Tuesday 31 May 2011

Dari Stesen ke Stesen (3)


Catatan Impresionis
Jarak Waktu : 23 September 2004

SAYA  sudah di stesen Tugu, menunggu kereta Api AGRO-WILIS dari jalur Surabaya untuk menuju ke Bandung. Saya  baru sampai di Jogya, tteapi pesan Prof Ismail Hussein yang sudah tiba di Inderamayu, bagai tidak dapat kuhindari, " Siti harus ke sini, anak-anak pesantren Al Zaytun, belajar agama tapi aktif dalam seni".

Rasa lelah tiba-tiba hilang ya saya  sudah dalam perut gerabak AGRO -WILIS dengan tiket Rp 1200,000.Tak tahu nak sebut dengan perkataan...

35 tahun, stesen Tugu tetap setia menunggu. Lengkung jeriji, jejeran bangku tapi lampu tidak lagi sepengap dulu. Kecuali mbok bakul sejak pagi sudah berkumpul di depan pagar. Saya telek ke tiket, tercatat gerbong 3 no 7A, Jogja- Bandung. Peluit sudah menukik desah dan gerbong mula berayun.

Lukisan impresionis pun bermula, perlahan, deras melompat laju:
1. 12.40 - desa Patokan - batang pisang batang kering, daun hijau menyulur. Batas sawah padi, ladang ubi, gubuk riut petani. Mana garis lincahmu?
2. 13.00 - desa Wates - biri-biri, sawah baru di tuai, warna sisa emas nyala makin meredup
3. 13.35 - Muntilan - di sini tempat lalu lalangku berbasikal masuk ke pasar, mencari besi buruk untuk bahan arca - O Muntilan, kereta berhenti tanpa manusia di sini, kemana mereka? Kecuali angin gerah , kereta mendesah. Terasa tangan berbau tanah, inikah jemari petani, memerah keringat tidak berhenti?
4. 15.10 - Kebumen. Mana Atien Wahyuningsih mengeluh, sketsa tidak menjadi, tapi Pak Bagong Kusdihadjo memilihnya untuk menjadi penari utama Nyai Loro Kidul..." waduh, piye tho aku si gempul kok di suruh jadi Nyai Loro Kidul sing ayu..." . " Kau cantik Atien, tinggi perkasa heee ". Selera seniman Bagong yang terpengaruh dengan gerak dinamis Martha Graham, cuba membawa tampilan baru dalam tarian klasik Jawa. Edan. Kerabat kraton mula nyumprit.....tertidur, zzzzeeee
5. 15.50 -Kawunganten. Matahari sudah di dalam awan, langit kelabu, jerami sudah dibakar. Petani berjongkok di tali air membasuh lumpur siap menjelang asar bakal tiba.
6. 16.oo - Cilacap. Mana Wardoyo? Tapi aku teringatkan Baha Zain dengan puisi anak jalanan, " apa yang kau makan hari ini anaku? ". Sekarang sudah di perbatasan Bandung. Gerimis mula melibas, kaca jendela. Cantik tapi tetap bergaris luka ! Kolam ikan juga berkilau kaca . Kebun kacang baru berputik, sawah baru dituai, jagung sudah mengeluarkan daun pertama. AGRO WILIS perlahan.
7. 17.40 - Tasik Malaya. Kenapa ada Malaya di sini? " Ya Himalaya itu di gunung, Malaya itu daratan di Tanah Melayu, ya sekarang tasiknya di sini " . Mana si Henri yang menjelaskan itu ketika kami memanjat gunung batu di Parang Tritis. Dia si pemuda segak dari Tasik Malaya yang kerap bertukar nama, dari Hendra menjadi, Hayam, menjadi Henri. Sekarang ku dengar kau sudah jadi ahli parlimen ??? terbaru sudah menjadi Menteri, Uwaaahhh...
8.  8.20- Cipeundeung. Hujan menderas. Kaca jendela kusam. Tiada sesiapa di luar sana. Lampu juga suram, tapi cerita lama tidak hilang: Residen menipu para perempuan , di jual tidak berbayar, menjadi nyai. Kau mengeluh dan mengaku " Akulah cicit nyai..entah siapa kakek asal keturunanku " - mana Vivent? Kudengar kau sudah menjadi Jaksa  di kantor Hakim Negara. Hebat Neng!
9. 20.20 - Selamat datang ya Siti. Kereta api berayun berlahan. Kemudian geeerrrrr. Berhenti tersentak. Ada yang melatah! Keluar di pintu utama. Tidak tahu siapa menunggu di sana. Dua tiga pasang bibir tersenyum . Al Zaytun masih panjang lagi di belahan pantai barat sana! Malam kian pekat, kami akan meredah rimba malam. Al Zaytun tunggu aku datang ke sana!

Nota Ekspresionime Jogja -Bandung 2004

Monday 30 May 2011

Dari Stesen ke Stesen (2)

Broser dengan laluan jalan raya dan kereta api, salah salah promosi niaga
yang perlu untuk pengguna.

DARI STESEN KE STESEN (2)

Pernah ku bertanya kepada salah seorang sahabat mudaku," Apa perasaanmu ketika melihat keretapi lalu dan mendengar aum suaranya yang bergema itu? ". Dengan bersahaja dia menjawab, " Tak ada rasa apa-apapun" . Setengah kecewa saya tidak pernah bertanya lagi. Tiga tahun berlalu, tiba-tiba di satu senja, dia bersuara tentang bunyi kereta api, " Baru sekarang saya dapat menikmati, terharu mendengar bunyi kereta api. Rupanya berbeza dengan bunyi komuter dan LRT" .

Inilah pengalaman menunggu kereta api tiba di stesen lama. Kadang kereta api lambat jadualnya, rel rosak dilanda banjir atau bukankah zaman perang dulu, rel rosak kerana diancam musuh. Zaman perang, pernah kau alami itu?

Di negara, yang lebih peka dengan jam dan waktu, kita dapat membandingkan bagaimana jadual keberangkatan dan ketibaan menjadi hal penting. Broser perjalanan, nama stesyen dan jam ketibaan tercatat rapi. Wisel berbunyi, sebelum kereta api bergerak. Senyuman penjual tiket, gerabak kafe yang sederhana tetapi selesa dan bilik air yang rapi dan bersih.

Hatiku berdebar dan pilu, mungkin ciri-ciri inilah membuatkan Singapura bosan dengan kehodohan stesen di Bukit Timah dan pengap kelabunya stesen Tanjung Pagar. Mereka sudah memasang strategi, kalau tidak berubah cantik, tidak dimajukan tidak dipromosi, ya singkir saja. Pernah kutanya kepada ketua Steseyen di Johor Bharu, bila melihat dua keping lukisan sederhana tergantung di dinding kusam, karya seorang pekerja, kerani yang suka melukis, Jawabnya, " Kami tidak ada dana untuk mencantikkan stesen ini " . Maka tidak hairan tidak ada ruang kafe disediakan. Sedangkan penumpang dan pelancong (asing) kerap menggunakan laluan ini. Tetapi alat hubung ini memang jarang digunakan oleh pembesar, penguasa negeri. Jadi untuk apa mencantikannya kerana kereta api hanya untuk rakyat marhen???

Sekarang manakah peta jalur Johor Bharu merentasi Tambak Johor ke Bukit Timah ke Tanjong Pagar. Semua sudah menjadi masa lalu. Kalau ada kenanganpun, ya tutup saja rindumu, masa itu sudah menjadi sejarah yang sengaja dihilangkan..

' Hanya dalam gambar lama
kau tersenyum menatap awan
sayang awan sarat benang kelabu.
di tangga gerabak kelas tiga
sarungmu tersangkut luk

(Bait Senandung Malam, 2009,12)


Rumah Nilam,31 Mei 2011

Dari Stesen ke Stesen (1)


DARI STESEN KE STESEN (1)


Jarak Waktu : 30 Mei 2011


SEJAK tiga hari, suara Ketua Stesen Tanjung Pagar, tersedu, suaranya sebak mengalir dan kita sebagai penonton TV 1 turut bersama bersebak pilu. Ucap Tuan Shamsul Bahri Simai, " selama 15 tahun saya bertugas di sini. meninggalkan anak isteri, hanya untuk menentukan keretapi selamat tiba dan berangkat. Kan saya beritahu ke anak cucu, inilah harta milik kita, ini sejarah, inilah pusaka, tetapi kita harus meninggalkan tempat ini"



Soalnya kenapa. Atas persetujuan bersama, tempat ini akan diganti dengan kereta api ekspres ...Persetujuan Malaysia? Begitu saja. Demi mencapai taraf maju, Singapura memang sudah merencana, menyelesaikan wajah silam pulau keramat ini. Kuasa di tangan sang kuasa...sejarah perjanjian 1963, penyatuan di bawah bendera Malaysia hanya bayangan kelam. Bubar, tanpa bantahan, tanpa persetujuan. Di manakah surat perjanjian itu? Siapakah pula melulus perjanjian baru ini? Adakah perjanjian atau penyerahan tanpa silat lidah keberanian. Lihatlah masih segar dalam ingatan. Tanah berharga berjuta ini akan dibangun hotel dan pusat niaga. Siapakah pemiliknya. Milik kita sisa rel keretapi ini akan mampukan di seret ke Kempas atau dijual sebagai barang bekas.

***
Tuan Ketua Stesen Tanjung Pagar
(buat Shamsul Bahri Samai)

Air matamu hanya titis hujan selitas
di jendela retak luka
tak siapa mendengar desah malam
kecintaan tanah air
hanya surat palsu tergenggam
mereka dengan lidah tajam
berbinar mata helang
menendang kau pulang
atas mabuk gaya
negara maju wajah besi waja
koyakkan panji sejarah
hanya kau tahu
janji pertama
gegak gempita malam berdarah
gerabak ini dipertahan
sejak berzaman
hari ini
pupus tanpa sebarang janji
di lidah rasmi!
...
Pulang
jangan lagi datang!

****
Rumah Nilam
30 Mei 2011

Monday 23 May 2011

Pertayaan kepada KTMB ???

Hanya tingggal papan tanda?
PERTANYAAN KEPADA KTMB

JALUR keretapi pertama dari Taiping dan berhujung hingga ke Port Weld (sekarang Kuala Sepetang) sudah HILANG - atau DIHILANG, DILUPUSKAN????


Stesyen berusia lebih 126 GHAIB begitu saja. Bagaimana pula rumah-rumah boleh dibina di persekitaran tanah KTM - sudah dijual? adakah surat sah penempatan di sini ? Pelupusan hak milik KTM kah ini???

Persoalan & Pertanyaan  :  Tapak Warisan Sejarah terabai. Siapakah yang patut bertanggung jawab : Mungkin Pegawai Daerah, Menteri Warisan dan Kebudayaan, KTMB boleh memperjelaskan ?

****
Suara dari Penasihat Persatuan Pelukis, Pencinta Seni Perak (PPPSP).

***

Gombak, 23 Mei 2011


Harga pemuda perkasa kami

Balak bakau minyak sedia untuk dipikul oleh lelaki perkasa


KUALA SEPETANG, menjanjikan dua kehidupan yang saling membantu kehidupan penghuni kampungnya. Pohon bakau ditanam dan dikendalikan oleh Jabatan Perhutunan Negeri Darul Redhuan. Pohon bakau minyak matang berusia 30 tahun ditebang dan dibawa untuk lanjutan kerja di persisiran anak sungai yang menjulur ke kuala, untuk proses menjadi kayu arang. Ia dibawa dengan sampan motor, dan dilonggokkan di pinggir anak sungai kecil untuk di proses 'memasak kayu arang' dalam tanur.



Demi kehidupan, masih tersenyum menemani tugas harian



Untuk kelangsungan hidup keluarga, inilah kerja pilihan kelaki kampung Kuala Sepetang. Batang seberat hampir 40 kg dengan tangkas dipikul dan dilempar ke pingiran anak sungai

Kutemui anak lelakiku yang hilang, tersenyum : Jamil bin Zainon

Upah kerja mengangkut memikul kayu sekali jalan @RM 70 x 3 : RM 240.00.


Jamil sudah mengangkut kayu bakau sejak 15 tahun lalu demi menampung 3 orang anak. Berapa upahya ? Jamil tersenyum, kutahu inilah keinsafan hidup. Satu jalan mengangkat dan memunggah dengan kudrat berat dibayar hanya RM 70. Inilah belanja harian untuk anak-anak dan bersama menjaga isterinya Maznah binti Chik Din.Tanpa keluhan jawabnya, " Ini yang saya mampu lakukan menerus kerja ayah. Tapi untuk anak-anak akan saya lunas tanggung jawab mereka harus ke sekolah. " tegas pemuda perkasa ini.


***


Adakah wakil persatutan buruh mengkaji upah pengangkut kayu bakau ini. Kerja tanpa insuran, tanpa kemudahan perubatan dan gaji harian, kalau demam sakit tidak bekerja gaji tidak ada? Dan upah sebanyak @RM 70 sekali jalan itu berbaloikah dengan daya tenaga tubuh mereka. YB Menteri Besar, Menteri Buruh pernahkah singgah ke sini???

***


Gombak, 23 Mei 2011.






Thursday 19 May 2011

Penyair, Sarjana, Wartawan



Urich Kratz (sarjana Russia), Dino S (Wartawan BH, almarhum), AGI (penyair Malaysia), Taufiq Ismail (Penyair Indonesia), @SZI,1993
***

Tokoh tiga profesional ini saling berkaitan. Tugas Penyair berkarya, tugas Sarjana, mengkaji, mengkritik dan tugas wartawan pula melapor, membuat promosi dan terbit di media massa. Sejauh manakah mereka dengan kepakaran masing-masing membuat kerja dengan penuh setia, meneliti dan menganalisis sesuai dengan keahlian mereka?




Mudahkah penyair menghasil karya? Ini catatan spontan Taufiq ketika saya menghulur buku nota saya. Spontan memang, dibuat lansung oleh keterharuan beliau ketika kami diundang membaca puisi di alun-alun (lapangan) kota di pergunungan Gayo (Januari 1986). Bupati Jamaluddin memberi cuti kepada staf negari, membawa murid-murid dan guru untuk melihat penyair Nusantara membaca puisi.
Tentu saja nota ini belum menjadi puisi. Puisi terjadi hasil daripada ketekunan mengulang daya fikir, menyesuaikan suasana dan memendam emosi jiwa. Sehingga kini, catatan ini hanya ada dalam buku nota saya. Taufiq mungkin juga tidak mengingati tulisan beliau ini. Kecuali kalau beliau kembali membalik halaman buku puisi Bunga-Bunga Bulan yang ku kira sudah ada terhimpun dalam Rumah Puisi beliau di Air Angek, Padang Panjang. Terkabar berita mereka akan merasmikan Rumah Puisi Taufiq Ismail pada 4 Jun 2011. Kita jumpa beliau di sana. InsyaAllah.
***
SZI, 20 Mei 2011:00.57

Dari Suara Sam Bimbo

Tahun 1970an, bohonglah kalau kawan-kawan penyair dan pelukis muda tidak peduli dengan lagu puisi Sam Bimbo @ Trio Bimbo. Sham juga pelukis dari ITB...dan kami di Jalan Kunceng juga kerap mengalunkan lagu ini. Kadang sausana di studio potret ASRI juga sarat dengan siulan Flamboyan...senja itu...seorang sahabat di Sulanjana juga kerap mengalunkan lagu ini. Pesannya " kutitip bunga flamboyan buat Izan"


Getar dan harum flamboyan (bunga semarak api) itu tertebar dalam novel remaja ini. Amat sederhana dengan latar gelora asyik remaja ketika itu. Kawan-kawan di PAPTI...haaahhha cerita anda dalam novel ini.


***

SZI, Gombak 19 Mei 2011



Tuesday 17 May 2011

Suara Perempuan Melayu-Malaysia?




Prof Dami Toda, Prof Renier Carle, sahabat sarjana dan Dr Lim


***
Disember 2000, masih dingin di benua belahan barat ini. Saya tiba mengiringi sahabat yang mewakili kerja NGOnya di Bonn. Selesai dari sini kami meneruskan perjalanan ke Hamburg-Berlin. Di kampus sudah menunggu sahabat lama kami, Prof Dami Toda (asal Flores) dan Prof Ranier Carler. Singgah hanya untuk menyapa menebus rindu. Tetapi dasar mereka sarjana Bahasa dan Sastera Melayu-Indonesia, nampaknya saya tidak dapat mengelak pelawaan mereka.


Prof Renior Carle memperkenalkan buku katelog Bunga-bunga Bulan SZI

Jarak Waktu : 2000, Hamburg
Tiba di kampus, dibawa lansung ke Pusat Pengajian Bahasa dan Sastera Nusantara (Melayu-Indonesia). Masyaallah sudah berjejer buku-buku kreatif dan kajian akademiku ku di atas meja. Setengah tersentak, betapa koleksi pustaka mereka begitu lengkap, berbanding dengan jabatasn sastera di tanah air sendiri. Saya sempat bertanya, " bila buku ini mula terkumpul dan beli di mana? " Setengah jenaka, Prof Carler menjelaskan, " itu kerja pustakawan, kami pensyarah hanya menyenarai nama penulis dan judul buku - ya di mana di beli, mungkin di Malaysia atau di pasar terbuka di sini heee ..." Prof Carler juga begitu lengkap datanya tentang Si Siti Kecil...
Ya sebagai penulis, memang kerja kita diminta bercerita apa yang ditulis. Tetapi soalan tetap saja menyentuh isu perempuan yang hampir sama di mana saja di dunia ini. Soalan lucu dari seorang pelajar sarjana " Siti tidak lelah menulis, melukis dan melayan suami? ". Saya agak terkejut dengan soalan itu. Tetapi Prof Carler cepat bersuara , " Maksud soalan itu, sebagai penulis dan isteri, masih ada waktukah untuk menulis? " Saya tidak sempat menjawab sebaliknya Prof Carler mencapai buku Perkasihan Subuh dan Kau Nyalakan lilin, beliau meminta saya membaca bahagian yang ditandanya,

-" Subuh itu /Kau kejuti mimpiku"

-"Lha, mana puisi tentang seorang perempuan , isteri ? " - suara daripada penanya tadi.

-" Itulah puisi, puisi penyerahan yang selalu kembali di anugerah Sang Kuasa ! "

-" Jangan susah hati, esei lengkap tentang puisi Siti sudah siap, nanti baca dalam journal sastera" Dami Toda (Mendiang)  menenangkan suasana.

***

Petang itu, tanggal 18 Disember...tiba-tiba pintu bilik seminar terbuka, dua orang perempuan masuk dengan membawa kek dengan hiasan lilin menyala. Saya terkejut, semua tamu 15 orang, bangun berdiri melihat di mana kek di letakkan. Masyaallah mereka datang menghampirku, dan meletak kek, dan meminta saya meniup lilin. Ya Allah hari lahirku yang ke 51 tahun genap kala diri dilingkari para sahabat sastera nun jauh di negara orang.

Terimakasih sahabat, terutama Prof Reneir Carle dan isteri, juga salam penuh doa buat mendiang Prof Dami Toda yang telah jauh meninggalkan kita, dan seluruh sahabat yang bersama di hari pertemuan itu.

SZI
17 Mei 2011





Rumah Pelukis @Taman Budaya


Malam Cempaka Berbunga di Taman Budaya Ampang 1972Sketsa Mustafa Ibrahim
Jarak Waktu : 1965-1970an
Sepanjang akhir tahun 1960-1970an juga, Pelukis memang seakan bernaung di bawah KKBS. Tempat himpunan pelukis juga kerap menempel dengan kegiatan kumpulan penari dan pemuzik. Sehingga tidak hairan bila Latif Mohidin balik dari kembara Pago-Pago kerap menyatu dengan Angkatan Pelukis Semenanjung (APS), yang mempunyai ruang di Taman Budaya Jalan Ampang. Ahli muda APS sudah resah. Senior APS terus dengan kelas potret, gaya Hussien Enas, dan Mazli Som.

 Tuan Haji Idris Salam lebih terbuka, membawa kami melukis ke pantai PD. Kadang ikut pameran MAHA di Jalan Kelang. Beliau juga kerap membawa pelukis yang baru pulang dari Eropah ke Sekolah Aminudin Baki (SAB) . Beberapa kali Latif dan Kahlil Ibrahim muncul dalam kelas seni lukis kami.

Tapi Taman Budaya lebih disenangi pelukis muda APS. Latif mucul  membawa semangat baru, kerana pelukis ini juga penyair, berbaik dengan DBP. Di sinilah mula terjadi ikatan lukisan dan puisi. KKBS dengan pengarahnya yang seniman Pak Mail nampak nilai jalinan ini.

Maka bergabunglah aktivis seni dalam Manifestasi Seni, menghubung  institusi DBP, Balai Seni Lukis, Taman Budaya, di situ penyair , pelukis, penari, pelakon, pemuzik berhimpun, di persembahankan di halaman terbuka. Menteri datang baca puisi, duduk di atas rumput tanpa karenah birokrasi atau protokol politik. Maka bersilalah YB Menteri, Ghazali Shafei. Hamzah Abu Samah, KSU Mokhtar Hashim, Pengarah Seni, Ahli Korporat, para seniman ternama, tak punya nama semua bergelar Seniman Ibu Kota.

Dari sini pernik-pernik kecil Anak Alam mula membenih. Mustafa mula menulis puisi, Ali Mabuha melukis puisi , Latif dan AGI memang melukis dan menulis puisi. Hinggalah terjadi perpindahan Taman Budaya Jalan Ampang ke lembah Padang Merbuk - detik bakal munculnya nafas Anak Alam !

****
SZI, Rumah Nilam ,
17 Mel 2011

Monday 16 May 2011

Sudut Penulis, Dewan Sastera > Studio terbuka Anak Alam

Lakaran/sketsa oleh Mustafa Haji Ibrahim, DS, Ogos 1973

Jarak Waktu : 1975

ANAK ALAM tidak akan melupakan jasa seluruh kerabat DBP sepanjang tahun 1970-1980an. Dengan usaha Usman Awang (Allahyarham SN Dato) , kami diberi ruang akrab untuk penyair dan pelukis. Ide memasukkan lakaran seni lukis sudah melantun di kepala Oom Latif sejak menemani perjalanan UA di Amerika. Oom memberi ide, lakaran bukan sebagai tempelan, menghiasi tulisan, semacam illustrasi, kecil di pojok ruang Dewan Sastera (DS) . Tetapi ia harus berdiri sebagai karya seni, kalau bagus, di ruang sehalaman. Terjadilah. Kemala ( sekarang SN Dato' Dr) juga berkirim kabar ketika saya masih di Jogja,  " Kirim puisi juga sketsamu". Muncullah lakaran hitam putih hampir setiap bulan. Ada yang mendapat ruang sehalaman, setengah atau secercah wajah. Tetapi kami tetap gembira. Wah DS sudah menjadi dinding galeri seni cetakan.

Acara lelong lukisan, di Sudut Penulis DBP 1974


Sudut Penulis pula, memang kecil, namun menjadi meriah dengan berbagai acara Anak Alam. Tahun 1974, Jo (Zulkifli Dahlan) dan Ali Mabuha akan memulakan kembara. Kami mengadakan acara lelongan lukisan. Ramai kolektor seni datang, tokoh seniman menyokong antaranya Pak Mail (Alhahyarham Ismail Zain, Pengarah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan,  KKBS), Senator Kamarul Ariffin (sekarang Tan Seri, kolektor seni), Datuk Baharudin Musa (KSU KKBS). Juru tukang lelong, Norma Nordin riuh rendah. Ramai kelihatan wajah seniman menyokong, baik dari kalangan teater ( mendiang Krishan Jit), pemuzik ( Allahyarham Ibrahim Bachik), pelukis muda, penari, penyanyi. Menariknya para hadirin datang dengan rasa kesenian yang akrab , dengan kesedaran menghargai kerja seniman.

Ketika itu, hanya Latiff Mohidin dan A Ghafar Ibrahim ( AGI pelukis-penyair) saja yang sudah 'punya nama', sedang kami baru berputik. Tetapi pohon teguh begitu menaungi pucuk baru. Sungguh besar Jasa Allahyarham Usman Awang, Ismail Zain, Tan Seri Kamarul, Tan Seri Baharudin Musa, anda adalah 'Penaung seni Anak Alam'. Manakala Baha Zain (Datuk Baharudin Zainal), Kemala (Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullaha), AF Yassin (Ahmad Fadhil Yassin), Suhaimi Haji Muhmmad, Shamsudin Jaafar, Dinsman, Sotong Ar, Ajikik, Syed Jaafar, Ayub Yamin dll, serta semua pelukis grafik DBP adalah penyokong yang menggerak kerja seni Anak Alam. Anda semua (walau ada nama tercicir ) adalah tempat tumpahan kasih kami. Allahuakbar!

Di manakah denyut kasih seni Sudut Penulis DBP sekarang?

Siti Zainon Ismail (warga Anak Alam ), 17 Mei 2011

Kertas dan Tinta (Pendahluan Catatan Jarak Waktu)

BIAR ada mesen taip, komputer meja, komputer riba, tapi, tidak sama dengan bau tinta, yang mengalir dari pena. Percikan tinta mengalir dengan waspada hati, kadang lancar, ekspresif, kadang tergantung, memikir kata jiwa. Kurindukan selalu, ya tinta dan helaian kertas maka abjad menari, bersyair berpuisi. Marah yang terhimpun, resah yang nyali, rindu dia, kau selalu ada di situ.


Bagiku , " pena adalah lidah penyair. Suara kata hanya dari liukan lidah politikawan, terhambur lepas dan hilang ke udara. Siapa yang mendengar atau menghimpun suara kejam dan sadis itu." Darah mengalir dari Sungai Patani, jeritan si kecil di tembok kekejaman. Semua catatan jelas tetapi , hilang di berita tengah malam. Tapi kau dengarkan alunan muzik yang ditulis tidak terlihat dengan ketukan pemain tabla, atau gesek rebab menangis tidak henti...itulah kata-kata yang dicatat kembali seorang mahaguru alami. Hingga ke usia emas ini, jumlah ke berapa kau susun, buku kecil ini di dalam peti sukma mu ya sahahatku?

Tinta mengalir dari mata pena, halus dan berbayang di balik kertas tipis, maka kau dengari larik pantun warisan ini,


Orang memburu di Acheh
Dapat pelanduk sebesar kambing
Serta bertemu dengannya kasih
Sebagai tanduk bersumbi gading *

-----
* HATI MESRA
Pantun Melayu sebelum 1914
sutingan Hans Overbeck
(penyelenggara Anwar Ridwan dan E.U. Krats)
DBP , 2004 : 24
-------
Rumah Nilam Serayu
Bukit Kanching, Rawang
17 Mei 2011




Sunday 15 May 2011

Rumah Sejarah, tetap dilupuskan

Stesyen keretapi Palekbang, tidak berfungsi lagi?

mencari tapak lama (1993)

***


Mengikut akta warisan, budaya benda, termasuk seni bina, peralatan hidup, manuskrip, malah orang hidup yang masih mengamal warisan budaya, perlu dilestarikan. Bangunan yang melebihi usia 50 tahun wajar diselamatkan, dari tercemar, tersisih , dan roboh. Tetapi kecenderungan melupus barang lama semakin disengajakan. Alasannya , bangunan baru mesti canggih sesuai dengan zaman teknologi, bahan besi, batu, melambangkan pembangunan yang mencapai awan, mewah dan selesa.


Saya sudah kerap merasa kehilangah itu. Fakta sejarak memang sengaja dihapuskan, dengan alasan berbagai. Stesyen kereta api milik KTM (sekarang KTMB) juga kehilangan tapak sejarah. Sejak tren, komuter,LRT,dsbnya menjadi model pilihan, bangunan dengan kayu jati , besi keluli rel juga diganti besi keluli dan beton. Aibnya, reka bentuknya pula tidak lagi menampakkan jati diri wilayah di mana ia dibangunkan. Keretapi pertama di dirikan di Taiping menuju ke Larut ( 1885), Taiping - Kemunting (1890), ke Ulu Sepetang (1892). Muncul kemudian KL-Kelang. Jadi usia stesyen kereta api sudah melebihi 100 tahun. di manakah letaknyya akta warisan negara?


Ketika kami, para sarjana kampus dijemput bertemu membicarakan seni budaya dan sejarah Kelantan (1999) , sempat berbual dengan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, yang didengari pegawai Kerajaan Negeri. Saya menyarankan agar stesyen keretapi Palekbang, boleh dijadikan muzium budaya...boleh menjadi tarikan , dan rakit boleh dijadikan sumber keindahan sungai. Cuma jawab pegawai berkenaan..." Stesyen tu milik KTM , kita tidak boleh buat apa-apa".


Saya kerap datang dan singgah di stesyen Palikbang, setiap kali tiba ke Kota Bharu...tapak itu sudah dihuni gerombolan kambing...tak tahulah 10 tahun kini sudah dibangunkan, atau dilupuskan, seperti stesyen Kuala Kangsar yang bersejarah itu?


***


Gombak, 16 Mei 2011




Thursday 12 May 2011

Sisipan - Sayap kanan masjid Al Aqsa, Qiblat Pertama

Ruang asal, masjid al Aqsa, bertentangan arah qiblat pertama ,sekarang di sayap kanan hujungnya dijadikan khutubkanah


Arah qiblat pertama, bahagian sayap kanan , sekarang tempat pelajar puteri mengkaji al quran. Pelajar lelaki mengaji di bahagian dalam masjid.


***

(gambar @SZI, 9 Mac 2011)


Gombak, KL, 12 Mei 2010



Sisipan- data perjalanan/ziarah (SKAA)







Perjalanan ziarah kami> KLIA-Queen Alia IA-Amman -Jerusalem, 7- 11 Mac 2011-Madinah-Mekkah-KL, 11-2o Mac 2011







Sisipan - Kutipan dari al Quran, surah Al Ankabut (SKAA)

Kesah Nabi Abrahim a.s. telah merebah dan menghancur 'tuhan berhala' sembahan Fir'aun. Sisa patung berhala di lembah Petra, Jordan.

"Kamu hanya menyembah berhala-berhala selain Allah, dan kamu membuat kepalsuan.Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain dari Allah itu, tiada berkuasa untuk memberi rezeki kepadamu.Maka carilah rezeki dari Allah dan sembahlah Dia dan syukurlak kepadaNya. Kamio akan dikembalikan kepadaNya" ( Al Ankabut : 16)

" Dan (ingatlah) Qarun, Fir'aun dan Haman! Sesungguhnya Musa telah datang kepada mereka dengan keterangan-keterangan yan jelas, tetapi mereka menyombongkan diri di muka bumi, dan mereka tiada dapat mengalahkan (Kami) (Al Ankabut: 39)


Gerombolan awan hitam di laluan Laut Mati di bekas negeri Sodom


" Mengapa kamu meniduri lelaki, memotong jalan dan melakukan perbuatan yang buruk dalam pertemuanmu? Jawaban kaumnya hanya mengatakan: Datangkanlah kepada kami siksaan Allah, dan engkau termasuk orang-orang yang benar. Luth berkata: Wahai Tuhanku! Berilah aku pertolongan melawan kaum yang membuat bencana itu " (Al Ankabut: 29-30 )




***




Gombak, 12 Mei 2011




















Tuesday 10 May 2011

Sisipan Catatan Sejarah (SKAA)

Selepas melewati kawasan pasar di luar tembok, kami meredah ke lorong yang dibendung tembok kanan kiri untuk menuju ke masjid al Aqsa


****









Catatan sejarah tentang Baitul Maqdis - Al Quds :



1. Pada tahun 1904, Pop Pius ke X, bersuara, " Saya sebagai ketua gereja Kristian tidak berkata selain, ' Orang-orang Yahudi tidak mengiktiraf nabi kami. Oleh itu kami tidak boleh mengiktiraf bangsa Yahudi . Baitul Maqdis selama-lamanya tidak boleh berada di tangan orang Yahudi" (dalam Muhammad Rahmaadi, 2010,19)



2. Tahun 1967, UNESCO mencadangkan buat menjaga khazanah budaya Islam dan harta milik Palesti. Dana akan dikeluarkan untuk melestari persekitaran Baitul Maqdis, Kota Lama dengan membaik pulih masjid, gereja dan tembok sejarah yang cantik sejak zaman kemunculan kota Baitul Maqdis. Tumpuan akan diberi melestari bilik mandi Al'ayn dan al Shifa di sekitar pasar Qattaiin, di situlah pintu besar dan tercantik untuk masuk ke kota Lama Baitul Maqdis (Muhammad al Ramaadi, 34).



3) "Pemilihan Israel, Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya (palsu) suatu perkaran mustahi dan harus ditolak. Baitul Maqdis adalah pusat (ratu) kepada tiga agama langit. Adalah mustahil untuk kumpulan Yahudi (Zionis) yang hanya berjumlah 15 juta orang sahaja daripada penduduk dunia untuk menguasi kita, umat Kristian dan ISLAM " (Hillarion Kabutshi, matron Katolik Roman di Baitul Maqdis, berita dalam International al Haram, 27 Feb 1995)

***
Gombak
10 Mei 2011

Monday 9 May 2011

Membongkar terbitan lama - kajian Seni -Budaya

Kumpulan Esei Seni -Budaya , Fajar Bakti, 1984 (stok - tiada )Kajiaan bersama Harun Mat Piah, sejarah joget gamelan .UKM-SU Kerajaan Neger Trengganu,1986
Kumpulana esei-kertas kerja seni- budaya, DBP, 1986 (stok - tiada )


Kajian Busana warisan Johor, Fajar Bakti,1996 (stok -tiada)

***

Semua judul di atas masih diguna pakai di IPT-IPTS dan pusat kajian Melayu di kampus luar negara.

Penerbit asal mungkin dah penat nak urus ulang terbitan-

Kalau ada penerbit lain sudi, mari kita berbincang , terutama tentang

pengusuran hak penerbitan.


















Sunday 8 May 2011

Sisipan gambar SKAA> Tanda ekspresi kecewa, marah

Tembok untuk ke penempatan dikunci menyekat perjalanan

penduduk Palestin - pemandangan ke Hebron
Tembok pemisah di penempatan Hebron


Nota kemarahan kesal, di Bukit Zaitun


Penggalian tapak arkeologi di belakang tembok masjid al Aqsa.

Sebahagian lorong bawah tanah telah meruntuhkan bahagian

belakang masjid..lorong di bawah menembusi hingga

ke Tembok Ratapan

Setiap hari. bulan dan tahun, sejak peristiwa NAKBA 1948

berbagai usaha menghancur warga Palestin.

Relakah kita berdiam diri?? (@Berita harian 25 Jun 2006)

***

baut tindakan Sdr Hisham dan Ummi
***

(gambar @szi, 9-10 Mac 2011)


***

Gombak, 9 Mei 2011







Gambar sisipan SKAA -Mihrab dan Qiblat

Mihrab masjid al- Aqsa di Al-Quds, berulang kali

menjadi saksi tumpahan darah, serangan dan

pembunuhan oleh musuh Allah swt.

Mihrab di masjid Salman al Farisi, di Bukit Zaitun.
Tasbih zikir menggelinting nyaring, kau dengar kasih abadi Salman
setelah selesai perang dan berdoa mengenang kasih Nabi dalam sunyi?

Qiblat setelah dipindah arah ke Mekah.
Di dalam gua bawah Qubah Sakhrah
di sini berhimpun para nabi, sujud bersama
diimami Nabi Muhamamd saw Kekasih Allah

Mihrab masjid Nabi Ibrahim a.s di Hebron.
Kami mendengar tuturan peristiwa oleh Hisham.
Di sini letak makam dan kuburan Nabi Ibrahim, Ishak,
Sarah dan Alia . Kini masjid sudah di belah dua
dimiliki bersama dengan penguasa rejim Zionis
Masjid pula berkunci, dibuka hanya dengan
kebenaran polis penguasa


***
Hisham dan Ummu, semoga membantu kerja anda
(gambar @ szi, 9-10 Mac 2011)

***
Gombak, 9 April 2011



Data perjalanan SKAA
















Gambar tambahan untuk SK al Aqsa *


5.


5. Telaga Nabi Musa di lembah Ahira -Jericho kota palma.

Setelah lelah merentas Perbukitan Sinai singgah di Bukit Nebo

sementara menunggu untuk masuk ke Baitul Maqdis tapi ajal

memanggilnya, hingga pengikutnya kembali ingkar




4.

4. Di sini Nabi Musa s.a dimakamkan. Makam hanya

lambang, kuburannya tidak pasti terletak di mana?

1.
1. Urusan visa - izin masuk melalui jaluripost/fax/emel >

dari KL-Pulau Selatan? - Jordan masuk tanpa visa di pasport

3.

3..Di Bukit Nebo, peziarah mengesani jejak pertama

Nabi Musa a.s setelah tiba dari Sinai, setelah

wahyu pertama (Ten Commenments).


2.

2. Mencari jejak Nabi Musa, menuju mata air panas jauh di Petra.

subuh tiba , kami solat di sini sebelum meneruskan

punca mata air barakah


* Buat editot SKAA