Saturday 30 April 2011

Catatan untuk bahagian belakang > Sayap Kasih Al-Aqsa

Menghala ke pintu masjid al-Aqsa (@szi, 9 Mac 2011)




*Masjid al-Aqsa, qiblat pertama Islam sebelum diwahyukan Allah swt kepada nabi Muhammad saw , 14 tahun kemudian untuk mengadap ke Masjidil Haram.



* Palestin, tanah suci Anbiya, bumi kelahiran,berdahwah dan wafat para nabi antaranya Nabi Ibrahim, Lut, Daud, Sulaiman , Musa dan Isa Alaihimu - salam



* 15 Mei 1948 - tarikh tidak terlupakan bagi Muslim di Palestin. Terroris Yahudi (murtad) dikepalai oleh Irgun, Levi, Haganot telah bertindak ganas, terkenal dengan peristiwa NAKBAH dengan pembentukan Negara Israel palsu dengan 'arahan rejim Zionis' yang bertapak di Eropah. Dalam pertempuran ini beribu-ribu Muslim syahid. Lebih mengaibkan mereka menghalau penduduk asal di perkampungan Katoman yang dihuni pelbagai keturunan: Turki, Greek-Kristian Orthodoks, Islam, Armaneian, di halau secara paksa. Jerusalem terpecah dua, bahagian barat di huni Yahudi pendatang dan timur Juresalem - Baltul Maqdis untuk Islam dan Kristian Arab . Pelarian Palestian ditampung oleh negara jiran , Libya-Labanon, Syria, Jordan, Kuwait, Mesir dan Algeria. Tetapi penempatan pelarian ini terus saja diserang dengan niat untuk menghapus Muslim Palestin seperti serangan ke Kem Shattila ...





Sdr Hisham, NB- untuk bahagian belakang kulit buku


SZI, Kg. Bandar Dalam KL, 1 Mei 2011






Jurai Palma - pengalaman kecil di kebun Nyang Galoh

'....Matanya terus mengikuti betapa selama ini dia telah kerap melakar juraian daun atau pelepah palma bukan saja di Taman Victoria, tetapi juga di sepanjang taman di Teluk Sydney juga di Fremmantle, Perth. Aneh mengapa sekarang baru dia terpukau dengan anggukan akar setelah kakinya tersandung dan dia tersentak? Tiba-tiba saja, Sumi terhantar jauh ke kebun pusaka nenek Galuh di Tanjung Karang. Dia mula melihat telatah anak gadis remaja pertama mula mengenali jejerean pohon nipah, menghidu bau paku pakis dan tali air yang penuh ikan sepat. Di situlah pertama kali , dia mula mengetahui bagaimana atap rumah boleh dibuat dengan mudah apabila ayahnya berhasil menyusun dan menyemat jaringan rotan atau lidi untuk mengukuhkan susunan daun nipah sehingga beberapa helai atap siap... ''(JP, 2001, hal )


'... Sahabatnya itu juga masih menyimpan gambar-gambar kampung di Kalang dan Teluk Belanga, " sayang semuanya telah hilang", keluh sahabatnya. " Tapi masih ada rimbunan pohon palma, paku pakis di Botanical Garden?" (hal. 107) /Hadiah Sastera, 1995


........

Catatan Karya

Gombak, 1 Mei 2011

Friday 29 April 2011

Aku Anak Tani!



Dialog Anak Alam (2)

1. Aku anak tani ...akupun meneruskan lirik lagu Ebit

2. Ala kitalah anak petani, dah biasa dengan kebun sawit, juga tanam padi

3. Cik Yam pernah digigit lintah....?

4. Eh sini ada lintah ke? Kampung saya di Sabak Bernam ada babi hutan, sebab tu ada lintah

Cik Yam pun turun, menarik rumput renik yang menjalar ke pohon mengkudu, membilik pokok nenas yang ditanamnya 4 bulan dulu. Di petiknya bunga sepit udang, dimasukkan ke dalam vas, dan meja makan kami berhias seni pagi. Cik Yam juga sudah menyediakan nasi goreng, sisa malam dari bekalan rumah pengantin...saya masih merapikan meja tulis, Cik Yam menunggu di meja. Ketilang dan serindit masih menyanyi.

6. Eh, nanti lain kali kita bawa Cik Salamah ye, pasti riuh. Kalau kita berdua, senyap saja rumah ini.

Ha, pendiamkah kami?


Nota Laman Nyang Galoh
11 april 2011

Menunggu surat???

Dialog Anak Alam:

1. CIK YAM, sekarang orang tidak menulis surat, tidak pergi ke pejabat pos untuk membeli setem. Waktu sungguh terhad, sekarang tekan swis, lampu menyapa, komputer pun boleh bersuara.

2. Percayalah, bisik Cik Yam, " akan tiba surat Rahim Nazar dari Negeri Kincir Air, akan datang surat ekspres Ali Mabuha dari Mexico. Poskad Zahar dari Langkawi. Herman dari kampus Tentera. Mana tahu surat Jo juga tiba dari Afghanistan, datang kiriman puisi cantik dari Oom Latif Mohidin dari Teluk Kumba, eeeh,,mungkin Bang Tapa juga titip puisi cinta lagi kepada ku, di alamatkan di sini?

3. Esok pagi, terdengar motor pos, datang cepat, memasukkan kertas surat? Cik Yam berlari ke bawah, membuka kotak surat merah ini, " Haaa, kan ada surat...surat dari pejabat Cukai Negara, eh awak masih harus bayar cukai ke...kah bersara haaa???

4. Itulah surat cinta Cik Yam ooiii....mereka cari kita konon banyak kot royalti tulisan haaaaa...

Kotak surat bisu. kenapa kami rindu menunggu tiba suratmu?


Laman Nyang Galoh, Aoril 2011
(NLNG)

Wednesday 27 April 2011

Puisi Si Gembala (16)

Mimbar Salahuddin al Ayubbi masih utuh di masjid Nabi Ibrahim

di Hebron , abad ke 11 M



Mimbar Salahuddin al Ayubbi , ter(di)bakar di letak di luar
masjid Al Aqsa, dicat putih menutupi kesan terbakar
tapi mimbar tetap utuh


1.



Dari jauh, deruan tapak kuda dan pahlawan dari Mesir


menyerbu laju. Amukan dendam si tentera Salib


berkecamuk, hapuskan seluruh Kota Lama


tidak ada sisa umat Muhammad


serbu, deraian jeritan, kanak-kanak , isteri dan ibu renta


kilatan pedang syaitan memercik api dengki


darah banjir di Al Aqsa


kuda berenangan dalam hanyir darah para syahid!




Tapi Salahudin Al Ayubbi memasang peta rahsia


tujuh tahun mengkaji, menjaring selera pejuang


menakluki dunia


hanya dengan menembus


gerbang Baitulmaqdis dengan cinta


tanpa darah dan air mata!





11.



Putera manja dari Tikrit


terasuh mewah pahlawan Kurdis


tapi Salahudin bangun, menyepi menyatu jihad


tentera Salib, jangan sekali bermaharalela


siap sedia, sekarang , 'aku tiba


dari belahan sungai Nil, akulah menteri keadilan


menyatu Mesir, Sham dan Hijaz,


jika kita takluki mereka di sini


tidak ada darah tumpah di Baitul Maqdis! '





111.



Harum kasturi semerbak di kaki mimbar


ku tahu kau di sini dalam subuh fajar


membaca kutbah perpisahan


kau pulang setelah membina kemakmuran


kuda melangkah perlahan


pelana berdenting terakhir


pesanmu, 'jagalah tanah suci ini


kalau terjadi kemungkaran, tamak dan haloba


bukan angkara kita, Allahuakbar! '



Kuda di pacu lacu


kau tidak berpaling lagi


tapi pesanmu masih kugenggami


terasa dingin bergetaran


mimbar di Al Aqsa kaku menjadi bukti


ada laknat di sini


bergelumang benci !



***



Al Aqsa, Baitul Maqdis - Hebron, Rabiatulakhir 1432/Mac 2011









Tuesday 26 April 2011

Puisi Si Gembala (15)


1.
Ya , dengar bayi suci ini berkata
aku putera Mariam melahirkan Isa
setelah duga besar
jangan Kau luka kami oleh dendam
menyayat hati bayi ibu
telah kureguk air suci di lembah Baitullaham
goyangan kudrat ibunda
meggugur tamar memercik manisnya
ke bibir ku penuh cinta
ku dengar bisik Jibril
jangan kau berduka wahai saudaramu Zakaria
hidangan dari langir, pelezat akal bicara
tidak ada helah dan tipu
kala Malaikat Ruhul Kudus meniupi roh
lahirlah aku si bayi cantik
pintar berkata oleh anugeraNya
kenapa kau kata ibuku penyihir
wahai umat Bani Israel?


2.
Inilah keingkaran umat Daud dan Sulaiman
tak mampu kulentur keras batang gharqat
si angkara penimang dosa
masih curiga walau Injil terbuka
dan aku si pencerah mata rabun
berdoa meminta hidangan alazat
hadiah kesetiaan umat
kau tuduh aku pemuja sihir
dan harus dibunuh oleh kesesatan Yahood
aku tahu wahai Yahuza
dan kalian kawanku yang setia
kaulah 12 sahabatku ya al Hawariyun
penemanku dalam sengsara
dia si tamak Yahuza tersalib
kala aku di bawa ke syurga.



Baitullaham
Rabiatul akhir 1432 H/Mac 2011

Sunday 24 April 2011

Puisi Si Gembala (14)

Awan gemulung di lembah airpanas Musa





1.




Bermula dari taufan

menggulung awan,

melimpah pula gerombolan belalang,

perarakan besar ke bumi

keingkaran umat!

Telah kerap diuji

bala meruntuh ributi taufan

tapi sang raja pelalai

berkata

dewa langit menayang bulan dan mentari

sembahlah air panas di celah gunung batu merah

ukirlah para dewa Al Uzza, Dushara.



Sungai Nil melimpah

kau tahu telah diutus serangga musibah

bergerombolan tujuh hari tujuh malam
langit gelita, bumi dimamah sengsara

membaham tanaman.






Lalu kalian cari Musa

menjanjikan kasih Ilahi

tapi Sang Pencipta Satu tahu

Musa sudah pergi

jangan kau kejari

tepat Musa tiba

di lembah kebenaran

di sambut umah di bumi anbiya pilihan .





11.


Runtuhlah gunung tamadun

hanya sengatan hama

bersambut geladak katak,

mengigit membiak jangkitan darah

darah nanah menggelegak

tidak ada ubat rawatan

bila menusia ingkar diberi cobaan



MencariMu

telah panjangnya rawan

Nih merah

melimpah ke sahara

Musa, mencari Musa

yang telah pergi ke sisiNya

tapi Kau cerahi kembali

kebun kematian sisa serangan

belalang hama dan katak berdarah

apakah kami kembali lupa?




Kota berpesta lagi

di mana hatimu berpaut

memetik bunga dan melupakan

arakan awan tergantung rawan.

***





Petera- Jericho

Mac 2011

Monday 18 April 2011

Salman Al Farisi (NB, 22.2)

ANGIN makin keras melibas kerudungku. Jemari semakin terketar, mencari sepatuku entah siapa tersepak keluar dari celah pagar. Kawan-kawan sejemaah - peziarah sudah berlarian mengejar bas, saya tetap tercicir, tidak ingin segera meninggalkan makammu ya Salman. Isham masih berbaik hati dan sabar, menunggu si gembala yang mengutip butir puismu ya sahabat Nabi.
Tetap ingin kulakar keluhmu, kala harus menyingkir dari kemewahan setelah perang Khandak. Kau memilih Abu Darda' yang juga menyingkir dari kemewahan seorang pedagang, meninggalkan perniagaan yang diketahuinya tidak menguntungka di sisi Ilahi. Kau memilih sahabat ini dan menyingkir menjadi sufi merantau dari lembah ke padang saharah, dengan kitab yang Satu, kasih Cinta Ilahi.


Kudengar, heretan jubahmu yang lusuh, singgah merenung dan bersandar di tembok tanpa seorangpun tahu kaulah pahlawan perencana perang!


Salman Al Farisi, sahabat tersayang Nabi,

kau berjalan mengiringi Uwaimir bin Malik al Khazji

bukankah pernah kau dengar cerita

sinaran mata, kening memancar cahaya

aroma kasturi melimpah tubuh sekujur wangi

yang melemparkan harta

hanya oleh rindu Ilahi.




Abu Darda' Si Sufi padang pasir

meninggalkan gemilang emas

dan kau muridnya

teramat nikmat memilih

dzukrullah, dzukrullah



Dia si sunyi diri

tiada rumah tiada makam

aku juga terlempar ke sini!

ooo bukankah juga

' Bagi kau Khalifah kau penting

bak mata pada insan

agama Tuhan perlukan mu

bak mata pada muka' *

Al Fateha ya Sahabat Nabi!
------- * puisi Abu al Abas Marvasi, (200 H)gavnor Khurasan juga penyair kembara putera Harun Al Rashid (dlm Muhammad Bukhari Lubis, 1990, 66-67) * Nilam Srayu, Rawang 19 april 2011, 03: 00

Sunday 17 April 2011

Laman Nyang Galoh (TK,April V)


Menjelang Zuhur, matahari sudah meranum. Mujur awan masih berbaik hati, bergumpalan cantaik biru warnanya. Langit bersih, dan burung masih bernyanyi - berzikir siang ini. Kami sudah merapi rumah. Bantal kusyen, sudah bergumpalan dalam selimut dilapisi plastik. Nanti kembali lagi ke sini, wahai penghuni rumah, kumbang, tikus, lipas berbaik hatilah kalian, jangan mamah barang kami untuk kita berkongsi di sini. Masih bersisa beras dalam balang, gula, biskut kering, berkongsilah juadah sederhana kita.
Kenapa tiba-tiba angin berhenti dan jurai palma, terjuntai kaku? Tiong juga tidak bersiulan. Tambah Cik Yam, " mereka berehat sebentar kerana menghormati waktu zuhur ." Wah sungguh arif Cik Yam. sungguh sepanjang menjelang subuh aneka bunyi kedengaran, selepas azan subuh bersambut aneka suara " haaa dengar tu, mereka juga berzikir panjang" Sayup ku rasa, setelah semilir angin kembali bercanda. Atap zink digeser jemari sawit, geselan ekor tupai di anjung, melompat dengan muncungnya menggigit sisa roti yang kuletak di jemuran kain. Wah, amat gembira dia melompat ke dahan pangkal sawit, diikuti seekor anak tupai, warna kelabu...bagai bergembira dengan rezeki kecil siang ini. Kembali si pipit berdecip, cip-ciiip...bersahut kelicap, cap-cap, kruuuuueeee kruuuuu , " hei ada ayam hutan sesat di rumpun keladi " - suara Cik Yam melatah. Menjelang pulang masih riuh mereka berserakan bermain di halaman. Kawan-kawanku mahukah kalian ikut kami pulang ke kota sana? Sunyi senyap tidak ada sahutan...! *** Laman Nyang Galoh 18 April 2011

Laman Nyang Galoh (TK,April 1V)


JURAI sawit ini di larang potong oleh si penanam. Kerana kami bertahun tidak pulang, halaman ini sudah dikongsi bersama saudara sepupu.Penuhlah kebun ini dengan tumbuhan kesayangan yang kini membenih hasil tuaian. Kami berani saja mendiri tapak rumah lama...dengan menebang 6 pohon tanamannya, tentu dibayar ganti rugi. Tetapi sungguhkah pohon sawit merajuk kalau hujung daunnya di potong?


Begitulah kira-kira, setiap pulang ke sini kami akan bersenggolan dengan si jurai palmu. Tapi diri ini senang saja, dengan omelan si keluarga penanam. Tetapi benar pula dua pohon berhampiran tidak lagi berputik baru. Dan kami yang kerap datang pulang, berdua, bertiga dituduh punca angkara wah kami rupanya pengganggu . MasyaAllah, ingati kami kalau hati terhiris dengan dugaaan ini.


Jurai Palma, demi Jurai Palma sudah kau jenguk cerita (cerpen) Jurai Palma 2?



Laman Nyang Galoh,

18 April 2011

Salman Al Farisi (NB, 22)

Makam Salman Al Farisi sahabat Nabi

Sekali lagi, Bukit Zaitun didatangi, para pejuang Islam dan para sahabat Nabi. Di bukit suci ini juga dipercayai Salman Al Farisi sering bersunyi sehingga penduduk setempat, percaya Salman wafat di sini. Dalam hujan renyai menjelang akhir musim bunga kami tiba. Di manakah rumah Salman? hatiku berbisik. Dari jauh sudah kelihatan puncak menara masjid. Di celah-celah bangunan batu sisa lama, di dalamnya tersergam makam yang dipercaya tempat yang kerap dikunjugi sahabat Nabi.


Asal muasal, dialah hamba beragama Majusi , masuk Nasrasi, tetapi tiba di Yathrib dia tahu hanya Muhamad dengan Agama yang Satu, Allah hanya Dia Pencipta, bukan agama lain yang membina patung mewakil Tuhan atau anehnya terasa bila Nasrasi mengakui Isa Anak Tuhan.


Siapakah yang memberi idea untuk mengalah musuh dengan membuat parit. Inilah ide Salman al Farisi dalam Perang Khandak. Banyak yang mencuragi Salman, kenapa dia seorang hamba dari jauh di kasih Nabi Muhammad saw. Salman mengetahui rasa iri itu, ia tidak mahu menerima sebarang jawatan sebaliknya mula bersahabat dengan Abu Darh yang juga tidak mahu bertikam iri dengan jawatan yang hanya menimbulkan kurang senang para pejuang. Abu Darh dan Salman menyisih, meneruskan ilmu, mengkaji dan mendalamai kasih sayang kehidupan. Sebagai kebiasaan orang Parsi , kehidupan selalu diimbangi dengan rohani dalam disipilin rintihan - nyanyian para sufi. Puisi siapakah yang terlantun di bawah mihrab, ketika angin menusuk dari arah pintu?


Ku dengar suara itu

suara itu

bila bintang gemerlapan di syurga

adakah kau menyambut aku di sana?



Di luar makam, gerimis masih meruncing di hujung daunan zaitun. Bukit Zaitun menderu tiupan bayu. Satu , satu bayang pejuang kasih Islam berjejeran menunggu hari pengabadian . Allahuakbar. Al -Fateha ya para pejuang, Umar Khatab beriringan dengan Bilal, dengan tenang melangkah masuk ke Al Quds. Rabiatul Adawiah dan Salman al Farisi, makammu menjadi saksi , sahabat Nabi yang dikasihi .



@szi

Laman Nyang Galoh


Qasidah Burung

TIDAK banyak kami lakukan. Sejak semalam sisa hujan melembabkan tanah. Kami hanya memetik bunga kemboja yang semarak kembang di halaman. Di anak tangga entah siapa menyusun kerikil kecil. Pasti ada anak-anak kecil datang bermain di rumah tinggal ini. Allhadulillah masih disinggahi insan. Dan pagi ini sungguh benar kami dapat menikmat suara burung aneka bunyi. Cik Yam meniru nyanyiannya. Cip-cip , itu burung murai. cap-cap, haa kelicap. Bersahut pula, kuuurr, kuuur, ha itu terkukur. Pip, pit, aha punai pun ada. Diapun mencatat jenis burung yang melintas dan bertenggejk di dahan sawit,

Kagum sungguh saya dengan pengetahuan pelukis Mariam Abdullah ini. Memang beliau kelahiran Sabak Bernam, sejak kecik bermain di sawah padi dan kebun kelapa sawit. Sejak bermastautin dengan Anak Alam sudah menjadi warga KL. Jadi kerinduan pada kampung, dengan pohonan , binatang dan unggas tetap bersarang. Dia pun kerap melukis bunga-bugaan, daunan dengan anak kecil berterbangan di udara. Kami melukis dalam senyap...dan burung terus menjadi penghibur, setia dan alami. Anugerah Ilahi. Alhamdulliah, indah sungguh CiptaanMu ya Ilahi.. merbati , tiong, helang,belatuk,tukang,burung hantu, gagak...dan banyak lagi, dapat dengarnya tapi burung tidak melintas di depannya. Esok kita tunggu lagi

-Ayuh kita akan melihat air pasang di Sawah Sempadan!
-Haa ???
-Ya harap ada burung air berqasidah di sana, bangau, oh bangau...tunggu kami datang !

****
Laman Nyang Galoh
Kampung Melaka Batu 10, Tanjung Karang

Saturday 16 April 2011

Puisi Si Gembala (13)

Pintu berpalang di makam Salman Al Farisi, Bukit Zaitun @SZI


1.


Bagaimana kan kugedor pintu berpalang besi


tenaga apa menyihir rindu tidak berpaling


jemari ini saksi mengusap kasih berabad


zaitun tak lelah berzikir di halaman.

Kudengar rengkek kuda si Perang Salib


berenang di Qubbah Sokroh


berlautan darah

70,000 para jihat - shuhadah!


Kuda putih di Petra-Jordan @SZI


11.


Aku berdiri kaku meraba wap panas tembok zaman


susah untuk pulang hati ditikam bimbang


bencana bagai menjelma tiba.


Robek lusuh jubah Umar kuhidu pilu


pahlawan perkasa tanpa istana


pemimpin tanpa bangga tinggi hati


rumahnya di bukit zaitun tanpa tembok


tidurnya di sejadah kasih


menyimpuh sujud di mimbar mesjid kecil pertama


kala kau tiba bayangnya masih di sana!



111.


Hingga Salahuddin tiba


mungkin beriring Sabahuddin


tujuh tahun merencana perang


datang dengan pedang perjanjian berkilauan,


mengembali Al Aqsa ke rumah sejati


menghapus fitnah memutih fitrah


sejarah tetap berdarah Allahuakbar!




Mana janji Umar segak sekarang


datanglah dengan tidak lelah


bersinaran mata Cinta


kembalikan Ummah ke Jalan Benar


jangan luka berulang serakah kuasa tipu helah dunia!




Aku akan pulang dengan pedang perjanjian


dengan syariat keadilan


tunggulah Syarat Yang Adil


permata di Jannah!


***


Qubbah Shokroh - Laman Nyang Galoh Mei- April 2011

Wednesday 13 April 2011

Puisi Si Gembala (11)

1.


Oleh cinta mabuk pemburu

menggumul angin mendobrak awan

si burung kecil menyusup di cecah daunan sarang

mencari ruang terbang

bulu-bulu putih suci semerbak wangi

biar dipilah duri roh lepas bertebaran

syahid beriring ke firdausi.



11.




Ooh awan

cepat luruhkan hujan karami bumi

setelah hanyir darah melimpah

biar mereka dirikan benteng pemisah

masih kulihat bahtera si kaya di sana

oleng, hanyut oleh nafsu serakah.



Ooh si burung kecil

jangan singgah di ranting garqat

membisu bila Jibril bertanya

' siapa di belakangmu '

rumput, batu sudah bersura

' itu dia si musuh iman

ayuh lempar dia ke api! '



Aku masih di sisi tembok

kudengar titir burung

jangan pulang, saudaraku!





@SZI

13 April 2011





Monday 4 April 2011

Mengasihi melindungi Ciptaan Yang Maha Kuasa

Pohonan juga mempunyai deria kehidupan. Ingin hidup lama untuk membantu manusia. Ia pun tahu ajalnya, setelah cukup matang tua ia akan ditebang, ia redha, kerana pasrah dengan Penciptanya... Bagaimana pula kerja tukang dan penguasa yang tidak peka. Pokok di tanam untuk hiasan pelindungan di taman, di pinggir jalan raya, tapi akan ditebang sesuka rasa ria !



Pereka taman, bilakah anda sudi menjaga pohonan kala kalian sedang membongkar tanah untuk laluan paip air air, tiang letrik . Sudilah membaca puisi " Beringin Tua " karya Seniman Negara Usman Awang , unggas dan pohonan menangis tidak hentinya?
*** (Nota perjalanan Buraq, Laut Selatan) 5 april 2011

Antara Qubah Shahra', Menorah dan Tembok Ratapan

Qubah Shahra' - The Dome of the Rock

SEJARAH adalah urutan perisitiwa kehidupan manusia. Sejarah boleh dibongkar, boleh dipindah alih, boleh ditipu kalau kita sebagai waris sejarah tidak bersifat menggali sejarah. Betapa setiap objek sejarah dapat dirubah bentuk dan alur ceritanya. Malah tidak kurang juga dihilang dan menghancurkannya. Masing-masing ingin membetul atau memperbarui mengikut kebebasan cita masing-masing. Tetapi ada data dan bukti sahih yang wajar menjadi rujukan. Bagi kita umat Islam, Al Qur'an dan hadith adalah data sahih yang perlu difahami.


Begitu juga dengan Al Aqsa yang masih menjadi rebutan. Atau paling tidak di mana letak Al Aqsa ingin dikaburkan oleh pihak yang jahil dan anti Islam. Bumbung masjid al Aqsa, bagai terlindung berwarna biru hampir kelabu. Peta sejarah di tangan ketika mengunjung pertama memang terkeliru dengan kubah emas yang berada di depan , kalau kita masuk dari arah pagar Herods. Tapi Isham cepat menjelaskan , ' itu bangunan lapan penjuru menyimpan gua batu batu, tempat Nabi Muhammad swt bersolat dan menjejaki batu untuk meneruskan penerbangan ke syurga '. Selepas memasukinya, bersolat sunat dan mendengar ceramah ringkas beliau baru kami menuju ke pintu al Aqsa, 100 meter di belakang. Itulah Rumah Allah kedua selepas Masjidil Haram. Walaupun kerap didengar, ini merupakan masjid ke tiga setelah masjid Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Tetapi mengutip hadith sahih Imam al Bukhari yang memerikan tentang pertanyaan Abu Dharr kepada Nabi Muhammad sws, ' manakah masjid utama di bumi? Rasullah menjawab ' Masjidil Haram'. Kemudian aku bertanya lagi, masjid apa selepas itu. Rasulullah menjawab ' Masjid Al Aqsa' ( lih. Safar ibn al Rahman- Hawali, DCB, 28,10)


Mungkin di zaman Rasullah, Qubah Shahra' belum menonjol, tetapi sekarang setelah silih bergantian penjajah, persekitaran Al Aqsa di dalam tembok tinggi bersegi warisan seni bina Romawi dan dirapikan lagi oleh pemerintah Islam, kini semakin ingin dihilangkan jejak dari nilai Islamit Terutama dengan makin meriahnya kebenaran kepada umah Yahudi untuk meratap di Tembok Barat, yang dibatasi pintu pagar utama Moroko yang terletak di sebelah kiri Qubah Shahra'. Di sebelah kanan makin diperbarui dengan lambang Kuil Menorah yang dibukti dengan rekabentuk Menora, dengan gagah diletak di bahagian kanan arah ke Al Aqsa. Kerana selama ini kita hanya cepat tahu dengan lambang bintang David yang dijadikan lambang bendera, maka umat Islam harus lebih tahu, lambang Menorah, seakan kaki lilin tegak ke atas berjari 7. Inilah hadiah yang dibawa langsung dari Los Angelas hadiah seorang jutawan Yahudi iaitu V .Ravinoich. Bagi fundamentalis Zioist, Jurusalem (Islam, Al-Quds) tetapi sebagai Kota Tuhan, dan kuil dengan lambang menora sebagai Rumah Tuhan. Bagi Islam inilah Tanah Suci yang wajar di kunjungi untuk berjemaah di masjid sejarah Nabi. Sekarang mereka menyekat umat Islam di persekitaran untuk datang ke halaman masjid secara bebas. Kutabahkan hatiku , bukan kah telah dicatat ' Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami , mereka itu adalah penghuni neraka.' (Al Maa-Idah :10) Nauzubillah!.


Kami memang tidak di bawa ke arah kanan dari Qubah Shahra' kerana gerimis semakin menderas, dan lebih memilih untuk solat jamak qasar, Zuhur-Asar sebelum kami berangkat keluar menuju perbatasan Israel-Jordan.


Kebetulan lambang menorah ini pernah dihuraikan dalam kajian ikon aneka agama dalam kelas bandingan seni kami berzaman dulu...menorah yang pernah dihancurkan oleh Romawi kini kembali bersinar di persekitaran al Aqsa. Bagaimanakah kita dapat mengeluarkan lambang ugama Yahudi ini, sedang Jurasalem atau Al Quds masih tercengkam oleh Zionist sejak tahun 1967. Sejauh manakah kuliah seni tanah air, memasukkan kajian lambang-lambang dan ikon seni agama sebagai bahan bandingan bagi mengukuh fahaman nilai sejarah Islam? Jangan terkejut kerana kurang peka dengan lambang agama Yahudi dengan Menorah yang kembali diangkat sebagai lambang negara dalam usaha membentuk negara beragama Yahudi- Judaisme, kita bersifat acuh. Masih dikesal, lambang ini masih dijual dalam bentuk kaki lilin, hiasan rantai, anting-anting yang kalau tidak di teliti halus, rumah anda juga turut mempamerkan menorah di meja makan anda atau menghiasi leher, dan telinga anak-anak kita. MasyaAllah.


(Saya akan masukkan gambar menorah ini dalam tulisan selanjutnya).



(Di celah perjalanan Buraq , 4 April 2011)





Saturday 2 April 2011

Ya Ariha ya Jericho (NB,17.1)

Produk seni tembikar Jericho


Hasil bumi di tanah subur Juricho, delima, limau, pisang, kurma

DI CELAH-CELAH muncung senjata, hidup harus diteruskan. "Walaupun kita dalam keadaan terjajah, tapi kita harus hidup, seniman harus menghasilkan seni kraf masing-masing, ini amanah, ini warisan" - Suara Isham menjelaskan ketika membawa kami singgah di pusat seni kraf Jericho - pesannya, " belilah asil seni Palestin !"



Arab menyebut Jericho sebagai ARIHA , asalnya kota terkenal yang berhampiran Sungai Jordan

di Tebing Barat territori Palestina. Daerah terendah di bawa paras laut dan 16 km dari Laut Mati, negeri Sodom yang hancur lebur oleh kemungkaran pengikut Nabi Lut. Bukankah sudah diceritakan langit bergulung berpintal jatuh ke bawah, tanah bergelombang, membuak naik ke langit. Oh MasyaAllah. Semua yang ingkar hancur lebur...di situlah terkubur mereka di Laut Mati. Oh!




Kutemui catatan Kitab Injil yang dianuti orang Yahudi berfahaman Judeo-Christian, ini juga kota suci yang wajar dijaga. Kota yang silih berganti dikuasai aneka agama,bangsa dan keturunan.




Tapi jelas Isham , pemerintah Islam begitu lembut hati, baik sekali, sejak kuasa Mu'awiyah di dinasti Ummayad, kerana baik hati, hingga Yahudi naik kepala, nah Allah marah, terjadilah gempa - berulang sejak zaman Ummayaad hingga diganti oleh Hisham ibn Abd Al Malik (743 M)- dialah yang membangun ARIHA dengan cantik, tanah subur tapi gempa sekali lagi menghancur bumi indah ini.




Rahsia kebesaran Ilahi, kenapa ini terus terjadi? Tanah kembali subur, di zaman Abbasiah dan dinasti Fatimi , tanah kembali menghijau hingga terkenal sebagai kota palma yang dibanggai penduduk Jericho.




Tuan kedai menyuguh kami jai, jai teh asli Jericho di tuang dalam mangkuk kecil seramik yang comel. Panas melegakan tubuh yang kedinginan. Pembantunya menyuguh pula aneka peralatan solek hasil buatan Jericho yang terkenal dengan bahan sulfur sejak abad ke 14 M. Tapi tidak mungkin Isham mengajak kami untuk mandi lulur di bilik SPA. Kami penziarah Muslim sedang otak masih memikirkan suasana perang, masih terbayang senjata, masih terdengar berita bom meledak di Jerusalem. Di Ramalalah dan Gaza, HAMAZ masih dalam suasana Jihad, sejak ditawan dalam perang 6 hari 1967, tidak mungkin HAMAZ mengakui kuasa Israel.




Dapatkah seleraku memamah pisang yang dihulur seseorang , mengulum butiran delima dan anggur yang amat manis, sedang hati masih disaluti hiba? Tapi Isham cepat menangkap gelisahku, ketika menyingkir tidak sanggup minum bersama, terdengar suaranya " Ini hasil kerja sejak berzaman, masih ada karya seni anak Palestin walau asalnya di bawa dari luar, di bawa oleh orang Armania yang pintar membuat roti yang enak, dan Parsi membawa kesenian tanah liat, meniup kaca tapi ini hasil tanah liat asli Jericho, beli dan bawa pulang buat kenangan !" Matanya berkedip-kedip dan terdengar suara setengah berbisik, " Terima kasih anda datang dengan kasih , dan Allah mengizinkan anda menjejak Jericho!"






3 April 2011






Friday 1 April 2011

Puisi Si Gembala (6)

1.


Sayap-sayap kasih siap mengembang

bagai cendawan merekah senyuman

dari getah pohonan dimamah rengat, ulat, dan insan

kenapa kau takuti racun

kalau itu penawar menyembuh kesakitan rohmu.


11.


Jangan kau hindari panas mentari

demi cahaya memberi nikmat kasih


sebentar cahaya tiba


sebentar cahaya pergi


di situ cinta tumbuh menyala


berlindunglah di bawah sayapNya


berkelopak bunga pagi


menguncup sementara


menunggu embun dinihari


kadang datang angin meniup uji


mengembang benih iman


di situ serulah segala seruan


SeruanNya tetap tiba! Madinah



14 Mac 2011/ 9 Rabiulakhir 1432