Tuesday, 26 July 2011

NYANYIAN BULUH PERINDU

MASIH INGAT angin menderu di gunung Ledang, ketika Laksamana Hang Tuah membenarkan Tun Mamad . Tun Mamad adalah Penghulu orang Inderagiri pun memanjat gunung bersama pengikutnya. Lantaran usia sudah senja Hang Tuah tiada tenaga untuk mendaki. Sebelum itu mereka mendaki ditunjuk jalan - Dendang Anak bernama Benua. Jalan mendaki terlalu sukar ' angin pun bertiup terlalu keras'. Maka dengan segaknya Tun Mamad bersuara " Berhentilah orang kaya dahulu biar beta naik " . Tun Mamad naik dengan pantas hingga tiba di batas buluh perindu, angin makin keras bertiup, awan bagai dapat dicapai. Segala tanaman hidupan menjalar , melilit, dan anika bunga berkembangan, mengikut alun buluh perindu. Siapakah yang meniup suling ? Hanya angin menderu, membuai batang buluh kecil dan besar, geselan batang buluh memberi irama khas rimba. Terpukaulah Tun Mamad, terhibur dan ingin bercanda dengan aneka bunga. Bunga pun bergurindam berseloka. Malah unggas dan pohon bersyair . Di sinilah dapat difahami makna kehidupan fikiran Melayu.Semua alam adalah citra untuk menyampaikan perasaan dan fikiran. Termasuk Tun Mamad dijadikan bahan citraan sasterawan tidak bernama. Pesona lama diangkat untuk menegakkan sindiran oleh pengarang. Maka impian Sultan Mahmud Melaka yang birahikan wanita istimewa menanding segala puteri di dunia turut diberi sindiran melalui pantun yang dinyairkan oleh bunga tanjung,



Dang Nila memanggu puan/Berembang buah perada/Adakah gila bagimu puan/Burung terbang dipipiskan lada



Maka disambut bunga telipuk,


Kuning Ledang bagai dikarang/Riang-riang disambar wakab/Hairan memandang dunia sekarang/Bayang-bayang hendak ditangkap.



Ayat ' memandang dunia sekarang' sudah memperlihatkan fikiran masa depan orang Melayu ketika itu. Masa depan yang berlagak, berupaya untuk menalakluki walau persiapan dan kemampuan hanya bergantug kepada keupayaan orang lain. Pantun membawa amanat masa lalu, masa kini dan masa depan. Inilah pula yang kerap berlaku ' mengharap sokong, sokong membawa rebah' atau 'harapkan pagar, pagar makan padi'.



FUNGSI perlambangan buluh perindu membawa makna sampingan lain. Buluh bukan sekadar memberi amanat dengan irama sayu mendayu, sebagai menyampai kisah hati dan hiburan santai. Sebaliknya buluh berfungsi beraneka ragam sesuai dengan bentuk yang dihasilkan.Dari situasi budaya tradisi kecil, di zaman awal kehidupan, di perbukitan, di pinggir sungai dan lautan buluh menjadi punca rezeki untuk melansung kehidupan. Maka buluhpun di sisip sasap menjadi bakul, bilah lantai, kelarai dinding, tiang dan atap. Makin tinggi pemikiran seni, makin indah dan tinggi pula daya kreatif. Bukti teknologi tradisi ini sudah terbukti dala seni bina terutama dalam menata dinding rumah, masjid, dijadikan kelarai menepis hujan , dianyam menjadi tikar ciur, tikar lapik untuk menikah pengantin lelaki, lapik untuk menyambut kelahiran bayi malah pertabalan diraja. Tikar raja berhiasan tambahan tekat dan sulaman berbeza dengan tikar biasa untuk yang kehilangan tahta. Peristiwa ini disebut dalam penarikan bakal raja Melaka, ' maka permaidani daripada Raja Muzaffar pun diambil orang, maka tinggal tikar hampaan orang banyak'. Demikian Raja Muzaffar putera Sultan Mahmud dengan isteri pertama digugurkan taraf Raja Muda diganti dengan Raja Ali puertama bersama Tun Fatimah (S.Samad Ahmad, peny.Sulatus Salatin, 1983:258)


Teknologi tradisi yang amat berfungsi mengikut zamannya makin dihindari. Kini teknologi baru makin menyingkir perlambangan buluh. Maka falsafah , ' melentur rebung biar dari buluh' semakin menghilang. Malah sikap ' buluh kelentong' semakin menjadi. Tidak ada lagi budi kasih seperti ' aur dengan tebing'.



MUJUR masih ada kesetiaan kasih si penuip suling. Beberapa wilayah pedalaman, pergunungan Asia masih mengangkat suling buluh perindu (buluh gading), menghimbau sukma jauh. Teringat salung makin mendayu-dayu di sukma Latif Mohidin walau dia jauh di benua salju. Penyair masih meratap kehilangan salung. Kutiplah puisi Firdaus Abdullah , Latif Mohidin, waris Minang masih saja membawa desir buluh Ngarai Sianuk, atau buluh perindu memanggil jauh dari puncak Singgalang, biar diri terlontar di air terjun Niagara atau mengutip cemara di Sisilia. Salung atau suling itu terus bergema di kalbu, hingga kerinduan tanah air teralun jauh dari rantau,


..' Kalau Sariyati ada di sini/kupeluk hangat seluruh tubuhmu/hingga salji yang putih/dan kamar seminar/menjadi Marapi di pagi hari/bagai aSingkarak ditimpa panas' (Firdaus Abdullah, New York 1975)


Kita juga mendengar " Buluh tidak terpisahkan dalam kehidupan tradisi budaya kecil nun jauh di pedalaman Sabah Sarawak, di Danau Toba, di Laut Tawar, bersambut deru angin di Danau Batur Kintamani. Kadang di sambut tabuh gong, wayang Jawa, suling tetap berisulan. Jangan berbohong wahai sahabat, bila kau meniup clerenet kau masih tergugah dengan sayu merdunya salung atau suling si buluh perindu.

***
Bukit Kanching, Rawang , 27 Julai 2011


No comments:

Post a Comment