Sunday 31 January 2010

Pustaka Madrasah Tarbiah

Khat hasil karya anakanda Firdaus @Salleh bin Mustafa


31 Januari 2010
TAHUN 2010 Pemuda Madrasah Tarbiah (MT) sudah mula mengatur program melengkap himpunan buku di Mini Perpustakaan. Biar kecil tapi usaha ini sudah menampakkan kecerahan jiwa ilmu bagi kumpulan Pemuda MT. Tahniah dengan perlantikan AJK baru dengan memasukkan program mari mengumpul dan membaca buku . Semoga mendapat kerjasama teman-teman pemuda seangkatan. Semoga juga anakanda Firdaus @Salleh bin Mustafa selaku Ketua Pemuda dan Rafli sebagai Setiausaha terus meningkatkan program berkaitan dengan buku.
Sumbangan buku-buku sudah dimulakan oleh DAWAMA yang menyampaikan koleksi buku sempena pelancaran buku Kasih Bonda pada bulan Ogos 2009. Kita masih menunggu sumbangan daripada penulis Putera Gombak ataupun anda yang pernah mendapat pendidikan di MT kita di masa lalu.
Secara tidak rasmi , dalam mesyuarat program Bersih Sungai dengan Kumpulan Hijau UIAM, Tuan Khairusy Syakirin telah sudi menjadi penasihat Mini Perpustakaan MT. Anakanda Pemuda harus bersedia mengurus program lanjutan. Dato' Dr Ahmad Kemala salah seorang yang pernah mengaji di MT diharap sudilah melibatkan diri dalam acara di pustaka MT kelak. InsyaAllah. Maju jaya untuk semua Pemuda MT , anakanda Kampong Bandar Dalam dan kerabat MUAFAKAT.
Bagi para sahabat FB yang sudi mengadakan kegiataan bersama di MT adalah amat dialukan. Apa lagi yang sudi menyumbang buku-buku , tentu menambah bahagia kami, dan Pemuda MT. Semoga niat murni Tuan dan Puan akan memberi inspirasi anakanda Pemuda kita untuk lebih maju berdikari dengan rangkaian ilmu daripada buku apalagi kesudian para penulis yang dapat dijalin penuh kasih mesra demi seumah anak bangsa.
01022010
Bandar Baru Bangi

Tuesday 26 January 2010

SENI RUPA DUNIA MELAYU: SENI HIAS - TAMADUN BANGSA

SENI RUPA DUNIA MELAYU: SENI HIAS - TAMADUN BANGSA

Akulah sahabatmu

Selipar Bulan
Sahabat Malam Minggu


Hanya yang tahu
pentingnya aku di matamu
di dalam rumah
bebas meramah lantai
di kerusi menumpuk sila
di bentang dinding kebebasan
aku meriah diterjah angin
cahaya dan Cinta
terasa belaian - kau jangan cemburu
bagai dara pengantin
rapi mereka mengkilat
menumpuk warna tanda
kesucian dara
di mandi berlimau
ditambah pelipis membalut tumit
di situ nilai dara merah jambu
manis di pandang ibu.
Kini aku ditelanjangi
bertumpuk sepatu
aneka rupa, fesyen dan gaya
berjaring meliliti diikat simpul
terbuka bertumit tinggi
dihargai berganti
tanpa peduli
kesakitan jemariku
dibalut, dibungkus, dilecek
kadang berjalan di hawa panas
dingin dibalut sarung kaki
aku kebas, memulas, patah di hujung
tersepit di tengah
sesekaki tanpa
kau ketahui'aku dapat melarikan diri
berterompah berselipar
menuju ke steseyen LRT
semangat kuterhunjam
melompat
bebas terbuka
melenggang di malam cahaya
kuhirup udara seenaknya
hingga tuanku lupa
dia hanya berselipar
di malam minggu !
25012010
Gombak

Monday 25 January 2010

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

Kenangan Makyung SN Khatijah Awang

Kerja latihan gerak asas Makyung (penyelidikan 1999)

24 Januari 2010
SETELAH 1O tahun perginya Seniman Negara Khatijah Awang, primadona Makyung, inilah pertama kali saya melihat persembahan Makyung di Panggung Sari. Dengan beban perasaan saya gagahi ajakan Bulan yang telah membeli tiket untuk ke dewan gah itu. Sedang di telinga masih terdengar bisikan:

" Kak Jah ingin sekali buat persembahan di dewan gah itu, tapi Menteri kata makyung tak sesuai buat kat situ. Tak pe lah, Kak Jah tetap berdoa, makyung akan buat persembahan nanti di situ."
Alhasil sejak rebab di gesek, sejak sembah tari Megadap Rebab. sejak inang-inang , menari sedayung makyung, hati sudah terhiris kerana yang terdengar ialah suara KA juga menggema di celah cuping. Patah sendu, lemak gaung suaranya sungguh merobek jantung. Sungguh saya tidak dapat berselindung lagi, inilah pertama kali setelah berpuluh tahun menonton lagak lucu Peran Tuan, Peran Muda, semua yang bergerak, menari berlari, kenapa wajah dan suaranya yang sarat penuh di hujung mata dan cuping telinga.

Sejak Makyung di bawa ke Akadeni Seni Kebangsaan (1995) berkembang di pusat pengajian tinggi, termasuk di PETRONAS, KA telah melatih dan melahirkan pelapis makyung. Maka dalam persembahan Anak Raja Dua Serupa, arahan adik ipar beliau Puan Fatimah dengan Loknan Ghani, masih dapat dikesan gerak alun waris KA jelas terbayang dalam gerak Alam Kesuma yang dilakon tari oleh Juhara Ayub. Juhara Ayub, Zizie, antara antara pewaris pertama sejak ASK mewajibkan pelajar mengikuti kelas makyung sebagai asas ilmu di akademi tersebut. Apakah saya terlalu dialun gangguan romantisme rindu kepada tokoh utama sehingga setiap gerak, tangis hiba Alam Kesuma sungguh menusuk hati sehingga pertemuan kembali putera bungsu - adik kembar Iras Kesuma (Rosnan Rahman) yang hilang dirampas Raja Lanun, tetap terpercik air mata dan sedu tidak tertahan. Dalam riuh perang langkah ganas Raja Lanun, janji yang ditepati Alam Kesuma melerai puncak permusuhan.

Bukankah dengan kecanggihan teknologi IB, telah menggerak cepat setiap penukaran lataran
pentas. Tahta kerajaan dengan lambang sulur bayung pepat , dengan daun budi, dengan set setengah berukir bangau, alangkah indahnya, kalau sebelum tahun 2000 Makyung sudah di pentas kan disitu?
Ya masih belum terlambat dan doa harapan Almarhum terkabul juga, makyung yang telah diiktiraf UNESCO dan IB sendiri telah mempertabatkan kumpulan Makyung Seri Nilam Istana Budaya.

Tahniah untuk semua yang terlibat .
Kepada YB Datuk Seri Utama DR Rais Yatim bilakah nama kenangan Seniman Negara Khatijah Awang dapat dinaikkan di IB atau di ASWARA?
25 januari 2010

Wednesday 20 January 2010

SAMSUDIN MOHAMMAD > Citra Manusia di celah garis Khat bebas

Shahadah, khat bebas

Si celah potret SN Dato' A.Samad Said,
akrilik,2000, 45x61 cm

Buat Isteri, akrilik
2008, 51x92cm

Pelukis bersama SN Dato'A Samad Said, YM Raja Ahmad, Dr Najib

20 Janauri 2010
RA Fine Arts Gallery
No 6 Jalan Aman off Jalan Tun Razak
K.Lumpur
DALAM situasi menjernih konsep seni berlandas kefahaman Melayu-Islam, ada semacam keresahan bermain di benak jiwa pelukis Melayu semasa. Tradisi seni lukis moden yang dibawa oleh angin kolonial , melalui kelas bimbingan menggemar seni lukis berwajah, melukis model sebagai latihan asas berkembang dalam kelas bimbingan Kumpulan Hari Rabu dan Angkatan Pelukis Semenangjung (awal 1950an). Menjelang tahun kemerdekaan seakan menyogok anak-anak negeri, maka dikeluarlah biasiswa sehingga pemuda anak jajahan dihantar belajar seni di tanah penjajah. Senarai nama pelukis Melayu awal yang berpeluang belajar seni rupa, seni bina antaranya ialah Syed Ahmad Jamal (Seniman Negara), Idris Salam (Allahyarhyam) A.Latif Mohidin, Ibrahim Hussin (Allahyarhanm), Ismail Zain (Allayarham). Tradisi melukis potret atau melukis model turut dibawa pulang dengan gaya pribadi masing-masing. Di tanah air sendiri sudah berdatangan pelukis muda sama ada dari Indonesia, mahupun China dengan gaya khas wilayah masing-masing. Gaya melukis potret dilanjut oleh APS yang disogok langsung ialah Hussien Enas (asal Bandung) dan bersama dengan Sabtu, Idris Salam telah bergabung dalam angkatan Pelukis Semenanjung yang dinaungi oleh Perdana Menteri 1. Tradisi melukis potret ini yang berlansung di kalangan pelukis muda Melayu yang tidak berpeluang belajar ke luar negara tetapi berkembang dengan bakat semula jadi. Kumpulan ini mula mendirikan koloni mereka sama bergerak daripada sisa kumpulan APS, atau mengikuti jalur peluang dan kini banyak berhimpun di Pasar Budaya, juga di halaman Perbadanan Kraf Jalan Conlay. Tradisi melukis pemandangan dan potret masih berlanjuntan di tempat berkenaan.
Samsudin Mohamad (l. 1962)
Tradisi melukis di dalam satu situasi berkumpulan di taman atau ruang bersama menimbulkan
keghairan kerja pelukis. Namun ini tidak menjanjikan kesamaan ide dalam berkarya. Setelah lebih 25 tahun berkarya - memang tidak dapat dihindari, pelukiss kerap bebrsama sahabatnya yang terhampir, seorang pemain biola, meniup seruling, serta tokoh seniman dan budayawan yang didekatinya. Kenapa Citra Manusia? Inilah sorotan yang berani, lansung dan terbuka. Di samping meneruskan tradisi melukis di studio (Kajian Bogel i-4) sebagao warisan kajian studio Barat, pelukis menampakkan ketulusan memapar siri di khalayak. Lanjutan citra wajah ini hanyalah kejujuran kerja seniman, di celah langkah harian yang cepat, dengan semacam gaya yang hampir ditolak oleh pelukis muda yang mendapat didikan di pusat pengajian khusus seni lukis . Keluar dengan citra bebas seakan menggaris pola, kami adalah pelukis kreatif harus bebas dari segala lakaran, garis wajah potret manusia.
Tentu saja pelukis potret yang muncul di beberapa pusat beli belah masih meneruskan kerja mengambil upah, melukis dari gambar yang disedia oleh pemesan lukisan potret, (kerja ini masih berterusan di Pasar Budaya). Tradisi ini juga dapat diabadikan oleh Samsudin dengan watak Raja Ahmad, Dr Z, potret diri , Ibu, semua dengan bahan asas , arang di atas kertas.
Ekspresi bebas berantaian apabila pelukis memilih bahan akrilik sehingga dengan gaya impresionis tampilah potret " Sasterawan 1 " , " Sasterawan 2 " dan " Haris Bersantai " - sehingga kesan impresionis itu begitu ketara tanpa pelukis berfikir untuk membetulkan garis gerak urat jari atau pelipis mata.
Kenapa Jawi dan Khat?
Inikah sapaan keinsafan bagi mengurang gelodak hingar bingar kemusnahan budaya tempatan? Rindu pesan Nenek dan Ibu, Datuk (orang tua), ingatan kasih sayang buat isteri, diri sendiri, sahabat, dan anak-anak adalah jawaban melestarikan kesetiaan kepada jasa anak negeri.
Terlalu mulukkah ungkapan ini. Tetapi sekurangnya pelukis telah nmemberi kita ingatan, dengan khat bebas, dengan kalimah Shahadah, Surah Pertama ("Fatihah untuk Ibu") , dan ungkapan pesan seharian ' Jangan lupa Tuhan, jangan lupa puasa, jangan berzina..' adalah pesan peringatan luhur daripada nenek dan ibu. Wajah ibu diselesaikan garis organik khat tuluth jawi,
berona lembut biru. Potret isteri tersenyum dengan lirikan tajam, ' awas' ? dan pelukis terharu mencatat, ' jasa isteri ' dalam warna ungu merah jambu, lambang kasih sayang.
Demikian Samsudin memberi kita ingatan, antara kasih peribadi dengan dunia garis dan warna, kecintaan kepada keluarga, hingga ke khalayak umum yang tidak dipedulikan oleh masyarakat sendiri. Sebuah pintu muzium terbuka dari lubuk jiwa seniman. Nah anda di Kuala Lumpur, masih dapat menilai pandangan ini dan buat kajian bandinngan lewat kacamata sendiri - silalah ke RA Fine Gallery di no 6 Jalan Aman, off Jalas Tun Razak. Cik Puan Ruzaimah, Pengurus atau Raja Ahmad Pengarah yang mesra bersedia meramahi anda !
Gombak
21012010

Arif Lukisan Keroncong




20 Januari 2010
Rumah RA Fine Arts*
No 6 Jalan Aman
Kuala Lumpur
Arif Lukisan Keroncong
PELUKIS tanpa kata
suara diam berahsia
antara bisu kelu
di rumah Conlay
seniman mengocok angin
menyimpul siul
warna di adunan
kanvas berderik
lukisan tanpa pembeli.
Kau tikam angin
kau mengkelam rindu
keringat berbisik
percikan roh terpantul
sehingga nota berloncatan
biola meliuk di lentikan jari
tali sinar merintih melengking
mandolin nyaring menuju awan
anak sungai kasih melambai
pelukis bernyanyi
hilanglah duka isteri
menjulur selindang merapi diri
kau nyanyikan tangis ria mentari
sedu pilu bulan biru
tidak sekali menyesali!
Arif kau bekali keroncong Selangor
dari Gombak ke Pucung
muncul di lorong Kundang
berkumandang melupus sepi bukit
menghimbau gunung runtuh
sungguh dulu
sepi adalah CintaMu
ria berputik Kasih
dalam lingkaran warna
bunyi dan puisi
luka madu terbebat
mengerat setia
maruah putera puteri
di kebun KuasaMu
tergengam janji
kami di sini!


(Al-Fateha buat Ayahanda Datuk Arif Ahmad)
Sempena pameran Solo Samsudin Mohamad
Melukis Citra Manusia
20 Januari 2010

Tuesday 19 January 2010

KE RUMAH MATAHATI






17 Januari 2010

AGAK lama juga saya tersisih dengan kegiataan pelukis generasi muda, terutama angkatan 2000. Setelah angkatan Jailani, Ramlan, Rafei, saya terasa sungguh tidak terikut lagi senarai karya angkatan selepas kumpulan ini. Kecuali kalau pameran itu dipamerkan di RA Galeri, Pelita Hati atau sesekali berpeluang ke Galeri Chandan. Terima kasih kepada Haneem yang banyak memberi sumber data kalau beliau dilantik sebagai kurator pameran generasi baru ini.


Malam Minggu semalam ini agak terkecuali. Kebetulan Cik Bulan memang ada tugas untuk meninjau pameran PERSPEKTIF oleh Para Sahabat Matahati di Rumah Matahati (HOM, House of Matahari) beralamat di 6A Jalan Cempaka, Taman Cempaka Ampang, Selangor.

MATAHATI - nama yang cukup puitis, teringat pesan nenek, jaga hatimu - di situ matahati, macam pelita harus ada sumbu, harus diisi dengan minyak...MATAHATI akan bersinar.

Ada keistimewaan kumpulan MH terutama dengah sikap dan gaya Bayu Utomo Radjikin,Fuad Osman, Masnoor Ramli, Shukri Muhamed dan Hamir Soib.Mereka adalah lulusan UiTM. Yang terkesan ialah sikap Bayu Utomo, yang banyak merakam wajah sendiri dengan gerak silat , langkah dan duduk lelaki perkasa. Kali ini, mereka mengumpulkan seramai 17 orang pelukis diawal dengan jejeran pelukis serius sejak awal tahun 1990an antaranya : Jailani Abu Hasssan, Ramlan Abdullah, Ahmad Shukur, Ahmad Fuad Hassan, Bayu Utomo, Hamir Soib dan seterusnya. Keistimewaan kegiataan Mahahati tidak dibatasi oleh ruang, masa dan keturunan. Dalam pameran kali ini memasukan senarai Kow Leong Kiang ( anak pelukis senior Lee Kiang Seng & Shoko?), Phuan Thai Meng, Wong Chee Meng juga Jeganathan Ramachandram dan Marvin Chan.

Saya tahu mengikuti acara pameran angkatan muda, saya seakan menunggal, tidak kenal wajah atau mereka yang muda pula ysegan menyapa saya. Saya harus patuh dengan aturan alam. Yang senior lambat kenalwajah yang muda, yang muda merasa ada jarak untuk sukar menyapa yang lebih senior. Betul tegur Ruzaimah , " Wah pertama kali lihat Puan Siti datang ke acara begini dan datang ke sini " Hahahahah apakah saya tersesat ruang? Tidak, saya cukup bahagia melihat karya seakan yang telah pernah dihasilkan oleh kumpulan Anak Alam. Arca bebas seakan kotak melayang-layang bergerak kalau diputar dihasilkan oleh Sabri Idrus (l 1971)' Ramlan Abdullah (l 1963), masih dengan siri arca dengan bahan alumium. Garis berjaring tegak dan melintang bagai bingkai jendela.

Pameran di Rumah Matahati ini memang tidak terikat dengan konsep dan pendekatan gaya atau isme yang kerap dirujuk oleh para pengkaji yang masih terikat dengan bingkai sejarah seni Barat. Aliran atau gaya seni yang kerap dirujuk oleh pengkaji dan guru sejarah seni bagai tiak dihirau oleh pereka seni yang menyusun bentuk-bentuk IT, atau struktur lansung seadanya , mengheret batang besi, paip, ragum, dawai, untuk menjadi bentuk arca bebas tetapi dapat menyampaikan amanat kehidupan semasa. Contohynya Ulat Logam-Pemburu diburu (2009) oleh Daud Abbdul Rahim. Jadi untuk menikmati karya ini toleh saja kepada judul dan anda akan diberi amanat yang tepat...siapakah pemburu yang sedang diburu?

Karya bersifat figuratif masih dilanjutkan oleh JailaniAbu Hassan dengan lagak lelaki bermisai melenting, megggerakkan genggaman tangan, seakan bersuara, "akulah pejuang' ; Kow Leong Kian (l 1979). Kow yang mewarisi bakat ibu dan ayah, menampilkan potret perempuan berbaju kurung dengan hiasan corak batik, lukisan senyap dengan gelombang laut sebagai latar, menampilkan kesan gelora wajah yang dilukis.

Mansnoor Ramli Mahmud (l 1968) mengangkat mitos P.Ramli dalam judul ' Pukul Berapa Datuk Harimau', 2009. Karya figuratif ini mengangkat permainan rakyat tetapi kenapa sang harimau muncul dengan wajah P.Ramli. Jawaban yang mudah untuk direnungi: dalam kealpaan generasi baru mengangkat segala macam permainan import, pelukis mengajak masyarakat untuk menghimbau ke latar warisan tempatan. Permainan tradisi kanak-kanak makin tersisih namun wajah P.Ramli tiada siapa dapat melupakannya. Inilah keresahan pelukis yang juga ditampilkan oleh Jeganathan dalam karya berjudul 'Tangisan Budha'yang makin dilupakan amat oleh pengikutnya.Paparan ikon Budha diwakili oleh pelupuk mata yang semakin mengecil, telinga bersumbat anak gajah. Kelopak bibir seakan mendengus dengan menjaring anak arnab terkurung di lekuk dagu. Budha bersedih hati....inikah jawaban untuk sebuah perlakuan umat yang melupakan agama mereka?

Tulisan ini bukan mengulas atau review lengkap untuk sebuah pameran. Tugas saya hanyalah sebagai pencatat langkah harian, untuk melihat siapakah pelukis yang diundang oleh Matahati dalam projek awal tahun 2010. Dari jauh saya melihat Jai sibuk bercerita dengan teman-teman pelukis. Bayu Utomo mendekati sejak di ruang atas dan menghantar saya ke meja minuman.....hingga sempat mengatur ide dengan Norhana, isteri pelukis Sobri, yang dinamis mengatur dan menyusun pameran sang suami. Tahniah. Dalam kesunyian di sebuah pameran gembira ini, saya terkejut mendapat sapaan ketawa yang meriah daripada pelukis seangkatan: Lee Kiang Seng dan isterinya perempuan Jepun, Shoko . Shoko kerap mengenalkan dirinya sebagai Syukur.Akhirnya lengkap juga kunjungan saya ke Rumah MATAHATI , menemukan wajah baru yang saya lihat dan wajah lama yang menyambut tatap.


Gombak
18012011

Monday 18 January 2010

Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18 - sesat ke Taman Buku????





BUKAN SENGAJA. Maaf buat seluruh sekretariat HSPM. Pesan pertama tiba mengatakan acara pada 14 Januari 2010. Telefon kedua bertanya, " apa komen, kalau penerima hadiah eceran tidak naik ke pentas....terlalu ramai nama sejak hadiah tahun 2005 , acara pada 18 janauri" . Secara rasional saya menduga penerima hadiah eceran tidak naik ke pestas, jadi tidak perlu dicatat dalam diari, datang tidak datang sama saja. Dua anugerah yang saya menangi judulnya juga sudah lupa (haahaa 2005, 2006). Langkah jasmani pula memang sudah merasa letih masuk ke hotel mewah, susahnya mencari tempat letak kereta atau kalau pakai pemburu jaga kereta harus dengan sogokan wang melampau.

Petang semalam, saya santai, menyusur dari TNB Gua Batu , menyelesai bil letrik , air, cukai pintu untuk rumah Tanjung Karang, Bangi dan rumah ibu di Gombak. Denda lewat bayar letrik setiap bulan RM 250, walaupun bil bulanan cuma RM 15. Kerana kerusakan meter lebih setahun bil tertunggak RM 1865. Meter air rumah Bangi sudah dipotong kerana tidak dihuni sejak setahun. Alasan mereka senang saja: jika terbiar, rumah kosong, meter akan dicuri anak nakal. Ya alasan munasabah untuk juru pasang meter air. Tolak jumlah bil, wah nampaknya....tidak berbaloi dengan jumlah hadiah yang tertangguh (jumlah @ setiap karya eceran RM 1,000 x 2 )

Ha bosan dengan kira-kira wang saya bersantai lagi meneruskan perjalanan, masuk ke kota hujan ribut mencurah. Setengah mengantuk tersengguk mengambil Cik Melor di Jalan Datok Onn. Masih ada dua jam tersisa....ayuh kita ke Taman di Lembah Tengah? Anda tertanya, di mana itu hahahha....bahasa terjemahnannya ialah The Garden - Mid Valley. Di situ sudah menanti sejumlah ratusan judul yang setiapnya mengkelabukan mata, kilau kemilau....jangan kecewa kalau tidak bertemu rak buku Melayu....setelah bekeliling lebih satu jam, baru terlihat rak di sudut belakang, berlabel Buku MALAYSIA huiiii....dengan senarai judul Agama dan ..... Cinta, SEGALA JUDUL berakhir dengan perkataan CINTA, KASIH, RINDU. Sebaris rak, hanya kamus terbitan DBP. Tapi jangan terkejut, buku-buku oleh tokoh KIRI mendapat tempat khas....wauuuuu.

Di celah rak bahasa asing di ruang Fiction , terselit antara judul puisi Basho, Keats, Yeats saya terjumpa setengah terlindung karya SN Dato' Samad Said , the Morning Post - Hujan Pagi. Setengah nakal atau lebihnya m a r a h , saya keluarkan kan buku terselit dan meletaknya terbuku ke hadapan. Nah selamat dikau di situ pasti tersenyum ya....

Jadi rencana untuk berpatah balik ke simpang Chowkit menuju ke hotel yang satu itu sudah pasti sudah didatangi dengan meriah.....bagaimana ya....Cik Melor masih mengheret bakul buku gembira setelah mendapatkan Fatimah's Kampung oleh Iain Buchannan, karya yang memilukan tentang kampung Melayu yang ditelan pembangunan di ganti dengan Kampung Melayu untuk dunia dagang pelancongan. Sambil menunggu dia menarik judul-judul lain saya sudah membuka halaman Raising My Voice, riwawat perjuangan Malalai Joya, perempuan muda, ahli parlimen yang berjuang hak perempuan di Afghan. Di depan saya terpapar dengan gahnya potret Shamsiah Fakeh, Kasim Ahmad, buku yang dipamerkan bergaya di ruang buku-buku terbitan luar negara.

Setelah menjawab panggilan Syakirin, bertanya saya di mana , telefon masih berdering...tapi tidak dapat dijawab lagi...bateri mati. Maafkan saya CiK Puan Zaiton, Siti Aishah, dan tentu saja Ketua Pengarah DBP,penulis ini tersesat di kedai buku yang cantik - Borders di aras tiga bangunan ' Taman di Lembah Tengah ', ibu kota....


Gombak
19012010

Tuesday 12 January 2010

Gaya Memakai Selendang Kelingkan




111.

LEBIH 300 tahun, usia produksi seni sulam kelingkan/keringkam masih terbukti diguna oleh perempuan Melayu - sebagai penutup kepala atau disebut sebagai SELENDANG atau SELAYAH di Sarawak, atau MANTO/U di kepulauan Riau dan Johor Lama.

Cara lain memakainya ialah dengan meletak di bahu mengulai ke bawah pinggang, atau dilipat disangkut ke bahu sebagai wali atau tetampan. Di kalangan perempuan Melayu-Sarawak, Selayah diletak di atas kepala, dan lebihannya jatuh di atas bahu, sekali pandang kelihatan ragam sendeng yang menawan!

Selain itu selendang kelingkan juga menjadi bahan hantaran, atau menutup barang hantaran yang disusun di atas dulan berkaki - dulang paha.



Gombak
13012010

KASIH BONDA: Dari Jalan Temenggung ke Jalan Bayam

KASIH BONDA: Dari Jalan Temenggung ke Jalan Bayam

Sunday 10 January 2010

Seni Sulaman Kelingkan - Keringkam




11

Kemasukan benang , pita logam emas dan perak dari Lautan China dan Lautan Hindi, sejak awal abad ke 10, adalah seiring dengan kedatangan pedagang yang berlabuh di pelabuhan pinggiran selat Tanah Semenanjung dan kepulauan sampai ke Borneo, Sulawesi. Meriahlah istana dengan selendang bergemerlapan,yang diperkenalkan oleh pedagang India dan China. Sehingga untuk menggambarkan kekayayaan sebuah kerajaan diperikan, tentang busana yang bergemerlapan itu, ' maka dipakailah persalinan keemasan, berbunga pakan atau bersuji benang emas'.

Benang kelingkan ialah logam tipis melayang dijadikan bahan untuk menyulam dengan cara yang khas, dengan peralatan jarum bermata dua, kain saring dan sutera sederhana lembut. Dengan teknik tikam tembus, ke atas permukaan kain, melapis ke bawah, maka jaluran benang kelingkan ditindan kembali ke atas, membentuk motif bunga yang diperlukan.

Perempuan Melayu bukan saja pandai atau suka bergaya. Tetapi sejak dara sunti telah dibimbing untuk menghasilkan seni sulaman. Beberapa negeri Melayu yang masih meneruskan seni hiasan sulaman inilah di wilayah waris kuasa Kerajaan Melayu Melaka ( abad 14-16) sebagai pusat pemerintahan dan perniaaagan), yang diwariskan ke negeri-negeri di bawah kuasa termasuk Jambi, Siak dan Langkat. Kuasa Kerajaan Melayu Johor-Riau pula (abad ke 17-19) - hingga mengalir ke selatan ke celah-celah kepulauan Riau terutama di Bentan-Penyengat. Jalur wilayah sulam ini juga mengalir ke wilayah istana Melayu lainnya seperti di Kerajaan Melayu Brunei (termasuk Sabah-Sarawak), Kerajaan Melayu Sulu-Mendanau, Banjar-Kutai dan Sulawesi.

Hingga kini, himpunan seni kelingkan masih dapat di temui di istana Melayu termasuk Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan- Trengganu. Ia merupakan kelengkapan pakaian perempuan sebagai selendang, tetamptan-wali dan selayah ( Melayu Brune-Sarawak).


Bukti utama penggunaan dan wujudnya seni sulaman kelingkan di Selengor dibuktikan dengan usaha yang telah dilakukan oleh Allahyarhamah Permaisuri Tengku Ampuan Jameah sekitar tahun 1940an. Seni sulamann kelingkan di negeri Selangor kembali disemarakkan oleh Tengku Ampuan Rahimah pada tahun 1960an. Ayahanda Tengku Ampuan adalah juga kerabat istana Selangor. Ibundanya kelahiran Istana Langkat. Maka ketika menjadi permaisuri di Selangor, turut dibawa juru andam dan seni hias kelingkan untuk dikembangkan di istana Selangor. Tradisi menyulam kelingkan ini telah diwariskan kepada kerabat perempuan. Antara tokoh yang terlibat menyulam kelingkan sejak 40 tahun lalu ialah YM Raj Akmar yang kami undang sebagai jurulatih sulaman kelinkan untuk bengkel yang akan diadakan pada pertengahan bulan Februari mendatang.

Dalam usaha melestarian seni budaya warisan, maka Perbadandan Adat dan Warisan Melayu Selangor akan menaik taraf seni sulaman kelingkan sebagai warisan ikon wanita Melayu Selangor.

InsyaAllah dengan bengkel ini kelak akan kembali menghidupkan seni sulaman kelingkan yang semakin menghilang. Namun permata yang hilang kembali gemilang.


Salam kemilau kelingkan

SZI
Pengerusi Bengkel Seni Sulaman Kelingkan
PAWMNS

11012010

Tuesday 5 January 2010

Sarung dan Syalawar Bajau-Suluk Semporna

Busana masyarakat suku Bajau Laut
di Semporna Sabah @SZI, 1996
Kepulauan Melayu di persekitaran Laut Sulu, Borneo, laut Sulawesui hanya pisahi air dan lautan. Tetapi lautan juga menemukan aneka suku keturunan kepulauan Melayu dan disatukan dengan kefahaman agama yang sama iaitu Islam. Kedatangan suku kaum dari Sulu, Mendanau masih mengekalkan nama beberapa suku di Sabah. Di Semporna kesamaan ciri busana itu telah membentuk gaya dan jatidiri yang mempamerkan keunikan gaya hidup. Istilah Bajau Laut diperikan sebagai masyarakat yang asalnya menempati perairan. Kesamaan pola busana pula ialah mengekalkan kain sarung dan seluar . Tradisi ini masih diteruskan dalam acara kesenian terutama dalam perayaan perkahwinan atau adat istiadat persembahan terutama seni tari.
5 Januari 2010
Gombak

Monday 4 January 2010

Seni Hias Sulaman Melayu

1.
Menghias bukan niat untuk mempamer diri. Bukan juga untuk menjajakan pasaran. Tetapi kerja menghias ialah lambang kerja seorang perempuan. Di hujung jari perempuan, jarum ditusuk benangpun menjalar di atas kain, disulam, dikait, ditekat. Inilah kemampuan menakluki teknologi sederhana, apabila benang dibawa masuk dari India dari China, pelabuhan di persisiran Semenanjung Tanah Melayu bersebelahan Selat Melaka terhampar pantai Sumatera - ialah wilayah Swarnadhipa. Kedatangan Raja Chola tidak mematikan semangat keindahahan alami, logampun digubah menjadi jarum, benangpun menjalar. Berhiaslah lubang leher, di hujung lengan baju, menjadi kida-kida. Teknologi awal dengan kemasukan bahan logam telah menghasilkan kepingan emas - tapak lombong trasidisi dengan kerja mendulang biji, emas masih bersisa di Patani, Pahang-Kelantan-Trengganu, Di Ranah Minang di Palembang - begitu juga logam pita dan jalur benang yang dibeli di pelabuhan Melaka, Meulaboh, di Pariaman, di Teluk Brunei, di Mendanau, di Teluk Pandan Makassar pun disulam ditekat.
Lahirlah seni sulaman KELENGKAN/KERINGKAM, seni sulam tekat benang emas mengindah pakaian raja , raja sehari menghiasi busana selendang wanita ratu, pengantin dara, maka diperikan , ' emas logam diolah pandai seni, diukir larek, di anyam sulam inilah milik bistasi di jari perempuan menjadi mutiara seni'

Bukit Kancing, 3 Januari 2010



Apalah makna Lakaran kita ???

Jaafar Taib, pelukis mergasatwa, fauna belantara

Terima kasih buku barumu DAMAI
terbitan Creatif Enterprise, 2009

Senja ibu kota merah
tanah bagai terbang ke awan
langit entah nyengir, ketawa atau murka
dalam sedak hujung nafas
kau, sahabatku
menghabis hari
yang lelah,masih juga ke belantara
kau susun helaian unggas
belatuk, but-but, pungguk
kijang dan gajah patah kaki
tanah dan pohon berdarah
dilumat diratah
sang penakluk dengan gah
inilah milik sang kuasa
dikira dengan modal
ringgit dan emas!
Jemarimu makin halus
urat kehidupan menipis
bibir terketar ketawa
entah hambar luka
atau canda
Jaafar Si Raja Burung
ayam hutan bercerita
lagu DAMAI
siapa yang menaja
membeli
mengumpul
galeri warna
tidak akan terjelma
kalau bukan kerja
si jemari kurus
di bibir semakin tipis
ketawamu adalah darah cinta
kuhirup di cawan luka
seniman warna
selalu kehilangan nama!
(Tahniah, buku barumu Jaafar : DAMAI)
NOTA menjelang malam natal di Bukit Bandaraya,Bangsar
24 Disember 2009