Jarak Waktu : 1965-1970an
Sepanjang akhir tahun 1960-1970an juga, Pelukis memang seakan bernaung di bawah KKBS. Tempat himpunan pelukis juga kerap menempel dengan kegiatan kumpulan penari dan pemuzik. Sehingga tidak hairan bila Latif Mohidin balik dari kembara Pago-Pago kerap menyatu dengan Angkatan Pelukis Semenanjung (APS), yang mempunyai ruang di Taman Budaya Jalan Ampang. Ahli muda APS sudah resah. Senior APS terus dengan kelas potret, gaya Hussien Enas, dan Mazli Som.
Tuan Haji Idris Salam lebih terbuka, membawa kami melukis ke pantai PD. Kadang ikut pameran MAHA di Jalan Kelang. Beliau juga kerap membawa pelukis yang baru pulang dari Eropah ke Sekolah Aminudin Baki (SAB) . Beberapa kali Latif dan Kahlil Ibrahim muncul dalam kelas seni lukis kami.
Tapi Taman Budaya lebih disenangi pelukis muda APS. Latif mucul membawa semangat baru, kerana pelukis ini juga penyair, berbaik dengan DBP. Di sinilah mula terjadi ikatan lukisan dan puisi. KKBS dengan pengarahnya yang seniman Pak Mail nampak nilai jalinan ini.
Maka bergabunglah aktivis seni dalam Manifestasi Seni, menghubung institusi DBP, Balai Seni Lukis, Taman Budaya, di situ penyair , pelukis, penari, pelakon, pemuzik berhimpun, di persembahankan di halaman terbuka. Menteri datang baca puisi, duduk di atas rumput tanpa karenah birokrasi atau protokol politik. Maka bersilalah YB Menteri, Ghazali Shafei. Hamzah Abu Samah, KSU Mokhtar Hashim, Pengarah Seni, Ahli Korporat, para seniman ternama, tak punya nama semua bergelar Seniman Ibu Kota.
Dari sini pernik-pernik kecil Anak Alam mula membenih. Mustafa mula menulis puisi, Ali Mabuha melukis puisi , Latif dan AGI memang melukis dan menulis puisi. Hinggalah terjadi perpindahan Taman Budaya Jalan Ampang ke lembah Padang Merbuk - detik bakal munculnya nafas Anak Alam !
****
****
SZI, Rumah Nilam ,
17 Mel 2011
No comments:
Post a Comment