@SZI Masjidil Haram Nov 2011 |
Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Monday, 26 December 2011
CAHAYAMU (NH 1432/1433)
Thursday, 22 December 2011
Pintu RumahMu (NH 1432/1433)
Monday, 24 October 2011
Detik Itu Pun Tiba
Saturday, 8 October 2011
Sekolam kiambang
Terima kasih Isnadi menebar benih kiambang ini - Laman Nyang Galoh Okt 2011 |
Thursday, 6 October 2011
Jaga dirimu Jingga
Jaga dirimu Jingga
Friday, 30 September 2011
7. 150 Tahun Kampung Kami
150 tahun usia kampung kami?
Kau terkejut? Tidak percaya, lebih tua usianya dari kota raya - ibu negara? Ha? Kenapa mendelik. Kota raya bersimbah cahaya. Aku tafakur sendiri di bawah tiang lampu, Pasar Budaya- bekas Pasar Besar di ibu kota sedang nongkrong bersimpun di galeri Ghani Ahmad, dikeliling siswi UPSI. Inilah contoh galeri yang sudah dipindahkan di kawasan luar Pasar Seni. Pelukis makin terpinggir di ruang Pasar Seni yang semakin hebat . Kadang disebut Pasar Budaya yang tidak mampu menyewa galeri mewah di mall di pusat hebat kerana menjual anika barang seni bukan lagi 100 peratus milik tempatan. Mana Pasar Seni yang digahkan 35 tahun lalu. Bila ruang melukis di Jalan Melayu, di Jalan Bonos, di Jalan Ampang, malah yang di anjur Kementerian Kebudayaan, di Jalan Belandapun sudah dilupuskan. Suara mentgeri suara Datuk Bandar bergema " Kita akan bangunkan Pasar Seni akan menempatkan studio pelukis... " tetapi selepas 20 tahun...ruang pelukis semakin kecil, malah sewa semakin meningkat. Peraturan yang sengaja melecehkan ' pelukis pinggiran'. Itulah istilah si lintah darat pengusaha kota raya, mereka golongan pedagang mewah. Terakhir Aris Aziz juga harus keluar. Kembali menjadi pelukis berpindah randah...ya Rabbi. Pernah Balai Seni Lukis Negara mengadakan acara hujung minggu, pasar seni di halamannya. tiba-tiba diberhentikan. Diadakan pula Lebuh Seni di dataran Merdeka. Berbondong seni di hujung minggu. Taraf seni rakyat bagai pesta arak berarak , masuk kandang keluar kandang. Mana Pasar Seni yang utuh sebenarnya. Tanpa pelukis mengheret papan lukis ke hulu ke hilir. Ayuh bangun semula Pasar Besar Gombak menjadi Pasar Seni!!!
****
2...bersambung.
Thursday, 29 September 2011
KUTIPAN UNTUK KULIT BUKU BHG. BELAKANG
bahagian belakang buku Rumah Waris Uwan ...
' Kampung asal berpaya ini kini disebut Kampung Bandar Dalam bersebelahan dengan Kampung Padang Balang. Perkataan Bandar berasal dari dialek Minang- Negeri Sembilan, Bonda atau Banda bererti tali air. Iaitu oleh peristiwa banjir besar 1928 di Sungai Gombak, penuhlah tali air menjadi 'banda yang dalam' maka bernamalah kampung ini Kampung Bandar Dalam. Inilah Bonda ibu tanah air yang perlu dilindungi,dikasihi khususnya buat warga Kampung Bandar Dalam serta para generasi muda pewaris seni budaya Bangsa' (dalam Kasih Bonda kampung Paya Kami, DBP, 2009)
*****
' Important too is her oral-aural quality. Siti Zainons's works are composed for the ear, and it is when they are spoken and heard that their distinctive are highlighted. The oral-aural quality relates were works to traditional literature - its folkloristic traditions. especially, which view poems a stories as part of performance as an oral art, memorised and dramatised at sosial or other ocassions'
*****
Friday, 23 September 2011
DENGAN WARNA ALAM YANG BERSIH
Pernah anda mendengar ocehan remeh begini. Suara lain bersambut, ' boleh ke hidup dengan melukis' .
Inilah nada momokan yang harus dilalui oleh pelukis yang baru melangkah ke dunia seni lukis yang luas ini. Sehingga tahun 1950an memang belum ada pun sekolah seni lukis apa lagi pusat pengajian tinggi yang menawar kursus aneh ini. Menjelang tarikh kemerdekaan YTM Tunku Abdul Rahman telah menaungi Badan Kebudayaan Melayu dan selepas itu berdirilah Angkatan Penulis Semenanjung (1956). Sebuah galeri sudah berdiri di bawah kuasa pemerintah dengan nama Balai Seni Lukis Negara. Pemerintah Inggeris pula telah mengeluar biasiswa menghantar murid pintar untuk mengikuti berbagai kursus termasuk kursus seni bina. Di sinilah mula dicatat, pemuda Melayu Syed Ahmad Jamal yang bermula mengikuti kusrus seni bina tetapi akhirnya muncul sebagai graduan seni lukis dan menjalar catatan, ' pelukis muda baru pulang ke tanah air, dengan sejumlah lukisan yang aneh: garis-garis lincah impresioniosme'.
Di tanah ketika itu berkembang seni lukis realisme-romantis potret dipelp[pori oleh Hussein Enaz ( tahun 1950an Angkatan Pelukis Semenanjung ), lukisan cat air, pemandangan oleh Abdullah Arif dan Young Mun Sejak (tahun 1930an) di Pulau Pinang. Beberapa orang daripada mereka adalah pelukis semula jadi serta berpengalaman dari tanah asal masing-masing. Tetapi melalui sistem pendidikan seni Barat, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein dan Latif Mohidin, memang terpilih untuk belajar di Eropah.
Di sinilah jejak pertama Syed Ahmad Jamal. Sejak awal kerja melukisnya bermula dengan rasa yang jernih. " Ruang kerja, susunan berus, campuran warna harus bersih." Inilah pesannya ketika kami bersama santai di ruang terbuka di Balai Seni Lukis Negara di bangunan lama di depan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Ketika pameran solo sempena usia 70 tahun di Muzium Kesenian Islam, warna cerah gemilang tetapi dengan sapuan dan campuran warna yang bersih semakin 'ranggi'. Percikan bintang bertaburan dengan latar sapuan berus lebih lapang tetapi meninggalkan kesan bergelombang, warna ungu langit seperti lapisan pelangi, jingga biru hijau menyatu. Warna muda yang segar.
Kebebasan dan nada juang itu terpanjar denga aris lincah, spontan, palitan berus kasa, saling bertindih mempamerkan kalimah abjad jawi moden, dalam judul ' Tulisan' (cat minyak 1962). Hal yang sam juda dilakukan oleh latif Mohidin dalam siri ' Pago-pago'.
Bagi Syed Ahmad Jamal , kesan perjuangan semangat menjeIang kemerdekan makin kukuh setelah bergemanya, Konsep Kebudayaan Kebangsaan (1972), bagi mencari akar pribumi (Seminar akar-akar Pribumi, 1979).
" Siri Ledang" |
(sambungan tulisan ini lihat judul : 2.Manifestasi Dunia Seni > Puisi dan Lukisan, www.senirupasiti.blogspot.com/19/09/2011)
@SITI ZAINON ISMAIL (Untuk rujukan sila nyatakan sumber @SZI, "Judul" dalam http://www.senirupasiti.blogspot.com,23/ Sept 2011)
Gombak
Tuesday, 20 September 2011
Monday, 19 September 2011
2. Manistasi dua Seni> Puisi dan Lukisan
PADA perayaan meraikan ulang tahun beliau yang ke 70 tahun, Muzium Kesenian Islam telah mempamerkan karya agungnya dalam siri Islamis. Judul-judul seperti "Kiblat" dan " Safar dan Marwah" dapat dijadikan rujukan. Betapa batin seninya bergelora hanya dengan meniti Jalan Kebenaran. Secara pribadi beliau sendiri pernah menyatkan bahawa seni lukis adalah bahasa warna dan puisi ialah 'bahasa kata'. Dengan gembira beliau mencadangkan, ' Kenapa tidak Siti puisikan lukisan saya'. Mungkin agak terlambat saya menyahut cabaran beliau. Dengan kesedaran kasih seni juga saya harus menjawab cabaran itu. Berikut saya catat puisi yang terlahir dari renungan karya lukisan beliau. Hanya Al Fatehah juga terakam mengenang budi seorang mahaguru seni saya sepanjang berkenalannya dengan beliau sejak tahun 1972, ketika APS menganjur pameran solo ku di British Council. Berikut inilah puisi yang terlahir daripada lukisan beliau yang menimbulkan gelora seni puisiku...
"Ruang Kiblat" |
Nurulhaq di depan karya ayahanda "Tun Mamat Mendaki Himalaya" |
galerimelora@yahoo.com
19 Sept- 11 Oktober 2011
Sunday, 11 September 2011
DEWAN KESENIAN RAKYAT MENJADI ISTANA BUDAYA
Untuk renungan
DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN TERABAI
PUNCA DKK IALAH OLEH PERISTIWA 13 MEI 1969
Friday, 9 September 2011
MALAM RAYA - SYAWAL 1432
Friday, 29 July 2011
SUARA DARI LERENG BUKIT BESI
POHON buah keras bercabang dua di puncaknya. ketinggian melebih pohon kelapa. Daunnya menjurali ke bawah, menerawang ke atas. Selama ini kita hanya membeli buah keras ( sigueh putih, chloranthus - kemiri , aleurites moluccacna) . Waktu kecil dulu kami menyebutnya buah ajaib , buah khidmat kerana menjadi penyelamatku, selalu dalam saku. Bila anak anak lelaki nakal (sepupu) ku genggam tangan dalam saku, dia tahu di dalamnya ada buah keras, awas. Sekarang dalam usia petangku ku genggam buah asalnya, yang dikutip Diyah , seperti buah coklat batu sudah lembut kulitnya. Diya meramasnya dan muncullah biji si wajah manis kuning gading.
SIANG itu Diyah mengenalkan ku dengan bau manis si buah keras. Biji buah yang memang keras dan anehnya ia menjadi lembut rasanya dalam masakan. Tidakkan lengkap dalam resepi masakan ninda kami tanpa simanis buah keras. Diyah tersenyum bangga mengenalkan aku dengan buah ajaib ini yang selamanya hanya kutemui di pasar atau di kedai runcit atau di pasar raya yang sudah ditata indah dengan harga berlipat ganda. Serindit tiba-tiba mengejut kami...burung kecil dengan suaranya berdecip di hujung ranting yang menjuntai di sisi kanan langkahku. Wah sunggh jinak pula si unggas kecil ini. Ku gapai ranting dan kukais dahan pakis, serindit melompat menerawang ke atas dan bertenggek di ranting pohon kemiri. Hussh, sungguh dia mengusik kami dengan decipnya yang mendesah.
Di LERENG bukit yang kononnya berbatu besi kebun sayur tidak menjadi, apa lagi sawah padi, sehingga gaek kami harus pergi merantau. Tetapi kuntum lili merah ini dapat muncul segar, kelopaknya tebal bagai trompet menggerakkan sayapnya ditiup angin siang itu. Dengan siapa aku berkongsi warna segar ini. Diyah sudah menurui bukit, aku terkatung sendiri, ingin memetik tangkai si trompet merah . Tetapi naluri ku berkata, ' biarkan aku di sini, menghidu baumu, mendengar debur angin siang menggelisir sinar...aku bersamamu, menanti...'
***
Thursday, 28 July 2011
Segar Alam AnugerahMu
HASIL tuaian tanaman sudah berpindah. Dijual beli. Cili hijau merah, tomato jingga, terung ungu, menjadi lukisan panca warna - semua asli merakam kasih abadi.
INILAH ghairah air tangan ibu, cili digelek dilumat di batu penggilingan, kau asingkan cili dan tomato merah untuk lukisan merah di piring. Cili dan tomato hijau - lukisan kesegaran sejak dulu sudah bermain di nubari ibunda kita...
Tuesday, 26 July 2011
NYANYIAN BULUH PERINDU
Kuning Ledang bagai dikarang/Riang-riang disambar wakab/Hairan memandang dunia sekarang/Bayang-bayang hendak ditangkap.
Ayat ' memandang dunia sekarang' sudah memperlihatkan fikiran masa depan orang Melayu ketika itu. Masa depan yang berlagak, berupaya untuk menalakluki walau persiapan dan kemampuan hanya bergantug kepada keupayaan orang lain. Pantun membawa amanat masa lalu, masa kini dan masa depan. Inilah pula yang kerap berlaku ' mengharap sokong, sokong membawa rebah' atau 'harapkan pagar, pagar makan padi'.
FUNGSI perlambangan buluh perindu membawa makna sampingan lain. Buluh bukan sekadar memberi amanat dengan irama sayu mendayu, sebagai menyampai kisah hati dan hiburan santai. Sebaliknya buluh berfungsi beraneka ragam sesuai dengan bentuk yang dihasilkan.Dari situasi budaya tradisi kecil, di zaman awal kehidupan, di perbukitan, di pinggir sungai dan lautan buluh menjadi punca rezeki untuk melansung kehidupan. Maka buluhpun di sisip sasap menjadi bakul, bilah lantai, kelarai dinding, tiang dan atap. Makin tinggi pemikiran seni, makin indah dan tinggi pula daya kreatif. Bukti teknologi tradisi ini sudah terbukti dala seni bina terutama dalam menata dinding rumah, masjid, dijadikan kelarai menepis hujan , dianyam menjadi tikar ciur, tikar lapik untuk menikah pengantin lelaki, lapik untuk menyambut kelahiran bayi malah pertabalan diraja. Tikar raja berhiasan tambahan tekat dan sulaman berbeza dengan tikar biasa untuk yang kehilangan tahta. Peristiwa ini disebut dalam penarikan bakal raja Melaka, ' maka permaidani daripada Raja Muzaffar pun diambil orang, maka tinggal tikar hampaan orang banyak'. Demikian Raja Muzaffar putera Sultan Mahmud dengan isteri pertama digugurkan taraf Raja Muda diganti dengan Raja Ali puertama bersama Tun Fatimah (S.Samad Ahmad, peny.Sulatus Salatin, 1983:258)
Teknologi tradisi yang amat berfungsi mengikut zamannya makin dihindari. Kini teknologi baru makin menyingkir perlambangan buluh. Maka falsafah , ' melentur rebung biar dari buluh' semakin menghilang. Malah sikap ' buluh kelentong' semakin menjadi. Tidak ada lagi budi kasih seperti ' aur dengan tebing'.
MUJUR masih ada kesetiaan kasih si penuip suling. Beberapa wilayah pedalaman, pergunungan Asia masih mengangkat suling buluh perindu (buluh gading), menghimbau sukma jauh. Teringat salung makin mendayu-dayu di sukma Latif Mohidin walau dia jauh di benua salju. Penyair masih meratap kehilangan salung. Kutiplah puisi Firdaus Abdullah , Latif Mohidin, waris Minang masih saja membawa desir buluh Ngarai Sianuk, atau buluh perindu memanggil jauh dari puncak Singgalang, biar diri terlontar di air terjun Niagara atau mengutip cemara di Sisilia. Salung atau suling itu terus bergema di kalbu, hingga kerinduan tanah air teralun jauh dari rantau,
..' Kalau Sariyati ada di sini/kupeluk hangat seluruh tubuhmu/hingga salji yang putih/dan kamar seminar/menjadi Marapi di pagi hari/bagai aSingkarak ditimpa panas' (Firdaus Abdullah, New York 1975)
Kita juga mendengar " Buluh tidak terpisahkan dalam kehidupan tradisi budaya kecil nun jauh di pedalaman Sabah Sarawak, di Danau Toba, di Laut Tawar, bersambut deru angin di Danau Batur Kintamani. Kadang di sambut tabuh gong, wayang Jawa, suling tetap berisulan. Jangan berbohong wahai sahabat, bila kau meniup clerenet kau masih tergugah dengan sayu merdunya salung atau suling si buluh perindu.
***
Bukit Kanching, Rawang , 27 Julai 2011
Monday, 25 July 2011
Bucuk Masih Merajuk
Sunday, 17 July 2011
Pamalayu II
BEBERAPA kali perkataan Melayu kerap mengusik minda saya. Rinikesumoyati kerap juga mengusik, “melayu, hei melayu, ayo, mbok melayu dengan cepet.”
“Hei Rini, memang aku Melayu, kenapa? Mahu kau Jawakan aku?”
“Ha?, memangnya kau Jawa, cepet melayu, ayo lari, lari kita harus cepat sampai ke puncak sana!”
Saya hairan dan baru maklum, perkataan melayu dalam bahasa Jawa, bererti lari. Kenangan peristiwa itu sungguh meruntun perasaan saya hampir lebih tiga minggu selama minggu suai kenal belajar di tanah Jawa. Tapi sekarang saya benar-benar berada di pinggir Sungai Melayu ... di sebatang anak sungai yang muaranya di Batanghari, oleh penduduk setempat di sebut Sungai Melayu; sungai inilah yang mengalir ke desa di Muara Jambi.
Kami sedang menatap peta yang besarnya sehalaman meja. Drs. Afzal masih ingin menjelaskan dengan baik tentang letak Sungai Melayu. Di sebelah kanan Drs. Afzal ialah Dr. Julie Alman, ahli arkeologi dari Cambridge, yang memberi kuliah di Bulaksumur, Yogya, akan memastikan letak Sungai Melayu yang kononnya adalah sebuah kerajaan yang telah dicatat dalam manuskrip kerajaan Singasari dalam pemerintahan Kertanegara. Kerajaan Melayu sudah terkenal sejak tahun 1268. Saya cepat mencelah, “Boleh kita pastikan sungai ini memang terletak di Jambi, bukan Palembang?”
“Ya, kalau menurut Ekspedisi Pamalayu, angkatan perang Singasari memang telah dihantar ke sini. Lihat arca `Amogapasya’ ini; inilah cenderamata daripada kerajaan Singasari kepada raja Melayu di Jambi, mungkin kerajaan ini telah dirintis sejak zaman Darmawangsa abad ke-10, anda setuju?”
“Ya, pastikan mereka datang bukan untuk menakluk Melayu.”
“Ah, anda sensitif sekali dengan perang .... kajian kita hanya untuk memastikan di mana Sungai Melayu, mana tahu, ia terletak di Bentan atau mungkin di Melaka?"
Memang saya cepat menyedari sifat nostalgia hati ini. Katalah memang benar Hang Tuah kecil bermain lading dari hulu Bentan menuju Temasik sebelum bertapak di Melaka, bukan sebaliknya, tapi Tuah juga merujuk dirinya sebagai Melayu, kami Melayu dari hulu Bentan! Dalam episod bermain di Taman Sari diungkapnya pula, “Inilah anak Melayu, berdarah Jawa juga!” Adakah ini gurindam seloka anak jantan Melayu Bentan? Bertingkah oleh sikap ilmu keguruannya yang pelbagai. Tapi apabila Drs. Afzal menyatakan, Hang Tuah juga bermukim di Sungai Melayu, di Jambi, saya hampir tersedak ketika mengunyah tempe masak lode di kantin kampus Universitas Jambi. Saya tahu mereka mengusik saya yang agak egois dengan asal usul Melayu. Tambah Drs. Afzal, “Tidak ada orang Melayu asli, kecuali Orang Asli. Kalau betul Hang Tuah Melayu Asli pastilah keturunan Jakun atau Semai atau Orang Ulu.”
Mungkin kata akhir itu boleh saya setujui, bukankah mereka berlima dari Hulu Bentan?
Tapi Dr. Julie cepat mengalih keterharuan saya dengan menukar tajuk perbincangan. Tambahnya lagi,
“Sebagai bandar niaga, Sungai Melayu adalah pelabuhan eksport tempat memunggah hasil rempah, segala buah pala, cengkih, kulit kayu manis, kunyit, dan halia kering bahan eksport ke kapal Turki, Gujerat, dan Madras, dan kapal-kapal sejak Dinasti Sung tiba dengan muatan sutera dan tembikar berisi telur asin dan taucu ...”
Saya kutip penerangan lanjut daripada ahli sejarah Universitas Jambi, Drs. Afzal pula. Tapi saya masih menatap gambar arca “Amogapasya”, arca disaluti emas, menyilau dalam buku Indonesian Arts. Tidak mungkinkah arca itu memang dihasilkan di Sungai Melayu, dan di sinilah bertompok segala emas yang didulang oleh nenek moyang orang Melayu?
“Emas?”
“Ya, emas datang dari sungai di sepanjang Bukit Barisan terutama di Minangkabau dan Kerinci!”
Akhirnya kami ke Batanghari juga. Fakhrul Rodzi, calon siswazah arkeologi dari universiti yang sama dengan gurunya, Drs. Afzal, menjadi pemandu kami dengan perahu enam kaki menyusur ke arah hulu. Air sungai tengah pasang dan kami dapat berkayuh dengan senang. Dalam tempoh 10 minit kami sudah melalui kampung Ulu Gedung, seberang Batanghari. Menurut Fakhrul Rodzi kami akan melalui beberapa buah kampung seperti Mudunglau, Jelmo, Olak Kemang sebelum Tanjung Pasir untuk mengunjungi informan kami, Pak Jamil.
* * *
Pulau Pandan jauh ke tengah
Di balik Pulau Angsa dua ...
Pantun di atas memang sengaja tidak kami selesaikan dengan maknanya. Umum sudah mengetahui dua baris di bawah itu. Tapi sekarang kami sedang mengkaji citra dan wilayah budaya yang dipinjam untuk menghasilkan pantun tersebut. Dari manakah asalnya, siapakah dan bilakah ia mula dicipta. Akhirnya dalam kelompok tutorial kelas sastera rakyat di bawah bimbingan Prof. Dr. Virousky itu kami harus akur dengan disiplin antropologi budaya bergabung dengan semiotik, dan perlambangan khususnya teori Geertz bagi mencari fakta di sebalik sumber etnografi juga. Teori Chomsky juga dijadikan rujukan. Tapi sahabat saya Dayangku Iriah, sering merungut, “ ... Kenapa untuk mengkaji pantun milik bangsa sendiri pun harus merujuk kepada segala titik bengik bangsa dan budaya asing? Ayuh, siapa mahu ikut saya, kita gunakan teori bangsa Suluk, Bajau, dan Irranun ...! Kita ada pengalay, kalang sama, ison-ison, ayuh, mari mulakan dengan batitik, pukul kulintang, pukul babandil ... nah, itulah lirik pantun kita, ayuh, nyanyi dan mena ril
ah ...”
Rupanya, Dayangku Iriah tidak main-main. Dari pejabat kedutaan Filipina dia mendapatkan sepasang busana pengalay, daripada koleksi Rumah Brunei dia mendapatkan seperangkat gelang aluk tujuh lapis, dari Yayasan Sabah dipinjamnya busana Bajau lengkap dengan sarimpak dan gerinsing emas. Entah dari mana idea ini, jadi sewaktu membentang kertas kerja tentang pantun Melayu, dia sudah sedia dengan keanehan yang mungkin muncul dan tanda tanya daripada profesor pembimbing atau mahasiswa sendiri. Sebelum acara perbincangan pantun, dia memutarkan muzik daling-daling, dengan sigap dia bergerak lincah gemalai, busananya lengkap salawar, berumbai-berumbai ketika dia menghayun langkah. Jemari kukunya berhias, tusuk rusa, baju berbutang betawi ... muzik kulintang lincah, rancak ... kelas tutorial menjadi hidup tidak lagi tersengguk-sengguk oleh kebosanan mengulangi rutin yang konvensional; pembentangan kertas kerja kerap membosankan malah si pembimbing juga kerap menguap dan mengantuk.
“Pantun Melayu ialah irama angin, air, api, dan bumi. Anda dengarlah tiupan bayu, jamahlah kehangatan api, kedinginan air hujan dan kelembutan bumi, citra ibu yang amat mengasihi ...” Itulah ungkapan pertama sahabat saya, Dayangku Iriah. Tambahnya lagi, “Sampiran pantun adalah kosmos dan batin Melayu itu sendiri. Di sana dia melihat sinar bintang, kedamaian dan kerinduan sinar bulan penuh, kilat ikan di air gelora asin laut. Keluk liuk jemari pakis di paya, dan bau asap sekam padi pada musim selepas menuai ...”
“Teruskan, teruskan ...” itu pasti suara Prof. Dr. Virousky.
Tapi pada pendengaran saya ketuk kulintang, paluan babandil ... dan kami bukan lagi di bilik tutorial. Dayangku Iriah sedang menjelaskan keindahan muzik dan busana masyarakat Bajau-Irranun, di Bostan Art Gallery. Begitu tangkas dia menyusun dan mempamerkan aneka jenis koleksi bahan budaya benda keagungan pemerintahan tradisi Melayu Brunei dan Melayu Suluk ... yang mewariskan kekayaan Bajau Irranun. Keterharuan saya amat ketara dengan kesetiaannya terhadap akar sejarah. Dalam kesibukannya sebagai atase pendidikan di Malaysian Hall, London, masih sempat menerima undangan sebagai kurator di galeri yang amat terkenal itu. Dan saya sendiri, yang bercita-cita untuk menjadi guru bahasa dan adat Melayu tapi tersisih dengan dunia ilmu hanya kerana bangga menjadi seorang datin, isteri salah seorang pegawai diplomat, yang kerap memperagakan aneka busana sutera Itali, Perancis, atau Korea. Saya sendiri tersentak apabila Dayangku Iriah menegur pakaian kebaya bersulam kerawang fabriknya yang dibeli di Korea, bermotif p ucu k rebung, yang jelas diciplak daripada kain sarung Kelantan, tapi diubah reka dengan corak dan warna ditambah pada fabrik sutera yang harganya, 10 kali ganda daripada sehelai sarung tenun Terengganu. Di mana Melayumu, wahai Datin!
Kali ini saya benar-benar berperang. Impian seorang sarjana yang meninggalkan tugas kesarjanaannya hanya kerana mengikut suami bertugas di luar negara.
Sungai Melayu di Muara Jambi, masih di situ.
Sungai Duyung ada di Hulu Bentan.
Atau Sungai Duyung juga ada di Melaka
masjid bersulur bayung dan perabung bertingkat tiga di Hulu Melaka, di Demak dan di Kampung Laut, siapakah pereka bentuk aslinya? Di manakah sungai Melayuku?
Atau memang benarkah apabila sarung pelikat dibawa dari Pulikat, apabila seluar dipinjam dari syalawar Gujerat, atau sutera dari China, Melayu juga telah kehilangan bentuk, mata coklat pekat atau hitam bersinar berganti biru, rambut menjadi blonde dan hidung, suara, dan gaya segalanya berpencar beraneka warna antarabangsa. Dan kini anak-anakku yang bebas keluar masuk Mall, aneka kafe moden di Menara KL Suria, mana, mamak cendol dan rojak di kaki pohon meranti di Jalan Ampang, atau di Hulu Kelang ...
“Nuwun sewo, bu,
sarapannya sudah sedia,
monggo bu ...”
“Ayo, ojo melayu, jeng ...”
Itulah suara di rumah kami. Inem dari Magelang, sudah tiga tahun merapi meja makan dan dapur kami. Puteri sulung saya berumur 15 tahun lebih arif, memasak pecel dan gudek, gulai nangka, bergaul opor ayam, keropok kulit perut dengan santan lemak, manis bergula daripada masak ikan cili padi berencah putik bacang. Kini dia belajar pula memakai kain wiron, meminjam batik Inem berhias, bunga sayap geroda, sesekali berdandan dengan siput gaya wanita keraton. Benar siapakah yang Melayu atau bermulakah Pamalayu?
Dayangku Iriah, benarkah sudah terpeta dunia Melayu baru itu?
*Cerpen 1990.
Saturday, 16 July 2011
SELOKA SI TANJUNG
KAU datang juga!
Sayap mentarai masih mengembang. Lapisan awan semalam makin menipis. bayang gunung mula menyerlah. Kilau warna danau di kaki bukit menjalur dengan getaran kecil oleh buih udara. Gelembung kecil muncul dari gelepar ikan danau.
" Bagus namamu!"
" Kau juga, Tangjung."
Dua nama . Muara. tanjung. tetapi mereka justeru bertemu tidak di pantai. Muara muncul di gunung. Tanjung sedia berdiri di kaki perbukitan, kala hujan berderai, awan mendung. Tetapi seperti juga di laut, kala nelayan gelisah menatap langit mendung, di bukit juga petani resah walah tanaman semakin subur dengan renjisan air rahmat Tuhan. Tetapi beberapa karung guni bawang kering terlantar di batas banjir. Belum sempat dipunggah ke lori (truk), bebarapa selokam bukit runtuh. Jalan penghubunung ke kota terputus.
" Kalau hujan masih berterusan, kita pasti ketinggalan kenderaan untuk ke kota. Kenderaan terakhir pukul lima. Kalau hujan masih lebat, dengan jalan berkelok tidak ada pemandu (supir) sanggup melalui gelita malam."
Itulah keluh wanota. Si Tanjung gelisah. Dia mengutip keluhan itu. Ajaibkan suasana kala dia sengaja memilih pandangan danau dan bukit di kaki gunung tetapi dia sengaja memilih pandangan danau dan bukit di kaki gunung tetapi yang ditemuibnya , bayang Tanjung di Ambun Pagi.
Lantas didengarnya air terjun di Ngarai Anuk. Beberapa kelompok anak muda saling berkejaran. Ah ! dunia manis anak remaja. Ah, kau juga merasa kembali remaja?
Benarkah? Dia menolah ke arah tanjung. Wanita tinggi lampai dengan rambut melebih paras bahu. Lurus dan berkilau basah oleh gerimis. Apakah dia dara keturunan Puti Bungsu , cerita rakyat yang dituturkan dari mulut ke mulut dimbumbui dongeng purba. Agak sukar baginya untuk menebak usia Tanjung. Mungkin kerana potongan badan yang kurus renceng ditambah dnegan wajah tenang dan prihatin.
" Seperti anda juga bukan? Tasanya seperti mahasiswi tahun pertama saja!"
" Ah, anda bercanda. Lihat saja rambutku, telah mula ubanan."
tetapi Muara tidakpun melihat helaian rambut putih seperti tutur Tanjung . Sebaliknya, rambutnyalah yang mula dicelahi warna sutera kelabu dan tegang. Perlukan dia bertanya lebih lanjut atau wajarkah mereka mengenalkan diri masing-masing? Sebolehnya dia tidak ingin bertanya. Namun ada desakan lain sehingga dengan santai dia menerim apa saja yang ada di depannya. Ya, Tanjung. Atau kerana pancainderanya yang halus, hinggadapat didengarnya bait-bait seloka seakan dibawa dari arah bukit dan bayang gunung seakan memanggil jauh dari belakan. Kembang aksara mekar dan luruh di depannya ...
Kala Batanghari dan Musi ditinggal jauh
bayang mentari tinggal setapak
kala Panglima tinggalkan selokan akhir
hanya jejak ukiran purba
betapa Datuk Hitam mengurai kecewa
di mata Putera Sela- masih menantikag di sana
antara sedu harap dari Jambi
Sang Puteri Pinang Masak
atau sedu mimpi Puti Bungsu
sampaikah panglima Tunggal?
" Kau ahli sejarah Muara?"
" Aku hanya ingin istirah di gunung. Kutemui dikau di bukit senja. aku menghirup aroma cengkeh di istana comelmu.."
" Kau harus segera pulang esok, anam bahaya lama di sini. Kau ingat warisan takdir kehidupanku? Masa lalu orang tuaku, sebelum kau turut dituduh abnjing hutan berkurap? "
" Aku kurang jelas. Kebunmu subur . Aku ingin memetik limau (jeruk) dan kopi atah cengkih . Mustahil petani awalnya digoda angkara beigtu, maksudmu?"
" Pulanglah. Kerana sejarah keluargaku tidak tercatat dalam buku. Mustahil cerita anak kecil masa laluku bisa dipercayai oleh ahli sejarah seperti mu ? Atau kau juga turut menutup peristiwa dua puluh tahun dulu begitu saja. Seperti tulisan mereka mengkabur fakta dan memjelek perjuangan ayah dan kakekky, menyelamat kebun dan tanah leluhur - generasi kami tihiris kelar semangat oleh takdir. Tiada perlawanan. Begitukah sejarah?
Namun bagi Muara, masa lalu tetap masa lalu. Memang semua tidak melupakan masa lalu sejarah yang telah dimuziumkan itu. Cuma mungkin Tanjunglah yang mewakili luka sejarah masa lalu itu. Anak muda lain sudah lari ke kota Jawa. Siapa yang peduli ayahnya diheret, dihujani tikaman bambu runcing, luapan apoi yang tidak mengenal siapa lawan siapa kawan. Dan Muara sendiri, ayahnya pun menjadi mangsa bintang tiga di rimba Senawang. Dan datuknya terlonta di mata pedang Nippon di Ampang? Masih berdendamkan aku?
" Demi kebunku Muara, kebun warisan ini, bangun bersama pilu itu. Hanya di sinilah aku bisa meneruskan janji buat kedua orang tua...aku tidak pergi meninggalkan kasih sayang ibunda. "
" Dan jiran-jiranmu?"
" Mereka tak mengetahui sejarah hitam keluargku di desa asal . Di sini kubangun kembali warisan tanpa dendam. Aku ingin memutihkan kembali sejarah luka itu. Kerana di tempat asal peristiwa, aku terus dikutuk, dihina, nyahlah darah si hitam. Anjing hitam, kutau hitam. Oh! Tanpa seabrang pengadilan, ibu turut dihina, dicerca, cuma di sini di kebun ini, Tuhan masih sayangkan umatNya. "
" Dan Udamu "
" Ya setelah kami bertunang..tapi dia juga turut diseret hukum kononnya demi keadilan, nah kau lihat aku sendiri di sini dan dia jauh. Dia jauh!"
" Siapa? "
" Malim !"
" Rang Muda Malim? Jadi ada Malim ? "
" Ya Kenapa!"
" berdongenglah Putoi Bongus, berdongenglah "
" Kau keliru, Uda. Aku bukan Puti, Cuma Tanjung "
" Kaulah Puti Bongsi, Puti yang dikenali Rang Muda Malim "
" Kalau itu, memang betul "
" Kaulah dia Puti Bongsu. Puti yang dikenali Malim. dia masi utuh dalam suka Malim, percayalah "
" Betul. Sungguhkah ? "
" Oh, syukur "
" Tapi , Uda "...
Wajah Tanjung kini mengalirkan gaya Puti Bongsu dengan hiasan sunting penuh di kepala dengan baju labuh tenun balapak.
...kau pergi tanpa selempang sulamanku. Setelah putera Mamak mengetuh pintu rumah pusaka kami, setelah Mande pergi, segalnya hanuyalah impian dan kemusnahan kasih kita. Uda , setelah pergimu segalnya adalah kebun kering sepanjang musim. apalah ertinya danau tanpa angsa dan seroja nika warna? "
" Akan kucipta kembali kesuburan kebun kita. seroja dan mawar setaman"
" Mustahil"
" Sungguh"
" Aku tahu. Pergi ku jangan kau kesali. Walau kutahu kau mengutuk ku dulu...dan sang putera Mamak, oh ! Inilah kesilapan dulu Seharusnya aku juga berangkat lebih awal...dan kini, eh telah cukup gelaran ilmu walau bukan gelaran adat, percayalah hanya sekuntum mawar yang tumbuh di danau sukmaku.."
" Uda ! "
****
Batu Sangkar - K. Lumpur
1987-1988
(Dewan Masyarakat , Julai 1989)