Monday, 18 October 2010

Latihan Seni dengan Hati Mesra

Kerja Seni Semesra Hati
*
Sejak berzaman suara hati budi Melayu sudah bergema
dalam susunan kata, ayat dibaca, dinyanyi
digurindam - segema dengan tepuk, tandak
meriuh tapi damai . Sejak berdetak bumi pra sejarah
Tok Batin menyisir rambut keriting
Nek Timbun bersunting jurai bertih pinang
dengan pukulan gendang ibu-anak
tiupan suling bambu, berseling
ceracap inai, tepuk sopan zapin Johor, Selangor,
Perak dan canggung Perlis, ulik mayang
asyik indung Kelantan Trengganu.
Inilah gema mesra hati
kasih budi
sebuah kerja seni
sejak dulu digubah
semesra hati.


Dari perahan jingga urat pinang, bergaul kapur
dan perahan limau, hitam pendaman sabut
dan lumut maka disebutlah warna merah darah,
jingga pinang mabuk, kesumba murup
di cindai limar, biru tarum berputik
seni sudah berbisik.

Ajaklah si kecil dan sunti bermain warna
biarkan mereka berkeluh tanya
di bawah rumah lama
kadang mereka bersorak riuh bertandak
tapi perlahan berhening
dengan doa di hati
diamkan bibirmu tanpa suara
seni sudah berkerja
putih kasih bersatu gema
kerana hati semakin mesra!

*****
A-KABA setiap petang Sabtu dan Ahad
*****
Rumah Baca
Kampung Bandar Dalam
Batu 4 1/4 Jalan Gombak
51100 K. Lumpur





No comments:

Post a Comment