Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Tuesday, 22 April 2008
LYNA USMAN ZURIAT SASTERAWAN NEGARA
RABU
22 April 2008
22 April 2008
Jam 11 pagi seperti yang dijanjikan , Lyna tiba di studioku di Templer Impian. Memang mereka kesasar hingga ke kawasan perkelahan lebih ke utara dari simpang ke padang golf Peransang. Jalan ke Bukit Simpan Templer sudah diterobos pembangunan. Bukit dipancung seenaknya, anak-anak sungai yang melingkar dari perbukitan , meliuk lenggok ke kaki gunung juga sudah kehilangan arah. Tetapi sudah terlanjur digoda oleh deruan lembut anak sungai kecil di bukit kupilih juga pondok di situ - untuk tenang melukis, atau menulis. Memang ada suara ramah mesra dari laungan anak monyet, siul burung selepas hujan...dan Lyna pun tiba dengan suaminya Rahim (merangkap CEO, UA Enterprise), hanya untuk memilih lukisan yang sesuai untuk dijadikan hiasan buku puisinya ayahandanya Allahyaraham Usman Awang.
Siapakah yang masih mengingati wajah Usman Awang apalagi membaca karyanya? Setengah sedih dan terkejut (pengalamannya berada di pesta buku 2008 minggu lalu ) ketika mereka berkongsi menyewa gerai pameran dengan Hilmy Samad (putera sulung A.Samad Said), mempamer dan menjual buku-buku Sasterawan Negara...memang sudah dilupakan wajah yang pernah dihormati dulu. Ada yang meneka, tokoh SN ini masih hidup dan duduk di situ - itulah Usman Awang! padahal yang ada bersama mereka ialah SN A.Samad Said. Tapi ini bukan hal yang penting untuk kucatat di sini. Sebaliknya ialah kegigihan HASLINA binti Usman Awang. Bisiknya, " Ayah tidak meninggalkan banyak harta , tapi saya tahu aset ayah ialah karya sasteranya " . Lyna yang tidak terdidik dalam bidang bahasa dan sastera Melayu memang tidak pernah terfikir untuk menerjuni bidang sastera. Tetapi kesedaran menghargai 'harta sastera ayah' telah membuatkan ia melangkah dengan berani, berani dicabar diuji. " Karya ayah tidak diterbitkan lagi oleh DBP - malah ada suara yang mengusik - kalau diterbitkan takkan laku" . Lyna dengan bantuan suaminya berani menongkah arus. Dia mencari sahabat-sahabat lama ayahnya, mencari penaja, ada yang faham dan mengingati jasa seorang sasterawan dengan gembira menyokong , maka terbitlah dua buah antologi cerpen (Bendera diturunkan dan Tulang-tulang Berselerakan).
Impian orang muda yang tahu selera muda. Untuk disenangi dan diibeli buku harus dicetak cantik (lihat buku-buku baru A.Samad Said yang cantik molek dengan dana Kerajaan Negeri Melaka, melilih air liur - hehe pinjam istilah Melor). Tapi siapa yang sanggup beri modal. Kini dengan gigih dia masih ingin menerbitkan buku-buku puisi pula - dua tema yang dipilih - puisi humanis dan puisi cinta. Dua judul yang diberikan untuk kulukis kelak ialah " Beta Melukis" karya tahun 50han dan " Kekasih" karya 1970an (sudah digubah dan dinyanyikan oleh Ibrahum Bachik). Konon himpunan puisi ini akan terbit dan dilancarkan oleh MAWAR - badan kumpulan wanita Johor. Inilah salah satu contoh kesedaran waris seniman. A.Samad Said juga sudah lama berkeluh kesah. Akhirnya Hilmy tahu inilah masanya untuk menghargai jasa ayahanda sehingga sekeluarga menubuhkan Wira Bukit. Kini ASS dengan gembira tersenyum dan berdehem lebar, kerana sepanjang pameran buku 2008 di PWTC bukunya mendapat sambutan - konon buku puisi terbaru Soneta Pohon Ginko (pegaga le) laris hingga ke 300 naskah. Nampaknya pulang modal cetak le !
Thursday, 3 April 2008
PERSONALITI ORANG MELAYU
ATMA
Khamis 3 April 2008
Khamis 3 April 2008
SIRI wacana ATMA minggu ini disampaikan oleh prof.madya Dr Khairul Anwar, dari Pusat Pengajian Umum UKM. Kini beliau sedang melakukan penyelidikan dalam penilaian dan perkembangan personality-sahsiah masyarakat Malaysia. Kajiannya telah mendapat anugerah J William Fulbright Scholarship bagi menjalani program bersangkutan dan diterima sebagai Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti of Illinois , Urbana-Champaign, USA (April-hingga Julai 2008). Pagi tadi beliau menyampaikan pandangan hasil kajiannya dengan mengambil sample pandangan pelajar kampus, untuk menilai sikap dan kesedaran pelajar terhadap perilaku, atau tret personality. Lebih tepat beliau mengguna pendekatan cultural informant dan critical incedents. Sebagai landasan teori beliau tentu saja banyak berkongsi pandangan dengan kumpulan kajian 'personaliti masyarakat global (PPOC) yang diketuai oleh DR Robert McCrae, National Institute of Health (NIH) USA *2004-2005). Semua sorot pandang informan (pelajar kampus) sejak awal mula diragui oleh para hadirin. Umumnya sifat negatif perlakuan, watak orang Melayu sesaolah mengulang seperti apa yang telah diucapkan oleh manusia penjajah. Walaupun orang Melayu terkenal dengan sifat sopan santun, 'pemalu' ,ramah-peramah, tetapi bagai terdengar pula suara Abdullah Munsyi, Raffles, Winstedt, yang menulis sifat orang Melayu: malas, panas baran, amat pemalu, pengotor. Kutipan daripada kajian Ness (1965) dilaporkan juga orang Melayu selain pemalas juga degil dan keras kepala.
Walaupun kajiannya lebih berada di zaman ini, urutan tanggapan sesaolah tetap kekal, malah seorang sarjana lain bersuara, " seharusnya perilaku atau perlakuan sikap orang Melayu harus seganding dengan pengetahuan Islamis, sebaliknya sikap pra Islam masih terus ingin dikekalkan" (sila rujuk filem ,drama tv: saka, anak jari hantu, susuk dsb terus ditayangkan). Pandangan Prof Zawawi pula seperti meragui, apakah pembentang kertas kerja tidak menoleh atau merujuk kepada teks sastera atau kajian Syed Hussin Ali. Sikap Melayu telah terpapar dengan jelas, negatif dan positif, malah kenapa ada amok Melayu. Pada hal yang mengamuk bukan Melayu saja.
Dr Noriah Muhammad pula menyarankan, kajian watak Melayu boleh dirujuk melalui bidalan, pantun dan gurindam. Aku diam-diam sambil meneruskan kerja membuat lakaran busana terlayang, kalau orang Melayu malas, nampaknya tidur di pondok kebun sajalah, tidak pakai bajulah kerana malas menenun. Atau sekadar pakai kain kapas yang dicelup hitam atau putih saja, keran malas tidak akan wujud, tenunan songket, tekat, rumah bujang pun beratap nipah tanpa ukiran. Inilah kerja rajin pandai seni, mengolah bahan, menguli tanah liat, memintal dan menyusun benang untuk dipasang dalam kei Melayu seperti yang dilakukan oleh pengukir, pelaut,petani dan menenun di Pantai Timur: Kelantan Trenganu dan Pahang. Kalau cencaluk, pekasam, budu itu barang makanan kotor, tetapi itulah kerja teknologi warisan, memeram makanan mengikut musim, sesuai untuk disimpan lama dapat digunakan dalam pelayaran jauh, atau menikmati makanan walaupun di luar musim (durian belum gugur), wah wah...sayalah pemabuk budu, cencalok dan tempoyak, walaupun tinggal jauh di kutub selatan, masih membawa bekalan jeruk petai..hahaha.
Memang dendam iri dan benci, hasut fitnah, tamak haloba yang menjurus kepada rasuah, penipuan - barangkali inilah yang diandaikan oleh sahabat di sebelahku, dengan ujarnya , " Selagi solat saja, sebagai perlakuan zahir, belum sempurna makna tanggungjab dan kasih - inti solat tidak pernah direalisasikan, maka sifat negatif itulah yang menjadi penggerak makin buruknya watak atau personaliti Melayu " . Seorang pelukis yang sedang membnat kajian untuk PH.D duduk di sebelah kiriku berbisik, dengan wajah resah (selalu begitu), " Orang Melayu juga cepat melatah, oleh resah, oleh marah kenapa? kerana emosi - lihat Hang Tuah, membuta tuli taat, Hang Jebat membuta tuli walau tujuannya untuk membela Tuah" .
Buta tuli, buta tuli, wah ini pancaindera yang nampak tetapi kerap dilupakan. Sedang yang benar-benar tidak melihat seperti Amri yang kerap datang ke bilik wacana masih mempunyai mata hati sehingga derap sepatu saja dia tahu siapa yang lalu di sebelahnya ?