Sunday, 11 May 2008

Perjalanan Keretapi - Laut

12 Mei 2008
MEMANG kalau kita akan memulakan perjalanan, rasanya selalu berfikiran positif. Insya Allah perjalanan kita akan lancar, mulus hingga sampai di tempat tujuan. Terkadang kita lupa juga dengan jarak dan jauh perjalanan sehingga sengaja dibuat jalan berliku. Rupanya di sinilah kesilapan itu. Kenapa? Oleh kerana sudah lama tidak menaiki keretapi, kamipun memlilih jalur keretapi ke selatan - Senandung Malam. Bagai seorang pemimpi, otak kembali bergegar, ada kilau dari bola api mengetuk dinding masa lalu, masa kecil ketika kerap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu - dalam gerabak kelas tiga, kerusi kayu, kami kejang, ada yang berdengkur tidur walaupun terpelusuk di ruang atas tempat simpanan barang. Tanpa sebarang keluh kesah untuk tiba ke negeri di pantai timur Semenanjung. Jarak jauh yang berputar itu menyedarkan aku ketika memilih jalur ke selatan dengan jarak ruang yang panjang - 50 tahun? Kau pun terpinga, atau kembali insaf Alhamdulillah kau masih dapat mendengar desah dan gegar perjalanan keretapi malam. Dalam koc kelas 1 ekskutif (kononnya) dinyatakan anda akan selesa dengan gerabak mewah KTMB. Dan kaupun santai ingin mencatat apa saja pengalaman sepanjang malam perjalanan dengan telatah penumpang lain, sambil membuka bekalanan makanan, kamipun semacam piknik di restoran. Mata seakan tidak akan ditidurkan sehingga di setiap stesen kau membuka mata seluasnya. Malam semakin berkabus, lampu tetap bersinar di kota kecil yang disinggahi, setelah Gemas, memasuki Kulai sebelum Johor Bharu. Puas, wah sengan bayit-bayit pendek dan panjang, kau susun detak hatimu, kau kait juluran waktu tersisi - berapa detikkah akan tertinggal.
Tanggal 26 April Subuh (Sabtu) Senandung Malam tiba di Johor Bharu...kau tersentak, sayu , berkecil hati? Pemuda-pemuda (ramainya lelaki Kelantan) berderet membeli tiket menuju ke pulau hujung. Ada yang memakai jaket biru hampir lusuh, berselipar, berkasut getah, dengan menjinjing beg plastik, perempuan muda dan separuh baya tergesa memilih jalur dan masuk ke stesyen. Merekakah buruh-buruh kasar yang mencari rezeki di sana? Ya gaji di situ lebih tinbggi berbanding di Semenanjug! Begitu jelas pemandu teksi yang membawa kami ke Setulang Laut, untuk menyeberang ke Batam. Di luar stesyen keretapi juga berderet, berhimpun motor berjejal - nampaknya seharianlah mereka di situ menunggu tuannya pulang dari pulau hujung. Jam baru menunjukkan pukul 7 pagi. Dalam remang pagi, kulangkahi mendaki jerjak tangga untuk ke seberang. Sebab jalan sehala di depan stesyen, hanya untuk laluan bas. Laluan teksi harus merentas jejambat ke seberang. Nah terbayangkah kau yang sudah melepasi usia pesara terkial dan sebolehnya merasa tenaga perkasa, merasa jengkel juga dengan kekurangan keperluan awam? Pintu otomatis antara gerabak tidak berfungsi. Terbuka sepanjang malam. Maka riuh rendah gegar dan desah sang keretapi malam. Dengan wajah dan suasana suram di steseyen tanpa kafe atau ruang tunggu yang tenang sepagi ini? Beginikah nasib pengembara dalam negeri? Sehingga tiba di jeti juga suasana amat meragukan pula. Di mana jeti? " Itu naiklah ke pintu di celah -celah pejabat dan mall mewah sana, naik ke aras satu, ada tangga selengkar, nanti jumpa, pejabat kastam juga! " Wah-wah Johor Baharu. Baharu dalam segala pembangunan, tapi sayang, pejabat kerajaan tersorok di celah-celah kemewahan bangunan swasta. Kesian orang Batam pasti terkejut dengan pelabuhan atau jeti Stulang Laut - berbanding dengan Pelabuhan Batam yang menyergam dilayan bagai masuk ke ruang tunggu lapangan terbang.

Ya di Jeti Stulang Laut, setelah melepasi deretan kastam, feri ekspress sudah menunggu - cantik dan selesa. Kononnya milik Orang Malaysia. Laut pesisir penuh dengan deretan kapal-kapal dan bungkahan barang dagang- makin keluar dari pesisir, melewati rumah-rumah nelayan - pasti inilah kumpulan Orang Laut dengan gaya hidup sederhana sejak berzaman. Bukankah mereka dulu yang mengiringi bahtera Paduka Tuan untuk mengelak serangan kapal Siam dan Majapahit di sudut zaman abad ke 12 dulu. Orang laut, atau bukankah pahlawan batin yang melompat terkejut dengan bahtera anak raja dari Bentan terperangah dan mengatakan mereka bersua dengan Singa-Pura-pura . Dan kukira itulah cucucicit anak singa pura-pura masih berdayung dengan payang kecil menjala, dan mencucuk batang kayu nibung ke dalam laut berselut mengejutkan ketam dan udang . Fikiran dan feri sama-sama melantun-lantun meredah ombak melepasi gambaran tangki minyak di pinggir singa pura-pura.
Pelabuhan Batam sudah berbangunan perkasa. Pusat dagang bebas cukai memang sudah diinciri pedagang. Matakupun kehilangan pantai nelayan, jejeran pohon kelapa lebih sepuluh tahun dulu sudah terpenggal dan Batam sudah gondol dengan pandangan Melayu! Aku kesasar lagi, memilih jalur keterapi semalaman dan memilih laut hanya berjarak 45 minit dari Stulang Laut. Sunda Kelapa masih jauh. Kami harus memilih laluan udara untuk ke Sunda Kelapa.

No comments:

Post a Comment