Thursday 25 December 2008

NAMA KELUARGA ?

Konon di situ dulu rumah yang ditempati oleh Ibrahim KAJAI dan adiknya Rahimah KAJAI di Setapak , K.Lumpur .
Sisa-sisa rumah tokoh Melayu di Kampung Bharu - tinggal kenangan. Bersebelahan Kelab SultanSulaiman dan Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu.Konon rumah ini pernah diinapi oleh tokoh-tokoh pejuang Melayu tahun 1946. Kemudian ditumpangi oleh ahli UMNO . Siapa peduli bila penghuninya sudah pergi?(SZI,2008)

KETIKA di zaman sekolah rendah (1960an) saya tertanya-tanya dengan nama-nama sahabat ibu dan saudara mara lain. Antaranya ada yang bernama Ramlah SIAK, Rahimah KAJAI , Se'a BATANG KAPEH (Kapas), datuk sebelah ayah pula bernama Talib BATUBARA dan datuk sebelah emak, Husin MAJOLELO. Manakala Ninda sebelah ibu pula bernama Habibah Abd Rahman@Doman MAGEK dan Ninda sebelah Ayah bernama Galoh SINDANI. Ibu juga kerap membawa saya ke rumah mereka di pinggir Setapak, Kampung Puah, Sungai Merali dan Kampong Bharu. Menjelang dewasa nama-nama itu hilang begitu saja. Tetapi ketika membuat kaji lapangan ( untuk PhD), memasuki daerah perdalaman Sumatera, Jawa, Makasar saya tersentak kembali kerana nama -nama itu rupanya nama-nama tempat : daerah dan desa khususnya di Sumatera. Ini bererti mereka adalah keluarga berasal dari sana. Sila rujuk petak Sumatera Barat

Bagaimana pula dengan nama anda adakah juga diikuti dengan berdasarkan nama tempat kelahiran seperti Hamzah Fansuri (dari Fansur = Barus), Nurudin ar Raniry (dari India sana) atau berekor dengan Al-Banjari, Al-Marbawi, al -Kurawi? . Mana tahu selepas ini sayapun memakai nama seperti yang pernah dipanggil Ninda, Puti Mancik Gombak? hahahah Puteri Tikus dari Gombak lhe.

PENULIS SELANGOR DI MANA RUMAHMU?

Bangunan Sultan Abdul Samad, pernah menampung
kegiatan seni budaya di panggung seni, sekarang
bukan milik Negeri Selangor lagi
Rumah lama di Jalan Haji Hussin, Kampung Bharu
tersepit dicelah bangunan batu yang ghairah bersorak.
Mungkinkah di sini dulu berhimpun penulis Selangor?

HANYA 6 hari saja akan tiba tahun 2009. Beberapa isu sastera tanahair terus berkocak. Selain isu bahasa Melayu yang makin terpinggir dengan keluh kesah, tercalar dan marah. Baik PENA mahupun GAPENA batin terus berkecamuk. PENA memancing dengan mencabar GAPENA - mujur kerabat GAPENA tidak melatah. Pagi ini masuk pesan daripada Tengku Alaudin yang meminta pesananya dipanjangkan. Baik saya turun pesan pagi beliau:

"SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430 DAN TAHUN BARU 2009. Marilah KITA sama2 menguatkan lagi Perpaduan KITA semoga KITA dHormati dan dSegani mSEMUA..HIDUP MELAYU. sila hantar Puisi ke sayir gurindam pantun sajak ke rumah GAPENA untuk dikumpulkan dan dibaca pada 14.2 hingga 15.2 sempena perarakan KERANDA 152."

Wah bagi saya ini bukan satu kejutan. Tapi inilah detik yang ditunggukan setelah peristiwa Perarakan Keranda 152 (1) 40 tahun lalu. Kenapa ini terjadi? Rupanya keluh kesah ini juga berentetan berulang, isu sastera terpinggir di Negeri Selangor Darul Ehsan ketika kami berkumpul lagi di Shah Alam (25 Disember 2008). Siapa penggerak pertemuan ini? Mungkin PAKSI oleh Dinsman atau KEMUDI atau PPS. Barangkali ini tidak perlu di pertikaikan. Soalnya, kenapa sastera masih dianggap tidak penting, beberapa acara yang dicadangkan oleh beberapa persatuan penulis di negeri terkaya di Semenanjung ini masih dipertikai.

Ismas Saring amat berhiba, mula bersuara nyaring marah...antologi puisi KEMUDI bertahun tinggal dipercetakan tidak mampu disiapkan kerana tiada dana. Malah jelasnya " apakah saya harus menjual tanah demi perjuangan sastera." Secara peribadi tegasnya " Kami mampu keluar modal untuk percetakan karya persorang atau berkongsi 3- 4 orang. Tapi untuk antologi bersama lebih 30 orang siapa sanggup keluar dana bersama. Penulis hanya serah puisi, diam menunggu hingga karya terbit dan ingin dapat percuma. Mana boleh jadi?"

Ibrahim Ghafar yang aktif dengan Sanggar Wong Kampung (juga menerbit puisi bersma Ismas Saring) harus bergerak sendiri, meneroka pembacaan puisi malah menjaring kegiataan kembara puisi di Indonesia. Keluhan dari KEMUDI pula diluahkan oleh Ahmad Sarju, menjelaskan kegiataan memberi ceramah, bengkel penulisan bukan saja di kalangan ahli tapi juga menembusi ruang sekolah. Usia KEMUDI bukan muda lagi. Nama-nama tenar sebagai penggerak perlu dicatat antara Atondra yang terkenal sebagai pengembara menghasilkan sajak cerpen dan novel. Kalau KEMUDI bertapak dan aktif di Kelang, muncul Persatuan Penulis Selangor (PPS ) yang bertapak di Hulu Langat awalnya dikendalikan oleh Marwilis dan Sahlan M Saman. Di kampus UKM ahlinya bersambung dengan kegiataan penulis muda Selangor (mahasiswa) dan mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar Sastera. Namun disertai juga oleh penulis dan khususnya sejatak tahun 1980an.
Barangkali inilah detik yang semakin mencabar, apabila pembimbing lama sudah mula letih, yang muda-mua pula masih menanti, mencari dan mengharap agar ada yang menyokong kegiataan sastera. Dalam hal ini GAPENA tetap menyokong kegiataan di Selangor. Namun di sana sini masih ada jarum uji yang menyengat. Betapa sukarnya mendapat sokongan dari pihak penguasa tempatan (Selangor) sehingga dana untuk kegiataan kerap dipertikaikan. Siapakah yang harus dipersalahkan. Majilis Kebudayaan Selangor di bawah sokongan Datok Samad Maharuddin pernah aktif beberapa tahun lalu. Mengendalikan program anugerah Sastera dan Budaya. Tapi program itu berhenti di tahun ke dua. Itulah tahun-tahun duka bagi kaum penulis di Selangor. Kita dianak titikan keluh J. Atau pesan Shukur Haron,
" Kita janganlah mengharap dana dari luar yang penting kekuatan diri,
yang terus mengaktifkan penulisan."
" Jangan tunggu anugerah, yang penting terus berkarya " . Tambah Beb.
Siapakah penulis Selangor? Di mana rumah kegiataannya? Mana Kemala? mana Firdaus Abdullah atau A Ghafar Ibrahim. Lebih jauh masihkan penulis muda hari ini mengingati i jasa A Samad Ahmad yang terus mengutip cerita lisan menulis hingga Si Tanggang, batu Belah Batu Bertangkup menjadi cerita warisan penting di Selangor, tapi sudah dilupakan juga? Lebih jauh bukankah sudah diperjuangkan oleh Ibrahim Kajai asal Setapak, Pak Zaaba yang pernah menempati rumah di Kampong Bharu dan Pak Sako di Hulu Langat juga menggerak nadi penulis di Selangor.
Sungguhkah YB Radhiah (?) Ismail dapat menanggapi kegelisahan Dinsman, Ismail Saring, Haji Ghazali, atau suara pembimbing penulis muda melalui kegiataan ESastera? YB sudah memberi lampu, sudi mendengar keluhan penulis walaupun datang lewat, namun penulis masih mengharapkan, agar kegiatan seni budaya tidak disalah tanggapi - seni hanya hiburan. Definisi seni budaya sendiri kurang dimaklumi oleh ADUN sendiri. Malah beliau menyarankan agar bengkel seni budaya perlu diadakan buat ADUN . Wah ini saranan menarik, kerana selama ini kita kaum penulis merintih minta bantuan itu ini, tapi para penguasa sendiri tidak mahir menangani bidang yang dianggap remeh ini. Selepas ini barulah kita menyarankan, kami perlu Rumah SASTERA? Tetapi siapa pula yang akan merealisasi keinginan ini dan siapa pula yang akan bertanggung jawab mengendalali program yang hanya bermusim? Satu cadangan saya ialah penulis haruslah bergabung dan menghargai kegiataan bersama dan saling bersahabat antara satu sama lain agar penulis tidak lagi menunggal, menyendiri atau bangga sendiri. Tinjau-tinjaulah rumah penulis Selangor kita yang berselerak di 9 daerah baik di Hulu Langat, Kuala Langat, Gombak-Rawang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan lain. Tinjau-tinjau sisa-sisa rumah lama milik JKR atau milik Orang-orang Kaya yang ditinggal sepi, kita jadikan Rumah Sastera di daerah yang dilupakan. InsyaAllah.
26 Disember 2008
10:57

Wednesday 24 December 2008

CEMBUL LARA - TSUNAMI 4 TAHUN

Cembul kaca, hiasan perada (SZI, 2000)
SUBUH ini
gelora laut bertempek
detikpun terhenti
dalam gelombang Maut-Mu
tiba-tiba suarapun diam
dalam kesenyapan
sejarah maut berulang
sejak debur durjana mengejar Musa
sejak keberangkatan Noh
melepas gelombang uji
tapi tidak dapat membakar roh Kasih-Mu

Jangan kau tangisi ujian ini
dalam diam
kau tinggal daku jauh
tapi Cinta digumul maut
simpanlah laramu
di cembul rahsia
biar lara
di Rumah Kasih kita.

25 Disember 2008

PERARAKAN BHIMA 2


Wayang Purwa - asal Jogja (kol 1970)
I.

TIBA-TIBA saja tanpa angin, tanpa ribut taufan, tanpa guruh berdentum, aneh Putera Bayu tiba di halaman anjung astana, kenapa?

Dia sudah melupakan detik Perarakan Bhima yang telah menelan jangkawaktu hampir 30 tahun dulu. Ya dia tiba! masing dengan senyuman air, mengalir di lidah waktu teduh dan sejuk.

" Siapa yang menjemput ke halaman astana para juragan seni di kota riuh kebanggaan yang menyesakkan ini?

" Ini acara terbuka, tak perlu undangan dan kad jemputan khan? "

" Maksudku, bertahun-tahun kita berteduh di astana budaya fikir ini, anda tidak pernah sudi menjenguk dan kita dipisahkan ruang menjurang ilmu , memisahkan kita daripada debat dan helah - kecuali kita masih tersenyum dan mata melirik..."

" Aneh? ya di astana ilmu yang memisahkan kita oleh kelainan bidang?"

" Dan kita tidak pernah diundang bersama untuk upacara sidang ilmu di puri dulu ? "


Pause....

Sepasang mata itu masih mengintai setiap kali dia menoleh pandang ke arah juragan sakti Putera Bayu. Bunyi air mengalir. Daunan semilir, angin masuk tembus ke celah jejenang ....

SENI HIAS - TAMADUN BANGSA

Bantal dan ceor tekat emas, kesamaan tehnik Perak
dan Aceh Pidie (kol 1996)
Geluk dan tempayan, gubahan baru
menghiasai taman IKN

TANAH, kayu, batu, daunan-akar tumbuhan sudah menjadi sebahagian bahan gunaan sejak manusia Melayu menempati gua-gua (zaman Batu tua), Dalam zaman batu baru nenek moyang kita sudah bersantu dengan kebun dan ternakan, menangkap ikan dengan alatan yang makin dihaluskan. Barangkali di sinilah lahirnya pandai seni ukir, menghias tombak dan lembing sebelum mengasah parang dan keris. Anyaman dan ulian tanah liat sudah bernama. Kelarai kepala lalat, jari kedidi juga dipinjam guna pakai dalam hiasan tembikar hingga buyung pun benama si jenjang berpanai, geluk berhias gelang perak , perut labu bersulang pucuk rebung. Hingga tiba ke puncak keagungan kerajaan Serilangka- Seriwijaya (hingga abad ke 13 M) mungucl pula kerajaan Melayu Pesisir (sejak abad ke 12 Pasai-Perlak-Pidi, Acheh Melaka), maka bahan benang emas dari China-India makin memeriahkan kerja seni tenunan, sulaman tekat dan ukiran. Tapi siapakah yang menoleh sangup membeli memakai labu Sayong atau geluk Pulau Tiga, atau belanga Kuala Tahan? Barang murah hodoh, tidak berkilat macam kembikar Cina , Korea atau porselin Jepun. Maka tidak hairan persandingan gaya taman Inggeris, makan beradap bersudu garpu, malah tidak ada lagi bunga telor berganti coklat, dan bakul porselin dan kristal. Citra bunga + telur (simbol pengantin perempuan + pengantin lelaki) sudah kehilangan makna.

" Tanah Liat? tak malu menghidang sop dalam belanga mana mangkok kristal untuk hiasan salad. " Berdesing telinga kampung ku bila seorang Cik Puan Seri datang bertandang ke rumah tinggal ibuku di Kampung Bandar Dalam. Tapi eh-deh dalam sibuk untuk meminang (bakal tunang puteranya), dia datang dan bersuata lagi,

" Boleh pinjam tepak sirih, paha dan sulam tekat lapik dulang? "

Sambil mengeluarkan barang-barang purba itu hatiku luluh juga bagai terlihat koleksi barang-barang mewah di rumahnya, aneka bahan-bahan pinggang mangkok import, berkilau menghiasi almari antiknya (jarang dipakai) hingga dia tidak terfikir untuk membeli bahan tembaga Trengganu atau sulaman tekat Perak. Malah sebelum pulang dia bersuara lagi,

" Nanti untuk persandingan, pinjam sepasang kipas tekat dan ciornya ye? "

Inilah bahan bukti perlambang tamadun bangsa Melayu semakin dilupakan oleh orang-orang kaya kita. Gimana ni? Dalam bilik-bilik kuliah seni, rekabentuk dan rekacorak tradisi juga semakin pupus apalagi membicarakan aspek keindahan dan pemikiran Melayu yang penuh simbolik semakin dilupakan atau memang sengaja tidak dipedulikan. Semua sudah menjadi kunu, kononya.

WAKAF DAN PAGAR KEPALA MUSANG

Wakaf oleh para kontraktor, sudah makin pupusnya
seni hias di pagar musang- hiasan taman
Institut Kraf Negara Jalan Rawang Selangor
(SZI,16 Dis 2008)
Seni hias pagar musang dengan motif sulur daun
DALAM arus mengejar pembagunan, menakluki pembaruan kerap juga masyarakat kita menjadi peniru -ciplak idea yang didatangkan dari luar pintu kebunnya. Dalam zaman kolonial, semua rumah orang kaya ataupun taman hiburan pun didirikan - tempat istirah, untuk minum-minum petang atau koktel di taman menjelang senja dan disebutlah Gazibo. Perkataan WAKAF pun tinggal dipakai di tempat asalnya saja, di wilayah Patani: Kelantan dan Trengganu dengan bumbung perabung, berhias tingkat 1-3. Kalau di kampung-kampung fungsinya sebagai tempat berjaga pengawal di muka kampung, atau tempat singgahan pengembara untuk berehat, mengambil wuduk di telaga dan sujud mengarah kiblat. Hujung atapnya kadang berhias sulur bayung lentik ke atas tidak menunjah ke awan. Hiasan sulur bayung ini hanya tinggal di istana lama, sisa banyangan masjid di Tangkera hingga mengalir ke Pantai Tanjun Kling ataupun masjid lama di Melaka Tengah.
Kini tiba-tiba bila pereka seni taman mula terpilah dengan gaya Bali, berduyun pula orang kita membina taman gaya Bali, hingga lupa gapura depan rumah itu adalah simbol menyambut Visnu atau dicacak payung pelindung dewa langit. Eeh...entah kesedaran dari mana, bila pereka taman peranakan Nyonya mula sibuk dengan seni bina wajah tropika, maka tumbuhlah potret wakaf lama itu. Kini wakaf menghiasi di anjung taman IB, di Taman Tasik Titiwangsa, di Taman Tasik Perdana (dulu disebut Lake Garden itulah). Harganya pun melambung, kerana pilihan kayu konon tahan disimbah hujan. Tapi lucu juga kerana dibuat oleh kontraktor (dengan kerja lambak lhe), siapakah yang peduli peranan dari tangan Pandai Seni Ukir untuk mengolah silat timbul, tembus kayu ukir? Apa lagi dengan nama dan istilah yang diberi pada seni hias yang fungsionalnya. Nah inilah pagar kepala musang menjadi hiasan sekali gus penghadang dari ditembusi si musang (bencana) dari rimba. Tanpa memahami konsep 'kepala musang' maka tidak hairanlah berlomba-lomba si musang masuk ke halaman tembus ke pagar masuk ke anjung, masuk ke ruang ibu masuk ke kamar...huss kepala musang sudah bermaharahjalela kerana tidak adanya pagar pendiding iman di rumah roh manusia kita lagi. Sedangkan dalam busana Melayu, musangnya sudah dicekak, diikat supaya tidak meliar (lihatlah gaya baju leher cekak musang yang kadang kala kehilangan kancing), Subhanallah!
Fikirlah bersama kenapa nenek moyang Melayu mencipta citra musang dalam kehidupan:
. baju cekak musang
. musang berjanggut
. pagar kepala musang
. musang berbulu ayam
Ayuh mari kita kumpulkan lagi bidalan dan seni hias bercitra M U S A N G
Gombak
24 Dis 2008

Sunday 21 December 2008

PAMERAN PENGHUNI AWAL RUMAH 905

AGI dengan gaya taktun, menyanyikan puisi
"Rumah 905" karya Mustafa Ibrahim
20 Disember 2008, RA Fine Arts menutup acara pameran lukisan tahun ini sekaligus menyambut tahun baru 2009 dengan mengundang 5 orang pelukis yang menjadikan rumah no 905 Persiaran Tun Ismail - dengan karya awal 1970an dan semasa. Pameran ini akan berlansung hingga 10 Januari 2009. Siapakah penghuni awal rumah ini? Yang menetap atau hanya sekadar datang berkumpul untuk berkarya ataupun sekadar citcut , hingga menjadi tumpuan seniman lain untuk datang dan meninjau. Selain pelukis muda ketiak itu kami ditinjau oleh Usman Awang, Baha Zain, Krishit Jit, Syed Alwi, Dinsman , Sutung termasuk teman-teman dari luar negara. Inilah rumah kerajaan milik JKR bertiang tinggi, berdindin papan, berperabung atap genting, gaya kolonial di bumi tropika. Siapakah pula yang baik hati memberi rumah tersebut untuk dihuni oleh pelukis? Inilah rentetan awal daripada tapak studio APS di Jalan Ampang yang menumpang di Taman Budaya ketika itu. 1970an juga Taman Budaya di bawah KKBS telah diberi ruang di Persiaran Tun Ismail, hingga dengan rasa bertanggung jawab maka Pengarah Kebudayaan (Ismail Zain) dan sokongan KSU (Baharuddin Musa), maka, pindahlah Musataffa Ibrahim yang mendapat sokongan A Latif Mohidin..menyatulah Jo, Rahim, Yusuf..
Rumah itupun bertuan walau tanpa bantuan kewangan dari KKBS. Tapi tetap mendapat sokongan Sufiat Mukri (Pengarah TB) . Kadang tanpa api tanpa air, tapi rumah itu hidup dan bernafas dengan kemampuan seadanya. Yang penting kami harus berkarya. Saya sendiri hanya pengunjung di hujung minggu atau memang di situ kebetulan mempunyai pejabat di bangunan belakang, Taman Budaya bertugas sebagai instruktur seni lukis kanak-kanak dan seterusnya melanjutkan ide Ismail Zain menghidupkan pasar Seni di Jalan Belanda (1975-1976) sebelum saya harus memilih dunia akademik di UKM.
Rumah 905 menjadi saksi, lahirnya karya seni Mustafa Ibrahim , Mariam Abdullah, Allahyarham Jo (Zulkifli Dahlan), dan tentu saja A Latif Mohidin yang menghadilkan siri arca-Langkwi. Malah seni etching juga berkembang dengan alat pencetak dari mesen getah.Untuk kehidupan harian, Jo atau Tapa pun bercucuk tanam. Keledek, kacang, betik menjadi hiasan taman, kadang aneka daunan menjalar hingga naik ke anak tangga, bertenggek di bilik air, masuk ke dalam mangkuk tandas, anak ikan, anak katak melompat bebas, bersahutan sama dengan nyanyian tiupan ngengong Tapa dan Latif. Itulah gambaran awal tahun 1970an sebelum munculnya kawan-kawan lain, yang berkembang dengan teater seperti Khalid Salleh , Pyan Habib, menumpang juga pelajar ITM bergabunglah Ismail Abdullah, dan pelukis muda lulusan seni (ITM ketika itu). Sehingga muncullah Johan Jaaf, Hatta. Namun siapakah yang setia untuk terus tinggal di rumah 905? Tidak ada yang abadi.
Hingga timbul tanda tanya juga kenapa rumah inui harus dikembali kepada kerajaan dengan alasan tidak jelas - konon tapak rumah akan dibangunkan sebagai Taman Budaya dan sudah diluluskan untuk dijadikan kampus seni. Panjang waktu berlalu, kerana bangunan ASK baru bangun disitu setelah lebih 20 tahun - (kini menjadi ASWARA).
Inilah kenangan penghuni rumah tersebut yang dibawa kembali oleh RA yang dikuratorkan oleh Amerudin Ahmad (BSLN). Ramai juga yang datang di hari perasmian yang dilakukan oleh Tengku Nazariah PETRONAS). Acara makin meriah dengan hiburan santai oleh Kopratasa yang banyak terlibat dengan sahabat awal Anak Alam. AGI pun menyanyi bersilat dengan petikan gitar Sani Sudi dan ketukan kotak gendang oleh Yusof. Rumah 905 bagi mengimbau kenangan masa 30 tahun lalu, maka tidak hairan, ada yang datang hanya kerana kenangan itu atau terhimbau kembali kerana tidak mereka sedari sewaktu muda mereka, terutama saya tertegun juga melihat kunjungan seorang saintis dengan teman-temannya (mantan Prof UKM) . Lebih tertegun mendengar suara seakan canda Allahyarham Jo, datang dari bibir adiknya. Yusuf pula sudah mengheret cucu, walau di sana sini kita kehilangan A Latif Mohidin yang jauh tinggal di utara.
Kami penghuni awal rumah 905 memang harus merakam ucapan terima kasih dengan kerabat RA, Raja Ahmad, Zaimah, Wina, Ina yang tidak hentinya mengutip warisan sejarah seni dulu dan kesinambungan gaya di hari ini. Rumah no 6 Jalan Aman sudah sudah mencatat menghidup kembali roh rumah 905 Persiaran Tun Ismail. Alhamdullillah. Syabas!
Gombak, 22 Dis 2008

Saturday 20 December 2008

DETIK ITU TIBA JUA

Kek si rimba hitam dari IKN
Dalam kesibukan bengkel istilah seni, masih ada
ingatan para sahabat di hari kelahiran, yang kerap
ingin kulupakan
(dari kanan: Dr Zulhilmi - UiTM, Pengarah IKN,
Prof Zakaria Ali -UPSI,WanPo-Pandai Ukir,
Mas Idayu-IKN dan Puan Faridah -IKN)
DETIK itu tiba
Malam semakin cepat
meninggal jejak siang
bintang mengacip cahaya
dalam kesenyapan ruang
kau raih degup
mencatat helaian hari
gugur di kaca
ucapanpun
melantun
gerimis bertaburan
meraih taburan doa.
Bonda
anakmu
ingin kembali ke rahimmu
menyatu ke udara
lestari ke sisiMu
yang masih memberi hari
menjelang lorong abadi
17-18 Disember 2008, Melaka

HANYA PAPAN TANDA?

Projek rakyat?Siapa pula kontraktor merebahkan balak?
Laluan lori pengangkut balak menghancurkan tanah
pesisir di kelok Jalan Rawang ke Batang Berjuntai
di Hutan Simpan Rantau Panjang Kuala Selangor
LEBIH 3 bulan berulang alik setiap hujung minggu melewati Jalan Rawang- Batang Berjuntai (sekarang disebut Bistari Jaya), melewati kelok dan lengkung jalan hutan simpan sudah tidak nyaman lagi. 2 tahun lalu jalan pemandangan di sini memang mengasyikkan. Selepas melewati Tasik Puteri dan simpang Batu Arang, kita akan melewati lebih 56 kelok jalan. Kalau tiba jam 10 pagi atau 3 petang, kita akan disambut oleh kawanan kera dan monyet yang ramah menunggu manusia yang baik hati untuk menabur makanan. Tetapi sejak bulan Mei 2008, kebun dan hutan simpan sudah ditarah mula diratah lori balak, memunggah batang-batang balak konon tapak itu akan diganti dengan semaian anak getah. Papan tanda projek itu pun dicacak dengan segaknya. Kalau selama ini memang sudah ada kebun yang diberi nama asing Selangor Fruits Valley, lapisan bukit saling bertindih dengan tanaman nanas, pisang, mangga, ciku, belimbing. Sungguh nyaman sayup mata memandang. Sekarang apa sudah jadi? Bukit semakin gondol dan semua penghuni rimba sang monyet macam peragawan/wati mempamerkan diri bagai minta di kasihi..." lemparkan makanan - kami sudah lapar wahai manusia?"

Dan papan tanda ini? Masih tercacak dan makin ditambah 2 papan tanda...tanah sudah berlekuk, hujan telah menghakis tanah yang makin berderai. Lori pula saling mengaum, menyalak, menderu menekan minyak, sarat dengan balak-balak yang diraikan sang kontraktor balak....dan papan tanda masih di situ tanpa sebarang tindakan.....hingga peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, 6 Dismeber lalu, kereta dan lori masih berdegar-degar melewati sisiran kelok jalan....siapakah yang peduli?



MEMBINA ISTILAH SENI KRAF


Longgokan buku kesenian Melayu.
MEMBINA dan membangun istilah seni kraf sudah mula difikirkan oleh Institut Kraf Negara, bagi memudahkan tenaga pengajarnya untuk mengembang ilmu seni untuk 6 jurusan (seni seramik, seni ukiran, seni batik, seni tenunan, seni logam dan seni rotan). Kalau selama ini semua IPT yang mempunyai jurusan seni rekabentuk dan seni lukis hanya bergantung dengan kamus istilah yang dibena oleh DBP, tetapi kali ini tenaga pengajar dan para pemimpin IKN mempunyai wawasan yang lebih kedepan berbanding IPT lainnya. Walaupun IKN baru menampung pelajar yang kerap juga disebut sebagai pelatih dengan mengeluarkan ijazah diploma, namun kesedaran ilmu budaya warisan Melayu begitu ketara.
Agak terkejut juga melihat buku yang dilambakkan di meja, dengan berbagai judul berkaitan seni tenunan, seni tembikar/seramik, seni ukir yang telah diterbikan oleh Pusat Kraftangan Malaysia - sayang buku-buku, katelog tersebut bagai tersembunyi, hanya dapat diperolehi melalui tukaran hadiah, atau hanya dipasarkan di puintu masuk muzium kraf di Conlay. Umumnya buku-buku tidak mencatatkan nama penulis, atau editor dengan alasan semua produk kajian dan penulisan dihasilkan oleh staf di bahagian penyelidikan. Sebaliknya gambar menteri dan KSU mendapat tempat utama dan apabila dirujuk, mungkin kita akan mencatat nama tokoh-tokoh penting di kementerian itulah (KeKWa/Kraftangan).
Tapi kali ini memang kami dilonggokkan dengan senarai yang dibongkar daripada pelbagai buku yang telah diterbitkan oleh penerbit luar (DBP, UM,USM dll dan khususnya oleh PKKM). Wah bersungguhlah semua ketua jabatan 6 jurusan yang dibimbing oleh fasilitator (Dr Zulhilmi, Prof Zakaria Ali dan seniman pandai ukir Dr WanPo Wan Su). Bergemalah istilah-istilah lama, untuk melengkap makna awan larat, lebah tergantung, siku keluang, tetupai, bunga kasmek, belalai gajah, kepala lalat, kendit, pemelih dan dan... Dalam kedinginan billik bengkel, ada jenaka dari Malik pembantu pengajar yang kerjanya melompat-lompat dari satu jabatan ke satu jabatan, atas arahan bos yang memerintah. Jenaka WanPo, pandai ukir yang mewarisi keajaiban mental seni daripada ayahanda Wan Su, karya ukirnya sudah melompat berlang buana, dari Besut melompat ke Karangbunai, jatuh ke pintu istana diraja Selangor, Perak, Johor, malah kini sedang dipamerkan di pintu masuk bilik mewah di hotel Dubai, meja hias Al Fayed dan keluarganya di pintu Harrods , London.
Hujung tahun seharusnya kita berkumpul dengan keluarga tapi nasib pengkaji seni, kami berkurung di bilik dingin, sedang di luar, pantai berdesah, hujan berderai cantik di pantai Tanjung Klingga, yang sudah kehilangan nelayan di tanah pusaka Melaka! Ah tak mengapalah sekurangnya , kini kami mengumpulkan istilah astakona = wadah bucu lapan, dewangga = kain berkilauan emas dengan natar nila atau kesumba, antakesuma = jubah = baju layang berhias bunga emas, mungkin telepok, atau songket, khusus busana diraja untuk upacara pertabalan di raja (Raja Melayu), corak samarenda atau corak bugis digubah semula di Trengganu, Pahang...hingga muncul juga corak Tun Razak.... tapi tenaga pengajar kerap terseliuh lidah masih mengutipkan perkataan corak dan motif abstrak (tidak dapat mengesan punca dan asal usul idea mencipta motif hias), maka tidak hairan senarai motif juga kerap mengulang makna (jasmin, melati, melor), atau motif siku keluang dan pucuk rebung pun kerap dicatat sebagai motif V terbalik? Kerja menyusun istilah bukan kerja mudah. Tapi IKN sudah berupaya memulakan kerja yang selalunya dibina oleh para sarjana di universiti atau di pusat bahasa DBP. Tahniah IKN semoga kitab Wilkinsons dapat dikemaskinikan oleh tenaga muda warisan Melayu yang makin mencelik makna buday ilmu.
Gombak
21 Disember 2008

Sunday 7 December 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU

Meja makan beradab dan kek menanti untuk
dipotong oleh pasangan pengantin
Raja Azhar dan Shareena di pelamin dengan hiasan kaca warna
AKHIR TAHUN 2008 tahun bahagia buat sahabat kami pelukis Raja Azhar Raja Idris (56 th). Saya rasa terkejut juga apakah acara persandingannya selamat di adakan pada 6 Disember ini, memandangkan rumahnya di Bukit Antarabangsa yang mengalami tanah runtuh pada subuh hari Minggu. Ketika menghubunginya di waktu petang, jawab SMS nya saya selamat dan jadi pengantin, rumah juga selamat. Alhamdulillh malamnya kamu meraikan pasangan ini di Taman Tititwangsa.Wah inilah perkahwihnan wedding of the year untuk artis (pelukis lhe).Inilah jodoh manusia, sahabat kami ini mengalami kedukaaan sepanjang tahun lalu, setelah Shima membawa hati dan diri kembali ke Pulau Selatan. Ya jodoh dan maut semua urusan Tuhan Yang Maha Esa. Segala duka lara dipaparkan dalam lukisan di pameran terakhirnya..namun enam bulan perkenalan dengan Shareena (30 th), jodoh kasih menyebelahinya....kompangpun berarak mengiringi pasangan pengantin malam semalam. Kami sahabatmu seluruh pelukis merakam ucapan agar kasih sayang berpanjangan. Tambah hebat kelak berkarya lebih hebat bukan ?
Tentu saja pelamin pelukis selalu menyuguhkan keindahan kelucuan bagi kawang-kawan yang tidak tahu gaya hidup pelukis. Di mana haruman mawar merah jambu dan merah hati menyerbak wangi. Di pelamin pula berkilauan piring kaca hasil produksi pelukis. Semua tamu juga mendapat cenderahati piring kaca kecil malah, cabutan bertuah juga diadakan...wah 3 orang yang bertuah dengan no yang dipilih meraih hadiah produk kaca..termasuklah Makmur tersengih menggotong kotak besar, pasti vas kaca yang menari k itu.

Diam-diam ku terbayangkan Shima
kau pergi membawa diri
jauh tapi itulah janji
setelah tiba waktu
kita akan membawa cinta
dengan seribu kenangan
dan seribu kepastian.
Gombak 7 Disember 2008

Saturday 6 December 2008

SAHABAT KECIL KITA

Himpunan katak kayu,seramik,kaca , logam
di rumah Nilam Bukit Kancing
OLEH HEBATNYA pembangunan kota, makin punah segala harta rawa-rawa membawa hingga ke lopak air ke rimba. Anak-anak kota sudah tidak lagi dapat membezakan bunyi katak memanggil hujan, atau katak mencari mangsa menjelang senja. Muzik katak? pernah mendengar lagu rindu, lagu marah lagu kecewa sang katak ketika hujan tidak luruh atau seluruh rawa-rawa ditimbus demi mendiri kondo mewah di sepanjang jalan Sentul-Karak. Dulu di situ tapak rawa-rawa tempat kami meredah mencari ikan pelaga, anak katak untuk umpan pancing di sungai Gombak. Kalau menjelang hujan hingga jauh melarut malam, irama muzik katak saling bersahutan, ada yang melompat dari hujung daun pisang - katak daun.(Harap selepas ini Si Dewangga Sakti dapat meniru suara katak dalam irama lagu mereka). Setelah rawa-rawa bertukar menjadi lombong bijih sepanjang tahun 1950-60an kini semua sudah dikambus dan berganti taman perumahan: Taman Pelangi, Taman Koperasi Polis (wah di sini rumah Rahimidin kan), Taman Batu Muda. Tambah hebat hujung tahun ini terentanglah dengan mewahnya jalur jalan raya menjalar, amat perkasa . Dari Karak boleh terus ke Ulu Klang, atau terus ke Setapak tak perlu memilih Sentul yang semakin padat dan Kampung Bandar Dalam makin sendat. Dan sang Katak tidak lagi bernyanyi dan kalau anda merempuh hujan lebat, maka katak-katak melompat ingin menyeberang jalan dan tiba-tiba berdecit tayar kereta menghimpit katak - maut tanpa siapa peduli. Katak-katak tidak lagi bernyanyi. Katak-katak dalam dunia pengungsian abadi.
Kerana itu kualih wajah aneka katak kuhimpun sejak tahun 1970an dulu. Katak boncet , bahan kayu dari Bali, katak seramik dari China, katak puru berjerawat dari Leiden, katak kaca dari Mirano, St Petersberg katak dari Kay ada katak dari Mei....dan katak-katak ini dengan sendu sedan, dengan kesayuan pun berzikir sambil menunggu hujan nun jauh di kaki Bukit Kancing....muncul dari anak sungai yang mengalir dari celah jendela rumah Nilam!

SIMPANAN LAMA

Tin susu Allayarham ibunda masih bersisa
berkarat di mamah usia
Basilkal lama Kak Long (1990) dan milik
si bungsu (1991) masih kukuh dan sisa
warna merah masih menyala
sudah berusia 18 tahun
UMUMNYA masyarakat kita sering menganggap barang lama itu menyemak, kotor dan perlu disingkirkan. Mungkin ada benarnya kerana bahan tersebut sudah berabuk, dimakan anai-anai, helaian kertas rebut dimamah rengat, hancur; kalau bahan dari timah, tin, logam besi mudah berkarat kerana tersimbahair . Siapa saja yang tidak peduli melihat bahan tersebut akan disisihkan. Kalau takut dimarahi oleh si empunya asal, bahan-bahan tersebut disembunyikan di bawah almari, di bawah katil atau dinaikan ke loteng di dalam stor.

Memang keraplah daku kehilangan bahan-bahan tersebut di rumah ibu. Setelah ibu tidak sihat, yang menjaga, merapi rumah diserahkan kepada mbok Minah. Dia amat rajin dan kerap halaman rumah dan ruang tamu bersih susunannya. Kukira bahan-bahan lama juga disimpan dengan rapi. Kini setelah ibu pergi buat selamanya sejak tahun 2002 dan tahun ini pula aku benar-benar bebas dari kampus, tibalah aku mencari segala khazanah simpanan lama yang hilang. Nah terbongkarlah bahan-bahan lama yang sempat diselamatkan walaupun semakin rapuh , cacat di sana sini dimamah bubuk atau digigit tikus.
Dalam satu kotak muncul buku-buku lama si kecil dulu ketika Kak Loong asyik ingin menjadi pemuzik. Nota dan buku-buku, sijil kelas muziknya terselak. Rupanya bila Kak Long lebih memilih kelas ekaun dia hampir melupakan kelas muziknya. Dia lupa barangkali, kerana dia sudah ada sijil gred 4 dengan menerima akuan dari the Royal School of Music , London. Himpunan buku-buku nota muzik, buku lagu yang kubeli untuknya seusia 6 -15 tahun semua itu terabai. Hingga kini hanya sesekali piano berdenting, kerana selepas itu dia meneruskan latihan saron di ASK (Sijil Muzik Tradisi) pula. Maka kini bahan tersebut kembali kukutip sebagai simpanan lama untuk dijaga semula oleh si pemilik asal.

Di luar rumah ibu tersadai beberapa bahan logam, basikal si bungsu, basikal kesihatan ibu juga melekat kaku di bawah pohon asam jawa. Perih juga melihat bahan lama. Walau sudah berkarat, kaku dimamah air hujan tapi bahan tersebut kukuh dan agam. Basikal buatan singer kujadikan hiasan di taman rumah ibu yang semakin sunyi kerana daku hanya kembali di hujung minggu. Di sudut lain, sususan bertindih sisa botol-botol lama, tin susu minuman harian ibu. boto-botol kicap, sos, bahan sisa yang kerap kugunakan untuk hiasan gelas warna juga semakin membawa lara mengenang kehidupan keluarga. Esok menjelang Hari Raya Korban (8-12-2008), juga genaplah si bungsuku berusia 26 tahun. Masih ingat basikal mu tersadai di sebelah jendela rumah Uwanmu?

Gombak
7 Disember 2008

Monday 1 December 2008

WARNA GHAIRAH TARIAN MALAYSIA?




Gambar : Penari - penari gadis Malaysia dengan warna busana cacaca rumbaaaa...
SEMENJAK Kementerian Kebudayaan Kesenian bergabung dengan Pelancongan kemudian menjadi Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) kini ditambah pula dengan Perpaduan, wajah persembahan tariannya masih meneruskan konsep 'Jual Malaysia'. Seni tari mula ingin membina citra Malaysia - menggabungkan semua tarian etnik yang kaya nilai folk art sehingga seni yang bernilai budaya tinggi seperti tarian istana (gamelan, makyung) pun menjadi seni pesta lambak. Untuk merangsang penonton kerana ia dianggap barang jualan, maka WARNA dan HIASANpun dimeriahkan, warna cerah menonjol untuk melambangkan betapa gembira dan menyatunya rakyat Malaysia itu. Maka jangan mengeluh, bila muzik gamelan ditabuh dengan lagu Lambang Sari atau Kunang-kunang Mabuk, masuklah penari Daling-daling, atau kuda kepang. Bila Sape digesek, tertandak-tandak pula penari Joge.
Begitujuga gerak dan gubahan tarian harus merangsang, dinamis segak dan berani - sehingga semua langkah lelaki dan perempuan tidak dibezakan. Maka gerak hayun tarian Zapin Hanuman pun, si gadisnya melonjak dan melebar suak kaki kanan kiri; tarian Ulik Mayang yang mistis, gemulaipun menjadi warna histeria, dah melompat macam kecak Bali. Weeeh inilah koreografi yang dicipta oleh idea si penguasa kementerian yang tidak memperdulikan saranan dan teguran dari pengamal awal . Sampai ke sekolah di kampung-kampung konsep pesta tari ini terus saja berlansung....wah-wah bunga plastik yang besarpun tertenggek dan bergoyang tegang di kepala. Kerana bunga melor, kesidang,tanjung , cempaka tidaklagi di tanam di halaman rumah tari dan tanaman itu kini mungkin telah menghilang di taman Melayu? Inilah warna-warna meriah tanda gemilang bangsa?
AL-FATIHA buat Almarhum Seniman Negara Syed Alwee- kita kehilangan tokoh teater dan gimanakah lanjutan teater Tuk Perak dan Keris?
2 Disember 2008