Sunday, 17 April 2011

Laman Nyang Galoh (TK,April V)


Menjelang Zuhur, matahari sudah meranum. Mujur awan masih berbaik hati, bergumpalan cantaik biru warnanya. Langit bersih, dan burung masih bernyanyi - berzikir siang ini. Kami sudah merapi rumah. Bantal kusyen, sudah bergumpalan dalam selimut dilapisi plastik. Nanti kembali lagi ke sini, wahai penghuni rumah, kumbang, tikus, lipas berbaik hatilah kalian, jangan mamah barang kami untuk kita berkongsi di sini. Masih bersisa beras dalam balang, gula, biskut kering, berkongsilah juadah sederhana kita.
Kenapa tiba-tiba angin berhenti dan jurai palma, terjuntai kaku? Tiong juga tidak bersiulan. Tambah Cik Yam, " mereka berehat sebentar kerana menghormati waktu zuhur ." Wah sungguh arif Cik Yam. sungguh sepanjang menjelang subuh aneka bunyi kedengaran, selepas azan subuh bersambut aneka suara " haaa dengar tu, mereka juga berzikir panjang" Sayup ku rasa, setelah semilir angin kembali bercanda. Atap zink digeser jemari sawit, geselan ekor tupai di anjung, melompat dengan muncungnya menggigit sisa roti yang kuletak di jemuran kain. Wah, amat gembira dia melompat ke dahan pangkal sawit, diikuti seekor anak tupai, warna kelabu...bagai bergembira dengan rezeki kecil siang ini. Kembali si pipit berdecip, cip-ciiip...bersahut kelicap, cap-cap, kruuuuueeee kruuuuu , " hei ada ayam hutan sesat di rumpun keladi " - suara Cik Yam melatah. Menjelang pulang masih riuh mereka berserakan bermain di halaman. Kawan-kawanku mahukah kalian ikut kami pulang ke kota sana? Sunyi senyap tidak ada sahutan...! *** Laman Nyang Galoh 18 April 2011

No comments:

Post a Comment