Monday 18 October 2010

Latihan Seni dengan Hati Mesra

Kerja Seni Semesra Hati
*
Sejak berzaman suara hati budi Melayu sudah bergema
dalam susunan kata, ayat dibaca, dinyanyi
digurindam - segema dengan tepuk, tandak
meriuh tapi damai . Sejak berdetak bumi pra sejarah
Tok Batin menyisir rambut keriting
Nek Timbun bersunting jurai bertih pinang
dengan pukulan gendang ibu-anak
tiupan suling bambu, berseling
ceracap inai, tepuk sopan zapin Johor, Selangor,
Perak dan canggung Perlis, ulik mayang
asyik indung Kelantan Trengganu.
Inilah gema mesra hati
kasih budi
sebuah kerja seni
sejak dulu digubah
semesra hati.


Dari perahan jingga urat pinang, bergaul kapur
dan perahan limau, hitam pendaman sabut
dan lumut maka disebutlah warna merah darah,
jingga pinang mabuk, kesumba murup
di cindai limar, biru tarum berputik
seni sudah berbisik.

Ajaklah si kecil dan sunti bermain warna
biarkan mereka berkeluh tanya
di bawah rumah lama
kadang mereka bersorak riuh bertandak
tapi perlahan berhening
dengan doa di hati
diamkan bibirmu tanpa suara
seni sudah berkerja
putih kasih bersatu gema
kerana hati semakin mesra!

*****
A-KABA setiap petang Sabtu dan Ahad
*****
Rumah Baca
Kampung Bandar Dalam
Batu 4 1/4 Jalan Gombak
51100 K. Lumpur





Saturday 16 October 2010

Menjelang Puisi 1100 Ekar - 1100 Acres of Poetry

Laut, pantai, pasir, gunung, awan di tanah 1100 ekar
Lima bulan yang lalu, kami dibawa ke pulau dengan keluasan 1100 ekar tanah, yang dilingkari lautan Selat Melaka utara berbataskan ke Laut Andaman. Dengan senarai nama yang dipilih mewakili angkatan 1970an, 80an- 2000, oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, kami dibawa terbang, berlayar, berkumpul, menjadi penghuni pulau, menapak pantai, tanah pasir , menjengah rimba, mendengar kekeh kera, rayapan memerang, biawak. Deru gelombang menggulung. Dauan rhu berdeser, akar-akar pandan laut bercerangcang silang. Selebihnya adalah deru gelombang yang tersimbah dari dan luar jiwa...

Bersama penyair muda yang terpilih untuk projek puisi lestari alam
Inilah kenangan. Kerja seni bukan mainan khayalan semata. Emosi jiwa bergabung dengan renungan, hayatan alam, alam ciptaan Ilahi yang kekal terawat di tanah 1100 ekar ini akan makin jelas pemeriannya seperti yang dihasilkan oleh kelompok penyair ini.
Memang karya seni tidak dapat berdiri seni. Seniman ialah pandai seni, anugerah dari Illahi. Inilah juga kerja kajian dan renungan . Tetapi untuk menjadi realiti sebuah catatan yang ditinggalkan haruslah dibuktikan melalui penerbitan. Kita perlu penaung yang ikhlas, memberi dana kajian, perjalanan, penginapan. Perpurakah seniman kalau sudah disogok kemudahan? Tidakkkk...Esok kita bersama untuk melihat himpunan puisi 1100 Ekar Puisi / 1100 Acres of Poetry, akan direstui oleh Paduka Tuanku, DYMM Yang Dipertuan Agong. Tahniah kepada semua kerabat yang terlibat...tahniah kepada Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai penyusun dan tahniah ulung kepada Tuan Penaja Tan Sri TR dan tenaga kerja Tanjung Rhu yang prihatin melayani kami sepanjang kerja pelastarian rimba di 1100 ekar tanah pulau!
Selamat kita bertemu petang di Dusun Kuang?
*****
Kampung Bandar Dalam
17 Oktober 2010
1

Thursday 14 October 2010

Adab Gerak dan berbahasa

Dalam dunia terbuka masa kini kerap ibu bapa ingin juga anak mereka menakluki budaya antarabangsa. Ada dihantar belajar Tekwando, Tai Chi atau ke kelas muzik, belajar piano, cello, biola, mengenal Mozart juga ke kelas tarian ballet. Ya tidak salah. Silakan, kerana semua ini dilakukan oleh keluarga yang mampu di kalangan elit dan golongan pertengahan. Yang merasa dirinya orang kampung, tanp yuran, ya kamipun membawa anak kami ke gelanggang silat. Maka berpencaklah si Buyung kami, membuka langkah setelah gerak sembah, tanda hormat guru atau orang tua di depan kita....


Bahasa wajar diungkap dengan jelas. Bahasa lahir dari jiwa, ia disuarakan sesuai dengan bunyi angin, bumi, air dan tanah. Sejak berzaman Bangsa Melayu melagukan jiwa menjadi nyanyian pantun, gurindam syair, bagi menakluk dunia masa depan." Bahasa itu adalah lukisan cakrawala penuh warna warni dan bunyi " Kupinjam ungkapan Prof. Datuk Mazlan Othman, seorang ahli astrofizik sekarang sebagai Pengarah Angkasa Lepas PBB di Viena. Maka suarapun bergema dengan nada indahnya. Semoga putera-puteri kecil kami ini tidak malu berbahasa Melayu dengan nada bahasa Melayu Tinggi , waris nenek moyang mereka.
*****
Anjung Bonda
BBB 15 Okt 2010
menera