Sunday, 25 January 2009

TEPIAN MAHAKAM, 0G0S 2007

" Di tepian Mahakam kuhirup desau camar
hanya malam yang benar-benar
memahami dingin "
( Irianto Ibrahim, Buton
Samarinda, 03 Ogos 07)
LEBIH setahun hubungan kami terputus begitu saja. Beberapa SMS Komang muncul dari kampus UNJ dan Hudan dari Negara Banjar. Kemudian semua berlalu walau masih ku kutip beberapa puisi Irianto dari Kendari lewat Puisi Nusantara. Walaupun di DBP masih bersapa dengan Fullizam, yang hanya melempar senyum jauh, entah kemana pula Nizam di Bandar Bera atau Bukhari di Perlis menyepi. Memang terasa putus hubungan. Cadangan membentuk sesawang MASTERA 2007 gagal, namun di hati kecil masih mengingati wajah gebu Komang Ira Puspaningih, sayu kelabu Jefta putera si Kupang dan garau suara Irianto dari Kendari. Sopan nakal putera Brunei juga menyerlah.
Sepanjang cuti panjang ini telah 4 hari saya membeku di rumah Mak di Gombak. Menyusun dan mengatur koleksi lam. Tidak sanggup meriuh dengan dung-dung-ce suara gendang singa di luar sana. Melor juga sudah 3 hari di Kedah, bertugas mengambil gambar pengantin. Cik Abang sudah dengan kumpulan dagangnya. Saya memilih untuk sendiri, menyiapkan kerja Yayasan Adat Warisan Selangor. Tapi kerana nasib malang, setelah Notebook dirampas pencuri mabuk, semua data terkumpul lenyap. Hanya dengan komputer riba Melor menjadi sahabat dan aku mencari jejak anak-anak Mantan Mastera. Kutatap semua puisi dan cerpen Huda, cerita nakal Ira si Kupukupu manis dan desau puisi Irianto dalam blogspot masing-masing. Walau kalian jauh, hati seorang Bonda terhibur menghirup karya kreatif anda buat mengisi detik-detik usia senjaku ini. Salam manis untuk semua anakanda mantan MASTERA 2007 semua.
26 Januari 2009

SENI HIAS - MOTIF BUNGA

Tudung saji = sange,
Karangan tangkai bunga , gaya Kuala Kangsar 2008

SENI TEKAT - SULAM BENANG EMAS

Kalau tuan pergi ke Jambi
Pesanan saya bunga seni
Kalau tuan kasihkan kami
Karangkan saya setangkai bunga

Motif bunga cempaka, gaya Kuala Kangsar, 2008
Rumah atap nibung tiangnya
Tinggal anak orang Melaka
Setangkai bunga harum baunya
Harum lagi bunga cempaka

Teluk pancur tempat menjala

Jumpa orang bawa bubu

Bunga melor cempaka warna

Sungguh malam ada bau

(IV. Data Kajian YAMWS)
Pantun daripada koleksi Hans Ovebeck,peny.Anwar R dan E.U Krats, Hati Mesra, DBP 2004


SUKMA ANGINPUN BERLABUH

SUKAMA ANGINPUN BERLABUH
(Al Fatiha buat ayahanda Arena W)

RESAH akhirmu berbusa
melempar jasad ke gelombang
berpaut ke layar dicabik angin kau jahit
sejak di rumah lukis Naz Achnaz
debat di Pustaka Antara
ku pelajari pencarian zuriat
dari Mengkasar ke Teluk Bangka sebelum
bersauh ke Singa + Pura
keluh resah melawan penjajah
dengan kudrat pelaut
jatuh ke surat abjad.

Ayahanda
terakhir kita berjabat di kafe imigrasi
sendeng lurus tongkat berdiri
secangkir kopi
bibir masih berapi !

Pesanmu,
hapuskan korapsi
di rumah buku
juga sarat janji dan tipu
manuskrip tersadai berganti editor
bertahun apalah erti anugerah
kerana kita seperti ungkapmu
hanya pengimpi kaya
wajib sabar dan teguh
demi maruah anak bangsa ,
rapikan sukmamu
layari jati diri.

Ya sukma anginpun berlabuh
ke rumah abadi demi kasih Ilahi
al-Fatiha!

(allahyarham meninggalkan detik dinihari 28 Muharam 1430/ 25 Januari 2009)

Friday, 23 January 2009

OBJEK WARISAN

Pusara lama di Kg Bukit Belimbing Mukim Pasangan, Selangor
111.
(Data YAMWS)

SALAH satu konsep YAMWS ialah mengenal dan menyenarai pasti unsur warisan budaya yang berselerak di daerah Negeri Selangor. Antaranya ialah objek sejarah yang mungkin sebagai bahan arkeologi pra sejarah teramasuk artifak yang menggambarkan kepentingan agama dengan pengisian artistik terhasil dengan teknologi tradisi. Obejk sejarah ini juga merangkumi segala peralatan budaya atau melalui pendekatatan antropologi dikategorikan sebagai bahan etnografi (segala peralatan hidup , peralatan rumah tangga, usaha pertanian, perikanan, pelayaran dll).
Sebagai ketua unit Seni Bina dan Seni Hias, mata saya harus cepat menangkap objek-objek warisan yang dilihat sepanjang jalan di wilayah kajian. Di Kampung Belimbing, di celah-celah rumah tradisi ditemui pusara lama (betul-betul di pinggir jalan), terbiar dalam semak lalang. Pusara masih utuh dengan dinding kepingan batu datar bertarah dan sebuah nisan lain tersandar di badan pusara. Di percayai nisan-nisan itu sudah dicabut dan dibawa keluar, tapi si pengambil harus memulang kembali ke tempat asal. Gurisan kaligrafi yang dituris sudah haus, menghilang nama pemiliknya. Pihak Musium Selangor kononnya sudah merakam data tersebut, tapi sayang ia masih ditinggal sepi di persekitaran rumah yang semakin tumbuh di situ. Tubuh nisan yang berdiri dalam kurungan berpotongan bulat lekuk butung dan sebuah yang tersandar berpotongan leper (yang melambangkan nisan wanita) dengan bahagian kepala dipotong berbentuk lekuk tiga. Kerana tidak terdapat banyak unsur seni hiasnya, maka kerja penelitian makam ini akan diuruskan oleh kurator Intan yang sedang melengkap tinggalan nisan khusunya nisan batu Aceh yang masih berselerak di daerah dan mukim Kuala Selangor.
24 Januari 2009: 15:50

SUNGAI SINGA+PURA

Kocak air sungai Singa + Pura (Melor 1/1/2009)
1.
INGAT peristiwa mahkota raja harus dijatuhkan di air Teluk Belanga? Selepas itu angin dan taufan pun teduh. Hutan belukarpun dipugar, di gali parit di bina gerbang dan kota. Bertahta lah raja pertama yang baru tiba dari Bentan....beraja dari asal titih Sugnai Melayu di Bukit Seguntang.
Seseorang terbahak kerana sahabatnya ini, masih mengulang 'dongeng Melayu itu' - demikian usik seseorang itu. Dia sudah bersedia dengan menggenggam jemari membentuk penumbuk, untuk melontarkan kemarahan kepada wajah selamba si pemberi canda itu.. .... (Jeda...) Kini dia berdiri dalam kemilau cahaya kota Singa menjelang tahun baru 2009. Perahu persiaran, kilau bunga api membentuk aneka panca warna dan rasa.....
Catatan :
1) Dalam buku sejarah di pulau aneh ini, tercatat Singa - pura di buka oleh Raffles.
2) Istana Sultan Husin sudah dijadikan pusat Kebudayaan Melayu.
3) Menyusuri jalan Bugis kemudian berwuduk di Masjid Kampung Gelam.
4) Ingin mendaki bukit tempat makam-makam raja Melayu - jalan ke sana sudah hilang
berganti bangunan si peneraka penjajah
5) Ke Muzium , berkumpullah segala khazanah seni Melayu termasuk karya lukisan seniman
Malaysia...sudah diboyong ke situ.
6) Rakyat kota Singa berbondong-bondong berbelanja ke pasar tani di Johor, harga segala
ulam sudah melambung tinggi diboyong pulang ke pulau. Orang Melayu Johor kempunan
dengan harga peniaga gila
7) Negara baru Iskandar, milik siapa ?

Dung-dung-ce, dung-dung ce.....ular naga berbelet-belet gembira, kepala singa mengangguk melompat, mercun pun berdentum tapi cuma di hujung tambak Johor. Di Kota Singa berkialuan cahaya tanpa kebisingan tandak singa , dung-dung-ce....

(24 Januari 2009:13:10).
11.
Ya dung-dung ce, dung-dung ce....dia terpaku di depan tv pagi di hari pertama tahun baru lembu.Semua pengacara lelaki perempuan memakai warna merah, Si Emi dengan cheong sam merah berbunga putuh, terbelah di kiri kanan. Tapi wanita ini kelihatan sopan juga kerana memadannya dengan celana hitam. Maka paha dan kakinya terlindungi. Si pengacara lelaki yang becok riuh itu memakai sam po merah. Mujur saja wajahnya ala ke Indian, maka tidak wujudlah wajah dari tanah besar sana itu. Merekapun riuh rendah juga dengan dung-dung ce, sama-sama terkekeh melihat tarian singa. Tiba-tiba terdesis suara entah dari mana ,tapi dia tahu, ketika mereka menonton tarian singa barong Bali, semua gerak tari yang memang berasal dari seberang pulau jauh, sudah digubah menjadi garia dan gerak-gerak pulau dewata. Citra kecinaan sudah dilupuskan terutama dengan watak singanya menjadi barong atau barongan kalau kita menjengah ke Ponorogo.
Dung-dung ce....dung-dung ce makin meriuh dengan dentuman mercun bagi menakutkan segala hantu-hantu yang mengganggu di hari tahun baru.
Tapi itu hanya di wilayah kerajaan Melayu inilah mereka bebas bertandak, menari meloncat, malah atas kesedaranan kesatuan bangsa, anak-anak Melayu pun sudah mula bertandak dan menyarung topeng singa...wah inilah negeri kami yang kaya nilai demokrasinya. Lebih mengejutkan dengan berani pula mereka meminta Raja Kami bersalaman dan sang singa itu!Tapi mengapa muzik dung-dung ce dan letupan mercun tidak pun bertandak-tandak atau dengan lebih jelas, atas kemakmuran telinga yang telah pasti membingit telinga, maka dung-cung ce dilarang di pulau puaka Singa +Pura kecuali arca singa dengan wajah tersenyum sumbing berdri setia di tepi sungai sana. Dung-dung ce, telinga tuanya semakin nipis dan tidak mampu diasak dengan muzik keras dengan rentak gendang yang dipukul garang. Ya selama cuti panjang ini dia benar-benar tidak keluar rumah, tidak berbelanja ke pasar atau ke mall mana tahu dia akan disentak dengan keriuhan dung-dung ce yang membingit kota raya yang semakin galau di mata! Dung-dung ce dung -dung ce, dia tersentak dan hampir lemas, siapa pula yang mengeraskan suara tv di depannya?
Gombak
26 Januari 2009

YANG TAK TERLUPAKAN

(Melor, 1 Januari 2009)
SETIAP kali melintas di daerah dan mukim ini ada ingatan saling berlapis muncul di ingatan.
(Episod Disember 1956)' .....Seorang anak kecil duduk tersimpuh di balik pintu rumah Melaka, melihat seorang lelaki lengkap berbaju Melayu, bersongkok berjabat tangan dengan seorang imam, berjubah dan berserban sedang mengucapkan sesuatu. Dia tidak tahu makna perlakuan itu. Tapi dia juga melihat seorang perempuan berkebaya panjang, berbunga kelopak kecil, berselendang menutup kepala...sehingga datang seorang perempuan lebih tua dari perempuan muda itu mengusap kepalanya dan terdengarlah suara, " ....sayang jangan sedih ya , sebentar lagi anak akan ada ayah, emak akan bernikah..."
Pulau Sebang nama yang tidak pernah terlupakan....ibu bernikah di situ ketika aku merasa betul-betul kehilangan nenek dan abah jauh di Gombak ketika itu.
Terimakasih Melor, selalu saja membuat kejutan dengan gambar di stesen Tampin/Pulang Sebang ini.
24 Januari 2009 : 12:31

KOTAK POS

Kotak pos di Victoria, Melborne (Melor, 2007)

SAYANG sekali sejak hubungan komunikasi semakin cangggih, cepat lewat emel , sms, maka surat kiriman melalui kotak pos semakin jarang berfungsi. Ada sahabatku tidak lagi tahu di mana letak pejabat pos. Baru terkial-kial berdiri di depan pejabat beratur hanya untuk mengutip surat berdaftar atau kiriman surat laju . Lebih jengkel bersusah payah mengutip surat rasmi, rupanya yang sampai surat saman dari JPJ. Bilakah anda terakhir ke pejabat pos atau mengirim surat dan poskad mengguna kotak pos?

BERTEMU SAHABAT LAMA

DI CELAH-CELAH kerja penyelidikan di Bukit Malawati, meneliti contoh jejeran mariam (tiruan), mencelah ke Muzium Permainan Rakyat, siapa sangka sudah menyerbu sahabat-sahabat lamaku, si Tuan , Puan, Cik Adik dan anak-anak kerabat Lotong. Riuh rendahlah mereka berjejer, menggapai, menarik lengan baju. Seeekor anak lotong berusia 4 minggu, masih berwarna perang belajar menggenggam , si kakak sudah menunggu kalau-kalau ada kacang dalam saku. Nah kalau anda berjalan ke Bukit Malawati Kuala Selangor jangan lupa bawa bekal kacang panjang yang segar atau daun pucuk ubi. Mereka akan bersorak-sorak melompat, memanjat, bertenggek di bahu, memeluk lengan kita, malah ada yang seakan ingin mengikut anda pulang. Mereka adalah kelompok penghuni bumi Selangor yang indah ini. Tidak mungkinkah mereka juga turut berjuang melawang Belanda yang menembak mariam dari laut menujuk ke Antrwep Hill ini pada abad ke 18 dulu? Awas jangan sekali anda membayangkan pesta menembak seperti menembak gagak yang kerap diadakan oleh Majlis Bandaran Kelang tu...

WARISAN KALIGRAFI DI SUNGAI KAJANG

Rumah lama yang menjadi tempat pengajian anak-anak di Sungai Kajang 1940-1980an
Tuan Penolong Pengarah Kuala Selangor memberi cadangan pemulihan kain berkaligrafi
kepada Ustaz Khairon -Ketua Kampung Sungai Kajang, Tj Karang (12-1-09)

11.
( Data awal kajian YAMWS 2009)

SETELAH pertemuan dengan Tok Penghulu Tanjung Karang, Abd Hakim b Abdullah Mohkhri dengan pernyertaan Penolong Pengawai Daerah Kuala Selangor, kamipun menyusur meninjau ke tapak-tapak warisan sejarah dan adat. Ikut serta ialah Ketua Kampung Sungai Kajang, Ustaz Khairon b Dahlan (sarjana muda Syariah dan Undang-undang dan pendidikan Univ. Al Azhar). Setelah melihat tapak kilang nira bekas milik penjajah Inggeris yang dimusnahkan oeh Jepun (1942), saya tertarik untuk meninjau rumah asal tempat beliau mengajar ilmu dengan kaedah tulisan kaligrafi. Masih terentang dua helai kain dengan susuan kaligrafi di dinding. Rumah Selangor gaya potong perak itu sudah amat sepi. Di dalam bilik masih tersandar tongkat milik ayahnya, tingkap tertutup rapi, sehelai tikar melekat di lantai. Rumah itu sudah lusuh namun tiangnya masih agam dan tempayan tergolek di bawah rumah. Saya tahu Tuan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) merasa aneh kenapa kami memilih rumah tua ini untuk dinaiki. Beberapa pasang mata jiran sebelah juga barangkali tertanya-tanya. Dengan sedikit saranan nampaknya Ustaz Khairon kembali tergugah bila ku cadang agar kain rentang dengan garis kaligrafi harus cepat di rapikan, di bersih dan dibingkai untuk dijadi bahan sejarah yang pernah berfungsi memberi ilmu kepada anak-anak kampung. Minggu depan saya akan kembali mengintai rumah tersebut semoga kembali berseri.
24 Januari 2009: 00:20

MENYUSUN JEJAK ?

Lorong menuju rumah sengaja kususun dengan lebihan kayu ketika menukangi rumah kami. Lebihan hujung kayu memang sengaja tidak digergaji. - kebetulan kayu itu memang sisa daripada kayu rel keretapi yang kukutip di Sentul. Ku harap sahabatku di IKN tidak ketawa terbahak dan menunduhku malas dan semborono kerjanya. Haha bolehlah dikatakan begitu. Tapi yang kupentingkan ialah sejarah kayu tua itu yang ku sisip dengan kulit kerang, sisa makanan berasal dari pantai lumpur di pesisir laut dan tanjung Kuala Selangor - mungkin . Malah di celah-celah kulit kerang juga kusisip dengan pecahan kaca piring - seramik biru cina. Saleh yang membantu membancuh simen juga mendapat rangsangan hingga akan menggunakan kaedah hiasan ini di laman rumahnya. Nah anda boleh bandingkan dengan susunan kayu yang lebih rapi ditata cantik di laman IKN? Sungguh luruskah jalan dan jejak yang kita langkah? Bukankah bersimpang siurnya impian dan harapan malah kerap tersisip dengan tipu helah, hilangnya kejujuran sewaktu menghasilkan projek yang cantik padahal kenyataannya.....semua kos untuk membina yang cantik itu kerap dimanupulasi harga dan modal sehingga tuntutan di resit sudah dilipat ganda nilainya? Sehingga kerap dibidalkan sejak dulu, ' telunjuk lurus kelingking berkait'?

SI BUCUK SAKIT ?

Awal tahun 2009 tiba-tiba si Bucuk tidak aktif, kenapa ?
Doktor dan perawat haiwan pun sibuk melayan pesakit

Bucuk takut menunggu rawatan doktor?

Seminggu kemudian baru tahu, kakinya luka, pasti calar bersaing dengan hero lain rebut
Tam- tam. Eh-eh kesian sahabat muda kami ni.

TOKOH PENDORONG SENIKU



OKTOBER 1969 Kujabat tangan KARTIKA di Jalan Cilacap Jakarta dan seterusnya menjadi ibuku ketika 4 tahun belajar di Jogja dan mendiami studio di Sanggar Karangwuni dan Muzium Affandi di Jalan Solo.
FEBRUARI 1972, aku pulang bercuti dan APS (Angkatan Pelukis Semenanjung) yang diterajui Datuk Husin Enas, Idris Salam, Syed Ahmad Jamal, Cikgu Samsudin telah mengusahakan pameranku di British Council. Seorang lelaki tampan segak, senyum ramah menghulurkan tangan. Beliaulah ketika itu sebagai SENATOR KAMARUL ARIFIN merasmikan pameran soloku. Selepas itu mereka berdualah (selain Cikgu Idris Salam) , menjadi perangsang untuk aku lebih gigih merealisasikan 'ucapan' mereka. Seperti ungkapan Senator Kamarul (sekarang Tan Seri) lebih kurang > " warna Siti yang garang cerah, memperlihat keberanian dan kerja keras seorang gadis dengah harapan, dia nanti akan nmenjadi pelukis tanah air" (lih Dewan Sastera Mac 1972)

KARTIKA DATANG LAGI

WALAUPUN agak terlewat turun ke KL kerana 10 hari di Ulu Bernam dan Kuala Langat, kami bertemu juga di acara pameran Kartika Affandi (l 1935) di R A Fine Art. Ketawanya masih berderai cerita , ucapnya " ooh ndok , apeik waie tho" (ooh anak, baik-baik saja bukan). Dialah ibuku selama 4 tahun di Jogja zaman muda belia dulu. Kartika puteri Affandi, dalam usia petangnya masih segar untuk melukis, memberi ceramah, memberi motivasi kepada anak-anak kurang upaya. Dia adalah ibu tempat curahan hati para seniman muda di Jogja. Malah beliau juga adalah maestro di hargai di luar negera. Terakhir belian diberi anugerah prof dari universiti seni di Itali.

Walaupun beliau puteri pelukis terkenal dunia Affandi, tapi tidak mudah untuk mengikuti dan bersaing dengan sang ayah. Pertama ia dilarang melukis oleh suaminya Sapatohoedoyo, lelaki ningrat dari kraton Solo. Menikah dalam usia muda 15 di London ketika mengikuti perjalanan sang ayah dan dijodohkan dengan Tony Saptoedoyo, lalu ucapnya, " lha mami hanya kilang untuk melahirkan anak" Sehingga melahirkan anak-anak seramai 7 orang, dan setelah merasa kehidupan suami isteri semakin goyang, Kartika tidak berpaling lagi. Ia mula melukis dan mengembara. Setelah berperpisah dengan suami dan anak-anak makin membesar, beliau nekat belajar ke Vienna, jurusan pembaik pulih dan pemuziuman. " Ini hanya untuk menyelamatkan karya Akik dari rosak nanti" (sila lih. cerpen " Sahabatku Atika, dlm Jurai Palma, DBP). Hampir seluruh dunia telah dijelahinya, melukis dan berpameran. Gaya impresionis-ekspreionis sang ayah dilanjutlan. Namun masih muncul gaya peribadinya yang lincah dengan tema kash sayang seorang ibu.

Kini di sanggar seninya di Jalan Kaliurangdi kaki Merapi, Jogja beliau adalah ibu pelindung. Memberi semangat kepada seniman muda khususnya wanita juga ibu kasih sayang kepada kumpulan anak-anak kurang upaya dengan kerap mengadakan program melukis dan mengumpul dana. Semalam ketika mendengar, BSLN akan mengujdkan Taman - Ruman Pelukis, Kartika dengan gembira dan bercadang untuk menghadiahkan Rumah Joglo Jawa ke taman tersebut. Semoga cadangan dan impian untuk mengembangkan kasih seni di negara ini menjadi kenyataan.

23 Januari 2009


Wednesday, 21 January 2009

MENJEJAKI SEJARAH SELANGOR 2009


1.
SETELAH saling bertindih dengan perjalanan jauh lebih 30 tahun lalu , kini tahun 2009 kami mulakan dengan kerja menggali sejarah tanah air. Kawan-kawan muda saling bersaing untuk mendapatkan undangan dan tiket perjalanan jauh itu terutama di kalangan pelukis dan penyair. Tahniah, ada yang dibawa melukis ke kota London (Okt 2008) dengar tahun depan acara jual Malaysia akan diadakan di US. Neem nampaknya sudah ke Mymar pula, di R A Kartika Affandi diundang berpameran . Saya agak ketinggalan dengan program itu kerana sudah terhantar ke Kuala Langat dan Kuala Selangor. Lim Swee Tin dan Lina UA mengajak ke acara baca puisi Gaza di UPM, Zaiton Aj merengek agar saya ikut program dengan semangat yang sama, sehinga ada yang tertanya " eeh, jalan undur ke? bila saya terpaksa membatalkan undangan seminar tekstil di Manila. Walaupun hati tergalau marah dengan isu serangan ke atas Gaza, hingga terlonta geram, namun bila melihat sisa sejarah warisan moyang Melayuku juga tersayat di tanah air sendiri...ya saya harus melangkah mengisi kerja mengesani dengan program tanah air, sebuah negeri terkaya di Malaya ini, Selangor tapi amat miskin dengan warisan adat dan sejarahanya. Apakah Yayasan Adat dan Warisan Sejarah Selangor ini relevani sebagai wadah keinsafan agar budaya warisan Melayu masih tidak berulang terpinggir lagi.

Kuala Langat, Kuala Selangor antara dua dari sembilan daerah kami susuri. Dari puncak bukit rumah api, terbentang luas muara atau kuala - sungai mengalir tenang, air tengah pasang. Walau terasa sunyi dan terasing kini, tapi bukankah di sini dulu hilir mudik bahtera, perahu pembesar , Laksmana, Penggawa dan Ketua Penghulu menjaga keamanan negeri. Selangor yang telah disenaraikan sebagai tempat laluan budaya pra sejarah terutama dengan penemuan serpihan gendang dongson di Sungai Lang, mungkinkah di sini laluan untuk masuk ke daerah Langat sekarang. Tapi sayang tapak itu ditinggal sepi setelah serpih gangsa yang ditemui pada tahun 1960an sudah dibawa ke muzium, tanpa meninggalkan sebarang papan tanda di tempat pertemuan. Apakah tidak terlambat tugas kumpulan kami ini yang diarahkan untuk menaik taraf mengesan tapak agar Selangor mempunyai identiti sejarah awal sebelum munculnya kedatangan pengembara lain yang meneroka daerah ini. Muara sungai Langat masih tenang hingga ke senja ketika kami mendaki bukit berdiri di celah menara rumah api. Namun hati saya berdenyut bila Akmal penolong kurator musim 'Rumah Pasong' di pinggir sungai menyampaikan khabar, ' tapak istana kayu Sultan Abdul Samad' sudah tenggelam dalam ladang buah naga'

Saturday, 10 January 2009

SENI HIAS DAN ADAT

Karya dari seorang khatat dari Kelang
bertahan di mall Shah Alam


KEINGINAN menghias kehidupan memang merupakan kegiatan harian yang tidak dapat disangkal. Rasa indah dan selalu kelihatan cantik juga merupakan salah satu sifat dan perlakuan manusia. Namun sejauh manakah seni hias yang ditampilkan mencerminkan gaya hidup yang selaras dengan nilai persekitaran manusia itu sendiri. Kenapa ada segelintir terpukau dengan gaya budaya orang lain, hingga memandang segala nilai budaya tempatan sebagai murah, tidak cantik tidak membanggakan. Dengan bahasa yang mudah, seni hias import itu lebih bergaya bermutu. Dari nama anak yang baru lahir, nama rumah yang dibina, nama jalan, nama tempat-tempat perniagaan, sehinggalah nama-nama kerja seni, nama kumpulan semua selalu ingin di sulap menjadi baru . Tidak aneh, bahasa asing itu pula diMelayukan asal dengung tetap berbau asing. Kita lihat nama watak dalam lakonan di TV, munculah watak Danish (dari Denmark ?) , Irish (dari Ireland ke). Hiasan rumah juga harus barang import, maka saratlah hiasan dalam dengan pinggan mangkuk jenama dari negeri salju - dengan Engglish Gardennya kalau lebih dekat, munculah kegilaan Taman Bali, dengan gapura dan payung berumbai menyambut tamu di depan lobi hotel atau di depan rumah. Para pereka fesyen pun mencedok apa saja jenama, dengan teksitl Itali, Perancis, Korea. Kalau menggunakan songket Wan Manang, atau Cek Bedah sudah disaratkan pula dengan aneka manik, labuci, permata berlian, hingga tekstil tempatan itupun tenggelam dalam sorak sorai sulaman yang memberatkan busana pengantin. Wah, bila melangkah ke mall berjenama, memang disediakan sudut seni atau galeri kraf, mana yang sanggup bertahan, tetap setia di ruang mall mewah itu. Tetapi siapakah pelanggan yang amat bersungguh meneliti hingga sudi memindahkan karya seni tempatan untuk menghiasi ruang tamu rumah besar mereka. Begitulah nasib beberapa orang seniman tempatan.....karya seni khat dengan kalimah Islamiah...harus bertarung dengan kraf berjenama dari luar. Kenapa menjauhnya jenama tempatan, seni hias dalaman, taman yang makin menjarak dari makna adat adat istiadat Melayu. Ayuh sudilah memikirkan caca marba budaya !

Friday, 9 January 2009

BAHAN KITAR SEMULA

" Si Jelita berkaca ", akrilik atas kuali bertangkai,2009
Apa pun wajahmu,
lekuk bibirmu
selalu ku bawa rindu ibu
" Sungai pecah di Bukit Antarabangsa " , akrilik atas tin, 25 Dis 2008
Tin biskut, bekas mangkuk yogart, mengganti kanvas untuk dilukis

SELEPAS PENAT MELIHAT BUNGKUSAN PLASTIK dengan botol minuman tin kosong, botol vitamin yang tersadai di pagar menunggu pemungut sampah, lalu diam-diam baik kita tidak merungut marah. Plastik yang berisi surat kabar lama, botol pastik, piring kaca pecah dan tin-tin harus ku hantar ke pusat pelupus barang lama. Setelah bertahun-tahun merunguti lori sampah kerap datang tidak menepati janji, tahun 2009, aku buat keputusan sendiri. Semua tin biskut, tin susu, malah periuk, kuali yang sudah berkarat kini sudah berwajah baru. Nah Neem Si guru besar, muridmu ini melukis ke atas tin, botol, kepingan logam, s e l a m a t, halaman rumahku tidak berlambak lagi dengan sisa-sisa barang bekas. Eh ini gaya Pop art bukan? eeh Folk Art le dengan gaya Optical Art. Apa kawan kolektor kita tu, Bung Pakhar dan Mem Timah sudi mengumpulnya Hahahha.

Eeh Isye, Neem nasi bungkus Jepun nya sedap kan. Tak ajak makan yee!
10 Januari 2009

SI BUNGA MAWAR

Mawar kuning setia berkelopak baru, yang lama gugur
namun wanginya menaburi alam jiwa
Pinggan, piring, manggkuk cawan Si Bunga Mawar
TIAP kali menuang teh halia madu ke cawan berbunga mawar ni, kerap itulah terbayang wajah si Mawar indah di kampus Bangi. Rasa rindu tercuit seperti ada tak kesampaian , rasa kepada wangi Mawar di Lembah Attar juga terpanggil - tapi kenapa hati kerap juga merasa jauh, kadang dekat kadang bayang menghilang, semangat terbang terawang-awang. Kenapa anakda ku Mawar? Masya Allah mujur ada ubat penyembuh ' Mawar di kebun Sa'adi ' :


'... tatap cahaya itu wahai adinda,
di sana sang lelabah menjaring air kasih
membentuk jiwa mawar
mawar abadi di Kebun Ilahi. '

Terima kasih bubur asyuranya Mawar, salam ke bunda di kota Singa Pura !


10 Januari 2009

WANITA RATU

Ratu Air disunting Raja Suran , baju warna hijau dari lumut laut,
selendang biru buih telur ikan menzahirkan 3 orang putera
bermahkota Bukit Seguntang
Puteri Zarith Gangga, baju panjang serong, selendang
bunga putih kapas bahan dari
Gangga Negara dibawa dari Kalingga
KAJIAN wanita ratu masih kulanjutkan lagi. Kerja ini sudah bermula setahun lalu. Setelah menghasilkan manuskrip (sketsa dan puisi remaja) Kasih Bonda Kampung Paya Kami, (2008) berlanjutan dengan siri Sketsa Pepatah Petitih dan Sketsa Keluarga Beruang, ku kira ada kerja busana perlu diubah suai. Maka dari sketsa Wanita Ratu (terbit eceran di DS, 2008-2009) kini berkembang dengan boneka Ratu Melayu Nusantara. Setelah bosan melihat si kecil memeluk dan mendakap boneka wanita berambut perang jagung bermata biru, kini bonekaku sudah berambut dan berbiji mata hitam.
Maka muncullah watak ratu Zarith Gangga Negara di Dinding , Puteri Nila Pancadi dari Kalingga disunting buat pasangan Raja Kecil Besar di Singa+Pura. Kerja menyelongkar khazanah sejarah bersaing dengan mitos dan legenda. Sekarang sudah berkumpul wanita ratu dari Jambu Air isteri Malikussalih, Dang Lela dari Muar bernikah dengan Penterjemah di Pasai, Puteri Rekan yang menyingkir Raja Kassim di Melaka, Tun Teja hanyut lara oleh goda Hang Tuah menjadi isteri merana, atau sedia Tun Kudu harus menyerah ke Datuk Seri Nara Diraja. siapakah sasaran pembacanya? Pernah ditanya oleh seorang editor...ehem, untuk anak cucu cicit Siti le !
10 Januari 2009

ALHAMDULILLAH

Perniagaan warisan di Sawah Sempadan, Tanjung Karang
Si kembang pagi nmenyambut kepulanganku di Tanjung awal tahun baru 2009

ALLHAMDULLIAH tiba juga hari baru Maalhijrah 1430 dan Tahun al Masihi 2009. Sejak meletus peristiwa kegilaan Israel menyerang Gaza, saya benar-benar terpukul. Marah tapi lebih banyak menghiba dan tanpa ingin bicara dengan sesiapapun. Menjelang tahun baru, Wira masih di gunung, si ibu sudah selsema, Melor diam-diam menyusul adiknya. Apa yang ada di Sungai Kancing? Hujan mendingin rimba hanya segerombolan anak-anak monyet menari berlompatan ke jaring jendela.Biarkan mereka menari bertempek....SMS bertali mengucap macam-macam ucap selamat. HP berdering, berhenti begitu saja, aku masih di anjung melayani keletah anak monyet yang baru belajar memanjat dan melompat. Sunyi kecuali rembesan hujan, menyaring di atap anjung. Nikmat juga menikmati kesunyian - hingga terbayang Ameer Hamzah jauh di gerbang Langkat menjelang detik akhir kematiannya. Detik berlalu aku tersentak harus segera menemui dia jauh di hujung tanjung. Barangkali tahun baru ini aku kembali tenang dan memilih kampung, meredah pasar, batas padi yang sudah pun di ketam. di Halaman rumah masih bersisa embun pagi meramahi rimbunan daun. Bunga kunyit bara api kembang segar, barangkali inilah puisi ramah yang kadang cepat membiak kemarahan, cepat juga kendur mengulai. SMS datang lagi, " Hei mari baca puisi laknat Yahudi " . Nubari tersentak lagi disusul suara berbunyi , " Siapkan puisi untuk acara Perarakan Keranda ke Parlemen" - Wah inilkah musibah sejarah bangsaku. Setelah sejarah lama, perarakan keranda isu bahasa masih berdengung, masih bergetar, api kemarahan bangsa kita, tapi siapa dapat mempertahan arus kebanggaan yang mengasak dari luar? Melihat dan menonton mendengar lagak pemimpin berbicara dengan gaya bangga dengan lidah berpintal, berdecap untuk bergaya dengan menidakkan bahasa ibunda....wah akukah yang tersisih di kampung halaman sendiri. Rasa nya tidak, di sini di sebuah kampung di hujung tanjung, yang mendesus desas ialah lidah berpintal dengan loghat Jawa, Banjar, sehinggalah mataku mendelik bila masuk ke butik wanita cantik di pekan Tanjung, melihat gelagat pelayan menawar harga baru jubah import, membuat aku terperangah lagi, menegurku , " Mem orang seberang ya?"

Kenapa ada istilah 'orang seberang?'. Lalu terjawablah bila di warong soto Pasir Penambang seorang perempuan mengenalkan menu makanannya, " ini semua resepi Jawa...soto, pecel, ibu saya Nasari dari Ponorogo - tapi saya Melayu Selangor ! Diam-diam ku resapi menu soto Pasir Penambang, sambil membandingkan para pemimpin yang mendecah desus lidahnya di kaca TV, dan bila bersuara dalam bahasa ibunda memang bercuitan lidah Jawa-Sungai Besar, Banjar-Sabak Bernam, Patani-Kelantan yang membuka restoran Tomyam, Si Malbari membuka warong nasi beras perang, kecuali pemilik warong soto Maripah Kassan itulah dengan tegas mengakui , ini soto Pasir Penambang. Begitu juga masih hidup resepi jamu di rumah lama di Sawah Sempadan....bagai bergema suara peramunya, " Ini jamu tradisonal asli Sawah Sempadan, bukan dari seberang" . Pulang ke halaman rumah, ikan sepatku melompat-lompat , apakah mereka juga melatah dengan sinar mentari yang tiba-tiba menyeringai setelah hujan sepanjang bulan desimber !