Monday, 15 September 2008

Mahaguru budaya kami


Yang berbahagia Prof Datuk Mohd Taib Osman, mahaguru pertamaku yang mengajar ilmu penyelidikan di lapangan. Teori kajian budaya memang mudah kita kutip dalam senarai terbitan karyanya yang panjang (sila rujuk terbitan DBP, UM dll).Tapi cara kajian etnografi, adat istiadat dan warisan lebih awal ku ikuti sebelum mendapat bimbingan untuk ijazah Sarjana (1976-1979) dan PhD (1985-1990). Sebagai jurulatih muda di KKBS (1974-1976), beliau adalah Ketua Penyelidikan yang memberi khidmat untuk penyelidik di KKBS. Di situlah beliau mengajakku sebagai pembantunya untuk melakar membuat sketsa sepanjang penyelidikan di Ulu Tembeling. Kebetulan yang mengenalkan ialah Prof Muhamad Haji Salleh. Di situ tugasku kadang-kadang membawa beg alat perakam , kamera sambil mengepit helaian kertas dan drawing block. Malah aku juga diminta membantu juru masak, menyediakan menu ikan kelah masak tompayak gaya Pahang - kegemarannya. Siang kami berkerja keras, merakam cerita raykat, antaranya melotah, main bubu,cerita anak kancil dari tokoh informan Pak Mat Petah. Di celah kesibukan di siang hari, malam terakhir kami dirayakan oleh penduduk Melayu dan Orang Asli, dengan acara menari di pentas jeti diraja di Kampung Bantal hulu sungai Tenbeling. Ya masa berlalu begitu saja dengan kenangan ilmu yang sukar dipadam. Aku rindu dengan kepetahannya menyaran, mengkritik hasil kajianku. Ya untuk melepas rindu, setelah kembali dari Kota Bharu mengunjungi Pusara Allahyarham Kak Jah di Jalan Bayam, Kota Bharu ku lanjuti lagi ke rumah mantan Profku di Petaling Jaya. Dia amat gembiran bersahaja, bercerita, memberi lanjutan amanat, " Bagus-bagus , Siti harus terus menulis, merakam ilmu warisan budaya...tidak banyak anak muda tertarik dengan bidang yang tidak popular ini-teruskan!" Semoga Allah memberinya kekuatan jasmani dan rohani untuk terus tersenyum menikmati hari-hari akhir seorang mahaguru pengajian Melayu, Amin'

No comments:

Post a Comment