Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Sunday, 10 January 2010
Seni Sulaman Kelingkan - Keringkam
11
Kemasukan benang , pita logam emas dan perak dari Lautan China dan Lautan Hindi, sejak awal abad ke 10, adalah seiring dengan kedatangan pedagang yang berlabuh di pelabuhan pinggiran selat Tanah Semenanjung dan kepulauan sampai ke Borneo, Sulawesi. Meriahlah istana dengan selendang bergemerlapan,yang diperkenalkan oleh pedagang India dan China. Sehingga untuk menggambarkan kekayayaan sebuah kerajaan diperikan, tentang busana yang bergemerlapan itu, ' maka dipakailah persalinan keemasan, berbunga pakan atau bersuji benang emas'.
Benang kelingkan ialah logam tipis melayang dijadikan bahan untuk menyulam dengan cara yang khas, dengan peralatan jarum bermata dua, kain saring dan sutera sederhana lembut. Dengan teknik tikam tembus, ke atas permukaan kain, melapis ke bawah, maka jaluran benang kelingkan ditindan kembali ke atas, membentuk motif bunga yang diperlukan.
Perempuan Melayu bukan saja pandai atau suka bergaya. Tetapi sejak dara sunti telah dibimbing untuk menghasilkan seni sulaman. Beberapa negeri Melayu yang masih meneruskan seni hiasan sulaman inilah di wilayah waris kuasa Kerajaan Melayu Melaka ( abad 14-16) sebagai pusat pemerintahan dan perniaaagan), yang diwariskan ke negeri-negeri di bawah kuasa termasuk Jambi, Siak dan Langkat. Kuasa Kerajaan Melayu Johor-Riau pula (abad ke 17-19) - hingga mengalir ke selatan ke celah-celah kepulauan Riau terutama di Bentan-Penyengat. Jalur wilayah sulam ini juga mengalir ke wilayah istana Melayu lainnya seperti di Kerajaan Melayu Brunei (termasuk Sabah-Sarawak), Kerajaan Melayu Sulu-Mendanau, Banjar-Kutai dan Sulawesi.
Hingga kini, himpunan seni kelingkan masih dapat di temui di istana Melayu termasuk Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan- Trengganu. Ia merupakan kelengkapan pakaian perempuan sebagai selendang, tetamptan-wali dan selayah ( Melayu Brune-Sarawak).
Bukti utama penggunaan dan wujudnya seni sulaman kelingkan di Selengor dibuktikan dengan usaha yang telah dilakukan oleh Allahyarhamah Permaisuri Tengku Ampuan Jameah sekitar tahun 1940an. Seni sulamann kelingkan di negeri Selangor kembali disemarakkan oleh Tengku Ampuan Rahimah pada tahun 1960an. Ayahanda Tengku Ampuan adalah juga kerabat istana Selangor. Ibundanya kelahiran Istana Langkat. Maka ketika menjadi permaisuri di Selangor, turut dibawa juru andam dan seni hias kelingkan untuk dikembangkan di istana Selangor. Tradisi menyulam kelingkan ini telah diwariskan kepada kerabat perempuan. Antara tokoh yang terlibat menyulam kelingkan sejak 40 tahun lalu ialah YM Raj Akmar yang kami undang sebagai jurulatih sulaman kelinkan untuk bengkel yang akan diadakan pada pertengahan bulan Februari mendatang.
Dalam usaha melestarian seni budaya warisan, maka Perbadandan Adat dan Warisan Melayu Selangor akan menaik taraf seni sulaman kelingkan sebagai warisan ikon wanita Melayu Selangor.
InsyaAllah dengan bengkel ini kelak akan kembali menghidupkan seni sulaman kelingkan yang semakin menghilang. Namun permata yang hilang kembali gemilang.
Salam kemilau kelingkan
SZI
Pengerusi Bengkel Seni Sulaman Kelingkan
PAWMNS
11012010
Assalamualaikum puan, macam mana saya nak contact dengan puan?
ReplyDelete