Friday, 8 February 2008

RABUNG DAN PAGO-PAGO




A.LATIFF MOHIDIN juga dapat dikaitkan dengan persembahan ikon rabung melalui siri pago-pago yang dibawanya melalui kembara dunia Alam Melayu. Sekembali dari kembara belajar di Jerman, Latif menyusuri wilayah Nusantara. Dia singgah di wilayah lembah Sungai Mekong, melukis candi di Kembodia = Angkor Wat, masuk ke laluan tiga segi emas, dan akhirnya ibarat unggukan batu terhampar di permukaan. Wajah mendasar tidak kelihatan. Dia seakan bertafakur merenungi wajah luka "Sungai Tua"
tatkala
'penghuninya telah lama membuang
wajah ke kota
juga kupu-kupu telah lama kehilangan
warna pelanginya'
(lih.puisi "Sungai Tua" dlm Tenggara April 1968 ) .

Citra bungkahan batu masih muncul dalam puisi kemanusiaannya "Sungai Mekong",
Sungai Mekong,
akhiri tarisiang riakmu
kuntum-kuntum berdarah
batu-batu luka...'

Citra batu Latif juga seakan rabung terapung di atas bumi-air. Juga dimuatkan dalam majalah berkenaan. Pilihan lewat batin batin pelukis penyair ini masih dibauri anamat rindu dendam dengan wajah nusantara (Melayu Minang). Dia pun melakar bumbung rumah kayu bertingkat mengingatkan kita dengan rumah berloteng Pak Mohidin, Sheikh Mekah di Singapura. Rumah lakaran sketsanya berbentuk telus terbuka terlihat kerangka-kerangka ruang dalam kerana yang ada hanya kayu : dinding, lantai, tangga, jendela, penyidai kain dan puncaknya bumbung perabung . Di sebuah lakaran lain Latif melengkapkan bumbung rumah berperabung tertutup bumbung limas - bumbung berperabung tetapi ditutup bertangkup = inilah antara itulah ikon Nusantara bersifat sejagat.

No comments:

Post a Comment