Saturday, 8 March 2008

Simpang Siur Jejambat


Ahad - 09 Mac 2008

JADILAH kotaku seperti diungkap oleh Dhiknong,
- " K.Lumpur tidak banyak sungai, tapi jambatannya simpang siur, atas bawah - bertingkat-tingkat. Takjub. Aceh banyak sungai tapi tak banyak jambatan"

Di situlah simpang kepala jambatan amat gagah akan melintas memisahkan kampung Chubadak ke Kampung Bandar Dalam. Tembuk-tembuk gagah didirikan. Batu besar, tiang tinggi besar 3 pemeluk Badang dihentak ke tanah. Gedegam gedegum. Rumah kampung kamipun bergegar. Jalanpun sarat kiri kanan. Taman Pelangi banjir, anak sungai Gombak mengeruh. Pohon durian sebatang hanya kelihatan dahannya sepotong mengepak. Bumbung rumah bertingkat hanya lihat puncak rabung mendatar setara dengan gelegar jambaran bertingkat.

Semalam sekembali dari mengundi di Bandar Baru Bangi, Kuala Lumpur sudah mula sunyi. Kecuali ketika melewati Pasar Sentul kelihatan brothers kulit gelap melambaikan kain bendera warna biru, dengan lukisan dua bulan sabit, melengkung berapit, bertambah dengan bulan dengan latar hijau - bingung juga kerana dia bukan dilambai oleh belia berserban. Apa dah jadi. Aku makin menghulu hingga tiba di simpang Karak- Gombak. Tiba-tiba terkejut juga, nama simpang jalan ke Kampung Bandar Dalam sudah lenyap dibongkar. Tepat agakku, sebentar lagi akan hilanglah nama arah ke kampung kami. Aku tenang dan bersabar. Hinggalah tengah malam, berita mengejutkan...calon BN di Sungai Siput gugur dari papan tanda pilihan. Tidak ada wajah dan suara tokoh itu hingga dinihari - tidak juga muncul di kaca tv. Jadi bererti jejambat yang akan dibina merentas memanjang dari Pasar Besar Batu 4 3/4 merentas ke pinggir sungai di kampung kami tidak akan dilanjutkan. Amin Ya Rabbilalamin. Diharap menteri baru yang mengambil alih tugasnya tidak meneruskan rancangan pembangunan @ penghapusan kampung di Tanah Simpanan Melayu. Amin, doa kami dimakbul-Nya.Allahuakbar.


No comments:

Post a Comment