Thursday, 29 July 2010

Si Merak Emas- W.S Rendra dalam Kenangan di USM

Mbak Narti, turut aktif bersama teater WS Rendra (foto @SZI, 1973)
***

"KUTULIS surat ini/kala hujan gerimis /dan dua ekor belibis/bercinta dalam kolam/bagai dua anak nakal/jenaka dan manis/mengibaskan ekor/serta menggetarkan bulu-bulunya/Wahai , dik Narti/kupinang kau menjadi isterisku!" (sajak " Surat Cinta")

Kerana larik sajak inilah saya mencarinya ke Jogja. Sajak awal Rendra memang begitu alami, bagai pucuk muda, segar dan enak diulang baca...ku temui beberapa judul sajak Rendra ketika bertugas di studio guruku Naz Achnas.

Latihan Mastodon dan Burung Kondor, Ketemanggunan Wetan. Duduk di belakan SN Usman Awang (Allahyarham, foto @DBP, 1973)

***

Maka setiap kali W.S Rendra datang memberi apresiasi Seni Teater di Kampus ASRI, ruang menjadi penuh padat masing-masig ingin menampilkan diri, untuk dipedulikan Rendra...haaa termasuk Ken Zurainda yang akhirnya terus terlibat dengan teater di Ketemanggungangan Wetan. Kebetulan rumah pondokan ku memang di depannya. Setiap kali latihan aku harus mencelah ke situ. Ketika rombongan PENA datang, kuhantar Usman Awang, Ahmad RAzali, Hashim Amir Hamzah, dll untuk turut melihat latihan Mastodon dan Burung Kondor.


W.S Rendra turut menjadi tamu UKM, `1993
***
Hubungan beliau dengan penyair Malaysia juga akrab. Selain beliau menghormati Usman Awang, puisi-puisi beliau menjadi bahan kajian penting Prof Dr Muhammad Haji Saleh (Ph.d) hingga menjadi teks wajib di beberapa kampus tanah air. Beliau juga kerap diundang oleh DBP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan YB Anwar Ibarahim. Beliau juga datang ke kampus UKM memberi suara pengalaman kesenimannya di ATMA.
Peluncuran buku Fikar W Eda di Kampus UI, 2003
***
Rendra begitu dekat dengan seniman Aceh. Apa saja undangan kegiataan seniman Aceh beliau tidak akan menolak...terakhir kami bersama meraikan pelancaran buku puisi penyair Aceh Fikar di kampus UI, Oktober 2003.
*****
Esok , 31 Julai - 1 Ogos Persatuan Penulis Pulau Pinang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan USM akan membicara karya-karya beliau. Kuuntai bait-bait puisinya dalam kajian " Semangat Alam, Kasih Ibunda dan Kemanusiaan".
Kampus USM, Marzuki Ali, Dr Sakinah, Dr Sohaimi dan kawan-kawan PP dan mahasiswa sastera, tunggu aku datang ke pangkuanmu. Jangan lupa bawa ke warong pinggir jalan untuk menikmati Chao Kue Teow istimewa , syyyyerrrrrr . Syabas! InsyaAllah
*****
Gombak, 30 Julai 2010



Kembali ke Rumah Nilam

ANAK Sungai Kanching berbisik kecil menyapaku yang baru pulang . Tingkap kubuka, angin dari gunung sana menyergap mesra. Kemana kau menghilang wahai musafir? Di kota sana ribut bukan? Kota sedang bertandak dengan pesta aneka pesta. Kau letih melihat neon bagai bunga emas memercik pohon angsan buatan. Gegar, motor jalanan, sorak sorai kebanggaan. Kujengah kau yang selalu baik hati wahai air yang turun dari bukit sana....terimalah kembali. Tidak lelahnya kau mengalir terus mengalir...hijau melambai memalit ke mataku, hijau bersambut biru langit dan gelombang kapas terapung ingin kupetik menjadi untaian hiasan di cupingmu..




Terima kasih awan, kupinjam gelora kapasmu bersatu dengan biru lagit menjadi zamrud bening menyambut kebaikan mu petang ini,kuuntai tasbih biru nilam menjadi " Petang Pasir Biru" .


"Mata sayap Langit" - kristal, tiara, batu pasir biru, 29 Julai 2010

Entah warna apakah sebenanya wajahmu wahai air. Kadang hijau berbayang di celah batu. Petang ini kupinjam lagi wajahmu untuk kuuntai, mata jed muda menghiasi wajah ajaib di rimbaMu.

" Mata Nilam" - Jed muda dan kerikil kristal, 29 Julai 2010

******

Gombak, 30 Julai 2010





Setelah Pergi Pulang Lagi ke Rumah Ibu

RUMAH Ibu, tempat kita dilahirkan, darah terpecik, mengalir, tembuni dibawa bersuci ke aliran sungai, sisa darah hanyut jauh mengalir, bukankah percikan darah mencair menyatu dalam sungai terus mengalir, masuk ke dada kota, berlumpur itu, ke Kuala Lumpur, menyatu dengan sungai Kelang, menuju ke laut Selat Melaka. Kita Pergi, pergi tetapi selalu ingin kembali ke halaman rumah ibu. Rumah sudah sepi, dinding dan pintu mereput, tangga tersandar, selalu ingin kubaiki, tunggu-tunggu tidak juga ada waktu. Tukang juga selalu mencuri tulang!!!


Sisa tumbuhan ibu masih berpucuk, masih berkelopak dengan daunannya berkilat. Daun jambu jambak kering, gugur, tanah penuh dengan keringan daun.....kujirus kau keladiku..


Haaaa, haaa kerja di hari cuti, himpunan baju dalam kembara masuk mesen, tambah air, sabun, pewangi...buurburrr , air menggebu meluru....aku suka menggantung baju perjalanan seminggu....


Inilah satu-satunya pohon asam yabng masih bersisa di Kampung Bandar Dalam. Orang lain sudah menebang semua pohon warisan...tapi Minah yang merapi rumah ibu, malah menabur benih asam dan pohon ini sudah kerap berganti bunga, buah yang kerap diintai tupai, musang dan anak kucing yang baru belajar memanjat, naik ke dahan dan bising menangis tidak tahu turun....Keladi masih berpucuk baru. Hujung minggu berangkat lagi...hanya kucing setia menunggu...
*****
Gombak
29 Julai 2010

Thursday, 22 July 2010

Brunei Darussalam Negara Melayu Islam Beraja (Sultan) dengan Warisan Sastera Budaya

SEMPENA Pertemuan Penyair Nusantara ke 4 (16-19 Julai 2010) telah berhimpun lebih 150 orang penyair Nusantara dihadiri oleh peserta dari Malaysia, Indonesia dan Thailand di Negara Brunei Darussalam. Ramai peserta luar masih kabur dengan sejarah negeri terkaya di Nusantara ini. Seperti ada yang berjenaka dengan membandingkan keluasan negeri Melayu Islam Beraja ini, kononnya hanya seperti pekan Kelang, atau terdengar pula omongan negeri ini hanya seperti kabupaten saja. Kenapa ada yang menilai dengan ukuran keluasan tanpa memperdulikan sejarah latar dan warisan budaya Melayu yang kekal di rantau ini . Ciri utama sebuah negara Melayu Islam berperlembagaan dengan status pemerintahan Ke Bawah Duli Tuan Patik Sultan. Sebuah negara yang berusia lebih 600 tahun mengekalkan adat istiadat Diraja Melayu dengan Islam sebagai agama rasmi.
Kebetulan kami tiba sempena hari perayaan keputeraaan Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibnu Almarhum Begawan Sultan Sir Omar Ali Saifuddien yang ke 64 tahun. Kota Seri Begawan, berkilau cahaya, neon bergemerlapan di mana-man . Barangkali itulah ketepatan kami kumpulan penyair turut merasai kemeriahaan ini, walaupun kami hanya berkumpul mendengar ucap utama dan forum di Dewan Raya Radio TV Brunei yang bertemakan Melestari Kehijauan Alam dan Kehidupan anjuran ASTERAWANI dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei .
Sebagai negara yang berperaturan rasmi berlandaskan adat istiadat diraja Melayu dengan pegangan Agama Islam, wajar sekalilah pihak sekretariat mengundang Mufti Agama untuk merasmikan acara ini. Kebetulan Mufti Kerajaan, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz (Dr) Haji Awang Abdul Azizi - juga adalah penyair angkatan 1960an yang cukup terkenal ketika itu iaitu Adi Rumi . Manakala acara penutupan dilansungkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, YB Pehin Uda Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Baharudin bin Dato Paduka Pengarah Haji Othman juga penyair tahun 1960an iaitu Baharuddin H.O.


Bukti keagungan nilai islam inilah yang memancari Seri Begawan. Bangunan masjid awal telah dibangunkan dalam pemerintahan di zaman al-Marhum Begawan Sultan Maulana Sir Omar Ali Saifuddien (naik tahta thun 1950- 1967) yang tidak jauh dari Kampung Ayer. Seluruh bangunan diwarnai dengan dinding kuning dengan kubahnya emas 18 karat. Setiap pintu masuk berhiaskan kepingan kaca berhiasan warna dengan bentuk lekuk pucuk rebung tiga sejajar.

Apa yang lebih menyentuh fikiran ku ialah kepakaran Al Marhum Seri Begawan Omar Ali Saifuddien sebagai penyair, penyusun Syair Asli Rajang Hari, juga seorang perencana pembangunan adat istiadat dan hukum berlandaskan nilai Islam, dengan syair Perlembangaan Negeri Brunei Darussalam

Di bawah sinar bulan sabit ketika angin malam menderu dari arah sungai, perahu diraja seakan beralun melimpahkan cahaya kuning kehijauan. Siapakah yang bersyair di sana? Paduka Yang Maha Mulia Tuan Patik kah masih menyalin kitab warisan lama? Syair itupun terus bergema...

Di zaman silam beratap daun * Masa ini belian dan bata
Beransur setahun pada setahun * Laila kemajuan buktinya nyata

Dulu berunding di Lapau Penghadapan * Sekarang berunding di Dewan Majlis
Menghadapkan yang benar Laila berhadapan * Jangan lekas tunduk memalis.
(Muda Omar Ali Saifuddien, Syair Asli Rajang Hari, DBP Brunei, 19094/2006,23)


Dalam sinar cahaya kami datang
ketika pulang jangalah kecewa berhati walang .

Puisi dan sastera ada di hati kita....kita belajar dengan anika gaya budaya....anda telah berpuisi di pentas, di dewan, di Kampung Ayer, memang tidak mudah mentadbirkan kehendak pribadi penyair, kerana kitalah penyair yang wajar membangkitkan semangat persahabatan sesama kita demi martabat kasih se Nusantara. Pintu puisi bersama telah dibuka di pulau ini, kenapa tidak kita atur perjalanan puisi lagi bersama sahabat penyair yang telah kita akrabi di sini?


****
Catatan awal di awana laut Cina Selatan - Gombak
20-22 Julai 2010

Monday, 12 July 2010

SIAPAKAH YANG MENILAI Dan MENGKAJI KARYA TEKS MELAYU TRADISI ?

Terbitan teks sastera Melayu masih terabai terutama teks sastera Melayu Tradisional. Bagaimanapun masih ada penerbit yang setia menerbit dan mecetak walau pulangan perniagaan tidak menjamin berbanding dengan teks popular. Bahan ini hanya dipakai untuk kajian Sastera Tradisidi - kita masih kekurangan pembaca yang sanggup menyelongkar rahsia dan makna sejarah adat, budaya dengan langgam bahasa yang kononya sukar difahami oleh lidah Melayu masa kini .

Barangkali kesedaran ini perlu diangkat oleh penulis kreatif dengan menyentuh isu sejarah, bahasa dan budaya lama ke dalam olahan yang segar. Kalau SN Usman Awang meneruskan ritme pantun ke dalam sajak modennya...kita juga telah menemuikan sikap kreatif penyair yang mengolah kembali citra tradisi ke dalam sajak mereka. Antaranya SN Muhamad Haji Salleh dalam kumpulan Sajak-sajak Sejarah Melayu, Zaihasra dengan Tun Fatimah...

Perkataan Melayu klasik juga diterap oleh Zaen Kasturi, Nisah Haron, Mawar Shafei (sebagai contoh) sehingga citra dan keindahan sastera moden makin terserlah. Begitu juga dengan watak Melayu Klasik kerap dijalin indah oleh SN A.Samad Said seperti Cinta Fansuri , dan Muhamad Haji Salleh menamakan putera tunggalnya , Kasturi !

Anak siapa yang bertama Tun Teja , Tun Seri Lanang?.....kalau Tuah sudah ramai haaahaaa..nama Jebat masih jarang, jarang (pinjam dialog Pak Belalang)




SZI, Kolam si Pauh Janggi, akralik 2008
Usaha yang sudah dilakukan oleh pelukis pula ialah memindahkan fahaman teks Melayu Klasik ke unsur garis dan warna. Seniman Negara Syed Ahmad Jamal mengambil citra Gunung Lendang, Anuar Rashid mengambil cerita Hikayat Merong Mahawangsa. Malah teks moden melalui sajak Pak Utih juga diangkat oleh Ibrahim Husin (Allahayarham) dan Latif Mohidin mengambil tokoh idolanya Chairil Anwar?
Pertanyaan dan saranan saya> bagaimana sikap penulis dan pelukis muda? Sudi-sudilah mengelongkar kembali khazanah ilmu (buku) warisan kita bagi menggali sejarah seni budaya yang semakin kehilangan jati diri oleh kesibukan aksi globalisasi - semoga parodi filem Puteri Gunung Ledang tidak berulang sehingga dapat mengangkat mengikut jalur tidak jauh menyimpang daripada teks warisan !

*****
data awal untuk esei Naratif - naratif Seni Rupa ...(tunggu ya Nim)

Gombak
13 Julai 2010

Wednesday, 7 July 2010

RAHSIA PERHIASAN PEREMPUAN

Gelang pendinding, asal Pakistan (koleksi Sanggar Nilam, 1990an)
MENGAMBIL kira pengertian keindahan yang disarankan oleh al Ghazali yang paling asas ialah mengatakan alam itu Indah. Keindahan diberi oleh Pencipta YANG INDAH dan sukakan keindahan - barangkali dapat kita rujuk kenapa perempuan paling gemarkan keindahan. Di MATA HATI yang jeli, keindahan bukan dinilai daripada jelingan mata, di senyuman indah di bibir bak delima merkah. Di sini sudah sejak berzaman perempuan tahu meletak dan menilai segala yang indah bukan hanya untuk dipakai, diperaga -tetapi mempunyai fungsi lebih daripada permakaian lahirian. Daripda fungsi yang misterius hinggalah membawa makna perlambangan kuasa dan penyelamat jiwa raga.

Gelang pendiding Bugis-Mengkasar (koleksi Sanggar Nilan, 1980an)
Di wilayah yang kerap dilanda perang sejak berzaman, perempuan yang pempunyai kuasa, baik sebagai isteri pemerintah atau dilantik sebagai pemerintah telah memakai dan menambah perhiasaan bukan sekadar lambang kuasa - tetapi juga sebagai alat mempertahankan diri. Di kalangan perempuan di wilayah lembah Himalaya, hingga mengalir ke persekitaran Kaukasuss, hari ini kita kenali sebagai wilayah Afgahnistan- Pakistan, gelang tangan logam besi bercampur timah, telah diukir indah menyarung pergelangan tangan. Sekali dia mengangkat senjata, atau sekali dia dihunjam senjata musuh, pergelangan tangan yang menyimpan urat nadi di situ dapat terselamat dari hirisan mata pedang.
Tradisi ini berpanjangan , sampai ke wilayah kepulauan Nusantara di termasuk Acheh, Champa mengalir ke kepuluan Bruni ke Laut Sulu, masuk ke Sulawesi, Bone mahupun di kalangan wanita ratu di Bugis Mengkasar....


Hiasan cucuk sanggul, karya pelajar
Institiut Kraf Malaysia (Koleksi Sanggar Nilam, 2009)

Begitu juga cucuk sanggul dihias permata nilam ( biru hitam) delima (merah) dan zamrud (hijau), lazuardi (biru) kelihatan berseri di hiasan sanggul kepala. Namun di hujungnya yang tirus runcing tajam mata yang bersemat racun. Siapakah yang tega membunuh suami dengan cucuk sanggul bukankah oleh kecewa kerana suami yang curang sedang dia betempur dengan maut ...tanyalah cucu cicit waris Puteri Saadong pada abad ke 17 M ?


Sisir kayu Flores (kiri dan tengah) dan sisir Orang Asli-
Senoi Gombak (koleksi Sanggar Nilam, 1970an)

Pusaka paling luhur, alamaiah ini juga bersirat rahsia. Di kalangan waris proto, inilah sisir yang bermata cakar ayam , lurus tajam di hujung. Sesuai dengan rambut perempuan proto yang keriting mayang, sisir ini memang amat berfungsi meleraikan simpul, menyergah sarang telur kutu di kepala , tetapi awas hujung kayu runcing ini juga akan menusuk daging pelaknat yang menggangu keharmonian penghuni rimba.

Anak gadisku dan perempuan sekelian, di manakah dikau simpan segala rahsia perhiasan ini. Dapatkah dikau menjaga permata kesucian mu dengan hiasan senjata Iman!!!



______
Anjung Kasih Bonda
Bangi
8 Julai 2010







Sunday, 4 July 2010

DI CELAH BELUKAR ILMU

AWAL Julai di sambut cuaca mendung, awan berlapis, mentari tidak mencelah hari ini. Gerimis sudah berderaian. Ada tiga acara yang harus kulakukan serentak. Walau titis gerimis menyimbah sengaja kuhulur jemari mencecah kelopak daun pisang hutan, memetik setangkai daun buluh ,terasa sejuk embun masih di situ...
Belukar kecil di halaman ITNM , 1 Julai 2010
Setelah meletak sejudul esei di meja editor Dewan Sastera (untuk keluar ogos 2010) , berbincang tentang sketsa untuk bacaan remaja...kami menyambung debat resah para editor muda. Terdengar keluhan , " sekarang penulis jarang mahu singgah - mungkin jalur kiriman tulisan lebih mudah melalui emel, tapi penting juga dapat menatap dan mendengar suara penulis " Apakah memang aku masih setia datang menghantar bahan terkisah kerana sketsa (siri Puisi Wanita Ratu), tidak cantik dikirim lewat emel, atau hanya memang ingin bermesra dengan editor pelapis?
Hujan masih berderaian. Kutatap wajah resah tapi cerit Siah dengan cerita membina hubungan kasih saudara....mewakili ayah ibu untuk mendidik adik...ku tinjau suasana KL dari menara tingkat 20, melihat tanah lapang di depan Jalan Hang Tuah setelah sebahagian bangunan Penjara dilenyapkan...tapi bayanganku masih juga ke kelopak daun pisang sehinggalah ketika tiba di halaman ITNM untuk menghantar borang akuan janji penerbitan sajak terjemahan ke bahasa Korea. Kedai buku teratur, meja juga menunggu dengan setia...siapa pengunjung atau pencari buku di rimba ilmu? Hujan kembali berderai ketika aku keluar. Di celah belukar batang pisang sudah menjulurkan buah dan jantung masih di hujungnya. Beberapa putik kemboja baru belajar kembang. Kuperhati batang yang rebah, sudah mereput dan segugus kelopak daun kembang mambang melekat. Kugapai, akarnya melentur lembut dan tercabut dari batang reput. Entah siapa yang berdiri di jendela bangunan melihat aku mengutip tumbuhan di celah belukar ? Aku merasa berbaloi setelah membeli 5 judul buku terbaru, wajarkan aku menambah dengan mengumpul segugus tumbuhan yang terbiar di sisi belukar?

Menjelang Asar, aku sudah tiba di Ulu Kelang ....masuk ke gerai terbuka jualan murah " belukar ilmu " dengan potongan 70%. Majalah Dewan Sastera,Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Siswa bertindih, 50 sen....kukutip kukutip amat rakus. Seperti biasa dua judul karya ku masih bersisa, Seri Padma (DBP 1984) Bunga Putik Putih (DBP 1991), Karya ini masih diperlukan oleh pelajar sastera di kampus mencari dan mengkaji...baiklah ku borong untuk kemudahan pelajar yang memerlukanhya lagi.....

Koleksi cerpen terbitan tahun 1984,
dengan hiasankulit buku " Pohon Hayat 1" koleksi UKM

******
Gombak
5 Julai 2010