Thursday, 22 July 2010

Brunei Darussalam Negara Melayu Islam Beraja (Sultan) dengan Warisan Sastera Budaya

SEMPENA Pertemuan Penyair Nusantara ke 4 (16-19 Julai 2010) telah berhimpun lebih 150 orang penyair Nusantara dihadiri oleh peserta dari Malaysia, Indonesia dan Thailand di Negara Brunei Darussalam. Ramai peserta luar masih kabur dengan sejarah negeri terkaya di Nusantara ini. Seperti ada yang berjenaka dengan membandingkan keluasan negeri Melayu Islam Beraja ini, kononnya hanya seperti pekan Kelang, atau terdengar pula omongan negeri ini hanya seperti kabupaten saja. Kenapa ada yang menilai dengan ukuran keluasan tanpa memperdulikan sejarah latar dan warisan budaya Melayu yang kekal di rantau ini . Ciri utama sebuah negara Melayu Islam berperlembagaan dengan status pemerintahan Ke Bawah Duli Tuan Patik Sultan. Sebuah negara yang berusia lebih 600 tahun mengekalkan adat istiadat Diraja Melayu dengan Islam sebagai agama rasmi.
Kebetulan kami tiba sempena hari perayaan keputeraaan Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibnu Almarhum Begawan Sultan Sir Omar Ali Saifuddien yang ke 64 tahun. Kota Seri Begawan, berkilau cahaya, neon bergemerlapan di mana-man . Barangkali itulah ketepatan kami kumpulan penyair turut merasai kemeriahaan ini, walaupun kami hanya berkumpul mendengar ucap utama dan forum di Dewan Raya Radio TV Brunei yang bertemakan Melestari Kehijauan Alam dan Kehidupan anjuran ASTERAWANI dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei .
Sebagai negara yang berperaturan rasmi berlandaskan adat istiadat diraja Melayu dengan pegangan Agama Islam, wajar sekalilah pihak sekretariat mengundang Mufti Agama untuk merasmikan acara ini. Kebetulan Mufti Kerajaan, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz (Dr) Haji Awang Abdul Azizi - juga adalah penyair angkatan 1960an yang cukup terkenal ketika itu iaitu Adi Rumi . Manakala acara penutupan dilansungkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, YB Pehin Uda Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Baharudin bin Dato Paduka Pengarah Haji Othman juga penyair tahun 1960an iaitu Baharuddin H.O.


Bukti keagungan nilai islam inilah yang memancari Seri Begawan. Bangunan masjid awal telah dibangunkan dalam pemerintahan di zaman al-Marhum Begawan Sultan Maulana Sir Omar Ali Saifuddien (naik tahta thun 1950- 1967) yang tidak jauh dari Kampung Ayer. Seluruh bangunan diwarnai dengan dinding kuning dengan kubahnya emas 18 karat. Setiap pintu masuk berhiaskan kepingan kaca berhiasan warna dengan bentuk lekuk pucuk rebung tiga sejajar.

Apa yang lebih menyentuh fikiran ku ialah kepakaran Al Marhum Seri Begawan Omar Ali Saifuddien sebagai penyair, penyusun Syair Asli Rajang Hari, juga seorang perencana pembangunan adat istiadat dan hukum berlandaskan nilai Islam, dengan syair Perlembangaan Negeri Brunei Darussalam

Di bawah sinar bulan sabit ketika angin malam menderu dari arah sungai, perahu diraja seakan beralun melimpahkan cahaya kuning kehijauan. Siapakah yang bersyair di sana? Paduka Yang Maha Mulia Tuan Patik kah masih menyalin kitab warisan lama? Syair itupun terus bergema...

Di zaman silam beratap daun * Masa ini belian dan bata
Beransur setahun pada setahun * Laila kemajuan buktinya nyata

Dulu berunding di Lapau Penghadapan * Sekarang berunding di Dewan Majlis
Menghadapkan yang benar Laila berhadapan * Jangan lekas tunduk memalis.
(Muda Omar Ali Saifuddien, Syair Asli Rajang Hari, DBP Brunei, 19094/2006,23)


Dalam sinar cahaya kami datang
ketika pulang jangalah kecewa berhati walang .

Puisi dan sastera ada di hati kita....kita belajar dengan anika gaya budaya....anda telah berpuisi di pentas, di dewan, di Kampung Ayer, memang tidak mudah mentadbirkan kehendak pribadi penyair, kerana kitalah penyair yang wajar membangkitkan semangat persahabatan sesama kita demi martabat kasih se Nusantara. Pintu puisi bersama telah dibuka di pulau ini, kenapa tidak kita atur perjalanan puisi lagi bersama sahabat penyair yang telah kita akrabi di sini?


****
Catatan awal di awana laut Cina Selatan - Gombak
20-22 Julai 2010

Monday, 12 July 2010

SIAPAKAH YANG MENILAI Dan MENGKAJI KARYA TEKS MELAYU TRADISI ?

Terbitan teks sastera Melayu masih terabai terutama teks sastera Melayu Tradisional. Bagaimanapun masih ada penerbit yang setia menerbit dan mecetak walau pulangan perniagaan tidak menjamin berbanding dengan teks popular. Bahan ini hanya dipakai untuk kajian Sastera Tradisidi - kita masih kekurangan pembaca yang sanggup menyelongkar rahsia dan makna sejarah adat, budaya dengan langgam bahasa yang kononya sukar difahami oleh lidah Melayu masa kini .

Barangkali kesedaran ini perlu diangkat oleh penulis kreatif dengan menyentuh isu sejarah, bahasa dan budaya lama ke dalam olahan yang segar. Kalau SN Usman Awang meneruskan ritme pantun ke dalam sajak modennya...kita juga telah menemuikan sikap kreatif penyair yang mengolah kembali citra tradisi ke dalam sajak mereka. Antaranya SN Muhamad Haji Salleh dalam kumpulan Sajak-sajak Sejarah Melayu, Zaihasra dengan Tun Fatimah...

Perkataan Melayu klasik juga diterap oleh Zaen Kasturi, Nisah Haron, Mawar Shafei (sebagai contoh) sehingga citra dan keindahan sastera moden makin terserlah. Begitu juga dengan watak Melayu Klasik kerap dijalin indah oleh SN A.Samad Said seperti Cinta Fansuri , dan Muhamad Haji Salleh menamakan putera tunggalnya , Kasturi !

Anak siapa yang bertama Tun Teja , Tun Seri Lanang?.....kalau Tuah sudah ramai haaahaaa..nama Jebat masih jarang, jarang (pinjam dialog Pak Belalang)




SZI, Kolam si Pauh Janggi, akralik 2008
Usaha yang sudah dilakukan oleh pelukis pula ialah memindahkan fahaman teks Melayu Klasik ke unsur garis dan warna. Seniman Negara Syed Ahmad Jamal mengambil citra Gunung Lendang, Anuar Rashid mengambil cerita Hikayat Merong Mahawangsa. Malah teks moden melalui sajak Pak Utih juga diangkat oleh Ibrahim Husin (Allahayarham) dan Latif Mohidin mengambil tokoh idolanya Chairil Anwar?
Pertanyaan dan saranan saya> bagaimana sikap penulis dan pelukis muda? Sudi-sudilah mengelongkar kembali khazanah ilmu (buku) warisan kita bagi menggali sejarah seni budaya yang semakin kehilangan jati diri oleh kesibukan aksi globalisasi - semoga parodi filem Puteri Gunung Ledang tidak berulang sehingga dapat mengangkat mengikut jalur tidak jauh menyimpang daripada teks warisan !

*****
data awal untuk esei Naratif - naratif Seni Rupa ...(tunggu ya Nim)

Gombak
13 Julai 2010

Wednesday, 7 July 2010

RAHSIA PERHIASAN PEREMPUAN

Gelang pendinding, asal Pakistan (koleksi Sanggar Nilam, 1990an)
MENGAMBIL kira pengertian keindahan yang disarankan oleh al Ghazali yang paling asas ialah mengatakan alam itu Indah. Keindahan diberi oleh Pencipta YANG INDAH dan sukakan keindahan - barangkali dapat kita rujuk kenapa perempuan paling gemarkan keindahan. Di MATA HATI yang jeli, keindahan bukan dinilai daripada jelingan mata, di senyuman indah di bibir bak delima merkah. Di sini sudah sejak berzaman perempuan tahu meletak dan menilai segala yang indah bukan hanya untuk dipakai, diperaga -tetapi mempunyai fungsi lebih daripada permakaian lahirian. Daripda fungsi yang misterius hinggalah membawa makna perlambangan kuasa dan penyelamat jiwa raga.

Gelang pendiding Bugis-Mengkasar (koleksi Sanggar Nilan, 1980an)
Di wilayah yang kerap dilanda perang sejak berzaman, perempuan yang pempunyai kuasa, baik sebagai isteri pemerintah atau dilantik sebagai pemerintah telah memakai dan menambah perhiasaan bukan sekadar lambang kuasa - tetapi juga sebagai alat mempertahankan diri. Di kalangan perempuan di wilayah lembah Himalaya, hingga mengalir ke persekitaran Kaukasuss, hari ini kita kenali sebagai wilayah Afgahnistan- Pakistan, gelang tangan logam besi bercampur timah, telah diukir indah menyarung pergelangan tangan. Sekali dia mengangkat senjata, atau sekali dia dihunjam senjata musuh, pergelangan tangan yang menyimpan urat nadi di situ dapat terselamat dari hirisan mata pedang.
Tradisi ini berpanjangan , sampai ke wilayah kepulauan Nusantara di termasuk Acheh, Champa mengalir ke kepuluan Bruni ke Laut Sulu, masuk ke Sulawesi, Bone mahupun di kalangan wanita ratu di Bugis Mengkasar....


Hiasan cucuk sanggul, karya pelajar
Institiut Kraf Malaysia (Koleksi Sanggar Nilam, 2009)

Begitu juga cucuk sanggul dihias permata nilam ( biru hitam) delima (merah) dan zamrud (hijau), lazuardi (biru) kelihatan berseri di hiasan sanggul kepala. Namun di hujungnya yang tirus runcing tajam mata yang bersemat racun. Siapakah yang tega membunuh suami dengan cucuk sanggul bukankah oleh kecewa kerana suami yang curang sedang dia betempur dengan maut ...tanyalah cucu cicit waris Puteri Saadong pada abad ke 17 M ?


Sisir kayu Flores (kiri dan tengah) dan sisir Orang Asli-
Senoi Gombak (koleksi Sanggar Nilam, 1970an)

Pusaka paling luhur, alamaiah ini juga bersirat rahsia. Di kalangan waris proto, inilah sisir yang bermata cakar ayam , lurus tajam di hujung. Sesuai dengan rambut perempuan proto yang keriting mayang, sisir ini memang amat berfungsi meleraikan simpul, menyergah sarang telur kutu di kepala , tetapi awas hujung kayu runcing ini juga akan menusuk daging pelaknat yang menggangu keharmonian penghuni rimba.

Anak gadisku dan perempuan sekelian, di manakah dikau simpan segala rahsia perhiasan ini. Dapatkah dikau menjaga permata kesucian mu dengan hiasan senjata Iman!!!



______
Anjung Kasih Bonda
Bangi
8 Julai 2010







Sunday, 4 July 2010

DI CELAH BELUKAR ILMU

AWAL Julai di sambut cuaca mendung, awan berlapis, mentari tidak mencelah hari ini. Gerimis sudah berderaian. Ada tiga acara yang harus kulakukan serentak. Walau titis gerimis menyimbah sengaja kuhulur jemari mencecah kelopak daun pisang hutan, memetik setangkai daun buluh ,terasa sejuk embun masih di situ...
Belukar kecil di halaman ITNM , 1 Julai 2010
Setelah meletak sejudul esei di meja editor Dewan Sastera (untuk keluar ogos 2010) , berbincang tentang sketsa untuk bacaan remaja...kami menyambung debat resah para editor muda. Terdengar keluhan , " sekarang penulis jarang mahu singgah - mungkin jalur kiriman tulisan lebih mudah melalui emel, tapi penting juga dapat menatap dan mendengar suara penulis " Apakah memang aku masih setia datang menghantar bahan terkisah kerana sketsa (siri Puisi Wanita Ratu), tidak cantik dikirim lewat emel, atau hanya memang ingin bermesra dengan editor pelapis?
Hujan masih berderaian. Kutatap wajah resah tapi cerit Siah dengan cerita membina hubungan kasih saudara....mewakili ayah ibu untuk mendidik adik...ku tinjau suasana KL dari menara tingkat 20, melihat tanah lapang di depan Jalan Hang Tuah setelah sebahagian bangunan Penjara dilenyapkan...tapi bayanganku masih juga ke kelopak daun pisang sehinggalah ketika tiba di halaman ITNM untuk menghantar borang akuan janji penerbitan sajak terjemahan ke bahasa Korea. Kedai buku teratur, meja juga menunggu dengan setia...siapa pengunjung atau pencari buku di rimba ilmu? Hujan kembali berderai ketika aku keluar. Di celah belukar batang pisang sudah menjulurkan buah dan jantung masih di hujungnya. Beberapa putik kemboja baru belajar kembang. Kuperhati batang yang rebah, sudah mereput dan segugus kelopak daun kembang mambang melekat. Kugapai, akarnya melentur lembut dan tercabut dari batang reput. Entah siapa yang berdiri di jendela bangunan melihat aku mengutip tumbuhan di celah belukar ? Aku merasa berbaloi setelah membeli 5 judul buku terbaru, wajarkan aku menambah dengan mengumpul segugus tumbuhan yang terbiar di sisi belukar?

Menjelang Asar, aku sudah tiba di Ulu Kelang ....masuk ke gerai terbuka jualan murah " belukar ilmu " dengan potongan 70%. Majalah Dewan Sastera,Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Siswa bertindih, 50 sen....kukutip kukutip amat rakus. Seperti biasa dua judul karya ku masih bersisa, Seri Padma (DBP 1984) Bunga Putik Putih (DBP 1991), Karya ini masih diperlukan oleh pelajar sastera di kampus mencari dan mengkaji...baiklah ku borong untuk kemudahan pelajar yang memerlukanhya lagi.....

Koleksi cerpen terbitan tahun 1984,
dengan hiasankulit buku " Pohon Hayat 1" koleksi UKM

******
Gombak
5 Julai 2010

Monday, 28 June 2010

CERITA LISAN TIOMAN DAN KG MUKUT


KEMBALI ke Pulau Tioman, seperti kembali ke halaman lama yang ditinggalkan. Ada rasa mengigit, terlayangkan kawan-kawan seniman yang sudah berangkat jauh. Aku sampai pertama kali ke Pulau Tioman , tahun 1988, bersama rombongan pelukis (Persatuan Pelukis Malaysia, PPM) di pengerusi oleh Allahyarham Ahmad Yusuf. Kami melukis kampung nelayan, masuk ke kawasan air terjun dan cuba menyatu dengan cerita asal tempatan. Aku bertemu Pak Lugam, bekas nelayan yang menghabisi hari tuanya dengan menganyam bakul, tikar untuk kegunaan seharian.



Tahun 2010 bulan Jun ini aku mendapat jemputan untuk mengendalikan program pemurnian karya kreatif dari kumpulan staf (pensyarah) UiTM Segamat. Bersama Nisah Haron kami bergabung sejak dari Bangi-Seremban-Segamat-Mersing sebelum belayar lebih 3 jam dengan feri menuju Kampung Mukut. Feri berenang laju tenang di Laut Mersing mencelah-celah pulau kecil yang bertaburan. Betapa indah dan sempurna ciptaan Ilahi.
Pemilihan AJK program ini memang menarik, kerana memilih Kampung Mukut di kaki Gunung Nenek Si Mukut, pasangan bukit berapit sepasang, menujung ke atas.
Sebelum tiba di jeti, kelihatan sayup Pulau Pemanggil yang kaya dengan cerita metos yang menggelorakan pelaut. Kerap kapal-kapal yang menghampiri pulau akan disambut gelombang tinggi, langit tiba-tiba gelap gelita. Kapal asing kerap karam dan hilang. Sebaliknya kalau Nakhoda Muslim akan cepat melaungi azan dan laut tiba-tiba kembali tenang dan kapal dapat berlabuh...(mengutip cerita Pak Taufiq Ismail, pengalaman orang tua beliau yang pernah membawa senjata dari Surabaya dengan pinisi Bugis di zaman perang Belanda).
Kami sampai ke jeti Kampung Mukut disambut ombak besar sehingga feri terus beroleng dipukul gelombang. Kebetulan kampung ini memang menghadap laut Cina Selatan, dan angin petang bertiup menggelombang laut, yang mula membawa ombak besar selepas bulan Jun. Inilah kampung asal yang masih belum diterokai pembangunan. Belum muncul gedung perniagaan seperti di Kampung Genting dan Kampung Tekek.

Orang kampung memanggil gunung sebagai Nenek Mukut.
Nenek berganding dengan 'datuk' tegak berdiri agam sudah dilitupi kabus. Di hari ke dua kutemui Nenek (Tuk) Nabiah, datang singgah di pondok kami. Peluang mendengar cerita pulau dan kampung ini terbuka. Tuk Nabiah mula bercerita tentang Pak Lugam yang pernah kutemui pada tahun 1988.

" Oooh Pak Lugam sudah nmeninggal dunia , di Kampung Batang Air. Anak-anaknya ada di Kampung Tekek dan yang lain sudah ke Tanah Besar.


Kenapa di sebut pulau Tioman ? Ah soalan bodohku tiba-tiba terkeluar begitu saja. Pada hal sudah mengutipnya hingga melahirkan cerpen " Taman -taman Laut".
" Oooi banyak cerita lah, Tuk tahu sikit aja, tapi selalu dengar cerita dari Tuk Wan...ini pulau tempat laluan dua ' orang' naga, lelaki dan perempuan - suami isterilah naga itu. Mereka datang dari Tasik Chini, keluar ke laut berjalan-jalan, makan angin. Zaman dulu, suami atau lelaki harus jalan di depan, sebagai pengawal, tunjuk jalan. Perempuan di belakang....jalan terus berjalan lelaki naga terlupa, kira-kira isterinya ada mengikut di belakang. Sampai di pulau ini, isteri naga tersangkut ke busut pasir tak dapat berjalan lagi....ini pulau yang kita duduk ni badan naga lah..si naga lelaki terus berjalan sampai ke Daik...nun jauh di sana itulah badan naga dah jadi pulau? "
Ha? kenapa di sebut Tioman?
Tuk Nabiah tersenyum. Pasti berbisik di hati ....bodoh sungguh orang ni, nak datang ke pulau tak cari cerita dari buku.....heeehuuuuong.
" Ooooh sejak lama, pulau ini kosong, cuma jadi batu, bukit...tu Nenek Si Mukut...tumbuh begitu saja....tak tahu semua panggil Nenek Mukut...ada "nenek" - penunggu di puncak gunung...dan datanglah pelaut singgah kerana tiupan angin kencang, berteduh lindung di pualu ini. Belum ada manusia, hanya se ekor burung tiong bertenggek di dahan kecil...."
Dialog terjadi,
- Pelaut > hei burung apa nama pulau ini?
- Burung Tiong dengan bangga bersuara > Tiong, tiong man (saya tiong, saya tiong)
- Pelaut > Oh cantik nama pulau ini Tio, Tioman.....
Burung tiong tertawa terbahak-bahak sambil bernyanyi dan terbang ke arah Nenek Semukut, ' tiong man , tiong man ' . bahasa asal pulau ini, man = saya...

Kutatap dua wajah yang makin bersinar kasih, Tuk Nabiah perempuan tertua yang masih mengingati cerita lisan dari moyangnya tersenyum manis. Kami serentak menoleh ke arah puncak Gunung Semukut dan tiba-tiba Tuk Nabiah bertanya, " Bila nak datang lagi.....lama-lamalah di pulau Tiong ini" - InsyaAllah.....
*******
Sanggar Nilam
Bukit Kanching, Rawang Selangor
29 Jun 2010

Sekolah Kecil Pelajar di Kg Mukut Tioman

ANTRA program kami di Pulau Tioman ialah meninjau ke Sekolah Kebangsaan Kampung Mukut. Tujuan asal ialah untuk menyampai sumbangan buku. Alhamdulillah umumnya membawa buku masing-masing. Terutamanya UPENA sebagai penerbit UiTM Segamat. Setengah terkejut dan terharu, bila mengetahui jumlah murid hanya 25 orang. Mengikut keterangan guru yang menyambut kami di pagi Khamis (24 jun 2010), kebanyakan penduduk sudah berhijrah ke tanah besar, sama ada ke Mersing (Johor) atau Rompin, Pekan (Pahang) antaranya mengikuti rancangan tanah FELDA.
Penduduk kampung pula hanya terdiri daripada 32 keluarga. Seorang pelajar Phakarul, bila kutanya, " - " Anak suka belajar di sekolah? "
sungguh terkejut bila murid ini menggeleng kepala.
- "Kenapa ?"
- " Guru selalu suruh belajar, bosanlah "
- " ha?"
Cikgu Redhuan berbelanja keperluan sekolah dengan
motor begini. Inilah kenderaaan (tepian kereta) untuk mengangkat
barang kepeluan sekolah dari dan ke jeti. Sang
guru tetap tersenyum dengan tugas jauh di pulau

Cikgu Redhuan mendengar perbualan itu.
- " Phakarul sedih, kerana ibunya di Tekek, kerana jauh, kami jadikan dia sebagai anak angkat, jadi ketat di rumah, selalu disuruh buat ulang kaji , tapi Inyallah dia akan dapat menyesuaikan dengan bahan bacaan..."
Antara pelajar Sekolah Rendah dan Tadika seramai 25 orang
Murid-murid ini setelah selesai kelas 6 akan dipidahkan ke asrama di Tekek...sebelum mereka tamat di sana dan berpeluang menyambung pendidikan di tanah besar. Insyaallah. Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Mukut ini lengkap dengan bilik darjah, guru, bilik guru, bilik pandang dengar, perpustakaan mini, halamanan yang bersih dengan deruan ombak mendesah memberikan kesegaran. Guru juga berwajah ceria dan sehat dengan cuaca dan angin laut China Selatan. Walaupun mereka dihantar selama 4 tahun namun bagai tidak kelihatan wajah kesal. Ketika kami sampai, murid-murid sedang menyiapkan acara perpisahan Chikgu Sham yang akan meninggalkan pulau dan bertugas di Cheras, Kuala Lumpur.
Antara 4 wajah guru (di belakang kami) semua berjumlah 8 orang

Buku-buku kami sudah bertukar tangan. Kumpulan pensyarah UiTM Segamat dan Melaka sungguh gembira dan berfoto buat kenangan, terharu juga menatap wajan senyuman ceria guru-guru di pulau .
Bersama murid lelaki di SMK Mukut
Bakal pemimpin masa depan. Insyaallah hanya ilmu yang memberi kehidupan lebih kuat untuk berjuang demi ummah - dari pulau, pulanglah ke pulau....membangun pulaumu wahai anak-anakku.
******
Sanggar Nilam
Bukit Kanching, Rawang
28 Jun 2010



Sunday, 20 June 2010

Mengenang Yang Datang Yang Pergi

Wajah si kecil Jingga ketika pertama kali masuk
ke rumah, usia 4 bulan, takut melihat Bucuk
KETIKA Jingga datang ke rumah, baru berusia 4 bulan, hadiah daripada Sya kawan Melor. Masih takut melihat Bucuk yang sudah segak perkasa, menjeling aneh. Marah? Cemburu

Sejak Jingga masuk ke rumah, Bucuk bersifat tidak peduli. Akhirnya keluar tidak mahu tidur di rumah. Sebaliknya menumpang di rumah Busu kami di sebelah, tidur dalam stor, dan pasti kehujanan kerana stor itu tidak berdinding...sudah ada kawan muda, bersama. Hanya pulang ke rumah ketika bau Melor mudah dirasanya. Dia melenggang, dengan getaran loceng menyambut Melor. Itu lebih 3 bulan lalu. Sekarang Bucuk tidak kelihatan bayang. Apakah kau merasa dirimu mula sakitan. Tidak, umurmu baru setahun segak dengan bulu menggebu...atau kau sudah dibawa oleh penyayang lain? Buccccuuuuk kami menunggumu....selalu memanggil dan menyebut namamu....sekarang Si Kecak telah melahirkan 6 ekor anak...dua berwarna seperpti mu...anakmu barangkali. Pulang ya, lihat si Bulu Kembang dan si Bulu Kuncup , belang abu baka mu !!
*****
21 Jun 2010