Friday, 29 July 2011

SUARA DARI LERENG BUKIT BESI

Tengahari selepas zuhur kami sudah menaiki ke lereng perbukitan. Diyah menyebutnya, " Nun puncak Bukit Besi'..konon telah ditemui tahi besi, dan pemerintah sudah ingin menggalinya, ya sejak zaman Belanda dululah".Cerita bersambut juga dari bibir seorang Datuk si Ameh di pekan Batu Sangkar, " Kampung gaekmu memang keras, tidak ada yang dapat ditanam, kerana berlereng dengan Bukit Besi" . Tidak ada catatan sempat ku bongkar dalam perjalanan singkat pulang ke kebun leluhur datuk dan moyang kami. Cuaca sudah terik tetapi kerana kami mula mendaki angin berhembus nyaman. Rumah bertutup rapat, kerana para perempuan muda sudah mengaleh ke pasar. Apa yang ku temui? Pohon tinggi menjulang ke awan. Usianya bisa ditebak lebih 90 tahun. Bagaimana dapat kuagak begitu. Ya bila pulang ke rumah Etek Baiyah, ungkapnya, " Sejak ku kecil pohon sudah tumbuh tegak, belum tinggi" . Usia etek sudah menjangkau 80 tahun.
POHON buah keras bercabang dua di puncaknya. ketinggian melebih pohon kelapa. Daunnya menjurali ke bawah, menerawang ke atas. Selama ini kita hanya membeli buah keras ( sigueh putih, chloranthus - kemiri , aleurites moluccacna) . Waktu kecil dulu kami menyebutnya buah ajaib , buah khidmat kerana menjadi penyelamatku, selalu dalam saku. Bila anak anak lelaki nakal (sepupu) ku genggam tangan dalam saku, dia tahu di dalamnya ada buah keras, awas. Sekarang dalam usia petangku ku genggam buah asalnya, yang dikutip Diyah , seperti buah coklat batu sudah lembut kulitnya. Diya meramasnya dan muncullah biji si wajah manis kuning gading.
SIANG itu Diyah mengenalkan ku dengan bau manis si buah keras. Biji buah yang memang keras dan anehnya ia menjadi lembut rasanya dalam masakan. Tidakkan lengkap dalam resepi masakan ninda kami tanpa simanis buah keras. Diyah tersenyum bangga mengenalkan aku dengan buah ajaib ini yang selamanya hanya kutemui di pasar atau di kedai runcit atau di pasar raya yang sudah ditata indah dengan harga berlipat ganda. Serindit tiba-tiba mengejut kami...burung kecil dengan suaranya berdecip di hujung ranting yang menjuntai di sisi kanan langkahku. Wah sunggh jinak pula si unggas kecil ini. Ku gapai ranting dan kukais dahan pakis, serindit melompat menerawang ke atas dan bertenggek di ranting pohon kemiri. Hussh, sungguh dia mengusik kami dengan decipnya yang mendesah.

Di LERENG bukit yang kononnya berbatu besi kebun sayur tidak menjadi, apa lagi sawah padi, sehingga gaek kami harus pergi merantau. Tetapi kuntum lili merah ini dapat muncul segar, kelopaknya tebal bagai trompet menggerakkan sayapnya ditiup angin siang itu. Dengan siapa aku berkongsi warna segar ini. Diyah sudah menurui bukit, aku terkatung sendiri, ingin memetik tangkai si trompet merah . Tetapi naluri ku berkata, ' biarkan aku di sini, menghidu baumu, mendengar debur angin siang menggelisir sinar...aku bersamamu, menanti...'




TIBA-TIBA di dalam jendela melintas bayang seseorang. Jendela berderik, seperti menguatkan ensel dari dalam. Ku tahu ada seseorang mengintai dari dalam. Aku menunggu kalau jendela dibuka. Sedetik, dua detik tidak ada sesiapa yang melangkah keluar. Aku harus berundur...rumah siapakah yang kuhampiri itu? Di kaki bukit Diah menungguku di celah tangga rumah gadang yang sudah sompek dinding, dan patah anak tangga. Kutanya, " Eh rumah siapa yang ada bunga lili merah itu?" . Diyah selamba bersuara..." Mana ada orang , suami berdagang ke Palembang, si isteri mengaleh di pasar..petang baru pulang" ..Haa ??
***


Nota Ranah Minang 2011

Bangi, 30 Julai 2011:0.30




Thursday, 28 July 2011

Segar Alam AnugerahMu

BERABAD silam telah tersirat, Alam terkembang menjadi guru. Alhamdulliah, di ranah Minang ditakdirkan alam pergunungannya Marapi - Singgalang, membawa angin kesuburan. Rinai pagi menitis, beralun tajam ditiup angin dari gunung. Bukankah sudah terpeteri di hati, memaklumi keindahan itu ciptaan Ilahi. Inilah alam dengan kepulan awan berarak, menitiskan embun dan rinai pagi menyubur tanaman. Aie Angek aku tiba di lembah suburmu. Benarlah rangkaian puisi kasih Rumi. ' When one Master meets another, the One meet the One ' (Timothy Freke, 2000:51). Inilah pertemuan yang Satu. Satu Alam menyeru AlamMu! Suburlah alam, berkembanglah daya fikir bergabung daya , sehingga petani tersenyum meramahi alam, semua menjadi hijau, disemai, berbenih, berputik, berdaun, berbunga, berdebunga ...

HASIL tuaian tanaman sudah berpindah. Dijual beli. Cili hijau merah, tomato jingga, terung ungu, menjadi lukisan panca warna - semua asli merakam kasih abadi.
INILAH ghairah air tangan ibu, cili digelek dilumat di batu penggilingan, kau asingkan cili dan tomato merah untuk lukisan merah di piring. Cili dan tomato hijau - lukisan kesegaran sejak dulu sudah bermain di nubari ibunda kita...

PULANGLAH anak rantau di dapur air tangan ibu sudah menyeru!...resepi nenek moyang pedas cili tidak memudharat perutmu...dengan ramuan bukan rahsia lagi. Di darek ikan air tawar di kail ditebar jala di danau, di sungai. Di laut dijaring, hingga ke laut jauh, namun resepi ikan dan sayuran tetap menjadi pilihan. Bismillahirrahmanirrahim...



***

Nota Ranah Minang, 28 Julai 2011(gambar kebun di Air Angek, pasar Padangpanjang@SZI 4-5 Jun 2011)






Tuesday, 26 July 2011

NYANYIAN BULUH PERINDU

MASIH INGAT angin menderu di gunung Ledang, ketika Laksamana Hang Tuah membenarkan Tun Mamad . Tun Mamad adalah Penghulu orang Inderagiri pun memanjat gunung bersama pengikutnya. Lantaran usia sudah senja Hang Tuah tiada tenaga untuk mendaki. Sebelum itu mereka mendaki ditunjuk jalan - Dendang Anak bernama Benua. Jalan mendaki terlalu sukar ' angin pun bertiup terlalu keras'. Maka dengan segaknya Tun Mamad bersuara " Berhentilah orang kaya dahulu biar beta naik " . Tun Mamad naik dengan pantas hingga tiba di batas buluh perindu, angin makin keras bertiup, awan bagai dapat dicapai. Segala tanaman hidupan menjalar , melilit, dan anika bunga berkembangan, mengikut alun buluh perindu. Siapakah yang meniup suling ? Hanya angin menderu, membuai batang buluh kecil dan besar, geselan batang buluh memberi irama khas rimba. Terpukaulah Tun Mamad, terhibur dan ingin bercanda dengan aneka bunga. Bunga pun bergurindam berseloka. Malah unggas dan pohon bersyair . Di sinilah dapat difahami makna kehidupan fikiran Melayu.Semua alam adalah citra untuk menyampaikan perasaan dan fikiran. Termasuk Tun Mamad dijadikan bahan citraan sasterawan tidak bernama. Pesona lama diangkat untuk menegakkan sindiran oleh pengarang. Maka impian Sultan Mahmud Melaka yang birahikan wanita istimewa menanding segala puteri di dunia turut diberi sindiran melalui pantun yang dinyairkan oleh bunga tanjung,



Dang Nila memanggu puan/Berembang buah perada/Adakah gila bagimu puan/Burung terbang dipipiskan lada



Maka disambut bunga telipuk,


Kuning Ledang bagai dikarang/Riang-riang disambar wakab/Hairan memandang dunia sekarang/Bayang-bayang hendak ditangkap.



Ayat ' memandang dunia sekarang' sudah memperlihatkan fikiran masa depan orang Melayu ketika itu. Masa depan yang berlagak, berupaya untuk menalakluki walau persiapan dan kemampuan hanya bergantug kepada keupayaan orang lain. Pantun membawa amanat masa lalu, masa kini dan masa depan. Inilah pula yang kerap berlaku ' mengharap sokong, sokong membawa rebah' atau 'harapkan pagar, pagar makan padi'.



FUNGSI perlambangan buluh perindu membawa makna sampingan lain. Buluh bukan sekadar memberi amanat dengan irama sayu mendayu, sebagai menyampai kisah hati dan hiburan santai. Sebaliknya buluh berfungsi beraneka ragam sesuai dengan bentuk yang dihasilkan.Dari situasi budaya tradisi kecil, di zaman awal kehidupan, di perbukitan, di pinggir sungai dan lautan buluh menjadi punca rezeki untuk melansung kehidupan. Maka buluhpun di sisip sasap menjadi bakul, bilah lantai, kelarai dinding, tiang dan atap. Makin tinggi pemikiran seni, makin indah dan tinggi pula daya kreatif. Bukti teknologi tradisi ini sudah terbukti dala seni bina terutama dalam menata dinding rumah, masjid, dijadikan kelarai menepis hujan , dianyam menjadi tikar ciur, tikar lapik untuk menikah pengantin lelaki, lapik untuk menyambut kelahiran bayi malah pertabalan diraja. Tikar raja berhiasan tambahan tekat dan sulaman berbeza dengan tikar biasa untuk yang kehilangan tahta. Peristiwa ini disebut dalam penarikan bakal raja Melaka, ' maka permaidani daripada Raja Muzaffar pun diambil orang, maka tinggal tikar hampaan orang banyak'. Demikian Raja Muzaffar putera Sultan Mahmud dengan isteri pertama digugurkan taraf Raja Muda diganti dengan Raja Ali puertama bersama Tun Fatimah (S.Samad Ahmad, peny.Sulatus Salatin, 1983:258)


Teknologi tradisi yang amat berfungsi mengikut zamannya makin dihindari. Kini teknologi baru makin menyingkir perlambangan buluh. Maka falsafah , ' melentur rebung biar dari buluh' semakin menghilang. Malah sikap ' buluh kelentong' semakin menjadi. Tidak ada lagi budi kasih seperti ' aur dengan tebing'.



MUJUR masih ada kesetiaan kasih si penuip suling. Beberapa wilayah pedalaman, pergunungan Asia masih mengangkat suling buluh perindu (buluh gading), menghimbau sukma jauh. Teringat salung makin mendayu-dayu di sukma Latif Mohidin walau dia jauh di benua salju. Penyair masih meratap kehilangan salung. Kutiplah puisi Firdaus Abdullah , Latif Mohidin, waris Minang masih saja membawa desir buluh Ngarai Sianuk, atau buluh perindu memanggil jauh dari puncak Singgalang, biar diri terlontar di air terjun Niagara atau mengutip cemara di Sisilia. Salung atau suling itu terus bergema di kalbu, hingga kerinduan tanah air teralun jauh dari rantau,


..' Kalau Sariyati ada di sini/kupeluk hangat seluruh tubuhmu/hingga salji yang putih/dan kamar seminar/menjadi Marapi di pagi hari/bagai aSingkarak ditimpa panas' (Firdaus Abdullah, New York 1975)


Kita juga mendengar " Buluh tidak terpisahkan dalam kehidupan tradisi budaya kecil nun jauh di pedalaman Sabah Sarawak, di Danau Toba, di Laut Tawar, bersambut deru angin di Danau Batur Kintamani. Kadang di sambut tabuh gong, wayang Jawa, suling tetap berisulan. Jangan berbohong wahai sahabat, bila kau meniup clerenet kau masih tergugah dengan sayu merdunya salung atau suling si buluh perindu.

***
Bukit Kanching, Rawang , 27 Julai 2011


Monday, 25 July 2011

Bucuk Masih Merajuk

BUCUK kami hampir berusia 3 tahun. Setelah menghilang lebih 9 bulan, kini Bucuk hanya mencuri masuk ke rumah. Selebihnya dia kerap pamer diri dengan menggulingkan tubuh gebunya, pusing kanan kiri tapi tidak mahu dihampiri, apalagi didokong seperti biasa. Kucing jantan memang tahu harga dirinya dengan gaya perkasa. Sejak Jingga kecil tiba , dipedulikan, Bucuk merasa disisihkan (aduhan tidak sekali). Muncul pula Momot, masih seketurunan Bucuk tapi kerana sama jantan, rasa iri tetap menggelitik resah Bucuk. Jingga dan Comot masih dapat berbaik...tinggal dalam rumah, memilih pojok masing-masing. Tapi Bucuk tetap saja berguling di lantai luar...selamat malam Bucuk, jumpa esok dengan mentari gemilang ya...Momot sudah dalam sangkar tak akan mengganggumu !


****


(Gombak, 25 Julai 2011)m

Sunday, 17 July 2011

Pamalayu II

BEBERAPA kali perkataan Melayu kerap mengusik minda saya. Rinikesumoyati kerap juga mengusik, “melayu, hei melayu, ayo, mbok melayu dengan cepet.”

“Hei Rini, memang aku Melayu, kenapa? Mahu kau Jawakan aku?”

“Ha?, memangnya kau Jawa, cepet melayu, ayo lari, lari kita harus cepat sampai ke puncak sana!”

Saya hairan dan baru maklum, perkataan melayu dalam bahasa Jawa, bererti lari. Kenangan peristiwa itu sungguh meruntun perasaan saya hampir lebih tiga minggu selama minggu suai kenal belajar di tanah Jawa. Tapi sekarang saya benar-benar berada di pinggir Sungai Melayu ... di sebatang anak sungai yang muaranya di Batanghari, oleh penduduk setempat di sebut Sungai Melayu; sungai inilah yang mengalir ke desa di Muara Jambi.

Kami sedang menatap peta yang besarnya sehalaman meja. Drs. Afzal masih ingin menjelaskan dengan baik tentang letak Sungai Melayu. Di sebelah kanan Drs. Afzal ialah Dr. Julie Alman, ahli arkeologi dari Cambridge, yang memberi kuliah di Bulaksumur, Yogya, akan memastikan letak Sungai Melayu yang kononnya adalah sebuah kerajaan yang telah dicatat dalam manuskrip kerajaan Singasari dalam pemerintahan Kertanegara. Kerajaan Melayu sudah terkenal sejak tahun 1268. Saya cepat mencelah, “Boleh kita pastikan sungai ini memang terletak di Jambi, bukan Palembang?”

“Ya, kalau menurut Ekspedisi Pamalayu, angkatan perang Singasari memang telah dihantar ke sini. Lihat arca `Amogapasya’ ini; inilah cenderamata daripada kerajaan Singasari kepada raja Melayu di Jambi, mungkin kerajaan ini telah dirintis sejak zaman Darmawangsa abad ke-10, anda setuju?”

“Ya, pastikan mereka datang bukan untuk menakluk Melayu.”

“Ah, anda sensitif sekali dengan perang .... kajian kita hanya untuk memastikan di mana Sungai Melayu, mana tahu, ia terletak di Bentan atau mungkin di Melaka?"

Memang saya cepat menyedari sifat nostalgia hati ini. Katalah memang benar Hang Tuah kecil bermain lading dari hulu Bentan menuju Temasik sebelum bertapak di Melaka, bukan sebaliknya, tapi Tuah juga merujuk dirinya sebagai Melayu, kami Melayu dari hulu Bentan! Dalam episod bermain di Taman Sari diungkapnya pula, “Inilah anak Melayu, berdarah Jawa juga!” Adakah ini gurindam seloka anak jantan Melayu Bentan? Bertingkah oleh sikap ilmu keguruannya yang pelbagai. Tapi apabila Drs. Afzal menyatakan, Hang Tuah juga bermukim di Sungai Melayu, di Jambi, saya hampir tersedak ketika mengunyah tempe masak lode di kantin kampus Universitas Jambi. Saya tahu mereka mengusik saya yang agak egois dengan asal usul Melayu. Tambah Drs. Afzal, “Tidak ada orang Melayu asli, kecuali Orang Asli. Kalau betul Hang Tuah Melayu Asli pastilah keturunan Jakun atau Semai atau Orang Ulu.”

Mungkin kata akhir itu boleh saya setujui, bukankah mereka berlima dari Hulu Bentan?

Tapi Dr. Julie cepat mengalih keterharuan saya dengan menukar tajuk perbincangan. Tambahnya lagi,

“Sebagai bandar niaga, Sungai Melayu adalah pelabuhan eksport tempat memunggah hasil rempah, segala buah pala, cengkih, kulit kayu manis, kunyit, dan halia kering bahan eksport ke kapal Turki, Gujerat, dan Madras, dan kapal-kapal sejak Dinasti Sung tiba dengan muatan sutera dan tembikar berisi telur asin dan taucu ...”

Saya kutip penerangan lanjut daripada ahli sejarah Universitas Jambi, Drs. Afzal pula. Tapi saya masih menatap gambar arca “Amogapasya”, arca disaluti emas, menyilau dalam buku Indonesian Arts. Tidak mungkinkah arca itu memang dihasilkan di Sungai Melayu, dan di sinilah bertompok segala emas yang didulang oleh nenek moyang orang Melayu?

“Emas?”

“Ya, emas datang dari sungai di sepanjang Bukit Barisan terutama di Minangkabau dan Kerinci!”

Akhirnya kami ke Batanghari juga. Fakhrul Rodzi, calon siswazah arkeologi dari universiti yang sama dengan gurunya, Drs. Afzal, menjadi pemandu kami dengan perahu enam kaki menyusur ke arah hulu. Air sungai tengah pasang dan kami dapat berkayuh dengan senang. Dalam tempoh 10 minit kami sudah melalui kampung Ulu Gedung, seberang Batanghari. Menurut Fakhrul Rodzi kami akan melalui beberapa buah kampung seperti Mudunglau, Jelmo, Olak Kemang sebelum Tanjung Pasir untuk mengunjungi informan kami, Pak Jamil.

* * *

Pulau Pandan jauh ke tengah
Di balik Pulau Angsa dua ...

Pantun di atas memang sengaja tidak kami selesaikan dengan maknanya. Umum sudah mengetahui dua baris di bawah itu. Tapi sekarang kami sedang mengkaji citra dan wilayah budaya yang dipinjam untuk menghasilkan pantun tersebut. Dari manakah asalnya, siapakah dan bilakah ia mula dicipta. Akhirnya dalam kelompok tutorial kelas sastera rakyat di bawah bimbingan Prof. Dr. Virousky itu kami harus akur dengan disiplin antropologi budaya bergabung dengan semiotik, dan perlambangan khususnya teori Geertz bagi mencari fakta di sebalik sumber etnografi juga. Teori Chomsky juga dijadikan rujukan. Tapi sahabat saya Dayangku Iriah, sering merungut, “ ... Kenapa untuk mengkaji pantun milik bangsa sendiri pun harus merujuk kepada segala titik bengik bangsa dan budaya asing? Ayuh, siapa mahu ikut saya, kita gunakan teori bangsa Suluk, Bajau, dan Irranun ...! Kita ada pengalay, kalang sama, ison-ison, ayuh, mari mulakan dengan batitik, pukul kulintang, pukul babandil ... nah, itulah lirik pantun kita, ayuh, nyanyi dan mena ril

ah ...”

Rupanya, Dayangku Iriah tidak main-main. Dari pejabat kedutaan Filipina dia mendapatkan sepasang busana pengalay, daripada koleksi Rumah Brunei dia mendapatkan seperangkat gelang aluk tujuh lapis, dari Yayasan Sabah dipinjamnya busana Bajau lengkap dengan sarimpak dan gerinsing emas. Entah dari mana idea ini, jadi sewaktu membentang kertas kerja tentang pantun Melayu, dia sudah sedia dengan keanehan yang mungkin muncul dan tanda tanya daripada profesor pembimbing atau mahasiswa sendiri. Sebelum acara perbincangan pantun, dia memutarkan muzik daling-daling, dengan sigap dia bergerak lincah gemalai, busananya lengkap salawar, berumbai-berumbai ketika dia menghayun langkah. Jemari kukunya berhias, tusuk rusa, baju berbutang betawi ... muzik kulintang lincah, rancak ... kelas tutorial menjadi hidup tidak lagi tersengguk-sengguk oleh kebosanan mengulangi rutin yang konvensional; pembentangan kertas kerja kerap membosankan malah si pembimbing juga kerap menguap dan mengantuk.

“Pantun Melayu ialah irama angin, air, api, dan bumi. Anda dengarlah tiupan bayu, jamahlah kehangatan api, kedinginan air hujan dan kelembutan bumi, citra ibu yang amat mengasihi ...” Itulah ungkapan pertama sahabat saya, Dayangku Iriah. Tambahnya lagi, “Sampiran pantun adalah kosmos dan batin Melayu itu sendiri. Di sana dia melihat sinar bintang, kedamaian dan kerinduan sinar bulan penuh, kilat ikan di air gelora asin laut. Keluk liuk jemari pakis di paya, dan bau asap sekam padi pada musim selepas menuai ...”

“Teruskan, teruskan ...” itu pasti suara Prof. Dr. Virousky.

Tapi pada pendengaran saya ketuk kulintang, paluan babandil ... dan kami bukan lagi di bilik tutorial. Dayangku Iriah sedang menjelaskan keindahan muzik dan busana masyarakat Bajau-Irranun, di Bostan Art Gallery. Begitu tangkas dia menyusun dan mempamerkan aneka jenis koleksi bahan budaya benda keagungan pemerintahan tradisi Melayu Brunei dan Melayu Suluk ... yang mewariskan kekayaan Bajau Irranun. Keterharuan saya amat ketara dengan kesetiaannya terhadap akar sejarah. Dalam kesibukannya sebagai atase pendidikan di Malaysian Hall, London, masih sempat menerima undangan sebagai kurator di galeri yang amat terkenal itu. Dan saya sendiri, yang bercita-cita untuk menjadi guru bahasa dan adat Melayu tapi tersisih dengan dunia ilmu hanya kerana bangga menjadi seorang datin, isteri salah seorang pegawai diplomat, yang kerap memperagakan aneka busana sutera Itali, Perancis, atau Korea. Saya sendiri tersentak apabila Dayangku Iriah menegur pakaian kebaya bersulam kerawang fabriknya yang dibeli di Korea, bermotif p ucu k rebung, yang jelas diciplak daripada kain sarung Kelantan, tapi diubah reka dengan corak dan warna ditambah pada fabrik sutera yang harganya, 10 kali ganda daripada sehelai sarung tenun Terengganu. Di mana Melayumu, wahai Datin!

Kali ini saya benar-benar berperang. Impian seorang sarjana yang meninggalkan tugas kesarjanaannya hanya kerana mengikut suami bertugas di luar negara.

Sungai Melayu di Muara Jambi, masih di situ.

Sungai Duyung ada di Hulu Bentan.

Atau Sungai Duyung juga ada di Melaka

masjid bersulur bayung dan perabung bertingkat tiga di Hulu Melaka, di Demak dan di Kampung Laut, siapakah pereka bentuk aslinya? Di manakah sungai Melayuku?

Atau memang benarkah apabila sarung pelikat dibawa dari Pulikat, apabila seluar dipinjam dari syalawar Gujerat, atau sutera dari China, Melayu juga telah kehilangan bentuk, mata coklat pekat atau hitam bersinar berganti biru, rambut menjadi blonde dan hidung, suara, dan gaya segalanya berpencar beraneka warna antarabangsa. Dan kini anak-anakku yang bebas keluar masuk Mall, aneka kafe moden di Menara KL Suria, mana, mamak cendol dan rojak di kaki pohon meranti di Jalan Ampang, atau di Hulu Kelang ...

“Nuwun sewo, bu,

sarapannya sudah sedia,

monggo bu ...”

“Ayo, ojo melayu, jeng ...”

Itulah suara di rumah kami. Inem dari Magelang, sudah tiga tahun merapi meja makan dan dapur kami. Puteri sulung saya berumur 15 tahun lebih arif, memasak pecel dan gudek, gulai nangka, bergaul opor ayam, keropok kulit perut dengan santan lemak, manis bergula daripada masak ikan cili padi berencah putik bacang. Kini dia belajar pula memakai kain wiron, meminjam batik Inem berhias, bunga sayap geroda, sesekali berdandan dengan siput gaya wanita keraton. Benar siapakah yang Melayu atau bermulakah Pamalayu?

Dayangku Iriah, benarkah sudah terpeta dunia Melayu baru itu?


*Cerpen 1990.

Saturday, 16 July 2011

SELOKA SI TANJUNG

1.

KAU datang juga!





Muara menatap langit. Langit memang tinggi. Tetapi aneh serasa dekat. Mungkin kelapangan pandang, menatap langit biru bersih. Namun ada juga yang menyendat. Sesak. Tiba-tiba langit seakan merintih. WArna kelbu dan gumpalan berat muncul bertombok-tompok. Gumpalan itu makin berat dan satu, satu muncul kilau runcing. Benar, awanlah yang merintih. Titis hujan menjunam runcing memenuhi tompok lapangan rumput pagi. Muara dilitupi kesejukan suasana. Tetapi, sekali ia berasa aneh, bagai disengati kepanasan. Simpang siur ngilu, meniup nyaring. Muara cuba mencari punca alur kepanasan sukma. Kemudian saling bertindih. Berlapis sayup dan jauh. Ah ! terlontar ke teluk. Teluk terbina oleh dua alur pantai yang menjulur ke luar melebih garis bumi seantero yang disingahninya. Bahtra telah jauh. dia melihat bahtera bergerak mengikut alunan gelombang. Sesekali didengarnya desah ombak menampar dinding badan bahtera. Bahtera oleh. Bukankah dirinya yang oleng, melambung cuba membuat imbangan gelora laut dan gelora diri ?. Diakah Si Maling Kundang kecundang di Teluk Air Manis . Hingga batera menjadi tompok-tompok gunung batu di pantai. Dan ibunda yang murka? Nyah lah diri anakanda. Sumpahanmu. Sumpahan dulu. Laut bergelora. Ada suara nyaring. Ada suara parau saling bersaing, bertingkah. Lalu pukulan rabana. Gerincing gelang kaki. Itukah gerincing sayu Tuan Puteri kehilangan Malim? Diapun mendengar tiupan salung. Sayup. Jauh. Jauh. Sungguh mereka bersayu hati. Mereka meratap. Menyanyilah mereka...'




' Malim, Malim Kundang

Malim Kundang Si Anak Derhaka ...

Malim, Malim Kundang

Malim Kundang, Kau Anak Mulia (pedulikan mereka mengata kau anak neraka )



Kaukah Malim ? Kaukah Muara? Masih di situkah kau Tanjung?



Dilihatnya sayap mentari kembali mengembang. Senja makin menjelang. Laut menjadi merah berkilau di kaki langit. Gunung batu dengan pandangan seakan bahtera berdiri dengan kukuh. Sayap camar terkembang , gerincing kaki kuda bergema.



" Ya aku datangan Tanjung"




Di pantai berteluk, kelihatan penuh pondok-pondok nelayan. Hampir senja di pantai tidak ada kegiatan masyarakat nelayang, kecuali mereka santai melihat mentari senja mencelah kaki langit. Ah! Tidak. Nelayan telah tidak peduli dengan pemandangan laut senja. Akulah. Akulah yang sering terpukau tetapi akhirnya sakit sendiri. Kebetulan memang bahtera tidak lagi kelihatan. Dan kau Tanjung tidakkah kau menunggu kedatanganku? Hingga jauh malam kala hujan tiba-tiba saja membasahi kampung nelayang, akulah yang berdiri sendiri di bahan pohon. Berlindung di bawah daun malam. Tidak ada suara. Tanpa cahaya. Aku terlempar lagi ke bumi seantero!




11.



Sayap mentarai masih mengembang. Lapisan awan semalam makin menipis. bayang gunung mula menyerlah. Kilau warna danau di kaki bukit menjalur dengan getaran kecil oleh buih udara. Gelembung kecil muncul dari gelepar ikan danau.
" Bagus namamu!"
" Kau juga, Tangjung."
Dua nama . Muara. tanjung. tetapi mereka justeru bertemu tidak di pantai. Muara muncul di gunung. Tanjung sedia berdiri di kaki perbukitan, kala hujan berderai, awan mendung. Tetapi seperti juga di laut, kala nelayan gelisah menatap langit mendung, di bukit juga petani resah walah tanaman semakin subur dengan renjisan air rahmat Tuhan. Tetapi beberapa karung guni bawang kering terlantar di batas banjir. Belum sempat dipunggah ke lori (truk), bebarapa selokam bukit runtuh. Jalan penghubunung ke kota terputus.
" Kalau hujan masih berterusan, kita pasti ketinggalan kenderaan untuk ke kota. Kenderaan terakhir pukul lima. Kalau hujan masih lebat, dengan jalan berkelok tidak ada pemandu (supir) sanggup melalui gelita malam."
Itulah keluh wanota. Si Tanjung gelisah. Dia mengutip keluhan itu. Ajaibkan suasana kala dia sengaja memilih pandangan danau dan bukit di kaki gunung tetapi dia sengaja memilih pandangan danau dan bukit di kaki gunung tetapi yang ditemuibnya , bayang Tanjung di Ambun Pagi.
Lantas didengarnya air terjun di Ngarai Anuk. Beberapa kelompok anak muda saling berkejaran. Ah ! dunia manis anak remaja. Ah, kau juga merasa kembali remaja?
Benarkah? Dia menolah ke arah tanjung. Wanita tinggi lampai dengan rambut melebih paras bahu. Lurus dan berkilau basah oleh gerimis. Apakah dia dara keturunan Puti Bungsu , cerita rakyat yang dituturkan dari mulut ke mulut dimbumbui dongeng purba. Agak sukar baginya untuk menebak usia Tanjung. Mungkin kerana potongan badan yang kurus renceng ditambah dnegan wajah tenang dan prihatin.
" Seperti anda juga bukan? Tasanya seperti mahasiswi tahun pertama saja!"
" Ah, anda bercanda. Lihat saja rambutku, telah mula ubanan."
tetapi Muara tidakpun melihat helaian rambut putih seperti tutur Tanjung . Sebaliknya, rambutnyalah yang mula dicelahi warna sutera kelabu dan tegang. Perlukan dia bertanya lebih lanjut atau wajarkah mereka mengenalkan diri masing-masing? Sebolehnya dia tidak ingin bertanya. Namun ada desakan lain sehingga dengan santai dia menerim apa saja yang ada di depannya. Ya, Tanjung. Atau kerana pancainderanya yang halus, hinggadapat didengarnya bait-bait seloka seakan dibawa dari arah bukit dan bayang gunung seakan memanggil jauh dari belakan. Kembang aksara mekar dan luruh di depannya ...
Kala Batanghari dan Musi ditinggal jauh
bayang mentari tinggal setapak
kala Panglima tinggalkan selokan akhir
hanya jejak ukiran purba
betapa Datuk Hitam mengurai kecewa
di mata Putera Sela- masih menantikag di sana
antara sedu harap dari Jambi
Sang Puteri Pinang Masak
atau sedu mimpi Puti Bungsu
sampaikah panglima Tunggal?



Betapa akan kukatakan padamu. Dia masih senyuman Tanjung. Tetapi bagai ada keluk sendu di situ. Mungkin lebih awal dari itua, dia pernah nampak wajah seperti itu. Di Mana? Tanjung? Tanjung pun melambai sapu tangan. Muarapun menjulur tangan, mengumpai gerak bistari. Ingin dicapainya sapu tangan Tanjung. Ingin dibelainya rambut Tanjung. Inikah gelisah ganas air terjun gunung yang menghempas batu gunung sebelum menjatuh buioh sabun serta geseran bening menjelajahi alur menuruni ke anak sungak, ke petak-petak sawah sebelum jatuh ke kuala? Bukankahhh di situ telah subur pohon kehidupan sert tanaman dan binatang peliharan. Bukankah di situ, Tanjung yang masih melambai dari celah rimbunan teduh itu?




" Kaukah di sana Tanjung?"

" Kaukah Muara. Amankah kau di sana?"

Aman?




... kalau tiba angin

mencenah buih Laut Sendidih

telah kembang sayap senja

kalau aku Muara

dijentik gelepar sedih

dari bahtera sarat lara

kau kah Tanjung

masihkah di sana? ...



Seperti bisa , di kebunnya. Tanjung meninjau hasil tanaman di bukit. Tidak jauh dari kaki gunung. Terletak antara celah dua gunung. Pohonan cengkih menebar harum pagi. Dari celah perbukitan agak ke bawah, jejeran pohon kopi juga telah mempamerkan putik-putik kecil yang mula menampakkan warna hijau dan kuning kecerahan. Seperti hari-hari lain, dia turun melengkkang menuju kebun sambil berseloka. Bercanda dengan burung pagi dengan sapa embun dan mentari sebebasnya. Telah lebih dua puluh tahun. Itulah gurindamnya. Itulah selokanya. Sehingga Muara tiba. Tetapi kenapa wajah itu muncul di baliknya langkahnya yang perkasa masih juga mempamerkan urat luka!



" Kenapa kau sedih Muara?"

" Sedih? Oh, tidak. Justeru aku asyik dengan selokamu. Dengan hasil tanamanmu. Siulan burung-burung pagi. Dan mentari yang mencelah di sana sini..."

" Inilah tinggalah atau warisan orang tuaku. Warisan yang harus ditebus setelah peristiwa zaman. Inilah tanggung jawab sekaligus simbol masa laluku...!"

" Peristiwa zaman?...simbol masa lalu!"

" Ya, kebun ini. Cengkih dan kopi ini. Dan kebun mawar sana. "




Hampir semalaman dia tidak dapat tidur. Di kamar tamu yang kecil tetapi lengkap, dia meneraang jauh. Malam makin dingin. Setelah hujang petang, malam menebar gerimis, dibawai aning angin. Tetapi sekitarnya penuh semarak dengan harum cengkih garing yang dipetik dan dijemur sebekun musim hujan. Mungkin kamar tidurnya bersebelahan dengan longgokan cengkih. Atau mungkinkah haruman itu terbit dari sentuhan air hujan ke atas tompokan pohonan di kebun? Dan derak apakah yang didengarnya serta kerdipan cahaya di luar kamar. Dan suara? Siapakah yang sedang bersenandung. Atau itukah seloka yang harus dikutipnya sepanjang malam? Patutkah aku bangun dan mengejutkan tuan rumah. Ah, kamar Tanjung di ruang muka sana pasti turut juga mendengar senandung itu. Atau memang suara itu dari saja. Perlukah atau sopankah aku keluar dan bertanyakan itu. Tetapi ah, bukankah dengan sikap dan perlakuan wanita itu kelmarin telah mengganggu kelakiannya apa lagi bila Tanjung memanggilnya, Adik!
Ah, kelakian manusiawinya selalu saja terjebak antara rasio dan emosi - gangguan suasana. Cuaca selepas hujan dan hangat harum sengkih makin menyengat sukmanya. Tetapi semua terbentur denga nucapan selamat malam Tanjung.



" Semoga saja, Adik bisa tidur dalam suasana sederhana di desa gunung kami!"

" Selamat malam...terima kasih kerana sudi menerima saya menumpang di istana ini, Kak!". Kakak? Betapa berat pula bibirnya menyebut gelaran itu. Wanita seperti Tanjung, kakakkah dia. Tetapi di mana Udamu? di kamar sebelah, lebih tepat lagi, kamar yang terletak agak menjulur dari anjung jelas menebarkan irama malam yang sukar ditebak makna dalamannya. Bagai ada desir angin menolak dari bawah bukit. Pasti angin dari danau di bawah terbentur dengan deru angin gunugn. Atau begitu gelepar sayap helang malam. Ah! itu pasti seloka . Dan bukankah suara atau datang dari kamar Tanjung?...




Tinggal Singkarak tinggalkah Mamak

datanglah hujan datangkah panas

datanglah badai datangkah sangsai

angsa laraku masihkah di danau

masihkah mengembang sayap kasih silau

kala ribangku, ribangku

pecah di kalbu

dan salung

ke mana alur ruangmu?



Oh, itu bukan seloka. Bukan gurindam. Tidak. Bukankah itu bait-bait sajak tidak selesai diikutinya pada helaian dan tompokan kertas di meja depan. Pasti itu tulisan Tanjung. Seorang wanita yang ingin meneruskan tanggung jawabh dan tugas warisan yang ingin menerus tanggung jawab dan tugas warisan sempat berpuisi sambil mengutip sisa-sisa kehidupan silam. Kalam saja Muara mempunyai sedikit keinginan nakal akan ditambahnya bait-bait catatatan yang belum selesau itu, beginilah...




Akulah hujan akulah panas

akulah badai akulah sangsai

masih saja angsa laraku mengembang sayap

di danau,

sambil saja salungku

meraungi , lagu-lagu ribang

ribang mautku...




Muara mengintai dari malam jauh. Suasana semakin sepi. Dari kamar sebelah anjung kelip lampu masih menyala. Ada sedikit gerak didengarnya. Ada seakan bunyi tapak dengan langkah teratur , perlahan menuju dapur. Kemudian terdengar dentingan cawan disusun Kemudian kembali derap langkah beralun meninggalkan dapur, menapak ke ruang tamu. Lampu dinyalakan cerah. Bunyi kertas diselak. Bunyi launjuran kaki ke atas kursi rotan. Kemudian senyap. Sesekali terdengar nafas dihela panjang. Ada keluhan sendu. Berulang. Berulang nada itu seperti bait puisi pula, sayu dengan nafas teresak. Kelakian manusiawinya dicabar lagi. Perlukan aku membiarkan duka lara Si Tanjung yang baik hati memebrinya kamar malam setelah kelewatan kenderaan di kaki gunung? Tidak sopankan kalau dia bertindak lebih berani, menghulurkan tangan menampung sedu-sedan malan sambil meletkan kembang putih di rambut yang terhulur panjang itu. Tanda simpati dri si pengembara laraku juga. begitukah cara terbaik bagi mebnehab gejolak dada tanpa sedikit pun memberi tanda tersentu oleh emosi cinta dan dia, seorang Tanjung!




111.




" Kalau Uda datang lagi, bukankah kerana panggilan sukma juga Dik? "



Memang ditatapnya kini bening danau . Langit menjadi bersih dan irama malam ditambahi cahaya bulan penuh. Puti Bungsi tersimpuh tenang. Di depannya penuh peralatan tenunan. Benang-benang pakan terjalur dari gelungan. Loseng dijalur mengikut susuanan bunga berpetak. Loseng dijalur mengikut susunan bunga berpetak. Mingkin menjhelang keberangkatannya Rang Muda di perantauan, tenunan selempang balapak itu pasti selesai. Dia harus menyediakan tenunan itu. Bukankah di situ letak erti kuwujudan anak dara . Sejak kecil diperhatikan oleh Mamak. Demi Ninik Mamak dia rela menerima tugas itu. Seorang anak dara yang dituntun untuk menjadi patuh dan horamta. Bukankah telah tersurat jakur dan tugas wanita dipusaki turun temurun di seda waris anaj gunung? Ya Gunung Merapi si Gunung Raya. Tetapi tahukan Ninik Mamak menebai hati nurani sang perawan. Bibirnya tertutur terasuh sejak sunti menjadi perawan santun. Tetapi siapa dapat menebak ombak hati yang sudah disentak kilat? Hati yang sudah melukuh oleh keberangkatan seorang Malam?



Bagaimanakh harus dituturkan kepada Rang Muda Malim. Tentang kepulauah putera Mamak dari arantau memabwa harta , aneka barang-nabrang berharga sebagai tanda mata. Haruskan dia melupakan janji sanak tentang pertunangan sejak kecil sedang kasih sudah berputik di sayap remaja, setelah Rang Muda tiba! Tenunan buatmu kini harus menyambut h ke putera Mamak pula . Puti pun berhati-hati mempamer wajah senyap dan , si putera Mamak dengan gaya angkuh dari rantau, bergegak gempita bermata nyala helang! Kau Malim, di mana desir bayangmu?



" Aku datang dik Bongsu !"
" Haruskah aku mengikuti derap langkahmu, sedang awan mula mendung dan kuharus menunggu lagi, sedang di halaman telah muncul bayang hitam. Selempang yang belum selesai kala kau harus berangkat! siapakah yang terlewat atau dia yang pulang cepat?"


" Kalau benar, kau dik Bongsu yang kukenali sejak dulu, masihkah kau ingat siapakah yang menemani kau ke permatang. Mematahkan batang padi dan meniup suling sambil kau berdesah ketawa mengejar pipit sawah...kala kau kuhantar ke sekolah , bukankah aku yang melindungi mu kala putera Mamak yan sering menganggu dan mengejarmu?"

" Kerana itulah Uda, kuingat pencak silatnu di halaman, juga angin yang memberikan khabar tentang bahasa selokamu yang menghimbau, indah nian puisimu, akulah yang menunggumu di bawah rimbun angsana dengan seikat kembang kering huluranmu tiap pulang dari hutan bukit, oh! Mande, demi Uda...ah! Mande, di mana kini Udaku, Mande "

" Dia ada di dirimu dik Bongsu!"

" Mana pedati kita Uda?"

" Kaulah pedati itu. Akulah kuda dulu. Ayuh, cepatkan langkahmu . Kita harus segera meninggakan desa ini. Di sini tiada lagi bulan tumpah di danau. Angsa-angsa kehilangan danau dan seroja tidak tumbuh lagi di sukmamu. Dik Bongsu! "



" Tenunanku belum selesai Uda! "

" Aku tak perlukan tenunan. Mana derap keberanianmu? "

" Keroncongku tertinggal di kamar"

" Aduh, dik Bongsu. Akan kubeli keroncong baru".




Selokanmu Tanjung. Sungguh mengharukan pentas malam itu. Mengharukan diriku sekaligus mencabarku. Muara masih dibauri keluhan jauh di Tanjung. Nalurinya bagai disentap. Akukah Uda yang datang kembali mencari Puti Bongsu? Setelah Dayang Uti berlalu . Setelah Dang Mandak dilarikan Tengku Siak dan Pulau Dayang Bunting dicemari bayang geroda. Masihkah Puti Bongsu bisa diajak bicara? Atau begitukah takdirnya Tanjung ditemukan dengan Muara atau begitukah olah Puti Bongsu kala berharap langsung dengan putera Mamak dan aku menjadi Rang Muda Malim? Muara! Malim?




Tanjung tersentak. Di depannya kini, memang ada Rang Muda. Sungguhkah Malim? Diakah Muara? Bercambah bening di semai lama. Kembangkah kelopak mawar setelah musim menggaring kebun bertahun?

" Kau datang juga Uda ?"

" Sungguh aku datang , dik"



Berkali Muara mengintai dari jauh. Rimbun aksara seakan melindung gerak Tanjung. Tetapi justeru dalam keteduhan menyelinap keinsafan. Setitis gerimis menikam, kembang semakin segar semarak. Begitu harapan Muara, harapan Si Malim, setelah meninggalkan pelabuhan memasuki kota Simara, setelah menyelesai kerja kehidupan, ada kehidupan jiwa yang harus disuak. Dia teringatkan nun jauh di darat, di atas bukit atau di dua kaki gunung itulah puncak Merapi-Singgalang...



" Demi aku, atau memang ada rahsia lain kedatangamu kali ini, Uda? "

" Beritahu aku tentang mitos gunung ini di Bongsu "

" Tidak ada mitos di sini "

" Ayuh, siapa yang memanterai puisi-puisi lara dulu , setelah Dara Jingga ke Jawa setelah Sanjaya tiba, apakah kau yang menerima lamaran baginda ? "

" Kau bukan pujangga itu, dan aku tak tahu dengan puisi mantera. Oh, aku tak pernah menerima lamaran itu "

" Tapi kau melahirkan seorang putera, justeru kerana itulah kau diangkat sebagai mahsuri dan menjadi bunda sejati !"

" Tidak, aku tetap dara abadi!"



Selepas itu hanya ratapan . Hanya pelukan rindu dendam. Rang Muda Malim , siapakah yang tidak mengenalinya sang pujangga yang tidak selesai menulis syair panjang, yang bersambung, bersambung menjadi episod berliku, bertunjang. Dan Puti Bongsu dengan seloka juga tidak pernah berakhir. Tetapi di mata Tanjung ada air pedih lain. Apakah Muara sesungguhnya ingin mencari mitos atau pengembara yang berhenti lelah dengan meladeni ghairah bermusim. di kebunnya tidak ada sisa dongeng yang dapat memberi khayalan seorang pengembara jauh. Tidak ada keanehan dongeng. Tetapi tahukah Muara, dongeng lara dirinya sendiri berentetan dengan musibah keluarga sejak angkara takdir zaman. Darah hina yang terpancar di kening ayah bonda, sehingga terlunta sepanjang hayat mereka sekeluarga!
Apakah hanya anjing-anjing hutan lebih mengerti saat luka sengsara keluarga yang telah dicap nanah masyarakat. Dapatkah dia melupakan darah yang membuak saat ayah ditusuk bambu runcing dan diseret sebelum dilempar ke api yang menjulang gombok kehidupan masa lalu itu? Ini bukan dongen Muara. Tidak mitos tetapi realiti masa lalu. Masa lalu orang tuaku. Bulan tidak selalu cerah. Hingga kini , kebunku masih saja terlindung dari cahaya bulan.

" Kau ahli sejarah Muara?"
" Aku hanya ingin istirah di gunung. Kutemui dikau di bukit senja. aku menghirup aroma cengkeh di istana comelmu.."
" Kau harus segera pulang esok, anam bahaya lama di sini. Kau ingat warisan takdir kehidupanku? Masa lalu orang tuaku, sebelum kau turut dituduh abnjing hutan berkurap? "
" Aku kurang jelas. Kebunmu subur . Aku ingin memetik limau (jeruk) dan kopi atah cengkih . Mustahil petani awalnya digoda angkara beigtu, maksudmu?"
" Pulanglah. Kerana sejarah keluargaku tidak tercatat dalam buku. Mustahil cerita anak kecil masa laluku bisa dipercayai oleh ahli sejarah seperti mu ? Atau kau juga turut menutup peristiwa dua puluh tahun dulu begitu saja. Seperti tulisan mereka mengkabur fakta dan memjelek perjuangan ayah dan kakekky, menyelamat kebun dan tanah leluhur - generasi kami tihiris kelar semangat oleh takdir. Tiada perlawanan. Begitukah sejarah?
Namun bagi Muara, masa lalu tetap masa lalu. Memang semua tidak melupakan masa lalu sejarah yang telah dimuziumkan itu. Cuma mungkin Tanjunglah yang mewakili luka sejarah masa lalu itu. Anak muda lain sudah lari ke kota Jawa. Siapa yang peduli ayahnya diheret, dihujani tikaman bambu runcing, luapan apoi yang tidak mengenal siapa lawan siapa kawan. Dan Muara sendiri, ayahnya pun menjadi mangsa bintang tiga di rimba Senawang. Dan datuknya terlonta di mata pedang Nippon di Ampang? Masih berdendamkan aku?
" Demi kebunku Muara, kebun warisan ini, bangun bersama pilu itu. Hanya di sinilah aku bisa meneruskan janji buat kedua orang tua...aku tidak pergi meninggalkan kasih sayang ibunda. "
" Dan jiran-jiranmu?"
" Mereka tak mengetahui sejarah hitam keluargku di desa asal . Di sini kubangun kembali warisan tanpa dendam. Aku ingin memutihkan kembali sejarah luka itu. Kerana di tempat asal peristiwa, aku terus dikutuk, dihina, nyahlah darah si hitam. Anjing hitam, kutau hitam. Oh! Tanpa seabrang pengadilan, ibu turut dihina, dicerca, cuma di sini di kebun ini, Tuhan masih sayangkan umatNya. "
" Dan Udamu "
" Ya setelah kami bertunang..tapi dia juga turut diseret hukum kononnya demi keadilan, nah kau lihat aku sendiri di sini dan dia jauh. Dia jauh!"
" Siapa? "
" Malim !"
" Rang Muda Malim? Jadi ada Malim ? "
" Ya Kenapa!"
" berdongenglah Putoi Bongus, berdongenglah "
" Kau keliru, Uda. Aku bukan Puti, Cuma Tanjung "
" Kaulah Puti Bongsi, Puti yang dikenali Rang Muda Malim "
" Kalau itu, memang betul "
" Kaulah dia Puti Bongsu. Puti yang dikenali Malim. dia masi utuh dalam suka Malim, percayalah "
" Betul. Sungguhkah ? "
" Oh, syukur "
" Tapi , Uda "...
Wajah Tanjung kini mengalirkan gaya Puti Bongsu dengan hiasan sunting penuh di kepala dengan baju labuh tenun balapak.
...kau pergi tanpa selempang sulamanku. Setelah putera Mamak mengetuh pintu rumah pusaka kami, setelah Mande pergi, segalnya hanuyalah impian dan kemusnahan kasih kita. Uda , setelah pergimu segalnya adalah kebun kering sepanjang musim. apalah ertinya danau tanpa angsa dan seroja nika warna? "
" Akan kucipta kembali kesuburan kebun kita. seroja dan mawar setaman"
" Mustahil"
" Sungguh"
" Aku tahu. Pergi ku jangan kau kesali. Walau kutahu kau mengutuk ku dulu...dan sang putera Mamak, oh ! Inilah kesilapan dulu Seharusnya aku juga berangkat lebih awal...dan kini, eh telah cukup gelaran ilmu walau bukan gelaran adat, percayalah hanya sekuntum mawar yang tumbuh di danau sukmaku.."
" Uda ! "
****
Batu Sangkar - K. Lumpur
1987-1988
(Dewan Masyarakat , Julai 1989)


MALAM GENDING (sambungan i)

" Tidak perlu, keheningan itu ada di sini." Nico menarik jariku dan meletakkan ke dadanya. Terasa dadanya berombak. Tetapi matanya masih terpejam. Alunan muzik senja berlagu tenang dengan iringan piano. Hanya beberapa orang saja pengunjung di Pelantaran Putera. Tetapi aku percaya Nico makin berangkat jauh. Aku berasa melalui ramasan tangannya ke jariku lebih membentuk ketukan gamelan . Serasa ada bonang dan saron. Suaranya mula meluahkan lagi bagai desah pesinden kraton. Akukah yang turut terhimbau masa lalu di sepanjang jalan di Malioboro dari Tugu menghala ke alun-alun atau Nico yang mula santaio menggamel di pedopo kraton Solo? Atau aku jugakah yang ragu-ragu menyapaku dengan gaya putera Jawa Tengah? Oh! Nico.


.... Masih dihidunya jalan senja di kebun Solo dari halaman kraton teduh kolam idaman. Gending seperti sedia - ketika Pangeran melangkah ke pendopo, di halaman sebelah kanan dengan jejeran bunga pot cina sedatar Alun-alun melurus pandang ke Tugu; matanya hinggap ke dahan beringin tua di halaman luar istana . Di situ sepasang burung gereja dengan sayap lembut abu-abu saling mengirai bulu kekasih - alangkah manisnya ingatan jauh, kala dia terlontar dari kebun impian. Bagai burung gereja yang di tinggal sendiri setelah pasangannya mati bila angin meniup duka tidak tahu mahu menghampar sayap di mana? Tiba-tiba dialah yang bangkit bagai Pangeran Muda. Dengan langkah sigap dengan bibir merah jambu idaman puteri-putera Mataram dan Ngayogya dalam lipatan panji dan cekak bahu ular naga pergelangannya yang perkasa dan kilat mata rindu. Dialah yang dibangkitkan dari titih jernih leluhur laut Pantai Selatan diarak serimpi bonda mulia.


Siapakah yang luluh . Siapakah yang tidak mengaduh? Seperti tidak apa-apa, seperti sepasang burung gereja sepi di dahan beringin tua. Dia kembali tertuntuk tetapi segera sedar lantas bergerak siap siap perkasa bebas darah menghangat tubuh sasa. Sebaris kumis yang melentur ikut gerak bibir mengukir senyum keabadian. Nah, kaudengarkan gemersik panji bersayap kepala geroda dan hamparan cindai mengampai bayang.


Dalam ceramah tadi dia sempat memberi definisi tentang alam budaya Asia. Menyentuh tentang seni Melayu Semenanjung. Di Luzon, semua budaya tempatan bagai sengaja dihilangkan. Kemudian ketika makan tengah hari sambungnya,


" Kamipun mulalah diajar berpakaian rambo, penuh renda dan sulaman; makan dengan masakan gaya Sepanyol. Kami digelar Indio. Indio pun menjadi hacendero, lelaki yang bekerja kera di industeri atau konon diberi pendidikan sebagai ilustrado. Tapi, ah, aku justeru jadi kehilangan sejarah dan akar" .


Sejak di sekolah menengah telah beberapa kali dia mengusul soalan kepada gurunya. Siapakah sebenarnya nenek moyang kita. Dia melihat lelaki kulit coklat berminyak jauh di pergunungan. Dari beberapa pulau dia juga melihat kepahlawanan bangsanya jauh di perairan Selatan. Tetapi begitu gurunya mengenalkan istilah pagan, dengan kepecayaan karut dan menakutkan, bila sejak 300 tahun Sepanyol merampas dan berkuasa hapuslah segalanya. Konon paganlah yang hodoh, bodoh harus ditenyeh. Gereja pun didirikan di merata tempat. Nico pun mula melihat lagu perih nenek moyang, segala milik anak bangsa dimusnahkan. Kesenian di Selatan juga tidak dapat berkembang, seniman dipatah semangat roh silam. Semua impian bagai kemusnahan warisan Mexico, potret nenek moyangku harus dirubah sejarah dan harus dijajah. Siapakah yang takut? Aku? Tidak, kawan!


Bukankah jiwa yang kalah saja ingin mengubur sejarah bangsa yang tegar di zamannya? Nico pun melontarkan dukanya dnegan amarah yang memuncak. Mungkin suaranya penuh dan mengaum di celah unggukan bangunan Fort Santiago. Rentak tango Latin Amerika makin memeriahi taman ibunda dan suaranya semakin serak luka. Jadilah bangsanya yang komersial yang vaudeville - penuh anekaraman dengan tandak ala Broadway. sukmanya semakin berdarah. Segalanya kosong. Julia pun tidak sudi lagi mendengar keluhannya.


Kelakiannya alah bila Julia memilih balet dan mengikuti Martha Graham ke Amerika. akukah yang duka yang kecewa kerana tetap mencari jejak leluhur?


" Tapi kau ada Jose Rizal !"


" Oh dia begitu lembut dan mati dlam kelembutannya "


" Ha? dia bersuara dan harus di buang ke Hong Kong? dia inteletual dan seniman? "


" Justeru itu ia dipermainkan oleh Revolusionis Andres Bonifacio"


" Dan Rizal dibunuh"


" Tak siapa melupakan tarikh itu"


" 12 jun 1898 ". Aku cepat menjawab, Nico membuka matanya menatapku, tepat.


" Oh, jadinya kita bicara soal politik juga ya ? "


aneh. Ketika sedang hebatnya darah muda sepuluh tahun lalu, kami tidak pula bercerita tetnang sejarah dan perjuangan masa lalu. Nico sering menolak kalau beberapa orang teman mula menyentuh hal-hal sejarah. Tetapi segalanya terjawab bila Nico tersus terang bersuara,


" Bila semua teman-teman pulang, kau, Ladda, Nyoman Angsana dan Fauzi, aku berasa kehilangan. Memang ada seorang dua pelajar Asia di asrama. Tetapi kami tidak begitu akrab. Ya, tempoh itulah waktu terluang. Aku mula sibuk dan kau ingatkan peristiwa pemimpin masa itu. dan aku dicoblos ke kamar gelap..."


" Maksudmu ?"


" Ya seperti kau tahu, aku terlewat menyelesaikan sarjanaku, selebihnya memilih Jawa dari pergi ke Eropah atau Amerika!"


" Oh, Mas Suryodiningarat..."


Kini lidahku dengan mudah memanggilnya dengan nama Jawa. Mas Suryodiningrat. Tiba-tiba gending pun bergema. Dengan jekas aku melihat keluwesan tangan dan jarinya menggamel sarong. Mas Suryodiningrat juga kelihatan melangkah tenang meninggalkan pendopo menuju ke Alun-alun. Di antara perbatasan dalam dan luar kraton dia berdiri di bawah pohon beringin rendah yang memayung hingga tubuhnya berada dalam keredupan sukma. Ketika itu aku masih bersimpuh membetulkan letak simpai dan hujung wiron.


...Menjelang musim sekaten bila belon-belon ditiup berwarna warni dengan aroma jagung bakar memenuhi lapangan malam, berselang pula dengan jejeran patung wayang, bergerak pula Semar dan Gareng, maka di situlah Pangeran bebas merangkul kepuasan hati. Bukankah dialah Putera dari Pulau Utara yang sudah sekian lama kehilangan tiupan suling dan terhapusnya aroma bunga matahari di kebun ibunda. Sehingga dia tidak mengenali nyanyian warisan gunung. Diapun meninggalkan Melolos. Lalu teriaknya, ' Selamat tinggal matahari panas Teluk Lamon di pantai laut lepas. Izinkan keberangkatanku. Sampaikan salam akhir cintaku pada ibunda Boyombong dan moyangku Tagalog Cabanatuan!"


Seperti deras air terjun bukit Pagsanjan , deras air mata cintanya terberai menyahut panggilan jauh. Bila serimpi mengusik sukma pencari erti kehidupan..' lupakan aku Nico Junior kini bergelar Mas Suryodiningrat'


Semuanya di sini. Bila air kasih keabadian menyiram sekujur tubuh pencari kedamaian. Diapun membuka selaput kepalsuan yang lama terpendam tanpa seorang pun dapat menghurai kekusutan sejarah moyang. Tidak siapa! Perlukah dilupanya bumi Cabanatuan begitu saja atau gending itu mengajarnya tentang kemanusiaan dan keluhuran! Ah, pedulilah. Diapun memilih untuk menabuh gending dan serimpi menyatu ke sukma serta gamitan ilmu dari guru alami.


...Upacara sekaten bermula sebentar lagi. Paduka Ratu akan berangkat tepat setelah waktu isyak. Gong Munggah disucikan. Begitu juga gamelan sekaten telah diarak masuk dan puteri-puteri kecil akan memulakan arakan sajen. Dan Mus Suryodiningrat...!


" Ya, Jeng Ayu..." Aku tersentak dari halusinasi jauh mengusik. Cepat mengembali ingatan dan suasana. Malam nanti ada pertemuan dengan dengan wakil kedutaan di Jalan Ampang. Tetapi Nico acuh saja..., " Bawa aku ke halaman hening".


Halaman hening? Mujur dalam keretaku masih ada beberapa buat kaset gending Bali. Mungkin serimpi telah mengajar tentang keheningan . Atau pendet mengajar tentang ketangkasan tetapi justeru kemuliaan hidup.


" Kau takkan mengerti. Sesipaq pun sukar percaya bila Tagalog Cabanatuan bisa betah dalam sila di pendopo. Kala angin senja solo dengan setianya memberi citra, setelah serimpi memberi pesan keabadian dan aku bangkit dari mimpi kesakitan...pokoknya di sanalah aku menemui akarku. Tiada duanya pusaka budaya kita di dunia ini. Kau juga begitu Jeng?"


" Serimpi?"


" Gending segala gending ".


Sungguh Nico telah menghayati jauh falsafah kekawin Sebagai putera Nusatara dengan label Mas Suryodiningrat, bukan sebarang orang bisa tembus ke telaga sucin di pekarangan rahsia kraton . Dia telah diterima di situ. Dia jugasudah menyatu dengan kerabad dalem Puri Ubud. dia turut menabuh gendang dalam upacara pendeta di bukit. Menari tanpa penonton , bayangkan siapakah mereka?


" Nic!...Mas Suryodiningrat..!"


Hati, hati kukejuti putera Nusantara itu. aku pula gementar bila menatap sang putera. Bagai seorang pengasuh begitu perlahan ku sentuh ubunnya. Malam nanti masih ada upacara terakhir. Malam perpisahan di kedutaaannnya. Dia telah diundang. Sehingga seterusnya, bayangkan saja dalam acara rasmi begitu warga Tagalog Cabanatuan datang dengan pakaian batik, kemeja berwarna coklat dengan motif sayap geroda penuh aroma asli bekas lipatan tekstil Solo. Sesosok tubuh sasa muncul dalam arena tamu yang dipenuh wajah-wajah tampan berbaju barong sutera benang nanas berwarna lembut. Lalu kudengar desis sang putera Nusantara,


" Kau lihat saja. Mereka begitu bangga dengan sulaman gaya Sepanyol -Mexico, duh Jeng Ayu!"




***


Ogos 1988


(Dewan Budaya, Februari 1989)


Friday, 15 July 2011

MALAM GENDING

" KAU , tahukan, sejak dari dulu aku impikan tentang kejujuran. Keabadian, keheningan seluruh kecintaan yang satu! "
Nico masih mengulangi ucapan yang sama. Sepuluh tahun lalu di kota Quezon, kutemui Nico ketika ku turun naik di Institut Pengajian Asia di Univ.Phil. Melalui Prof. Pilar Magamon kami mula membentuk kelompok kecil sepanjang hujung minggu di kampus Diliman. Tentu saja ketika itu kami lebih merupa pelajar belia yang hebat. Lincah dan ramai, khususnya ketika berdebar tentang politik. Walaupun beberapa kali aku mendengar Nico sering melontar rasa geram anak muda. Tentu saja yang menjadi sasran ialah Prof. Pilar L. Magamon yang begitu bergaya dengan cara manusia Barat.
"Orang kami memang lebih bergaya dan berlagak seperti manusia penjajah dulu". Itu gema Nico setiap kembali selesai makan-makan di apartmen Prof. Pilar. Tetapi Nico juga seperti pemuda-pemuda lain yang menjadi sahabatku. Kami bagai mempunyai jalur pemikiran yang sama.
" Kita harus membentuk pola kehidupan bangsa Asia . Ingat, ini bumi Asia Tenggara. Milik kita ini, kitalah yang harus membetulkan kembali kesilapan nenek moyang kita".
Ah! Selepas itu adalah lengkingan amarah pemuda Nico. Nico. Dia yang cus plas. Cus plas. tetapi semuanya berhenti setelah perasaannya reda. Begitulah suasana kampus Diliman khususnya di asrama yang didiami pelajar-pelajar asing sering menjadi riuh. Tanpa Nico kami berasa kehilangan. Malah Nico satu-satunya pelajar tempatan yang sama mengungsi dengan kami di asrama. Kata Ladda dari Bangkok,
" Bagaimana kalau kita pulang semua dan Nico tinggal sendiri tanpa memberi tahunya?"
" Akan kukejar kalian samua ! Ingat, ini semua rancangan Nico. Nico putera Tagalog Cabanatuan. Dan kalian adalah pengiringku". Itu jerkah Nico, bila mendengar cadangan Ladda. Tetapi selebihnya, kamilah yang mengetawainya, kerana Nico yang bersungguhan ingin menjadi sebahagian dari kami. Dia mula belajar membawa watak Lakon Menohra daripada Ladda. Mula menyusun daftar istilah Melayu-Jawa dan Bali.
" Aneh!". Gumam Nyoman Angsana yang begitu baik memberi beberapa istilah baru setiap pagi ketika mengambil sarapan. Tetapi kerap menjadi ramai bila Nico mula berbicara Jawa. Bayangkan saja di asrama pelajar-pelajar asing, kelompok kamilah yang sering menjadi gunjingan. Bila Nico mula bicara Jawa, Ladda berbahasa Tagalog dan aku berbahasa Siam. Dan yang bingung ialah Prof. Pilar L. Magamon guru bahasa di institut.
Kampus Diliman memang selalu kering terutama bila angin musim panas di bulan April menyimbah dari Teluk Manila. Setelah Nico keluar dari kuliah muzik, aku dan Ladda meninggalkan studio tari, kami selalu memilih Rizal Park. Di situ ada lekuk yang tersembunyi dari rimbunan pohon mawar renik yang membentuk denai. Tidak kira siapakah yang dulu sampai masing-masing akan melepaskan lelah setelah kuliah sepanjang hari. Biasanya Ladda yang begitu baik membawa bekalan minuman atau biskut. Setiap kami sampai, Nico sudah terlelap . Beberapa ekor burung merpati bagai telah mengerti akan kunjungan kami. Dari lekuk denai, kami dapat melihat dengan bebas ke utara, menghala jalan raya kota Manila. Tentu saja bayang tugu pejuang Jose Rizal tegak gagah. Di situlah punca keluhan Nico.
" Kita harus simpati dengan anak muda ini ". Beberapa kali Ladda menutur kata-kata yang sama. Tetapi hanya sebentar, Nico mula jadi pemuda yang cus plas, cuc plas. Lalu jadilah dia pemuda lincah , nakal dan romantik.
" Pernah aku digodanya, Nico begitu hangat ". Begitu satu sore ketika kami lebih awal sampai di taman, Ladda meluahkan rasa hatinya. Dalam diam-diam aku juga mengenangkan kemesraan Nico kala datang ke kamar studiku . Dalam sibuk mencatat beberapa perkataan dan istilah Melayu, Nico masih sempat mengusik dengan nada puisi cinta dalam lakaran notanya. Selebihnya ketika kami menyusuri seja di Ojeda Street, kurasa kehangatan jemari pemuda itu begitu memuncak dan aku menyenanginya pula. Namun dalam kenakalannya dia tetap sopan. Tegasnya , " kita manusia Asia. Bukan Eropah. Bukan Amerika".
Begitulah antara aku dan Ladda tidak pula berasa curiga. Seadanya menerima Nico sebagai sebahagian dari persahabatan kami. Malah kami seakan kehilangan kalau salah seseorang kami menghilang.
Itulah kenangan sepuluh tahun lalu. Kini aku tiba-tiba saja didesak ragu. Apakah benar pemuda lincah Manila Metro yang sering menjadi bualan mahasiswa di kampus Diliman dulu di depanku kini? Aku ingat lagi peristiwa gamat di Melolos dan di Makkati juga dalam acara berkampung di Teluk Tabayas. Bila Pedro mula mabuk dan memeluk Ladda dan aku terhuyung dalam dakapan Reynaldo. Nico begitu gelabah. Padahal dirinya menggomol Theresia dan Julia. Acara unggun api menjadi puncak kesedihan bila Nico tiba-tiba menghilang. Pada hal dialah ketua rombongan. Ketika Prof Pila. L Magamon dan Andres Sionel muncul kemudian , acara unggun api selesai begitu saja. Tidak ada acara perbincangan sosiobudaya dengan penduduk tempatan seperti yang telah dirancangkan.
" Dulu aku begitu emosional sekali - aku jadi cemburu bila kau dengan Reynaldo. Dan Ladda dengan Pedro. Ah masa lalu ". Itulah ucapan kedua, kala Nico kembali berada di sisiku di Kuala Lumpur. Malah lebih menjadi aneh, bila ia mengenalkan dirinya , dengan gaya baru dan tidak terduga kukutip patah suaranya,
" Panggil aku, Mas. Mas Suryoningrat, dari kraton Kota Kidul!"
" Mas Suryoningrat? - kau bercucu Nic !" Aku seperti tidak percaya dengan suara yang keluar dari kerongkong Nico.
Setelah selesai memberi ceramah di kampus, Nico berbisik ke telingaku, " Bawa aku ke halaman hening!"
Memang sejak dulu beberapa istilah seperti hening, sunyi, abadi begitu sering diucapkannya. Selintas ucapan lahirnya sering bercanggah dengan tingkah lakunya yang tangkas. Dengan jeans biru kusam dan jaket tebal penuh tempelan lencana, dengan motor pacuan laju , Nico yang kukenal jelas mewakili pemuda agresif tahun tujuh puluhan. Kini di Pelantaran Putera dalam alunan muzik senja ia begitu santai meletak kepalanya di sandaran kursi. Lalu kudengar keluhannya,
" Akulah putera Nusantara ! dan kau Jeng ayu, apakah Kuala Lumpur memberimu nafas keheningan ?"
" Putera Nusantara dari pantai Lamon?"
" Ah, tidak kisahlah tu, tapi kau tahu segalanya telah menyentuhku. Pantai Laut Selatan telah mengajarku jauh melampau dunia hening. Sukma yang terapung dan keabadian yang luluh, Jeng...!"
" Nic?"
" Sebut aku, Mas Suryodiningrat ! Di sana aku menemui akar. Bukankah kau juga menyebutnya dulu, tentang titih Semar dari dunia awangan yang turun ke bumi mencari kemuliaan!"
Memang dulu akulah yang banyak berdongeng tentang wayang kulit dan irama gending, bersama Ladda dari Akademi Seni Bangkok . Tetapi itu hanya bahan pengantar untuk apresiasi seni yang bakal kami persembahkan di kampus Diliman. Kini di Kuala Lumpur kala senja telah mengawang di bandaraya, tentu saja tanpa gending dan kelir bagaimana harus kuberitahu tentang impian itu ?
" Dulu aku hampir kehilangan. Mama hanya banyak berdongeng tentang Armando atau ketibaan bahtera Magellan. Atau nakhoda Miguel Lopez dengan angkatannya dari Mexcio dan pendeta Andres de Urdaneta. Dan aku tertanya tentang manusia peribumi di Cebu atau pergunungan Bagiuo atau bagaimana boleh hancurnya kepahlawanan Raja Solieman menantu Sultan Brunei. Nah ! Bukankah di sana baru aku menemui erti manusia kita, Manusia Asia yang berbudaya!"
" Di mana?" Barangkali aku masih lambat menangkap maksud tutur kata Nico. Pelayan datang menghidang kopi susu. Tetapi Nico meminta kopi pekat hitam. Gumamnya, " Saya mahu kopi asli "
" Pelayan berlalu sambil mengangkat bahu, dengan pertanyaan " Nescafe".
Sambil menunggu minuman, Nico masih memejamkan matanya. Tetapi bibirnya mengalunkan irama gending. Pandangan senja makin diruapi aroma rintik hujan malam. Aku tahu Nico telah berangkat jauh.
" Sudah sampai di mana anda "
" Cari aku dalam gending !"
" Tapi tidak di sini Nic , oh, Mas Suryo...atau kembali saja ke studioku, di sana ada sejumlah lagu-lagu Jawa. Atau gong agung Bali ! "
***
(...bersambung ke Malam Gending i)

SEHELAI DAUN BUAT MINA (sambungan i)

(sambungan ...)
" Lalu terus ke Bentan, lantas ke Hujung Tanah, ke , ke, ke Melaka, haa,haaa..."
Itulah ledak ketawa Irman. Itu jugalah hilai ketawa Mina. Kini Mina telah menambah dongeng dalam buku catatannya. Kepalanya sarat dengan pandangan muara dengan layar kapal yang berlabuh . Di situ ada kapal dari Maroco, kapal dari Maharajajendra Cola, dari Gujerat pengawal angkatan Sanjaya dan berikut tiba juga senarai Susuhan Ki Mas Hinda atau Almarhum Sultan Abd Rahman sebelum Mahmud Badaruddin Prabu Anum atau dia si Bagus Irmanto dan aku Nyi Mas Mina ha, ha ...
Pak Mansur, tuan punya rumah (lebih tepat disebut pondok) terus saja bercerita. Kononnya dialah pewaris tanah di puncak Seguntang. Dialah pengawal dan membersih makam -makam raja di situ. Moyangnya yang menanam pohonan mahoni, bungor, rukam, kerkup atau angsoka yang telah tinggi menua. Sehingga puncak Seguntang seakan meredup dan teduh . Dari jauh kelihatan bagai tompokan payung. Mina mencatat dalam bukunya ' inilah rimbun pelindung angsoka'.
" Dan aku pemayungnya", tambah Irman.
Tetapi dalam benak Mina, lebih tertumpu kepada bicara penghuni bukti itu sendiri (bersama isterinya) yang berkebun kopi dan kelapa di bukit itu. Juga memelihara ayam dan kambing. Menjadikan bukit itu berpenghuni. Dengan tiga orang anaknya yang masih kecil, Pak Mansur seakan gembira melayan pertanyaan Mina. Dulu, begitu Mina mencatat cerita Pak Mansur ..." Pak Adam Malik datang. Tiba-tiba saja dahan mohoni patah. Hujan ribut serta merta. Tidak lama kemudian ada utusan datang. doa selamat dibuat di puncak bukit ini..." Begitu luahan Pak Mansur yang dibaca semula oleh Mina ketika dia sendirian di kamar Swarnadhipa. Setelah pulang senja itu, Mina kembali melihat catatan lain yang lebih padat, mencatat renungannya sendiri.
Esoknya, ketika terjaga lebih pagi dia menyusur tebing Sungai Musi di bawah jambatan Ampera, tiba-tiba saja telah menongol bayang Irman. Tidak itu saja, yang turut terhambur di bibirnya ialah patah-patah suara dari sajak Rendra. Mina bagai terjebak dengan nada dan ajakan sosial yang keras paduan hati Rendrea dengan lenggok keras suara lelaki itu pula. Tetapi anehnya, kelibat Indera lebih menikam sukmanya. Mina bagai melihat getaran bibir Indera ketika berbicara. Pandangan sayu dengan bayan chaya yang menembus langir rindu. Bahasa yang disamopaikan lewat keluh dan hunjaman mata tanpa berkedip. Barangkali ketawa Irman yang sering berderai cepat menyedar Mina daripada berhalusi jauh. Di depannya air Sungai Musi memang keruh sert aberbau hamis. Pondok-pondok pasar dan kesibukan peniaga serta dering beca dan hon kereta (klakson mobil ) makin menyentak ilusi Mina. Kerjanya belum selesai. Cepat dia meraih kamera, mengeluarkankan buku nota. Dia telah mendapatkan sisi pandangan yang menarik.
Dua orang anak kecil sedang menyusun longgokan buah semangka, limau dan salak. Memang benar dia tertarik dengan kelincahan anak akcil itu bekerja tapi di mana pula orang tua masing-masing. Apakah mereka tidak pergi sekolah. Bukan sekali, bukan dua atau tiga kali. Telah kerap kali dia menemui pemandangan begini. Jauh kerap kali dia menemui pemandangan begini. Jauh di tanah airnya dia juga mengeluh pedih, sebilangan anak-anak muda masih ada yang tidak ke sekolah. Atau hanya setakat darjah enam dan kemudian mereka si anak-anak sudah boleh membantu orang tua masing-msing yang bekerja sebagai nelayan, petani , bekerja di laut dan daratan. Bukankah mereka kelak di masa depan akan menjaga unsur budaya setempat.
" Anda hanya merakam suasana yang jelek saja. Pasar sesak dan sungai kotor itu, ayuh marilah melihat pemandangan indah di taman atau di pantai rekreasi ". Begitu getus Irman di sisinya yang telah berpakaian rapi. Jauh sekali dnegan suasanan di pasar ketika itu. Atau lebih sendu, Mina membandingkan gaya Indera dengan Irman. Memang dengan car berpakaian Indera juga menampakkan kesan keharmonian yang menarik tetapi bila dia turut menunjukka jalan ke dusun-dusun tua yang masih meninggalkan kesan sejarah dan kopolosan alamiah, Mina bagai menemuikan punca mata air yang jauh tersembunyi di celah-celah kaki bukit. Indera yang lebih banyak diam, tetapi turut mengutip batu-batu kecil dan menunjukkan jalur tapan bitangan kecil di rimba yang mereka masuki di kaki Merapi, rasanya masih hangat dalam pengalaman Mina.
Setelah mereka ke pasar memotret kegesitan wanita berniaga, Indera turut menyelitkan cempaka kuning ke celah rambutnya. Cempaka kuning yang dibeli Indera ketika menemaninya ke pasar di pekan Batusangkar telah mengering dalam beg sandangnyatetapi masih membekalkan keharuman asli yang menyenangkan. Tetapi berdiri di sisi Irman, sepagi itu, Mina terhidu semerbak pewangi lelaki metropolitan.
Inilah hasil perkembangan takdir kehidupan anak-anak kecil yang kerap ditemui Mina. Irman bangun dari perjuangan orang tuanya yang mewah di Jakarta. Indera muncul dari kesan perjuangan orang tua pelaut dan dibesarkan oleh wanita desa yang begitu tidak sampai hati berpisah dengan putera tunggalnya. Dia tumbuh dalam keteduhan walaupun gesit menyambung usaha orang tua di kota. Tetapi tetap memilih kota kecil di gunung. Dan Irman? Dengan siulan memanjang , dnegan suara meniru gaya Rendra, iapun menjuadi burung kondor. Melaungkan lagi kelaparan lagu kesengsaraan para marhaen. Tetapi pernahkan dia merasa lapar? Dan tengah hari itu Mina pun dihidankan dnegan aneka masakan gaya Palembang. Tentu saja hidangan mewah di ruang makan istimewa. Sedang seminggu yang lalu atau enam bulan sebelum itu, Indera berbisik ... " Kenapa harusmembazir wang dengan memesan maskan dari restoran, ayuh aku undangkan untuk menikmatai masakan ibu ku di desa. Kau senang dengan ikan sungai bakar dan tomao muda, bukan? Merekapun berlarilari di celah kaki bukit menyuju kolam ikan yang diusaha sendiri oleh Indera, menangguk ikan kalui. Mina jua turut membantu ibu Indera , memetik tomato yang bakal di bawa ke pusat kota oleh Indesa esok harinya.
Sedang Irman, masih mengira-ngira bagaimana harus memulakan percakapan atau lebih tepat menyatakan undangan bagi acara makan malam perpisahan. dia telah memesan ruang makan hanya utuk berdua di Sarnadhipa. dioa juga telah memilih gaun malam lembut sebagai hadiah si bidadari impiannya. Pesannya pada pelayan, " penuhkan ruan makan dengan munga-bungan serta muzik santrai". Mina baginya adalah serindin manis untuknya sebelum mereka berpisah. di matanya tiada Sungai Musi. Wanita itu masih menampakkan keceriaan remaja walaupun dia tidak dapat mengagak berapakah usianya.
Tepatnya malam itu, Mina juga telah bersedia mengemas barang-baranng di kamar. dia telahpun memulakan beberaoa lembaran catatan. Dari Palembang , masih tersisa beberapa hari perjalanan lagi. Mungkin ke Rengat untuk mengikuti alur jejak sultan Mahmud di Kampar sebelum Siak Inderapura. Oh, Indera Laig. Mina membuka diari. Meliaht tanda hari bulan. apakah tepat seperti janji di Tabing dulu, Inderea akan menyusul dan menungguhnya di Inderapura? Dengan mendengar ketukan pintu di luar kamar , yang dibayangyan ialah wajah pemuda teduh itu. Mina mengintai di lobang kaca pintu tembus ke biji anak mata seseorang yang berdiri di balik pintu. Dibukanya pintu setelah memastikan wajah petugas hotel sedang menunggu - pelayan membawa sejambak bunga mawar kuning dengan pesan, " Tuan Irman menunggu Nona di ruang makan, silakan..."
Mina tidak pula menolak undangan Irman atau Tuan Irman seperti yang diucap oleh pelayan. Tetapi yang turun ialah Mina yang sukmanya telah dipenuhi oleh semerbak cempaka huluran Indera sejak di Batusangkar. Mina sudah memaparkan kekeruhan Sungai Musi kepada Irman, tetapi menjulurkan kakinya di paras kedinginan jernih Sungai Bengkaweh bersama Indera dan bukankah Indera telah mengutip sehelai daun angsoka buatnya!

***
Palembang-K.Lumpur 1987-1988
(Sabah Times, 29 Mei 1988)

Thursday, 14 July 2011

SEHELAI DAUN BUAT MINA

" WANITA , yang bakal bakal menjangkau usia 40 tahun ,
nah - kalau lihat lah kerus air Musi itu
lelah helang menuju benua
dan kering daun, gugur
itulah potretku , Irman..."
Irman menatap mata di sisinya. Tetapi aneh dia tidak melihat keruh air sungai Musi. Tidak mendengar lelah helang walau kerap terdesau gelepar sayap burung itu. Daun keringpun gugur, bukankah wanita itu yang kerap mengujmpul helaian daunan kering, menatap dan memilih, menyelipnya di celah helai buka notanya. Mina . Kau aneh saja. tiba-tiba mahu saja dia memeluk pinggang ramping Mina. Mina yang tinggi lampai. Langkahnya teratur walau pun jalannya begitu cepat mendaki bukit sambil meredah semak-semak di sepanjang lorong ke puncak Seguntang. Bahunya sarat. Beg (tas) sandang di sebelah kiri. Kamera di sebelah kanan. Sejak dari mula pertemunan di Tabing. Sebelum tiba di bandara Sultan Mahmud Badaruddin. Ketika jalur Musi dilihat melingkar dari pandangan udara, rasnya yang meliuk dan mengibas-ngibas ialah hantaran harum rambut wanita itu. Pasti wartawan. Jelas. Mina mengenalkan dirinya ketika dia meletak berk di halam luar bandara . Irman terkilas dengan kartu nama yang tergantung di leher tangkai beg sandang. Nama: Mina (kemudian disebutnya, Siti Aminah - jelas nama Melayu tradisi). Pekerjaan : Penulis. Tambahnya lagi, penulis kembara.
" Penulis Kembara ? O, kerja yang menarik "
Dan wanita, Minapun melambai teksi. Aneh dia pula yang segera mengangkat beg Mina ke dalam teksi. Dia juga membayar tambang teksi. Hampir saja terjadi pergaduhan kecil bila Mina menolak wang huluran Irman. Mina mendelik curiga. entah kenapa juga Irman seakan tercabar dengan gaya wanita yang telah diintipi geraknya sejak hampir sejam pernerbangan. Segera idea terus terangnya muncul menyelesaikan teka-teki pertama,
" Anda, tetamuku di negeri ini. Nah! Selamat bertemu dengan jejak nenek moyangmu di kaki Bukit Seguntang nanti. Selamat ".
" Bukit Seguntang? Kau tahu tujuanku ke sini? Oh, Tuhan".


Entah angin dari mana atau arus dari arah mana, selepasnya , Irmanlah yang menghantar Mina hingga ke lobi Swarnadhipa . Hotel ini menjadi pilihan pertama Mina sejak matanya mula merayap mencari hotel di Palembang. Swarnadhipa . Pulau Emas. Inikah pulau yang penuh emas, kala I Tsing pertama kali menjejak kakinya bila Sanjaya mula melebarkan sayapnya hingga ke pulau-pulau cengkih lainnya. Atau begitukah jadinya , bila Sapurba meninggalkan Batanghari dan Musi mencari tapak baru di Inderagiri sebelum membina tapak baru di istana Pagarruyung. Enam bulan lalu telah disimpulnya dalam rencara terpanjang tentang asal usul Datuk Perpatih Nan Sebatang, tentang Bunda Kandung dan Cindo Mato. Kala Indera Iskandar memberinya berita tambo, dia telah mengutip salung sepi jauh di kaki Merapi, di celah Bengkaweh dan gerimis di Ambunpagi. Indera lah yang memberi peta lengkap, kerana dia tahu Mina harus mencari tapak sang Sapurba asal. Mungkin juga akan ke sana. Bisa Indera.


Memang Mina mencari tapak itu. apakah ini telah diketahui Irman juga? Mina menatap mata lelaki segak di depannya. Selintas dia melihat mata Indera juga di situ. Mungkin kerana jalur senyum tipis daripada bibirnya. Atau profil muka bujur. Tetapi Indera hanya mengucapkan salam perpisahan ketika Mina melangkah meninggalkan Tabing. Indera turut memberi bisikan, supaya berhati-hati di Palembang. Inderalah meremas bahunya hangat. Membuka kalung lehernya, " ...Supaya kau tidak diekori perompak!" Hampir saja Mina tidak jadi berangkat bila didengarinya keluh Indera, " Hati-hati di sana, aku tidak dapat menemanimu. Tapi kutitipi hatiku sepanjang perjalananmu". Tetapi kini di Palembang muncul pula Irman. Begitu cepat putaran hari. Irman ... sehelai daun tiba-tiba gugur. Mina cepat mendongak ke atas. Dilihatnya pohonan angsoka begitu gagah. Tinggi dan kembang dengan dahan-dahan yang bercabang. Segera dia mengutip daun angsoka kering itu. Cepat juga dia meneliti urat daun yang menjulur, menirus hingga ke hujung. Irman masih berdiri di sisinya . Seharusnya lelaki itu tidak ada lagi di sampingnya. Dia semestinya sudah berada di gudang perusahaan orang tuanya di kota. Atau paling istimewa semestinya berada di sisi pacar yang pasti menunggu ketibaabnya setiap hujung minggu di kota Sanjaya.


Dari puncak bukit, memandang ke barat kelihatan liuk Musi yang keruh. Tompokan jaluran perahu dan kapal-kapal berlabuh serta bumbungan rumah sepanjang alir sungai itu. Mina terfikir sejenak. Pemandangan itu telah cukup sebagai intro laporannya nanti. Pasti Pak Lukman senang dengan cara catatannya untuk ruang sepanjang jalan di majalah bulanan. ketua editor itu telah memberinya kebebasan penuh bila dia merakam nilai-nilai sosiobudaya. Merakam hal bentrokan masyarakat dalam arus pertembungan nilai urbanisasi.


Bukankah Pak Lukman yang sering mendapatkan tajaan untuk perjalanannya sebagai penulis kembara. Gila ! Gerutu pegawai kewangan pejabatnya (kantor) yang tidak setuju dengan tugas Mina. Tegasnya..." Mana ada jawatan tetap Penulis Kembara ? " Tetapi itulah idea Mina sendiri. Dia ingin menulis. Bekerja sebagai wartawan sambilan. Tetapi tidak senang dengan tugas-tugas terburu seorang wartawan. Ulahnya memang memeningkan Pak Lukman . Tetapi Pak Lukman tutrur tertarik dengan hobi anak buahnya. Menulis sambil berjalan? Okey saja.


Hanya sebuah saja rumah yang ditemui Mina di puncak Seguntang. Setelah meredah lorong semak hampir setengah jam, mereka pun berteduh di bawah pohon angsoka. Jelas, nama bukit yang telah lama menyentak -nyentak perjalanan hariannya hanya tanah tinggi yang merupakan tempat makam keluarga Raja-raja lama. Makam Raja-raja silam dicatat dengan deretan nama yang memang pernah ditemuinya dari senarai kitab-kirtab purba. Mungkin nama Segentar Alam itu menarik perhatiannya. Nama yang muncul sejajar sebelum kemunculan Seriwijaya. Nah, inilah titih awal Melayu. Dia teringatkan lagi cerita Indera, tentang Iskandar Agung. Tetapi sekarang dijelaskan oleh Irman. Segentar Alam disebut juga Iskandar Alam. Tetapi jauh di seberang sana, ketika berada di tanah Acheh, Seri Lanang telah mencatat tentang keturunan Iskandar Zulkarnain. Irman tiba-tiba ketawa. Suaranya bebas cerah. Mina tertarya, kemudian dikutipnya ocehan Irman,


" Kau percaya dongenganku ?"


" Aku suka dongeng. Tapi bukan dongenganmu? Ayuh serius kawan. Kau tidak main-main kan. Atau memang ada yang melucukan ? "


" Tidak, aku senang dengan gayamu...atau begitukah cara penulis kembara?


Ya, beginilah dongengan itu...bila Tuan Puteri Rambut Seleko, diintip Pangeran Jawa, tetapi hatinya telah terpaut dengan Pujangga Lela dari Bukit Sitinjau Laut...Dia telah siap dengan tenunan naga berlaga. Serta sumping berkilat disepuh emas sepuluh. Sayang Pujangga terlewat tiba dan Pengeran Jawa telah sedia dengan tambur dan gong penabuh. Hanya kisah. Puteri Rambut Selako... aaa pernah kau baca tambo begitu di Ranah Minang ?"


Bukankah begitu juga yang dikutipnya dari mulut Indera ketika mereka bersama menghirup kawa daun (kopi daun) di perjalanan ke Batusangkar, bercelahan sisa langit akhir bulan Mac seminggu lalu? Seperti dongeng Puti Bungsi dengan Putera Jawa, tetapi bukankah Sang Pujangga yang berhasil mengalahkan desah amarah mamak sebelum tumpah darah percintaan dan permusuhan yang tidak pernah selesai di halaman nan berpanas?


" Tapi itu tidak penting. Kau tentu lebih arif tentang Demang Selebar Daun. Atau Sang Sapurba. Tengatang perompak Cina dan kesunyian Swarnadhipa selama hampir 200 tahun sebelum munculnya Singasari pada abad ke 13..."


" Serta kemunculan keturunan Raden atau Ki Mas atu Bagus Karang. Dan anda putera Bagus Irmanto? Nah, selamat berkenalan, akulah Siti Aminah binti Ali Usman. Setelah Batanghari dan Muara Jambi, moyangku ke Muara takus terus ke Tanjung Batu..."




(....bersambung )

PURI KENCANA - sambungan (ii)

SEPERTI juga dirinya dulu, pernah hangus oleh kebakaran nafsu silam. Kini telah dialihnya kehidupan dengan kebersihan penuh. Tarian hanya untuk keselamatan rohani. Bukan untuk pelacongan, dijual bagi memeriahkan laman perniagaan. Puri Kencana tidak akan memberi ruang untuk persembahan wang. Tetapi demi kecintaan seorang ibu selebihnya kerana mengenang remaja silamnya yang manus, dia merelakan juga Nyi Ratna menemui Inau Suvharna berjalan-jalan ke pantai dan ke danau. Mengutip batiu-batu cadas di kaki Gunung Batur ! Seterusnya mengikuti upacara s'lametan.

Mengikut tarikh Masihi, bulan belum lagi mengambang penuh. Tetapi titik-titik bintang telah berjejer di langit. Langi biru nila bersih diperciki warna emas taburan bintang, kelihatan sebagai hamparn permaidani. Dari arah barat kedengaran desah ombak. Memang Puri Kencana menghadap laut. Menjelang malam, puri tidak pun didatangi oleh wajah-wajak asing. Tidak ada jurufoto seperti umumnya kelihatan memenuhi beberapa sanggar atau puri lain yang bersifat perdagnanan, yang membuat persembahan di siang hari. Di depan balai besar, terpampang pura Agung! Gagah dikawal dengan arca penglima di kiri kanan tangga, berpayungkan irama terumbai-umbai. Nyi Ratna Suwarni telah pun ke kamar menyalin pakaian. Kini dia menanti penari itu muncul lagi di halaman pura agung. apakah akan wujud lagi Panji atau Galuh. Sambil menunggu doa s'lametan selesai, dia cuba mengintai bayang Nyi Ratna Suwarni tetapi sia-sia saja. Wajah itu tidak juga tiba . Apabila barongan muncul dengan wajah singa dan bersayap merak, darahnya makin cepat mengembang naik . Muncul pula wajah seorang raja yang bengis dan perkasa, datang pula wanita separuh baya yang direntap dan diikat di pohon kemuning di kanan arca (patung) panglima. Gendang ditabuh sayu mengiringi lagu nyanyian wanita yang diikat kejam. Ini pasti babak sedih. Tetapi di mana Nyi Ratna Suwarbi ?

" Itu Nyi Sukasih, Ratu Puri Kencana". Inau mendengar suara di sebelahnya bagai menerangkan sesuatu untuk pengetahuannya.

" Nyi Sukasih?"

" Ya, ibunya Nyi Ratna Suwarni!"

Sukasih! Sukasih! di manakah dia pernah mengutip nama itu. Fikirannya berputar 180 darjah. Tetapi belum muncul juga bayangan atau punca di mana letak nama yang tercat di otaknya suatu ketia dulu.

" Dia penari tenar di zaman almarhum presiden. Terkenal di Tampak Siring"

Gendang kemudian ditabuh rancak. loangkah Barongan diganti dengan Rangda, gerak-gerak beraru dengan Liak dan wanita yang terikat di pohon tiba-tiba merentap ikatan dan bebas berlari ke sna ke mari dalam tangisan yang makin menghiba. Beberapa desas desus telah mula kedengaran. Aneh , mereka bagai dikejutkan dengan gerak-gerak persembahan. Dia juga merasa tidak enak. Atau lebihnya merasa aneh bercampur takjub apabila watak yang ditunggunya muncul dengan pakaian songket berulam motif Ligor. Dia memerhati lebih teliti. Jelas sulaman dari dari asalnya membaluti tubuh Nyi Ratna Suwarni. Lebih ketara lagi, gerak tarian Pulau Dewata yang dinamis bertukar menjadi gerak Lakhon Nai atau Menohra dengan kecopong bertingkat. semua penoton ternganga. Belum pernah daam upacara s'lametan pertengahan bulan, tarian itu dipersembahkan. Inau sendiri tertanya apabila yang mengiring gerak tari Nyi Ratna Sukasih penuh dengan laungan nama yang amat dikenalinya. Nyi Sukasih menlaungkan lagu Phra Ram. Phra Ram. Gendang ditabuh makin kencang. Semua pemain gamelan bagai turut terpukau dengan gerak baru di depan mereka. Mungkin Nyi Sukasih telah mendapat ilham hingga tercetusnya karya baru.

Tidak tahu, semangat apakah yang meruap hingga dia turut bangun memintas di celah-celah penonton, masuk ke ruang di depan pura Agung. Suasana bingar tiba-tiba terhenti. Semua mata tertumpu ke arah sesusuk tubuh tercegat di depan mereka. Nyi Sukasih bagai diterik meluru ke arah susuk tubuh yang ditunggu begitu lama. Nyi Ratna Siwarni terpukau dan terpegun. Wajah teman yang baru dikenalinya kelihatan merah dan pucat silih berganti.

" Inau suvharna. Inau Suvharna!" Tetapi suaranya tidak menghbur keluar, ditandingi pula oleh teriakan ibunya yang penuh kesayuan...." Phra Ram, Phra Ram ! Kau datang juga setelah hampir 20 tahun... "

Phra Ram?

" Aku Inau Suvharna. Inau Suvharna". Tetapi suarntya juga tersekat di kerongkongan. Wajah Phra Ram muncul tiba-tiba. Phra Ram yang amat mesra di lubuk kasihnya telah dilaungi Nyi Sukasih. Amat lirih amat pedih. Phra Ram. Nyi Sukasih. Phra Ram. Nyi sukasih. Otaknya ligat antara seribu kebingungan. Pesanan lampau ayahnya menggemua,

" ...Adikmu. adikmu ada di Pulau Selatan . Inau, Inau kuncungi dan cari adikmya!" Itulah pesan bertahun silam dan kini kata-kata itu muncul tiba-tiba. Dalam bayangan suara Phra Ram dia kembali disedarkan deengan lantunan wajah Nyi Ratna suwarni. Tiba-tiba muncul wajah Phra Ram di situ. Juga wajahnya ketara antara celah bibir tipis dan eltak bola mata yang muncul di bawah garis menyepet ke hujung. Wajahnya tumpah di situ. Wajah ayahnya mengalir di situ.

Bagai gaya seorang Phra Ram, Inau memapah Nyi Sukasih yang sudah terkulai. Semerbak harum kemboja di kepala penari itu mengingatkan dia dengan sekeping gambar besar di kamar ayahnya jauh di tanah Ligor. Wajah penari dari Pulau Selatan yang menjadi subjek renungan lelaki, ayahnya kemudian tersisih di hari-hari akhirnya kehidupannya. Dunia politik yang telah menghumban sisa hidupnya penuh calar balar hanyut dan tersisih. Nyi Sukasih telah longlai dalam dakapan lelaki dari Ligor . Nyi Ratna Suwarni tercegat kaku, sehinggalah terdengar suara lelaki tua berdiri tepat di depan mereka,

" Kaukah Inau Suwarna, cucuku?"

Ada tarikan kasih pecah di lubuk hati masing-masing. Suara mereka saling bertingkah,

Suwarni, adikku!"

Suwarna , abangku !




Den Pasar, 1985