOJA MERAH JAMBU


RAMAI saudara-saudara dan jiranku bingung bila aku mula menghiasi taman dengan pohon satu ini. Kemboja atau kononnya bunga dari Champa hanya wajar ditanam di kawasan pusara. Si Miah mengatakan " Wah itu pohon berhantu" Eeeh, telingku saling menangkap bisik-bisik aneh dari kanan kiri, " Hei lihat tu, perkarangan sudah disiapkan untuk taman perkuburan". Pernah kau diejek begitu. Pada hal sejak aku terjejak Tanah Ubud, Kelungkung dan Batur ( Bali 1970), bunga itulah tanda kesuburan, memberi harum di kepala setiap penari menggerakkan jejaknya di bumi.
- " Pohon berkah " kata Made Wianta.
- " Pohon cinta " tambah Kirana yang bertahun memendam rindu kerana Wianta harus bertahun membawa diri dan menetap di Wianne sehingga oleh ketegaran kemboja memberanikan Kirana dan memberi kekuatan batin untuk melamar sendiri jejaka tegar hingga Wiante gelabah meninggalkan kegialaan Eropah musim dingin. Sama ada ia disebut dengan berbagai nama, kembojaku, makin bercabang dan merimbun. Paling tua usianya masih bersisi di halaman 17 Jalan 1/7k Bandar Baru Bangi sudah berusia hampir 30 tahun (ditanam pada tahun 1983). Terima kasih Ishak Saidin yang membekalkan benih kahwin putih dan merah hingga kelopaknya berwarna merah jambu - lebih banyak putihnya. Beberapa kali dipotong disemai di bawa ke halam Kampung Bandar Dalam dan kini sudah bercambah mengelopak di Halamnan Galoh Tanjung Karang.
Memang menimbulkan keraguan jiran , kerana kalau waktu malam selepas hujan harumannya semakin keras, " Wah dia sudah tiba " - Siapa dia? Penunggu rumah itulah yang kerap kehilangan penghuni! Kemboja, bunga Champa atau frangipheni tetap berkelopak, kembang dan gugur di luar jendela rumah kami.
(teringat Cempaka Blanco yang digilai Nyoman Gunarsa, dimana dikau sekarang?)

TEMU JANJI

INI hal yang kerap menjengkelkan. Para pembuat janji - ingin bertemu, ingin bertemu ramah (ingin ramah mesralah tu) tapi dengan kehendak memengembangkan perniagaan mereka. Kesah pelukis seperti penyanyi pelakon jugalah. Tapi kita pelukis ini lebih lekeh di mata mereka. Kalau ingin jumpa atas arahan ketua penerbitan mereka, wah berkali-kali dia menghubungi kita untuk mengisi macam-macam judul buat ruang penerbitan mereka. Kita selalu 'di akurkan' dengan arahan mereka - nak rakaman audio visual lebih seksa. Merekapun menghantar wartawan muda (walau ada juga sudah berusia baru dipindahkan ke kolum seni) - sehingga kadang sakit perih bila disoal balik kepada kita "....maaf ye siapa Latif Mohidin tu, eh BAHA ZAIN itu penaria ke? " - setengah tersedak dan tercekek bagaimana Neem nak jawab soalan ini.
Begitu juga bila ada projek penulisan sejarah untuk kelas sekolah menengah rendah. Gurupun mengarah murid-muridnya untuk jumpa pelukis atau penyair....wah kitapun harus menerima panggilan talipon dari orang tua pelajar " eh....boleh ke you terima anak saya datang ke rumah, kalau ada buku free hadiahlah ke anak saya". Anda tahu siapa pula yang bersuara begitu? Seorang penyarah kanan le...Nah setelah lebih 30 tahun menerima gejala yang sama , letih amat melayan karenah 'sibuk' itu. Aku dah tak mampu lagi menyediakan segala album, guntingan akbar, apalagi katelog atau senarai buku terbitan - CV lah tu. Inilah yang terjadi sekarang...Sekarang kerja begitu dibantu dengan meminta anakku atau kawan-kawanya buat kerja sukarela untuk menyediakan segala bahan-bahan yang diperlukan.....dengan bersyarat juga kepada mereka : 1) buku kena beli (bukan beri percuma lagi),2) guntingan akbar akan di xerox (kerana kerap dikeluarkan dari album selalu tidak dipulangkan), 3) kalau buat rakaman di rumah, tentu juga mbok Inem menyedakan minuman rengan atau biskut kering....wah sudah berkiralah cik Siti ni - bisik hatiku). Tentu saja kru mereka tidak 1-2 orang yang datang malah ada yang datang hanya sibuk-sibuk mencari suis saja, kemudian goyang kaki dikerusi...maaf Fiha). Lalu ide ku begini saja ..." Sekarang saya sokong kerja anda - tapi kalau saya buat pameran atau memulakan penyedidikan, sudilah sokong dengan sedikit dana untuk membantu kerja seniman"...Eh inilah puncanya, "Maaflah kami takde dana untuk itu..." sungguhkah? hatiku berdetik sedangkan kerja mereka itu memang untuk dijual ke penerbitan besar juga...untuk ditonton bersama halayak bangsa...eh..." You berkira sekarang - padahal kami juga buat promosi untuk kerja seniman?" Wah-wah, Senaman Negara juga terpinga-pinga bila rumahnya didatangi rombongan pelajar sekolah, berkeliling mencari pintu masuk tanpa membuat temu janji lebih awal. Hatiku berdenyut ...kesian sungguhkan menjadi seniman di negeri yang lembab penghayatan seni? Bagaimanakah Kemala melayan tamu-tamu dengan suluhan kamera tanpa disolek seperti mereka membawa jurusolek untuk para bintang-bintang glamour? Dalam samar-samar pandang kelam terdengar suara keluh Allahyarham Usman Awang ..." mahasiswa jauh-jauh datang ke rumah atau ke pejabat hanya dengan soalan..1)tarikh lahir 2) bila mula menulis 3) sudah berapa jumlah buku....dan 4) eh anak berapa ya?
Lalu petang ini aku tertangguh untuk ke acara rumah terbuka di Jalan Aman kerana menunggu rombongan juru kamera untuk terbitan mewah - TIDAK DATANG TANPA MEMBERI TAHU ATAU MEMBATALKAN RAKAMAN - tentu saja dengan alasan tidak ada dana untuk menyokong kerja penyelidikan kami. Gimana sahabat.....sombongkah kita hanya kerana sudah berkira masa itu emas? Mungkin Marsli tahu memberi jawabannya. MasyaAllah...
Alhamdulillh dalam remang senja saya semeja menjamu udang masak tempoyak dengan Datuk Baha Zain....dan kak Ros, yang bertanyakan " Apa khabar Kemala dan Pon Mariam?" Apapun terima kasih Tengku Alauddin yang amat mengharga emas milik bangsa kita itu?

Wednesday 15 October 2008

UNDANGAN PAMERAN

GALERI MELORA dan SOKA GAKKAI
menganjur pameran Solo ke 15 SITI ZAINON ISMAIL
ANGIN SI PAUH JANGGI -
kenangan Makyong Khatijah Awang.
PERASMIAN pada 26 Oktober 2008
di WISMA SOKA GAKKAI MALAYSIA
NO 243 JALAN BUKIT BINTANG
PUKUL 2.30 Petang
di rasmikan oleh YB Senator Datuk Zaid Ibrahim
Pameran berlansung hingga 2 November 2008
acara lain
SIDANG SENI pada 1 November 11 pagi
tema Siti Zainon dan kegiataan Keragaman Seni
dengan pembicara
1) Prof Dr Zakaria Ali (UPSI)
2) Dr Zulkifli Mohammad (Swarnabhumi)
3) Tan Sei Hon (BSLN)
Moderator YM Raja Ahmad Aminullah (RA Fine Arts)
KEDATANGAN ANDA DIALUKAN
pertanyaan > tel : 03 9075 6876
hp > 019 391 4614

Tuesday 14 October 2008

PAMERAN ANGIN SI PAUH JANGGI




CATATAN kajian oleh Dr Zulkifli Mohammad: Belan-belan berjalaan, terijik angin kerajaan Utopia...



Bertuahlah kanak-kanak bernama Siti Zainon Ismail segar membesar di Kota Bharu seusia 7 tahun, sewaktu Malaya baru masuk merdeka pada tahun 1957, di sebuah kota yang sering digelar " cradle of Malay culture/ negeri Cik Siti/negeri Cerang Terayung - Tanah Serendah Sekebun Bunga...." Semasa sekolah rendahnya did Kota Bharu, Siti menyaksikan berbagai bentuk permainan rakyat Kelantan ...Puja Umur di Hari Keputraan Sultan dimana jiwa dan rasa cerita seri rama, siti dewi, dewa muda... Pertemuan pertamanya dengan Khatijah Awang di pantai timur di tahun 1970an telah menjalinkan hubungan penuh erti... melihat dengan kacamata adigurunya Pak Nik Man - bomoh diraja, pak Ayub Ismail - pamain rebab, uztas Abdullah Nakula....itulah dunia yang mempengaruhi dunia penulisan (puisi, cerpen) /kajian tekstil dan senitari klasik. Dan pameran Angin Si pauh Janggi adalah kenangan kepada Allahyarhamah Khatijah Awang dengan Siri Imbasan Sang Primadona berurutan dengan Siri Warkah Jawi.


Malam Emas Bukit Seguntang ( 2008, Akrilik, 108 x 98 cm) adalah dunia angin itulah para dalang menyimbolkan para makhluknya- si kunang-kunang, sang kelkatu, para nyamuk dan pepatung makhluk yang bersayap memberikan cahaya kecil kepada si pemuja bulan dan bintang. Kadang menyinarkan si Gunung Seguntang menjadi segumpal cahaya keemasan menjadi penyluh hati sang pendeta yang sedang mengembara....


Kajian dari Rahimidin Zahari: Apabila saya mengambil petikan latar dari panggung dan kelir, tentunya akan adanya pertanyaan, apakah kaitannya dengan Siti Zainon, sang penyair dan pelukis dengan Makyung dan Wayang Kulit? Kaitan dan pertindihannya amat banyak. Pameran itu sendiri adalah merujuk kepada dua genre. Kembara masa kecil Siti Zainon dari Kampung Paya menaiki keretapi, dan singgah me gaji Quran bersimpuh di depan rehal Tuan Guru Haji Mohamed, ayahanda almarhum Ustaz Abdullah Nakula antara Dusun Muda dan Makam Langgar...' Hikayat Beringin Tenggarung', ' Zikir Beringin' adalah transformasi pohon beringin dalam tradisi wayang kulit ke dalam catan...Dalam ' Hikayat Beringin Tenggarung' saya berdepan dengan hutan beringin biru lembut yang berlapis-lapis dengan lapan garis yang memisahkan antara satu sama lain... bercerita mengenai kehidupan masa lampau dan masa depan. Sebuah dunia impian yang dibina sang seniman, apakah akan kekal sebuah kelastarian kehidupan dan keindahan alam ciptaan Tuhan? Siti Zainon memberi pertanyaan.


(Sumber Katalog pameran Angin Si Pauh Janggi- Kenangan Makyung Khatijah Awang, terbitan RA Fine Arts Gallery, 2008)

Thursday 2 October 2008

Rezeki Idilfitri



Resepi pagi idilfitri Soto Cik Minah, dari dapur Melor dan Wira
.....
Terima kasih Tuhan
atas limpah kurnia Mu
namun tak semua makanan penuh di meja
nun di balik sana
masih berenjisan air mata
dentuman peluru dan percikan darah
menjadi hidangan para mangsa
yang tak henti dengan dendam dan
benci
bilakah langit senyap dan awan merekah cantik bercambah zikir menyatu cinta penuh kasih ibunda!
Syawal 1-3 2008

Ya Rahman Ya Rahim Ampuni Kami

Di rumah Abadi
kita kerap berjanji
demi nurani insafi
dalam hening idilfitri
ninda ibunda kami iringi doa
Al fatiha di halaman Utama
getar Yassin, apalah yang ada pada kami
air mata menyatu dalam Surah Mu
demi perjalanan yang tiba
untuk kita menyatu di situ .
1 Syawal 1429, Pusara Kampung Puah
Batu 3 3/4 Jalan Gombak K.Lumpur

Syawal 1429


Alhamdullah, takbir sudah bergema, syawal pun tiba, Allahuakbar Allahuakbar, mohon ampun maafpun dipinta, semoga kehidupan mendatang lebih menjadi dewasa dan mulia.

1 Syawal 1429/1 Oktober 2008