Wednesday, 28 May 2008

Akhir Mei

29 Mei 2008
Khamis
Tiba juga dikau, Mei yang manis. Telah sekelian lama dia menghilang. 20 tahun 30 tahun? Ya, hujan luruh amat kuatnya ketika langit Jogja menggelap rawan. Kami baru saja merapikan sisa-sisa makanan, setelah makan malam bersama di asrama PKPMI Jalan Abu Bakar Ali. Ada suara berbisik, " Alhamdulliah tidak ada apa-apa terjadi di tanahair". Dia bekas pelajar Sekolah Alam Shah yang pernah dibawa ke Hospital Besar KL untuk menderma darah setelah tragedi maut 13 Mei 1969. Dia sempat melihat sisi asap bertumpuk-tumpuk di Jalan Ampang bersebelah Kampung Baru. Mana kau ketika itu? Soalan lain bertanya. " Aku tersangkut di Petaling Street, tengah gila-gilanya melukis, membeli dye untuk mencelup kain batik" . Orang sudah riuh rendah di Kampung Baru, perarakan juga sudah sampai berkumpul di halaman rumah Menteri Besar Datok Harun Idris, tetapi kenapa aku tersangkut di Petaling Street. Setengah tersentak seorang berpakaian seragam hijau mengherdik,
" Hei amoi balik rumahlah". Amoi? Masya Allah, " Saya,saya..." . " Siapa lu?" Suara itu mengaum, matanya bersinar, " Awak Melayu, atau Amoi ha? ". " Melayu la". Tiba-tiba tanganku direntap. Tubuhku diangkat, terapung, melayang dilepar ke lori askar. Ouuup!
Jogja , Mei 1972, kami terayun, terhening. Beberapa minggu kemudian, malam hampir subuh, suara Suara Malaysia sayup-sayup mengalunkan musik sendu, terdengar patah-patah suara pembaca berita, Masya Allah benarkah lagu ' Air mata Kuala Lumpur' itu merakam detik perpisahan mengilukan ketika Kuala Lumpur harus diceraikan dengan ibundanya Negeri Selangor...sehingga hujan luruh tidak hentinya dan air sungai Gombak melimpah ruah dan Kuala Lumpur tenggelam oleh bah besar bulan Februari 1972. Tetapi kau dengarlah lirik lagu 'Air mata Kuala Lumpur', itulah lagu akhir ciptaan Uncle Rem?
Mei datang dan pergi.
Mei pagi ini juga begitu panas dan menyengat. Hari ini genap 36 tahun tokoh kita Seniman Agung Allahyarman P.Ramli @ Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih telah meninggalkan kita buat selamannya. Aku masih tidak percaya, masih mengingati cerita Mak, " Uncle Rem mu datang menghantar sebuntil beras, waktu malam setelah pemergian Aruah Ayah Die, pada 20 Dis 1970" . Dan dua tahun kemudia Uncle Rem juga harus pergi membawa lara, merana..." Demi kesedaran semua karyaku adalah untuk bangsaku" .
Siang ini kutatap kad undangan "Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil Perdana sempena Hari Seniman Kebangsaan 2008. Acara di Masjid Wilayah Persekuan Jalan Duta 29 Mei 2008, Khamis jam 8 malam. Alfatiha untuk semua seniman yang berjuang tanpa minta balasan.
PKPMI = Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia

No comments:

Post a Comment