Saturday, 20 December 2008

MEMBINA ISTILAH SENI KRAF


Longgokan buku kesenian Melayu.
MEMBINA dan membangun istilah seni kraf sudah mula difikirkan oleh Institut Kraf Negara, bagi memudahkan tenaga pengajarnya untuk mengembang ilmu seni untuk 6 jurusan (seni seramik, seni ukiran, seni batik, seni tenunan, seni logam dan seni rotan). Kalau selama ini semua IPT yang mempunyai jurusan seni rekabentuk dan seni lukis hanya bergantung dengan kamus istilah yang dibena oleh DBP, tetapi kali ini tenaga pengajar dan para pemimpin IKN mempunyai wawasan yang lebih kedepan berbanding IPT lainnya. Walaupun IKN baru menampung pelajar yang kerap juga disebut sebagai pelatih dengan mengeluarkan ijazah diploma, namun kesedaran ilmu budaya warisan Melayu begitu ketara.
Agak terkejut juga melihat buku yang dilambakkan di meja, dengan berbagai judul berkaitan seni tenunan, seni tembikar/seramik, seni ukir yang telah diterbikan oleh Pusat Kraftangan Malaysia - sayang buku-buku, katelog tersebut bagai tersembunyi, hanya dapat diperolehi melalui tukaran hadiah, atau hanya dipasarkan di puintu masuk muzium kraf di Conlay. Umumnya buku-buku tidak mencatatkan nama penulis, atau editor dengan alasan semua produk kajian dan penulisan dihasilkan oleh staf di bahagian penyelidikan. Sebaliknya gambar menteri dan KSU mendapat tempat utama dan apabila dirujuk, mungkin kita akan mencatat nama tokoh-tokoh penting di kementerian itulah (KeKWa/Kraftangan).
Tapi kali ini memang kami dilonggokkan dengan senarai yang dibongkar daripada pelbagai buku yang telah diterbitkan oleh penerbit luar (DBP, UM,USM dll dan khususnya oleh PKKM). Wah bersungguhlah semua ketua jabatan 6 jurusan yang dibimbing oleh fasilitator (Dr Zulhilmi, Prof Zakaria Ali dan seniman pandai ukir Dr WanPo Wan Su). Bergemalah istilah-istilah lama, untuk melengkap makna awan larat, lebah tergantung, siku keluang, tetupai, bunga kasmek, belalai gajah, kepala lalat, kendit, pemelih dan dan... Dalam kedinginan billik bengkel, ada jenaka dari Malik pembantu pengajar yang kerjanya melompat-lompat dari satu jabatan ke satu jabatan, atas arahan bos yang memerintah. Jenaka WanPo, pandai ukir yang mewarisi keajaiban mental seni daripada ayahanda Wan Su, karya ukirnya sudah melompat berlang buana, dari Besut melompat ke Karangbunai, jatuh ke pintu istana diraja Selangor, Perak, Johor, malah kini sedang dipamerkan di pintu masuk bilik mewah di hotel Dubai, meja hias Al Fayed dan keluarganya di pintu Harrods , London.
Hujung tahun seharusnya kita berkumpul dengan keluarga tapi nasib pengkaji seni, kami berkurung di bilik dingin, sedang di luar, pantai berdesah, hujan berderai cantik di pantai Tanjung Klingga, yang sudah kehilangan nelayan di tanah pusaka Melaka! Ah tak mengapalah sekurangnya , kini kami mengumpulkan istilah astakona = wadah bucu lapan, dewangga = kain berkilauan emas dengan natar nila atau kesumba, antakesuma = jubah = baju layang berhias bunga emas, mungkin telepok, atau songket, khusus busana diraja untuk upacara pertabalan di raja (Raja Melayu), corak samarenda atau corak bugis digubah semula di Trengganu, Pahang...hingga muncul juga corak Tun Razak.... tapi tenaga pengajar kerap terseliuh lidah masih mengutipkan perkataan corak dan motif abstrak (tidak dapat mengesan punca dan asal usul idea mencipta motif hias), maka tidak hairan senarai motif juga kerap mengulang makna (jasmin, melati, melor), atau motif siku keluang dan pucuk rebung pun kerap dicatat sebagai motif V terbalik? Kerja menyusun istilah bukan kerja mudah. Tapi IKN sudah berupaya memulakan kerja yang selalunya dibina oleh para sarjana di universiti atau di pusat bahasa DBP. Tahniah IKN semoga kitab Wilkinsons dapat dikemaskinikan oleh tenaga muda warisan Melayu yang makin mencelik makna buday ilmu.
Gombak
21 Disember 2008

No comments:

Post a Comment